Wednesday, June 23, 2010

Pengurusan kes taksiran royalti Annuar Zain 13 Julai

KUALA LUMPUR 23 Jun 2010 - Mahkamah Tinggi di sini akan menetapkan tarikh perbicaraan bagi taksiran royalti penyanyi, Annuar Zain (gambar) pada 13 Julai ini.

Syarikat rakaman Syncrosound Records Label Music Sdn. Bhd. (Syncrosound) pada tarikh tersebut juga perlu memaklumkan mahkamah berapa ramai saksi yang akan dipanggil bagi menentukan jumlah taksiran royalti yang perlu dibayar pada adik penyanyi, Ziana Zain itu.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Nazri Yahya ketika pengurusan kes itu hari ini.

Peguam Aizul Rohan Anuar hadir mewakili penyanyi tersebut namun tiada wakil peguam hadir bagi pihak syarikat rakaman itu.

Aizul Rohan ketika ditemui selepas prosiding memaklumkan, pihaknya akan memanggil tiga orang saksi termasuk Annuar sendiri dan wakil daripada sebuah syarikat pengedaran album.

Pada 14 Mei lalu, Annuar atau nama sebenarnya, Shahrul Annuar Zain, 40, berjaya dalam kes tuntutan saman balas bagi menuntut bayaran royalti daripada Syncrosound.

Jumlah bayaran royalti tersebut masih belum ditentukan kerana nilainya perlu ditaksirkan terlebih dahulu.

Pada tarikh tersebut juga, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Dr. Prasad Sandosham Abraham turut memerintahkan Syncrosound membayar kos dan faedah sebanyak lapan peratus ke atas jumlah royalti setahun bermula Jun 2006 kepada Annuar.

Penyanyi itu memfailkan tuntutan balas dan pembelaan pada 20 Jun 2006 setelah beliau disaman oleh Syncrosound pada 21 April tahun yang sama.

Syncrosound dalam samannya, mendakwa penyanyi itu memungkiri perjanjian apabila menamatkan kontrak tanpa merakamkan tiga buah album lagi dengan syarikat tersebut.

Bagaimanapun, pada 27 Disember 2007, Penolong Kanan Pendaftar, Siti Aishah Ab. Rashid telah membatalkan tuntutan Syncrosound tersebut.

Dalam tuntutan balasnya, Pemenang Artis Lelaki Terbaik pada Anugerah Planet Muzik (APM) 2008 itu mendakwa, beliau dan Syncrosound seharusnya merakam dan mengeluarkan sebuah album sahaja tetapi syarikat itu telah melibatkannya dalam lebih daripada dua buah album.

Namun begitu, dakwanya, syarikat itu tidak pernah memberikan sebarang butiran atau penyata mengenai penjualan album-album tersebut seperti yang dikehendaki dalam perjanjian.

Pelakon utama filem Bintang Hati itu juga menyatakan sejak 23 Februari 2001, dia hanya menerima pembayaran royalti hasil penjualan kesemua albumnya dengan Syncrosound sebanyak RM2,000 sahaja.

No comments:

Post a Comment