Wednesday, June 23, 2010

Bekas Pegawai Penguasa Petronas dituduh rasuah

KUALA TERENGGANU 23 Jun 2010 – Seorang bekas Pegawai Penguasa Depot Petronas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperoleh suapan berjumlah RM3,500 sebagai dorongan supaya tidak melaporkan ‘compact valve’ (kepala gas) yang dikatakan telah bocor.

Jasmi Mohd. Jemadi, 43, yang sebelum ini bertugas di Depot Petronas Berhad Cawangan Melaka itu, didakwa memperoleh suapan RM1,500 dan RM2,000 agar tidak melaporkan kepada Ibu Pejabat Petronas Dagangan Berhad mengenai ‘compact valve’ yang dibekalkan oleh Syarikat Dual Metal Sdn. Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Pusat Niaga Paka, Dungun pada 7 dan 24 Februari 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 9(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Hakim M. Bakri Abd. Majid membenarkan Jasmi diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Julai ini sebutan kes untuk melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Ahmad Nizan Wan Omar.

No comments:

Post a Comment