Tuesday, June 22, 2010

Utara: Wang Palsu

Oleh D J Dolasoh
bhnews@bharian.com.my
2010/06/23


WANG palsu yang dikatakan beredar dalam urus niaga di Hulu Perak.Komuniti Hulu Perak berdepan kerugian wang palsu beredar dalam urus niaga

LENGGONG: Komuniti perniagaan di daerah Hulu Perak dan Kuala Kangsar kini berdepan kerugian berikutan penggunaan berleluasa wang kertas palsu dalam urusan jual beli di dua daerah terbabit sejak beberapa bulan lalu. Kebimbangan itu terutama disuarakan oleh peniaga pasar malam dan pekan sehari, selain peniaga kedai runcit serta pengusaha stesen minyak. Peniaga mendakwa, wang palsu yang sering diberikan pelanggan ketika urusan jual beli membabitkan nilai RM100, RM50 dan RM10.

Katanya, wang palsu terbabit amat sukar dibezakan dengan wang tulen kerana hampir semua cirinya adalah sama.

Beberapa peniaga pasar malam dan pekan sehari di Lenggong, Grik, Kati dan Sauk di Kuala Kangsar termasuk penjual ikan, kuih, sayuran dan peniaga ayam pernah menjadi mangsa menerima wang palsu berkenaan.

Seorang penjual ikan di Pekan Sehari Lenggong, Mohd Sharizal Zaimanan, 28, berkata dia menerima dua keping wang kertas palsu minggu lalu bernilai RM50 dan RM10 ketika berniaga di Lenggong.
Katanya, dia menerima wang kertas palsu bernilai RM50 ketika berniaga di Pasar Malam Sauk, Kuala Kangsar minggu lalu dan kelmarin di Pekan Sehari Lenggong bernilai RM10.

“Saya perasan wang kertas bernilai RM50 itu palsu ketika mengeluarkannya daripada poket seluar yang secara tidak sengaja dimasukkan ke dalam mesin basuh.

“Sebaik wang itu dikeluarkan, saya dapati ia terbelah dua lapis, sedangkan beberapa keping wang kertas yang lain tidak terjejas,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Peniaga apam balik, Mohd Hamdan Azlah, 45, berkata dia turut menerima wang kertas palsu bernilai RM50 dan RM10 sejak seminggu lalu ketika berniaga di Pekan Sehari Kati, Kuala Kangsar dan Pekan Sehari Lenggong, di sini.

Katanya, dia mengetahui dua wang itu palsu ketika mengiranya di rumah dan selepas mengamatinya ada sedikit kelainan pada wang terbabit kerana ukuran panjangnya kurang setengah sentimeter berbanding wang tulen lain.

Sementara itu, Ketua Kampung Lenggong, Mohd Razli Ahmad berkata, dia banyak menerima aduan daripada peniaga di sekitar Lenggong sejak sebulan lalu yang mendakwa menerima wang palsu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Grik, Superintendan Mahad Nor Abdullah berkata, pihaknya memandang serius kegiatan penipuan pihak tertentu yang menggunakan wang palsu itu dan akan menyiasat secara terperinci.

Katanya, setakat ini belum ada laporan diterima oleh Polis Daerah Grik sama ada daripada peniaga atau mangsa dan berharap supaya mereka segera membuat laporan, termasuk melalui Rakan Cop

No comments:

Post a Comment