Friday, July 9, 2010

Polis Selangor lumpuh sindiket kad kredit palsu

2010/07/09
SHAH ALAM: Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan kad kredit yang beroperasi sehingga luar negara dengan tertangkapnya 11 individu termasuk dalang sindiket dalam operasi berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Shah Alam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Chong Mun Phing, berkata kesemua mereka berusia 26 hingga 48 tahun itu ditahan secara berasingan sejak 19 Jun lepas hingga semalam. "Polis juga merampas 84 kad kredit palsu daripada sindiket itu yang dipercayai telah bergerak aktif sejak Mac lepas," katanya pada sidang media di sini, hari ini. Katanya, seramai enam ahli sindiket terbabit termasuk dalangnya yang ditahan di sebuah apartmen di Seksyen 31 di sini 23 Jun lepas sudah pun dituduh di mahkamah kerana memiliki kad kredit palsu.

Chong berkata, kes terbaru membabitkan sindiket itu terbongkar berikutan tertangkapnya lima warga tempatan termasuk sepasang suami isteri yang berusia dalam lingkungan 20-an sebaik tiba di KLIA pada pukul 5.50 awal pagi semalam dari Istanbul, Turki.

Dalam operasi itu, polis turut merampas 66 kad kredit palsu, beberapa utas jam tangan, pakaian, kasut dan peralatan kosmetik berjenama yang dipercayai dibeli menggunakan kad palsu.

"Kad kredit palsu yang dirampas tertera nama suspek sendiri dan kami percaya sindiket terbabit menggunakan akaun rakyat asing untuk membeli barangan berharga di Istanbul bagi tujuan dijual semula di Malaysia pada kadar harga rendah," katanya yang menambah sindiket itu terbabit dengan penipuan bernilai RM100,000.
Chong berkata, pihaknya sedang menyiasat mengapa kumpulan sindiket itu menjadikan Istanbul sebagai sasaran.

"Kelima-lima suspek terbabit ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya yang tidak menolak kemungkinan kad kredit itu dibuat di Malaysia. - Bernama

No comments:

Post a Comment