KUALA LUMPUR 20 Julai 2010 - Akibat percaya dengan janji manis seorang lelaki bergelar Datuk, seorang pegawai Plus Expressways Berhad (PLUS) kerugian RM9,600 apabila menyerahkan wang tersebut untuk membeli dua lot tanah kosong yang tidak wujud di Kamunting, Perak.
Mangsa berusia 46 tahun yang berasal dari Taman Batu Permai di sini diperkenalkan kepada Datuk terbabit oleh seorang rakannya di sebuah hotel di Jalan Putra di sini pada Mac 2008.
Dalam pertemuan itu, suspek mendakwa terdapat beberapa lot tanah kosong kepunyaan UMNO Perak di daerah Kamunting untuk dibahagikan kepada orang ramai dengan harga RM4,800 bagi setiap lot.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani berkata, tertarik dengan tawaran itu, mangsa bersetuju menyerahkan wang tunai sebanyak RM9,600 kepada Datuk berusia 52 tahun itu sebagai bayaran membeli dua lot tanah di situ.
Beliau berkata, turut terpedaya dengan tawaran palsu tersebut ialah lima lagi rakan mangsa yang sama-sama menyerahkan wang untuk membuat pembayaran bagi mendapatkan tanah berkenaan.
Katanya, mangsa bagaimanapun mula curiga terhadap Datuk terbabit apabila tanah yang dijanjikan itu gagal diperoleh walaupun sudah hampir tiga tahun pembayaran dibuat.
"Salah seorang rakan mangsa kemudian mengambil tindakan membuat semakan mengenai tanah terbabit di Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang, Taiping baru-baru ini.
"Namun, alangkah terkejut rakannya itu apabila dimaklumkan petugas di pejabat terbabit bahawa lot tanah berkenaan tidak wujud seperti didakwa suspek," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, menyedari mereka sudah ditipu, pegawai PLUS terbabit membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di sini pada Jumaat lalu.
Katanya, mangsa percaya suspek masih aktif memperdayakan orang ramai menggunakan modus operandi sama ketika ini.
Tambahnya, dalam penipuan membabitkan mangsa dan lima rakannya, suspek berjaya mengaut keuntungan RM86,400.
Izany berkata, kes berkenaan masih disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Tuesday, July 20, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment