Thursday, July 29, 2010

Pengarah JPAM Kedah dipenjara dan didenda kerana rasuah

29/07/2010 1:06pm


ALOR SETAR 29 Julai — Mahkamah Sesyen Alor Setar di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM11,200 atau enam bulan penjara terhadap Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Negeri Kedah, Mohamad Abdullah selepas didapati bersalah atas dua tuduhan rasuah memperakukan dokumen yang mengandungi butiran palsu.

Bagi tuduhan pertama, Mohamad, 49, didakwa memberi satu dokumen bertarikh 16 Feb 2005 yang mengandungi butiran palsu kepada seorang pembantu tadbir JPAM negeri.

Dalam dokumen itu, dia didakwa memperakukan bahawa pembekal makanan, Mohd Roshid Hussain, 32, telah menyediakan 70 tempahan makanan untuk peserta Latihan Pertahanan Awam Unit Giat Mara Sungai Tiang berjumlah RM2,240 pada 17 hingga 20 Mac 2005.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 atau empat bulan penjara kerana mengulangi perbuatan sama dengan memperakukan bahawa Mohd Roshid telah menyediakan 80 tempahan makanan untuk peserta Latihan Asas Intensif Unit Giat Mara Sungai Tiang berjumlah RM1,920 pada 19 hingga 21 Mei 2005.

Sebenarnya tertuduh mengetahui tiada bekalan sedemikian dibuat dan ia dilakukan hanya untuk mengelirukan. - Bernama

No comments:

Post a Comment