Monday, July 26, 2010

50 agensi pekerja asing beroperasi secara haram

Oleh S Anand Kumar

2010/07/27
NCCC dapati syarikat bekal tenaga kerja guna pas lawatan sosial

KUALA LUMPUR: Lebih 50 agensi pekerja asing di negara ini dikenal pasti beroperasi secara haram, berdasarkan aduan yang diterima Pusat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), sepanjang tahun lalu.

Ketua Eksekutif NCCC, Mohamed Sha'ani Abdullah, berkata berdasarkan aduan itu juga pihaknya mendapati modus operandi agensi terbabit ialah dengan membekalkan tenaga kerja asing yang memasuki ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial. NCCC mendapati kebanyakan tenaga kerja yang kerap mendapat permintaan tinggi ialah pembantu rumah asing. Mungkin majikan mahukan tenaga kerja itu dengan cepat tanpa perlu melalui proses pengambilan yang sah menyebabkan mereka menggunakan khidmat agensi haram itu. Apabila tenaga kerja asing itu bekerja di negara ini dengan hanya memiliki pas lawatan sosial, akan timbul pelbagai masalah seperti penderaan, gaji tidak dibayar serta dikurung, katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Beliau yang juga Pesuruhjaya SUHAKAM, berkata ada aduan juga mengenai pekerja asing yang memasuki ke negara ini secara sah tidak dibayar gaji, majikan menghilangkan dokumen pekerja dengan sengaja dan membuat aduan kepada pihak berkuasa kononnya tenaga buruh itu memasuki ke negara ini secara haram.

Mohamed Shaani berkata, selain kewujudan agensi pekerja asing haram, pihaknya turut tidak menolak kemungkinan ada juga individu yang menjalankan perniagaan terbabit secara haram.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Jabatan Imigresen menyelamatkan 68 wanita warga Indonesia yang dikurung oleh pengurus agensi pekerja asing di tingkat atas rumahnya di Taman Perlis, Kangar, Perlis, sejak dua tahun lalu.
Tindakan pengurus berusia 49 tahun itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen menyerbu rumah teres dua setengah tingkat terbabit ekoran laporan dua daripada tiga wanita Indonesia yang berjaya meloloskan diri dari rumah berkenaan, Sabtu lalu.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, yang ditemui selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Program Kembali Bekerja (PKB) anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di sini, semalam, berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan akan menjalankan siasatan terperinci.

Selain itu, Subramaniam berkata, seramai 1,206 pekerja yang hilang upaya akibat kemalangan di tempat kerja menyertai PKB sejak 2007 dan menjalani pelbagai latihan bagi memastikan mereka dapat kembali bekerja.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 629 pekerja atau lebih 53 peratus ditawarkan semula pekerjaan oleh kira-kira 500 syarikat manakala 208 pekerja lagi akan ditawarkan kerja tidak dalam lagi.

Subramaniam berkata, kementerian menerusi PERKESO menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus yang menyertai PKB akan mendapat pekerjaan.

Selain itu, beliau berkata, Pusat Pemulihan PERKESO di Melaka yang kini dalam pembinaan, dijangka siap sepenuhnya pada 2013.

No comments:

Post a Comment