Thursday, July 29, 2010

Bekas juruwang bank didakwa atas 29 pertuduhan palsu tandatangan penyimpan

2010/07/29
BUTTERWORTH: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 29 pertuduhan memalsukan tandatangan pemegang akaun untuk mengeluarkan wang milik pelanggan daripada akaun mereka.

Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan serentak oleh jurubahasa, tertuduh, Sharon Suganthi Thabaraj, 34, didakwa melakukan kesalahan itu di antara 16 Mei 2007 hingga 19 Oktober 2008 di bank tempatnya bertugas, iaitu Maybank Cawangan Bukit Mertajam di Jalan Danby. Tertuduh yang bekerja sebagai juruwang ketika melakukan kesalahan itu didakwa meniru tandatangan dua pemegang akaun Maybank iaitu R Karmegam dan Savariammal A Nayagam dengan menggunakan slip pengeluaran bagi tujuan mengeluarkan wang mereka. Jumlah keseluruhan wang dikeluarkan tertuduh dalam 29 transaksi dilakukannya sepanjang tempoh itu adalah berjumlah RM148,500.

Sharon yang berpakaian serba hitam tidak mengaku bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dihadapan Hakim Mohd Zairan Aman.

Dia dituduh mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 akta sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairul Fairus Rahman, manakala tertuduh diwakili peguamnya, S P Raman.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan mencadangkan supaya ikat jamin ditetapkan sebanyak RM50,000 yang dibantah oleh peguambela yang mahu jumlahnya ditetapkan pada kadar RM15,000 kerana tertuduh memberikan kerjasama kepada pihak polis sepanjang siasatan.

Mohd Zairan kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM18,000 dengan dua orang penjamin.

Beliau juga menetapkan 30 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kes itu

No comments:

Post a Comment