Thursday, June 23, 2011

Polis buru suami isteri tipu mangsa babitkan RM7 juta

2011/06/22
IPOH: Polis membongkar kegiatan penipuan oleh sepasang suami isteri membabitkan kerugian kira-kira RM7 juta.

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan, berkata pasangan itu dipercayai menawarkan tanah kerajaan, tender dan kontrak kepada mangsa.
"Polis menjalankan siasatan selepas menerima aduan daripada tujuh mangsa bulan lalu," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Ketua Polis Perak di sini hari ini.
Shukri berkata, hasil siasatan, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di Kuala Muda, Kedah pada 14 Jun lalu dan menahan seorang lelaki berusia 21 yang juga anak kepada pasangan berkenaan.

"Pasukan berkenaan menemui sebuah beg mengandungi wang tunai lebih RM1 juta yang ditanam di belakang rumah lelaki itu," katanya.

Shukri berkata, pasangan berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan penipuan di Teluk Intan dengan menawarkan pelbagai kontrak kerajaan kononnya untuk membekal buah-buahan dan barangan runcit untuk Tentera Laut Diraja Malaysia, kontrak Jabatan Pengairan dan Saliran serta tanah rizab kerajaan.

"Mereka memperdayakan mangsa dengan berlagak mewah dan menjamu mangsa dengan makanan mahal selain menunjukkan kemewahan dengan menderma ribuan ringgit kepada tokong atau sekolah," katanya.
Shukri meminta orang ramai yang mengenali Song Siew Weng, 49, dan seorang wanita, Chong Heoy Choo, 40, supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan kes itu.

Alamat terakhir Song ialah di 58, Persiaran Pengkalan Timur 11, Taman Desa Pakatan, Ipoh, manakala alamat terakhir Chong ialah No 39, Lorong Tupai Mas, Taiping.

Orang ramai yang mengenali atau mengetahui mereka diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak melalui talian 05-2451222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di talian 05-6299222. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment