Monday, July 26, 2010

Penolong penerbit ditipu lelaki menyamar

KUALA LUMPUR 26 Julai 2010 - Gara-gara percayakan rakan lelaki, seorang penolong penerbit Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, 'kempunan' bercuti bersama keluarganya di Pulau Besar, Melaka, apabila wang bayaran bagi tempahan sebuah vila di pusat peranginan itu dikebas oleh pemuda berkenaan.

Mangsa berusia 32 tahun bersetuju menempah vila berharga RM600 semalam melalui seorang lelaki yang dikenalinya pada 5 Julai lalu.

Selepas empat hari, mangsa telah memasukkan wang RM200 ke dalam akaun rakannya itu sebagai bayaran pendahuluan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, dua hari kemudian, mangsa sekali lagi memasukkan wang sebanyak RM400 ke dalam akuan lelaki berkenaan untuk menyelesaikan bayaran keseluruhan bagi tempahan vila tersebut.

Beliau berkata, selesai membayar tempahan, mangsa telah menghubungi kenalannya itu dan dimaklumkan oleh lelaki terbabit bahawa resit bayaran bagi vila itu akan diserahkan kepada mangsa apabila dia tiba di Jeti Umbai, Melaka nanti.

"Tiba hari mahu bercuti, mangsa telah pergi ke Jeti Umbai untuk mengambil resit bayaran daripada seorang lelaki bernama Haikal seperti diarahkan oleh kenalannya sebelum itu.

"Namun, alangkah terkejutnya mangsa apabila dimaklumkan oleh pihak vila bahawa tiada orang bernama Haikal bekerja di tempat tersebut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Izany berkata, mangsa kemudian cuba menghubungi rakan yang berurusan dengannya sebelum ini namun gagal kerana lelaki berkenaan tidak menjawab panggilan telefon.

Beliau berkata, mangsa yang menyedari dia sudah ditipu lalu membuat laporan polis.

Katanya, kes terbabit masih dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan setakat ini suspek masih gagal dikesan.

Dalam kes berasingan, katanya, seorang lelaki kurang upaya (OKU) kerugian RM1,650 setelah ditipu seorang lelaki yang kononnya ingin membantunya mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Mangsa berusia 56 tahun berkenalan dengan suspek semasa mahu melintas jalan di Lebuh Ampang.

"Ketika mahu melintas, mangsa telah ditegur oleh lelaki berkenaan yang menawarkan diri untuk membantunya mendaftar dengan JKM," katanya.

Menurut Izany, suspek kemudian membawa mangsa menaiki teksi ke sebuah kafe siber untuk membuat salinan beberapa dokumen dan kad pengenalannya.

Selepas itu, katanya, dia membawa mangsa ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Pasar Seni dan memujuk lelaki OKU itu mengeluarkan wang RM1,500.

Seterusnya, kata beliau, mangsa dibawa semula ke Lebuh Ampang dan diminta menandatangani beberapa dokumen yang didakwanya diperlukan untuk proses pendaftaran dengan JKM.

"Setelah menandatangani dokumen terbabit, suspek meminta mangsa menyerahkan wang RM1,500 yang dikeluarkan daripada mesin ATM sebelum itu dan RM150 yang ada dalam dompet kepadanya.

"Mangsa tanpa syak wasangka telah menyerahkan wang tersebut namun akhirnya menyedari dia ditipu setelah suspek meninggalkannya," kata Izany sambil memberitahu mangsa kemudian melaporkan kejadian itu di Balai Polis Dang Wangi di sini baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment