Thursday, June 23, 2011

SPRM tahan 5 penjawat awam

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my
PULAU PINANG 21 Jun _ Lima penjawat awam daripada beberapa agensi kerajaan termasuk seorang pegawai kanan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah daripada sindiket penyelewengan gas memasak bersubsidi di negeri ini.
Pengarah SPRM negeri, Datuk Latifah Md. Yatim berkata, turut ditahan tiga orang awam termasuk seorang wanita yang disyaki mendalangi kegiatan menyeleweng barangan bersubsidi itu.
Jelasnya, kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 50-an ditahan secara berasingan di pelbagai lokasi sejak 14 Jun lalu sehingga hari ini.
''Pegawai kanan sebuah agensi kerajaan berusia dalam lingkungan 50-an itu kita tahan hari ini di pejabatnya. Kita mengesyaki dia dan empat lagi penjawat awam terlibat telah menerima rasuah daripada sindiket tersebut untuk melindungi aktiviti salah yang mereka lakukan.
''Sementara orang awam tersebut dipercayai telah menawarkan rasuah kepada mereka. Kita jangkakan lebih ramai lagi suspek akan ditahan bagi membantu siasatan kes ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menjadi panel Bengkel Sistem dan Prosedur Penguatkuasaan Pemerdangan Manusia anjuran SPRM Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Menurut Latifah, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah dan Sekyen 18 akta yang sama kerana memalsukan dokumen serta bersubahat.
''Hasil siasatan kita juga mendapati sindiket berkenaan telah lama beroperasi dan memperoleh keuntungan lumayan hasil jualan gas asli cecair (LPG) subsidi untuk kegunaan domestik kepada industri," ujarnya.
Pada 14 Jun lalu, SPRM Pulau Pinang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berjaya menumpaskan satu sindiket memindahkan secara haram gas asli cecair (LPG) subsidi untuk kegunaan domestik kepada industri dalam dua serbuan di sekitar Sungai Bakap di sini.
Dalam operasi pertama di Kampung Lima Kongsi, mereka merampas sebanyak 573 tong gas memasak bersubisidi bernilai RM36,699 dan dua buah lori bernilai RM100,000.
Dalam operasi kedua di Taman Petitir, sebanyak 10 tong gas dianggarkan bernilai RM760 dirampas.

No comments:

Post a Comment