Monday, June 21, 2010

Dua cuba seludup petrol nyaris rentung

2010/06/22


ANGGOTA bomba memeriksa kereta dinaiki penyeludup minyak terbakar dalam kejadian di Kampung Gutong, Bunut Susu, semalam.PASIR MAS: Tindakan dua penyeludup melontar tong berisi petrol yang dibakar ke arah Pasukan Gerakan Am (PGA) yang cuba memintas kenderaan, mengundang padah apabila api itu menyambar bahan bakar yang sedang diseludup mereka sebelum kereta dinaiki turut terbakar dan meletup.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang di Kampung Guntung dekat Bunut Susu itu, api pada tong terbabit dipercayai turut menyambar muatan dalam kereta itu menyebabkan dua penyeludup berkenaan terpaksa terjun menyelamatkan diri. Sejurus kemudian, kereta Proton Iswara Aeroback yang dinaiki mereka yang dipercayai membawa kira-kira 30 tong berisi petrol untuk diseludup ke negara jiran, terbabas dan merempuh pagar sebuah rumah penduduk sebelum meletup. Kejadian itu berlaku ketika penyeludup terbabit cuba melarikan diri sejurus menyedari diekori anggota Batalion 9 PGA dari Chabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Deputi Superintendan Mohamad Latiff, mengesahkan menerima laporan berhubung mengenai kejadian itu daripada anggotanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang memburu dua suspek penyeludup terbabit yang melarikan diri dalam kejadian itu apabila terjun sebelum kereta terbabit terbabas dan meletup.

"Kejadian yang berlaku ini menunjukkan penyeludup sanggup melakukan apa saja untuk melarikan diri dan kemungkinan mereka membakar tong minyak tetapi merebak menyebabkan kereta yang dinaiki terbakar.
"Kereta ini sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Kita juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil menghubungi polis," katanya.

Penduduk, Ibrahim Mohamad, 64, berkata kejadian disedari apabila terdengar letupan kuat beberapa kali sejurus kereta berkenaan merempuh pagar rumah adiknya.

"Mujur adik saya tiada di rumah kerana keluar bekerja. Saya yang terdengar letupan itu terus bergegas ke tempat kejadian dan mendapati api semakin marak.

"Saya meminta bantuan adik, Tajuddin, 57, menghubungi bomba kerana bimbang ia merebak ke arah rumah," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

No comments:

Post a Comment