Wednesday, July 7, 2010

Perdaya keluarga mohon zakat

Oleh Zulfa Mohamad

2010/07/08
Mangsa diminta deposit wang ke akaun En Mat sebelum layak terima bantuan

KEPALA BATAS: Pihak tidak bertanggungjawab dikesan memperdaya keluarga Islam di negeri ini dengan meminta mangsa mendeposit sejumlah wang ke dalam akaun tertentu, selepas memaklumkan mangsa layak menerima bantuan bulanan Pusat Urus Zakat (PUZ).

Modus operandi pihak terbabit ialah mereka akan menghubungi mangsa secara rambang melalui telefon dengan berpura-pura bertanyakan sama ada keluarga terbabit memohon bantuan zakat. Pihak terbabit kemudian memaklumkan bahawa mangsa layak menerima bantuan zakat RM800 sebulan dan meminta mangsa memasukkan jumlah wang yang sama ke dalam akaun sebuah bank bagi membolehkan bantuan wang zakat diagihkan. Difahamkan, setakat ini lebih 10 orang sudah dihubungi pihak tidak bertanggungjawab itu dengan menggunakan modus operandi yang sama.

Terbaru, seorang wanita warga emas nyaris terpedaya dengan tipu helah seorang lelaki yang memintanya memasukkan wang RM800 ke dalam satu akaun bank sebagai syarat mendapat bantuan bulanan PUZ.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, Rokiah Ahmad, 70, dari Paya Keladi Tengah di sini, menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Encik Mat.

Anak Rokiah, Muhammad Nazli Aziz, 36, berkata dalam perbualan telefon itu, lelaki terbabit berpura-pura bertanyakan ibunya sama ada penghuni rumah itu memohon bantuan zakat.
Selepas itu, lelaki terbabit menyatakan Rokiah layak menerima bantuan zakat RM800 sebulan dan meminta wanita berkenaan membuka akaun bank bagi membolehkan bantuan wang zakat diagihkan.

Lelaki terbabit turut memberikan nombor akaun sebuah bank bernombor 446672**** dan meminta Rokiah memasukkan RM800 sebagai syarat mendapat bantuan bulanan PUZ.

Lelaki itu menyuruh ibu saya memasukkan wang ke dalam akaun berkenaan melalui mesin automatik sebelum jam 6.30 petang. Jika lewat, lelaki itu akan membatalkan bantuan zakat, katanya.

Muhamad Nazli berkata, pada mulanya ibunya percaya dengan helah lelaki terbabit, tetapi nasib baik kerana tidak pergi ke bank untuk memasukkan wang berkenaan.

Berikutan itu, lelaki terbabit menghubungi semula Rokiah pada jam 6.30 petang dan memaklumkan dia membatalkan bantuan zakat kerana wanita itu lewat memasukkan wang ke akaun yang diberinya.

Jurucakap PUZ negeri berkata, pihaknya dimaklumkan lebih 10 orang sudah dihubungi pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan modus operandi yang sama.

Kami ingin tegaskan tiada kakitangan PUZ yang melakukan kerja kotor seperti itu dan kami sudah merujuk kes berkenaan kepada polis untuk tindakan lanjut, katanya

No comments:

Post a Comment