Tuesday, June 22, 2010

APMM tahan 2 kapal tangki pindah minyak secara haram

2010/06/22
JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan dua kapal tangki asing yang disyaki melakukan pemindahan sebanyak 100,000 liter minyak secara haram di perairan Pengerang, dekat Kota Tinggi, semalam.

APMM juga menahan 14 krew kapal terdiri daripada sembilan warga Indonesia dan lima warga Thailand di atas kapal MT Vanda, yang berdaftar di San Lorenzo, Honduras dan MT Mimosa di La Paz, Bolivia. Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Abdul Hadib Abd Wahab, berkata anggota APMM dalam kapal KM Tegas mengesan dua kapal dalam keadaan mencurigakan itu berhimpit antara satu sama lain, pada kedudukan 2.3 batu nautika Tanjung Stapa, kira-kira jam 9.25 pagi. "Pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran atau permit dari Ketua Pengarah Jabatan Laut untuk melaksanakan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal di perairan itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Hadib berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, bekalan minyak itu sedang dipindahkan dari MT Vanda ke MT Mimosa.

"Kapten dan ketua jurutera bersama dokumen kedua-dua kapal dibawa ke ibu pejabat APMM Wilayah Selatan untuk siasatan mengikut Seksyen 491B(1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment