Tuesday, June 22, 2010

Rasuah: Lelaki, 'konsultan' SPRM ditahan

KUALA LUMPUR 22 Jun 2010 - Seorang lelaki ditahan di Raub, Pahang semalam kerana dipercayai bersubahat dengan seorang konsultan palsu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lelaki berusia 31 tahun itu disyaki bersubahat dengan 'konsultan' terbabit yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang Datuk daripada SPRM untuk meminta RM10,000 daripada seorang anggota polis kononnya untuk menutup kes anggota polis itu yang disiasat oleh SPRM,

Bahagian Komunikasi Korporat SPRM dalam kenyataan di sini hari ini memberitahu, lelaki itu ditahan di Raub kira-kira pukul 4.45 petang.

Menurut kenyataan itu, 'konsultan' yang mendakwa dari ibu pejabat SPRM di Putrajaya bersama-sama lelaki terbabit meminta rasuah berjumlah RM10,000 daripada seorang anggota polis sebagai ganjaran menutup kes yang dikatakan dalam siasatan suruhanjaya berkenaan.

"Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009," kata kenyataan itu.

Pada hari sama, kata kenyataan itu, SPRM turut menahan seorang buruh warga Vietnam di Padang Besar, Perlis kerana cuba merasuah anggota polis dalam satu sekatan jalan raya.

Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan polis pada pukul 12.30 tengah hari kerana tidak memiliki pasport.

"Suspek yang ingin melepaskan diri bertindak menawarkan sejumlah wang kepada anggota polis yang memeriksa sebagai balasan untuk tidak dikenakan tindakan," katanya.

Buruh terbabit kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.

Tambah kenyataan itu, suspek dibebaskan dengan jaminan RM5,000 oleh seorang penjamin sehingga 20 Julai depan.

No comments:

Post a Comment