Wednesday, June 23, 2010

2.6 tan beras, pelbagai jenis kosmetik tiruan, dadah dirampas

RANTAU PANJANG 23 Jun 2010 - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 merampas 50 botol kecil heroin, 2.6 tan beras dan pelbagai jenis kosmetik tiruan yang cuba diseludup masuk ke negara ini di dua tempat berasingan di sini serta Tumpat, awal pagi ini.

Pegawai Pemerintah Batalion itu, Supritendan Kamaruddin Yusoff berkata, kedua-dua rampasan itu dibuat hasil maklumat orang ramai serta intipan yang dilakukan.

Beliau berkata, dalam rampasan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 30-an di Pangkalan Haram Azizah di sini ketika cuba membawa masuk barangan larangan tersebut.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, beberapa anggota kita telah membuat intipan di kawasan berkenaan bermula daripada pukul 11 malam.

"Lelaki itu ditahan sebaik sahaja dia melintasi Sungai Golok untuk masuk ke negara ini dan hasil pemeriksaan dilakukan ke atas lelaki itu, kita menemui 50 botol kecil, dipercayai mengandungi heroin tulen.

"Harga setiap botol kira-kira RM1,000 tetapi ia akan berlipat kali ganda jika dijual di kawasan yang lebih jauh dari bandar ini seperti di Kota Bharu ia mungkin bernilai RM1,500.

"Ini merupakan rampasan dadah terbesar pada tahun ini yang dilakukan PGA," katanya pada sidang akhbar di Markas PGA di sini hari ini.

Kamaruddin berkata, lelaki terbabit juga positif dadah jenis ganja dan dia akan didakwa mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Katanya, kesemua dadah tersebut telah diserahkan kepada bahagian narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, katanya, pihaknya merampas 26 guni beras yang setiap satunya seberat 100 kilogram dan produk kecantikan tiruan di sebuah rumah di Simpangan, Tumpat, selepas membuat intipan bermula dari pukul 2 pagi sehingga 8 pagi ini.

"Kita terpaksa menunggu masa hampir lapan jam sebelum serbuan dan hasilnya kita menjumpai beras serta pelbagai jenis kosmetik yang keseluruhannya bernilai RM27,800 di bawah sebuah rumah yang dipercayai menjadi tempat pengumpulan.

"Bagaimanapun tidak ada sebarang tangkapan dilakukan kerana pemilik rumah itu mendakwa tidak mengetahui barangan tersebut diletakkan di bawah rumahnya," katanya.

No comments:

Post a Comment