Thursday, June 23, 2011

11 individu didakwa niaga 'Gores dan Menang'

KUALA LUMPUR 21 Jun - Sebanyak 11 individu berusia antara 18 dan 28 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menjalankan perniagaan 'Gores dan Menang' tanpa lesen yang sah daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur, dua minggu lalu.
Mereka yang didakwa iaitu Wong Pei Yiew, Wong Sin Hui, Tan Hui Hoon, Goh Glun Ping, Khow Guey Yee, Ting Pang Yiew, Chew Rueen Liu, Low Kian Shen, Leow Willon dan Chew Chun How dihadapkan di hadapan Majistret Zaki Asyraf Zubir.
Mereka yang terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita mengaku tidak bersalah menjalankan jualan langsung tersebut di bawah jejantas Monorail Imbi, Jalan Imbi di sini pada pukul 3.30 petang, 3 Jun lalu.
Kesemua 10 jurujual tersebut didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100 atau penjara minimum sebulan atau kedua-duanya.
Zaki Asyraf membenarkan tertuduh-tertuduh terbabit yang diwakili peguam Wan Azmir Wan Majid, masing-masing diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Di mahkamah berasingan, seorang tukang masak, Tee Siong Kuat mengaku bersalah atas kesalahan sama yang dilakukan di sebelah stesen transit aliran ringan (LRT) Pasar Seni, Jalan Kasturi, Dang Wangi di sini pada pukul 3 petang, 8 Jun lalu.
Majistret Aizatul Akmal Maharani bagaimanapun tidak menetapkan sebarang hukuman terhadap Siong Kuat memandangkan tertuduh masih berusia 18 tahun.
Beliau membenarkan lelaki terbabit yang diwakili peguam Nur Ain Jaafar diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan sosial tertuduh dikemukakan kepada mahkamah pada 28 Julai ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias dan Siti Hajar Ahmad.

No comments:

Post a Comment