Tuesday, June 22, 2010

Peniaga bersalah 3 tuduhan urus wang haram RM1.34j

Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my
2010/06/23
Pengurus Danafutures urus pelaburan RM65j tanpa lesen

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan yang menguruskan pelaburan bernilai RM65 juta melalui internet didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tiga tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM1.34 juta dan menjadi pengurus dana wang tanpa lesen pengurus kumpulan wang, tiga tahun lalu. Hakim SM Komathy Suppiah berkata, selepas meneliti keterangan saksi dan bukti dikemukakan, mahkamah mendapati pembelaan tertuduh, Phazaluddin Abu, hanyalah penafian semata-mata dan bercanggah dengan fakta kes itu. Katanya, pembelaan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan apabila menafikan Danafutures Website adalah dimiliki, dikawal dan diuruskan oleh tertuduh.

Beliau berkata, tertuduh dalam pembelaannya mendakwa laman web itu dimiliki dan dikawal oleh seorang individu dikenali sebagai Maidin dan menafikan wang diperoleh dalam akaun banknya adalah hasil pengubahan wang haram dari pelaburan dalam skim itu.

“Jika Maidin bukanlah rekaan, adalah pelik kerana tertuduh sendiri tidak tahu nama penuhnya, malah tidak mempunyai sebarang dokumen pejabat yang menunjukkan Maidin adalah pelanggannya dan lebih aneh tiada seorang saksi pendakwaan pun mengenalinya.

“Keterangan tertuduh yang tidak selari melemahkan kes pembelaan kerana pada mulanya, tertuduh mendakwa dia menguruskan Danafuture Website selepas ditawarkan oleh Maidin dan kemudian menyatakan Maidin yang menguruskan operasinya.
“Tiada penjelasan dibuat tertuduh berhubung dengan percanggahan yang serius dalam keterangannya itu,” katanya.

Komathy berkata, dalam kes itu Maidin adalah saksi penting yang perlu dipanggil pembelaan dan mahkamah berpendapat bukanlah beban yang harus dipikul pendakwaan untuk memanggilnya.

Phazaluddin dituduh mengemukakan dirinya sebagai pengurus dana wang melalui laman web internet www.danafuture.com tanpa memegang lesen pengurus kumpulan wang mengikut Akta Perindustrian Sekuriti 1983 di Affiliate Shoppers Network, No 14, tingkat 1, Jalan Opera C, U2/C, TTDI Jaya, Shah Alam di sini, antara 3 Jan dan 22 Jun 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15A(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM1 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi tiga tuduhan membabitkan pengubahan wang haram, Phazaluddin dituduh menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1,339,324 melalui Affiliate Shoppers Network antara Januari dan Mac 2007.

Bagi setiap tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya. Hukuman akan diputuskan 7 Julai

No comments:

Post a Comment