Monday, May 9, 2011

50 pengimport kereta diserbu

50 pengimport kereta diserbu
KUALA LUMPUR 9 Mei - Lebih 50 syarikat jualan kereta import terpakai di seluruh negara diserbu dalam operasi bersepadu membabitkan empat agensi kerajaan sejak 5 Mei lalu, dipercayai bagi menyiasat kes-kes berkaitan pengimportan kereta-kereta terpakai.
Empat agensi terbabit adalah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Yang Dipertua Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya dimaklumkan operasi tersebut dilaksanakan bagi menyiasat kes-kes melibatkan ikrar mengikut harga sebenar, selain cukai tertunggak.
Katanya, selain itu, terdapat antara ahli persatuan yang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA).
"Berikutan itu, beberapa akaun perniagaan syarikat ahli telah dibeku dan telah menimbulkan masalah termasuk untuk membayar gaji pekerja.
"Tindakan tersebut adalah tidak wajar memandangkan Pekema telah menjalankan perniagaan tersebut sejak 30 tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zainuddin memberitahu, pihaknya bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan mahu mana-mana ahlinya yang melanggar peraturan dikenakan tindakan sewajarnya.
"Ada ahli mengadu pejabat mereka diserbu 20 pegawai yang bersikap kasar seolah-olah mereka sudah didapati bersalah. Sehubungan itu, saya meminta agensi terbabit supaya menggunakan kaedah penyiasatan yang berhemah," katanya lagi.
Beliau turut menyeru ahli-ahli Pekema agar memberi kerjasama kepada pihak berkuasa yang datang menyiasat fail perniagaan mereka.

No comments:

Post a Comment