Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my
SEBAHAGIAN tong gas yang dirampas dalam operasi bersama KPDNKK dan SPRM di Nibong Tebal, kelmarin.
________________________________________
NIBONG TEBAL 15 Jun - Satu sindiket memindahkan secara haram gas asli cecair (LPG) subsidi untuk kegunaan domestik kepada industri berjaya ditumpaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri dalam dua serbuan di sekitar Sungai Bakap di sini semalam.
Dalam serbuan itu, 583 tong gas LPG bernilai hampir RM40,000 bersama sebuah lori bernilai RM100,000 dirampas yang dipercayai digunakan untuk diedarkan kepada para pengusaha di utara Semenanjung.
Pengarah SPRM Negeri, Datuk Latifah Md. Yatim berkata, dalam serbuan pertama pukul 12 tengah hari di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Lima Kongsi dekat sini, sebanyak 573 tong LPG dirampas.
Katanya, seorang lelaki berusia 30-an yang disyaki terbabit secara langsung dalam aktiviti itu ditahan bagi membantu siasatan.
"Siasatan mendapati tong gas industri bersaiz 50 kilogram itu boleh memuatkan empat tong gas LPG bersubsidi bersaiz 14 kilogram. Setiap tong gas industri itu akan dijual pada harga RM135 setiap satu," katanya ketika ditemui selepas operasi itu semalam.
Operasi itu membabitkan 36 pegawai dan anggota penguat kuasa SPRM Negeri dan Unit Kawalan Bahan Petroleum, Pejabat Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya yang diketuai Mohd. Hashim Mat Daud.
Dalam serbuan kira-kira dua jam kemudian di Taman Ketitir di sini Latifah memberitahu, seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an ditahan kerana dikesan melakukan aktiviti sama.
"Sebanyak 10 tong gas LPG lagi yang dianggarkan bernilai RM760 dirampas dalam serbuan tersebut," katanya.
Menurut beliau, pihaknya percaya kegiatan itu sudah dijalankan sejak lebih enam bulan lalu dan tidak menolak kemungkinan kedua-dua premis berkenaan mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi individu manakala denda maksimum RM250,000 bagi syarikat.
Wednesday, June 15, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment