Thursday, July 29, 2010

Skim cepat kaya tumpas

Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my




--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 28 Julai - Hanya berbekalkan risalah-risalah dan memandu kenderaan mewah, satu skim cepat kaya di Lembah Klang, bergerak aktif menipu orang ramai sejak lebih setahun lalu.

Sepanjang tempoh itu, mereka licik mencari mangsa supaya melabur dalam skim terbabit dengan jumlah minimum RM10,000 sehingga RM41,000.

Malah bantuan mendapatkan pinjaman daripada bank dan koperasi turut diatur oleh skim terbabit bagi bakal-bakal pelabur yang berminat.

Namun skim pelaburan haram itu akhirnya tumpas diserbu penguat kuasa semasa beroperasi di beberapa restoran di Mentari Court, Bandar Sunway, Petaling Jaya dekat sini malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam itu, 59 ejen skim terbabit ditahan ketika cuba menyakinkan kira-kira 80 bakal pelabur baru.

Serbuan dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, polis Selangor dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ekoran laporan-laporan polis yang dibuat mangsa.

Kesemua ejen ditahan berusia 20-an hingga 30-an dengan kebanyakan mereka terdiri daripada golongan muda yang baru tamat pengajian di peringkat universiti.

Ketua Penolong Pengarah Operasi JSJK Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa berkata, polis turut memburu dalang skim terbabit yang dipercayai masih berada di dalam negara.

Menurut beliau, setiap ejen akan menyakinkan bakal-bakal pelabur baru dengan memandu kereta mewah seperti BMW, Nissan Fairlady, Toyota Alphard dan Mercedes-Benz.

"Syarikat skim cepat kaya itu turut dikesan memaparkan logo-logo media rasmi termasuk Utusan Malaysia pada risalah sebagai penaja bersama.

"Penggunaan logo media itu dilihat sebagai bukti skim itu diiktiraf dan boleh dipercayai," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Tambah Rohaimi, siasatan mendapati skim itu menjanjikan pulangan di peringkat awal sebanyak RM2,500 kepada pelabur dalam masa tiga hari.

"Semua pelabur di peringkat awal benar-benar memperoleh pulangan dijanjikan tetapi mereka yang lambat akan menghadapi masalah.

"Selain itu, semua ejen menggunakan nombor pendaftaran kenderaan mewah 8282 dan 925 sebagai tanda ahli skim terbabit yang telah berjaya," katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka terbabit kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Bekas juruwang bank didakwa atas 29 pertuduhan palsu tandatangan penyimpan

2010/07/29
BUTTERWORTH: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 29 pertuduhan memalsukan tandatangan pemegang akaun untuk mengeluarkan wang milik pelanggan daripada akaun mereka.

Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan serentak oleh jurubahasa, tertuduh, Sharon Suganthi Thabaraj, 34, didakwa melakukan kesalahan itu di antara 16 Mei 2007 hingga 19 Oktober 2008 di bank tempatnya bertugas, iaitu Maybank Cawangan Bukit Mertajam di Jalan Danby. Tertuduh yang bekerja sebagai juruwang ketika melakukan kesalahan itu didakwa meniru tandatangan dua pemegang akaun Maybank iaitu R Karmegam dan Savariammal A Nayagam dengan menggunakan slip pengeluaran bagi tujuan mengeluarkan wang mereka. Jumlah keseluruhan wang dikeluarkan tertuduh dalam 29 transaksi dilakukannya sepanjang tempoh itu adalah berjumlah RM148,500.

Sharon yang berpakaian serba hitam tidak mengaku bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dihadapan Hakim Mohd Zairan Aman.

Dia dituduh mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 akta sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairul Fairus Rahman, manakala tertuduh diwakili peguamnya, S P Raman.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan mencadangkan supaya ikat jamin ditetapkan sebanyak RM50,000 yang dibantah oleh peguambela yang mahu jumlahnya ditetapkan pada kadar RM15,000 kerana tertuduh memberikan kerjasama kepada pihak polis sepanjang siasatan.

Mohd Zairan kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM18,000 dengan dua orang penjamin.

Beliau juga menetapkan 30 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kes itu

Pengarah JPAM Kedah dipenjara dan didenda kerana rasuah

29/07/2010 1:06pm


ALOR SETAR 29 Julai — Mahkamah Sesyen Alor Setar di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM11,200 atau enam bulan penjara terhadap Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Negeri Kedah, Mohamad Abdullah selepas didapati bersalah atas dua tuduhan rasuah memperakukan dokumen yang mengandungi butiran palsu.

Bagi tuduhan pertama, Mohamad, 49, didakwa memberi satu dokumen bertarikh 16 Feb 2005 yang mengandungi butiran palsu kepada seorang pembantu tadbir JPAM negeri.

Dalam dokumen itu, dia didakwa memperakukan bahawa pembekal makanan, Mohd Roshid Hussain, 32, telah menyediakan 70 tempahan makanan untuk peserta Latihan Pertahanan Awam Unit Giat Mara Sungai Tiang berjumlah RM2,240 pada 17 hingga 20 Mac 2005.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 atau empat bulan penjara kerana mengulangi perbuatan sama dengan memperakukan bahawa Mohd Roshid telah menyediakan 80 tempahan makanan untuk peserta Latihan Asas Intensif Unit Giat Mara Sungai Tiang berjumlah RM1,920 pada 19 hingga 21 Mei 2005.

Sebenarnya tertuduh mengetahui tiada bekalan sedemikian dibuat dan ia dilakukan hanya untuk mengelirukan. - Bernama

Monday, July 26, 2010

Penolong penerbit ditipu lelaki menyamar

KUALA LUMPUR 26 Julai 2010 - Gara-gara percayakan rakan lelaki, seorang penolong penerbit Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, 'kempunan' bercuti bersama keluarganya di Pulau Besar, Melaka, apabila wang bayaran bagi tempahan sebuah vila di pusat peranginan itu dikebas oleh pemuda berkenaan.

Mangsa berusia 32 tahun bersetuju menempah vila berharga RM600 semalam melalui seorang lelaki yang dikenalinya pada 5 Julai lalu.

Selepas empat hari, mangsa telah memasukkan wang RM200 ke dalam akaun rakannya itu sebagai bayaran pendahuluan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, dua hari kemudian, mangsa sekali lagi memasukkan wang sebanyak RM400 ke dalam akuan lelaki berkenaan untuk menyelesaikan bayaran keseluruhan bagi tempahan vila tersebut.

Beliau berkata, selesai membayar tempahan, mangsa telah menghubungi kenalannya itu dan dimaklumkan oleh lelaki terbabit bahawa resit bayaran bagi vila itu akan diserahkan kepada mangsa apabila dia tiba di Jeti Umbai, Melaka nanti.

"Tiba hari mahu bercuti, mangsa telah pergi ke Jeti Umbai untuk mengambil resit bayaran daripada seorang lelaki bernama Haikal seperti diarahkan oleh kenalannya sebelum itu.

"Namun, alangkah terkejutnya mangsa apabila dimaklumkan oleh pihak vila bahawa tiada orang bernama Haikal bekerja di tempat tersebut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Izany berkata, mangsa kemudian cuba menghubungi rakan yang berurusan dengannya sebelum ini namun gagal kerana lelaki berkenaan tidak menjawab panggilan telefon.

Beliau berkata, mangsa yang menyedari dia sudah ditipu lalu membuat laporan polis.

Katanya, kes terbabit masih dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan setakat ini suspek masih gagal dikesan.

Dalam kes berasingan, katanya, seorang lelaki kurang upaya (OKU) kerugian RM1,650 setelah ditipu seorang lelaki yang kononnya ingin membantunya mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Mangsa berusia 56 tahun berkenalan dengan suspek semasa mahu melintas jalan di Lebuh Ampang.

"Ketika mahu melintas, mangsa telah ditegur oleh lelaki berkenaan yang menawarkan diri untuk membantunya mendaftar dengan JKM," katanya.

Menurut Izany, suspek kemudian membawa mangsa menaiki teksi ke sebuah kafe siber untuk membuat salinan beberapa dokumen dan kad pengenalannya.

Selepas itu, katanya, dia membawa mangsa ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Pasar Seni dan memujuk lelaki OKU itu mengeluarkan wang RM1,500.

Seterusnya, kata beliau, mangsa dibawa semula ke Lebuh Ampang dan diminta menandatangani beberapa dokumen yang didakwanya diperlukan untuk proses pendaftaran dengan JKM.

"Setelah menandatangani dokumen terbabit, suspek meminta mangsa menyerahkan wang RM1,500 yang dikeluarkan daripada mesin ATM sebelum itu dan RM150 yang ada dalam dompet kepadanya.

"Mangsa tanpa syak wasangka telah menyerahkan wang tersebut namun akhirnya menyedari dia ditipu setelah suspek meninggalkannya," kata Izany sambil memberitahu mangsa kemudian melaporkan kejadian itu di Balai Polis Dang Wangi di sini baru-baru ini.

Penolong penerbit ditipu lelaki menyamar

KUALA LUMPUR 26 Julai 2010 - Gara-gara percayakan rakan lelaki, seorang penolong penerbit Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, 'kempunan' bercuti bersama keluarganya di Pulau Besar, Melaka, apabila wang bayaran bagi tempahan sebuah vila di pusat peranginan itu dikebas oleh pemuda berkenaan.

Mangsa berusia 32 tahun bersetuju menempah vila berharga RM600 semalam melalui seorang lelaki yang dikenalinya pada 5 Julai lalu.

Selepas empat hari, mangsa telah memasukkan wang RM200 ke dalam akaun rakannya itu sebagai bayaran pendahuluan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, dua hari kemudian, mangsa sekali lagi memasukkan wang sebanyak RM400 ke dalam akuan lelaki berkenaan untuk menyelesaikan bayaran keseluruhan bagi tempahan vila tersebut.

Beliau berkata, selesai membayar tempahan, mangsa telah menghubungi kenalannya itu dan dimaklumkan oleh lelaki terbabit bahawa resit bayaran bagi vila itu akan diserahkan kepada mangsa apabila dia tiba di Jeti Umbai, Melaka nanti.

"Tiba hari mahu bercuti, mangsa telah pergi ke Jeti Umbai untuk mengambil resit bayaran daripada seorang lelaki bernama Haikal seperti diarahkan oleh kenalannya sebelum itu.

"Namun, alangkah terkejutnya mangsa apabila dimaklumkan oleh pihak vila bahawa tiada orang bernama Haikal bekerja di tempat tersebut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Izany berkata, mangsa kemudian cuba menghubungi rakan yang berurusan dengannya sebelum ini namun gagal kerana lelaki berkenaan tidak menjawab panggilan telefon.

Beliau berkata, mangsa yang menyedari dia sudah ditipu lalu membuat laporan polis.

Katanya, kes terbabit masih dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan setakat ini suspek masih gagal dikesan.

Dalam kes berasingan, katanya, seorang lelaki kurang upaya (OKU) kerugian RM1,650 setelah ditipu seorang lelaki yang kononnya ingin membantunya mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Mangsa berusia 56 tahun berkenalan dengan suspek semasa mahu melintas jalan di Lebuh Ampang.

"Ketika mahu melintas, mangsa telah ditegur oleh lelaki berkenaan yang menawarkan diri untuk membantunya mendaftar dengan JKM," katanya.

Menurut Izany, suspek kemudian membawa mangsa menaiki teksi ke sebuah kafe siber untuk membuat salinan beberapa dokumen dan kad pengenalannya.

Selepas itu, katanya, dia membawa mangsa ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Pasar Seni dan memujuk lelaki OKU itu mengeluarkan wang RM1,500.

Seterusnya, kata beliau, mangsa dibawa semula ke Lebuh Ampang dan diminta menandatangani beberapa dokumen yang didakwanya diperlukan untuk proses pendaftaran dengan JKM.

"Setelah menandatangani dokumen terbabit, suspek meminta mangsa menyerahkan wang RM1,500 yang dikeluarkan daripada mesin ATM sebelum itu dan RM150 yang ada dalam dompet kepadanya.

"Mangsa tanpa syak wasangka telah menyerahkan wang tersebut namun akhirnya menyedari dia ditipu setelah suspek meninggalkannya," kata Izany sambil memberitahu mangsa kemudian melaporkan kejadian itu di Balai Polis Dang Wangi di sini baru-baru ini.

50 agensi pekerja asing beroperasi secara haram

Oleh S Anand Kumar

2010/07/27
NCCC dapati syarikat bekal tenaga kerja guna pas lawatan sosial

KUALA LUMPUR: Lebih 50 agensi pekerja asing di negara ini dikenal pasti beroperasi secara haram, berdasarkan aduan yang diterima Pusat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), sepanjang tahun lalu.

Ketua Eksekutif NCCC, Mohamed Sha'ani Abdullah, berkata berdasarkan aduan itu juga pihaknya mendapati modus operandi agensi terbabit ialah dengan membekalkan tenaga kerja asing yang memasuki ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial. NCCC mendapati kebanyakan tenaga kerja yang kerap mendapat permintaan tinggi ialah pembantu rumah asing. Mungkin majikan mahukan tenaga kerja itu dengan cepat tanpa perlu melalui proses pengambilan yang sah menyebabkan mereka menggunakan khidmat agensi haram itu. Apabila tenaga kerja asing itu bekerja di negara ini dengan hanya memiliki pas lawatan sosial, akan timbul pelbagai masalah seperti penderaan, gaji tidak dibayar serta dikurung, katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Beliau yang juga Pesuruhjaya SUHAKAM, berkata ada aduan juga mengenai pekerja asing yang memasuki ke negara ini secara sah tidak dibayar gaji, majikan menghilangkan dokumen pekerja dengan sengaja dan membuat aduan kepada pihak berkuasa kononnya tenaga buruh itu memasuki ke negara ini secara haram.

Mohamed Shaani berkata, selain kewujudan agensi pekerja asing haram, pihaknya turut tidak menolak kemungkinan ada juga individu yang menjalankan perniagaan terbabit secara haram.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Jabatan Imigresen menyelamatkan 68 wanita warga Indonesia yang dikurung oleh pengurus agensi pekerja asing di tingkat atas rumahnya di Taman Perlis, Kangar, Perlis, sejak dua tahun lalu.
Tindakan pengurus berusia 49 tahun itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen menyerbu rumah teres dua setengah tingkat terbabit ekoran laporan dua daripada tiga wanita Indonesia yang berjaya meloloskan diri dari rumah berkenaan, Sabtu lalu.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, yang ditemui selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Program Kembali Bekerja (PKB) anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di sini, semalam, berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan akan menjalankan siasatan terperinci.

Selain itu, Subramaniam berkata, seramai 1,206 pekerja yang hilang upaya akibat kemalangan di tempat kerja menyertai PKB sejak 2007 dan menjalani pelbagai latihan bagi memastikan mereka dapat kembali bekerja.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 629 pekerja atau lebih 53 peratus ditawarkan semula pekerjaan oleh kira-kira 500 syarikat manakala 208 pekerja lagi akan ditawarkan kerja tidak dalam lagi.

Subramaniam berkata, kementerian menerusi PERKESO menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus yang menyertai PKB akan mendapat pekerjaan.

Selain itu, beliau berkata, Pusat Pemulihan PERKESO di Melaka yang kini dalam pembinaan, dijangka siap sepenuhnya pada 2013.

Wednesday, July 21, 2010

Sindiket curi pasir tumpas

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my



Zainal Abidin Aala mengulas operasi menangkap kegiatan yang dipercayai mencuri pasir dan kesemua pemandu dan lori yang ditahan telah dibawa untuk disoal siasat di Pejabat Daerah Hulu Langat, Selangor, semalam. - utusan/Amin Farij Hasan

--------------------------------------------------------------------------------



BANGI 21 Julai - Satu lagi sindiket curi pasir ditumpaskan di negeri ini dengan penangkapan lapan lelaki bersama lapan buah lori dan 160 tan pasir bernilai hampir RM1 juta dalam satu serbuan di Batu 24, Jalan Sungai Lalang di sini, awal pagi ini.

Suspek berusia antara 29 hingga 50 tahun dicekup oleh pegawai penguatkuasa Daerah Hulu Langat pada pukul 5 pagi semasa dalam perjalanan menghantar pasir terbabit ke beberapa tapak binaan di sekitar Selangor.

Sindiket memilih mengangkut pasir terbabit pada awal pagi iaitu sekitar pukul 3 hingga 5 pagi bagi mengelak kegiatan haram mereka dikesan pihak berkuasa.

Pegawai Daerah Hulu Langat, Zainal Abidin Aala berkata, kesemua suspek ditahan merupakan pemandu lori.

Mereka membawa pasir curi terbabit untuk dijual kepada syarikat pembinaan dan orang persendirian di sekitar Selangor termasuk Kajang, USJ Subang Jaya dan kontraktor terlibat dalam projek Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

"Penolong Pegawai Daerah (Penguatkuasa) Hulu Langat, Khairul Fahmi Mahmud dan Setiausaha Keselamatan Daerah, Dasrafeesal Abdul Shukur bersama seorang pegawai dan tujuh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang berjaya mengesan lori terbabit semasa membuat operasi mengesan pencuri pasir di Jalan Sungai Lalang menghala ke Semenyih pada pukul 3 pagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat Daerah Hulu Langat di sini.

Menurut Zainal Abidin, lokasi melombong pasir terbabit merupakan tanah lapang dipercayai milik persendirian yang dikelilingi hutan dan boleh dimasuki melalui jalan berpasir kira-kira dua kilometer dari jalan besar.

"Siasatan mendapati kegiatan mengambil pasir di tanah terbabit memang dijalankan tanpa permit.

"Sindiket sengaja menjalankan kegiatan mengorek dan memunggah pasir pada sekitar pukul 3 hingga 5 pagi kerana waktu itu tiada orang melihat kegiatan mereka," katanya.

Jelas beliau, Pejabat Daerah Hulu Langat setakat ini hanya mengeluarkan permit mengambil pasir di enam lokasi di daerah berkenaan iaitu Sungai Langat, Batu 10 Cheras hingga Batu 12, Kampung Sungai Serai.

Kawasan lain ialah Sungai Langat di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi hingga ke Kampung Teras Jernang; Sungai Semenyih dari Kampung Bangi hingga Sungai Bangi Lama; Sungai Sekamat, Batu 10 hingga Batu 14, Mukim Cheras; Sungai Langat, Batu 15 hingga Batu 20, Jalan Cheras dan Lot 2256, Sungai Kembung, Mukim Beranang.

Beliau berkata, hanya enam kawasan terbabit dibenar menjalankan kegiatan mengambil pasir namun kerja-kerja mengorek dan memunggah hanya boleh dilakukan mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja.

"Selain lapan lori yang dirampas hari ini, pada minggu lalu, kita juga berjaya merampas lima lori membawa muatan pasir curi dalam dua serbuan berasingan," katanya sambil memberitahu rampasan hari ini adalah terbesar dicatatkan di daerah Hulu Langat.

Menurutnya, nilai keseluruhan pasir yang dirampas ialah RM2,880 manakala lapan lori pula dianggarkan bernilai RM800,000.

Katanya, semua suspek yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Acara Jenayah yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tuesday, July 20, 2010

'Datuk' diburu jual lot tanah palsu

KUALA LUMPUR 20 Julai 2010 - Akibat percaya dengan janji manis seorang lelaki bergelar Datuk, seorang pegawai Plus Expressways Berhad (PLUS) kerugian RM9,600 apabila menyerahkan wang tersebut untuk membeli dua lot tanah kosong yang tidak wujud di Kamunting, Perak.

Mangsa berusia 46 tahun yang berasal dari Taman Batu Permai di sini diperkenalkan kepada Datuk terbabit oleh seorang rakannya di sebuah hotel di Jalan Putra di sini pada Mac 2008.

Dalam pertemuan itu, suspek mendakwa terdapat beberapa lot tanah kosong kepunyaan UMNO Perak di daerah Kamunting untuk dibahagikan kepada orang ramai dengan harga RM4,800 bagi setiap lot.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani berkata, tertarik dengan tawaran itu, mangsa bersetuju menyerahkan wang tunai sebanyak RM9,600 kepada Datuk berusia 52 tahun itu sebagai bayaran membeli dua lot tanah di situ.

Beliau berkata, turut terpedaya dengan tawaran palsu tersebut ialah lima lagi rakan mangsa yang sama-sama menyerahkan wang untuk membuat pembayaran bagi mendapatkan tanah berkenaan.

Katanya, mangsa bagaimanapun mula curiga terhadap Datuk terbabit apabila tanah yang dijanjikan itu gagal diperoleh walaupun sudah hampir tiga tahun pembayaran dibuat.

"Salah seorang rakan mangsa kemudian mengambil tindakan membuat semakan mengenai tanah terbabit di Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang, Taiping baru-baru ini.

"Namun, alangkah terkejut rakannya itu apabila dimaklumkan petugas di pejabat terbabit bahawa lot tanah berkenaan tidak wujud seperti didakwa suspek," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, menyedari mereka sudah ditipu, pegawai PLUS terbabit membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di sini pada Jumaat lalu.

Katanya, mangsa percaya suspek masih aktif memperdayakan orang ramai menggunakan modus operandi sama ketika ini.

Tambahnya, dalam penipuan membabitkan mangsa dan lima rakannya, suspek berjaya mengaut keuntungan RM86,400.

Izany berkata, kes berkenaan masih disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Monday, July 19, 2010

Usahakan ladang kontrak elak ditipu pembekal benih

20/07/2010 11:02am


SIK 20 Julai - Petani di negara ini digalak mengusahakan projek pertanian mereka melalui ladang kontrak dengan ladang-ladang yang berjaya dan mempunyai pasaran tetap bagi mengelak ditipu syarikat pembekal benih yang berjanji mahu memasarkan produk pertanian mereka.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, ramai petani yang dipedayakan syarikat tertentu yang menjual benih tanaman dan berjanji untuk membeli hasil tananam mereka tetapi menghilangkan diri setelah hasil pertanian boleh dituai.


Beliau berkata, ramai petani yang terlibat dalam projek tananam serai dan ubi kayu bagi membuat minyak hitam menanggung kerugian besar setelah syarikat yang membekalkan benih dan berjanji untuk membeli hasil pertanian menghilangkan diri.


"Saya galakkan petani menerima konsep ladang kontrak daripada menjadi mangsa syarikat yang hanya mahu mencari keuntungan segera seperti menjual benih kepada petani dengan membuat janji akan membeli balik hasil pertanian apabila sudah matang tetapi menghilangkan diri apabila hasil pertanian sudah boleh dijual," katanya selepas melawat ladang anggur syarikat Excel Agrotech Sdn Bhd fasa pertama seluas 1.6 hektar di Tasik Beris di sini.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa mencari jalan memastikan golongan petani tidak menjadi mangsa syarikat yang mencari keuntungan segera dengan membuat janji palsu untuk membantu golongan itu.

Noh turut mencadangkan petani di kawasan Sik menjadi rakan ladang kontrak kepada Excel Agrotech jika mereka mempunyai kawasan tanah yang sesuai ditanam dengan anggur.


Beliau turut memberi jaminan pihak Tekun dan Agrobank akan memberi bantuan dan projek yang dijalankan akan dipantau Jabatan Pertanian. - Bernama

Nurul Gersang pasang jerat di Facebook

Oleh Zulfa Mohamad
bhnews@bharian.com.my
2010/07/20
KEPALA BATAS: Seorang gadis yang menamakan dirinya ‘Nurul Gersang’, dikesan menggunakan Facebook bagi menawarkan diri untuk menjadi teman tidur sebagai helah untuk menjerat mangsa.

Gadis berusia 20-an itu memuatkan nombor telefon dalam laman sosial terbabit serta mempamerkan gambar seksi bagi menawan mangsa. Apabila ada individu menghubunginya, dia akan bertanya ‘nak booking ke’ sebelum meminta ‘bakal’ pelanggan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun miliknya sebagai syarat bertemu.
Bagaimanapun, gadis berkenaan memberi pelbagai helah apabila tempoh temu janji ditetapkan tiba, walaupun wang sudah dimasukkan ke dalam akaunnya.

Seorang peniaga yang cuba ‘menjerat’ gadis itu, Azahar Omar, 32, mendakwa dia melihat maklumat peribadi gadis itu dalam Facebook pada 10 Julai lalu yang menggunakan nama ‘Nurul Gersang’.

“Saya menghubungi gadis berkenaan pada 16 Julai lalu dan dia menawarkan diri menjadi teman tidur sebelum kami berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Dia mendakwa berada di Alor Setar, Kedah dan sedia berjumpa saya dengan syarat memasukkan RM150 ke dalam akaun bank ,” katanya di sini, semalam.
Azhar berkata, keesokannya, gadis berkenaan menghubunginya tetapi meminta dimasukkan RM100 ke akaun bank sebagai syarat untuk bertemunya di Bandar Perda, Bukit Mertajam.

Berikutan itu, lelaki terbabit pergi ke Bandar Perda tetapi gadis berkenaan memaklumkan perlu memasukkan RM100 lagi ke akaunnya.

Bagaimanapun, gadis terbabit tetap tidak muncul selepas dia memasukkan lagi wang.

“Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Teluk Air Tawar,” katanya.
selepas kehabisan RM450 untuk memerangkapnya," katanya.

Difahamkan, beberapa lelaki yang teruja dengan tawaran gadis terbabit menjadi 'mangsa' dan kerugian beratus ringgit tetapi enggan membuat laporan polis kerana malu.

Jurucakap polis mengesahkan menerima laporan itu dan berkata taktik gadis berkenaan ialah satu bentuk penipuan bagi menjalankan kegiatan pelacuran menggunakan laman sosial.

Friday, July 16, 2010

Rolls Royce guna nama 'Sultan Melaka' dirampas

Jul 16, 10 9:41am

Kongsi 6Polis merampas sebuah kereta mewah jenis Rolls Royce (RC) bernilai RM2.85 juta yang menggunakan lambang nama "Sultan Melaka" sewaktu majlis perasmian bangunan oleh sebuah syarikat pelaburan tempatan di Bandar Puteri, Puchong, di Serdang semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abd Razak Elias berkata hasil siasatan mendapati kenderaan mewah yang tertulis "DYMM Tuanku Raja Noor Jan Shah" itu disewa daripada sebuah kedai jual kereta terpakai dengan menggunakan nama Sultan Melaka supaya mampu menarik kepercayaan pelabur asing.

"Kami juga menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 35 tahun yang mendakwa pemandu dan penganjur majlis itu untuk siasatan lanjut. Setelah diperiksa, seorang daripada mereka positif dadah jenis ketamin," katanya pada sidang media di Serdang.

Abd Razak berkata polis akan mendapatkan keterangan daripada Raja Noor Jan Shah, yang sebelum ini pernah mendakwa dirinya waris Kesultanan Melaka, sama ada beliau mengetahui namanya digunakan oleh syarikat pelaburan berkenaan.

"Kes ini juga akan dirujuk kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk siasatan lanjut dan lelaki yang ditahan itu disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya," katanya.

Majlis kira-kira pukul 1 petang itu disedari sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan di sekitar kawasan itu dan mendapati kenderaan mewah yang dipamerkan itu menjadi tumpuan ramai terutama kira-kira 150 pelabur asing dari Hong Kong, China dan Vietnam.

"Setakat ini, polis hanya menahan seorang individu atas kesalahan positif dadah dan dua lagi dibebaskan. Namun siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk mendapatkan keterangan daripada wakil syarikat pelaburan berkenaan," katanya.

- Bernama

Wednesday, July 14, 2010

Terima rasuah RM370 dipenjara setahun, denda RM20,000

KUALA LUMPUR 14 Julai 2010 - Bagaikan tidak menyangka dia akan dipenjarakan, seorang anggota trafik berpangkat konstabel hari ini hanya mampu mengalirkan air mata selepas dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM20,000 setelah disabitkan bersalah atas dua pertuduhan rasuah, dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Abu Bakar Katar memerintahkan hukuman itu ke atas Mahazan Mat Halim, 28, yang bertugas di Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Hakim tersebut bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan dengan syarat peguam bela, Mohd. Hairani Samsi yang mewakili tertuduh memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi sebelum pukul 2 petang esok.

Mahazan didakwa menerima rasuah sebuah telefon bimbit jenama Nokia 6120 dan wang tunai RM20 daripada seorang pengguna jalan raya, Zainudin Maiden pada pukul 7.30 malam di Batu 5 1/2, Jalan Cheras, Kajang berhampiran Taman Midah, Cheras di sini.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa meminta rasuah RM350 daripada Zainudin pada pukul 6.30 petang, dua hari kemudian di Stesen Minyak Shell, 111, Jalan Maharajalela di sini.

Tertuduh didakwa menerima dan meminta rasuah itu sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan saman terhadap Zainudin yang melakukan kesalahan lalu lintas seperti menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar serta cukai jalan yang telah tamat tempoh.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi setiap kesalahan tersebut, dia dikenakan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000. Jika gagal bayar denda, dia boleh dipenjara lima bulan.

Hukuman tersebut bagaimanapun diperintahkan berkuat kuasa serentak.

Terdahulu, Mohd. Hairani merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan atas alasan tertuduh perlu menjaga kebajikan kedua orang tuanya yang merupakan petani di kampung selain menyara isteri dan anaknya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azizun Mohamad

Bapa saman tiga anaknya, tuntut RM2 juta

15/07/2010 11:23am


SHAH ALAM 15 Julai - Seorang bapa berusia 85 tahun hari ini menyaman tiga anak lelakinya bagi menuntut gantirugi lebih RM2 juta kerana didakwa dikurung dan dipaksa menyerahkan dua lot tanah kepada mereka, dua tahun lalu.

Baharom Long memfailkan saman itu melalui firma guaman Azmi Taib & Associates di Kaunter Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 10.30 pagi ini. - Utusan

Friday, July 9, 2010

Bekas pengurus dana syarikat pelaburan dipenjara

09/07/2010 11:56am


KUALA LUMPUR 9 Julai - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas bekas pengurus dana syarikat pelaburan, Phazaluddin Abu, 49, selepas didapati bersalah atas empat tuduhan di bawah Akta Industri Sekuriti dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan membabitkan wang berjumlah RM65 juta. - Utusan

Polis Selangor lumpuh sindiket kad kredit palsu

2010/07/09
SHAH ALAM: Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan kad kredit yang beroperasi sehingga luar negara dengan tertangkapnya 11 individu termasuk dalang sindiket dalam operasi berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Shah Alam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Chong Mun Phing, berkata kesemua mereka berusia 26 hingga 48 tahun itu ditahan secara berasingan sejak 19 Jun lepas hingga semalam. "Polis juga merampas 84 kad kredit palsu daripada sindiket itu yang dipercayai telah bergerak aktif sejak Mac lepas," katanya pada sidang media di sini, hari ini. Katanya, seramai enam ahli sindiket terbabit termasuk dalangnya yang ditahan di sebuah apartmen di Seksyen 31 di sini 23 Jun lepas sudah pun dituduh di mahkamah kerana memiliki kad kredit palsu.

Chong berkata, kes terbaru membabitkan sindiket itu terbongkar berikutan tertangkapnya lima warga tempatan termasuk sepasang suami isteri yang berusia dalam lingkungan 20-an sebaik tiba di KLIA pada pukul 5.50 awal pagi semalam dari Istanbul, Turki.

Dalam operasi itu, polis turut merampas 66 kad kredit palsu, beberapa utas jam tangan, pakaian, kasut dan peralatan kosmetik berjenama yang dipercayai dibeli menggunakan kad palsu.

"Kad kredit palsu yang dirampas tertera nama suspek sendiri dan kami percaya sindiket terbabit menggunakan akaun rakyat asing untuk membeli barangan berharga di Istanbul bagi tujuan dijual semula di Malaysia pada kadar harga rendah," katanya yang menambah sindiket itu terbabit dengan penipuan bernilai RM100,000.
Chong berkata, pihaknya sedang menyiasat mengapa kumpulan sindiket itu menjadikan Istanbul sebagai sasaran.

"Kelima-lima suspek terbabit ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya yang tidak menolak kemungkinan kad kredit itu dibuat di Malaysia. - Bernama

Thursday, July 8, 2010

Sindiket kurier palsu tumpas

Oleh Wan Faizal Ismayatim

2010/07/09
Mangsa cinta internet kena tipu

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menumpaskan sindiket kurier palsu didalangi warga Afrika dengan tertangkapnya 21 individu termasuk tiga wanita yang mendalangi kegiatan mencecah berjuta-juta ringgit, dalam operasi sepanjang dua minggu lalu.

Berikutan penahanan 16 lelaki warga Nigeria, seorang Ghana dan Ivory Coast serta masing-masing seorang wanita rakyat tempatan, Botswana dan Filipina di Lembah Klang, polis percaya dapat menyelesaikan sebahagian dari 83 kes parcel scam dilaporkan setakat ini. Semua mereka daripada sindiket berbeza menggunakan cara sama iaitu memperdayakan wanita tempatan terutama janda dan belum berkahwin berusia 40 hingga 50-an dengan janji manis menerusi laman sosial internet. Ketua Penolong Pengarah Operasi JSJK Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa, berkata siasatan mendapati kebanyakan suspek masuk ke negara ini menggunakan visa pelajar dan berdaftar di beberapa kolej swasta di ibu negara.

Katanya, anggota sindiket berkenalan dengan mangsa menerusi laman sosial sebelum cuba menawan hati mereka dengan pelbagai janji manis.

Mangsa tidak menyedari sebenarnya sudah terjerat dengan perangkap anggota sindiket. Suspek memaklumkan akan melawat negara ini dan menjanjikan bungkusan hadiah mewah sebagai tanda persahabatan dan kasih sayang.

Hadiah yang dijanjikan biasanya adalah barang kemas, beg, jam tangan berjenama, komputer riba selain wang tunai yang kononnya akan dikirimkan menerusi syarikat penghantaran.
Mangsa kemudian diberitahu bungkusan hadiah sudah sampai ke negara ini tetapi ditahan pihak berkuasa. Selepas itu, seorang anggota sindiket yang menyamar sebagai pegawai kastam akan menghubungi mangsa meminta bayaran menuntut hadiah mereka, katanya kepada pemberita, semalam.

Wednesday, July 7, 2010

Perdaya keluarga mohon zakat

Oleh Zulfa Mohamad

2010/07/08
Mangsa diminta deposit wang ke akaun En Mat sebelum layak terima bantuan

KEPALA BATAS: Pihak tidak bertanggungjawab dikesan memperdaya keluarga Islam di negeri ini dengan meminta mangsa mendeposit sejumlah wang ke dalam akaun tertentu, selepas memaklumkan mangsa layak menerima bantuan bulanan Pusat Urus Zakat (PUZ).

Modus operandi pihak terbabit ialah mereka akan menghubungi mangsa secara rambang melalui telefon dengan berpura-pura bertanyakan sama ada keluarga terbabit memohon bantuan zakat. Pihak terbabit kemudian memaklumkan bahawa mangsa layak menerima bantuan zakat RM800 sebulan dan meminta mangsa memasukkan jumlah wang yang sama ke dalam akaun sebuah bank bagi membolehkan bantuan wang zakat diagihkan. Difahamkan, setakat ini lebih 10 orang sudah dihubungi pihak tidak bertanggungjawab itu dengan menggunakan modus operandi yang sama.

Terbaru, seorang wanita warga emas nyaris terpedaya dengan tipu helah seorang lelaki yang memintanya memasukkan wang RM800 ke dalam satu akaun bank sebagai syarat mendapat bantuan bulanan PUZ.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, Rokiah Ahmad, 70, dari Paya Keladi Tengah di sini, menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Encik Mat.

Anak Rokiah, Muhammad Nazli Aziz, 36, berkata dalam perbualan telefon itu, lelaki terbabit berpura-pura bertanyakan ibunya sama ada penghuni rumah itu memohon bantuan zakat.
Selepas itu, lelaki terbabit menyatakan Rokiah layak menerima bantuan zakat RM800 sebulan dan meminta wanita berkenaan membuka akaun bank bagi membolehkan bantuan wang zakat diagihkan.

Lelaki terbabit turut memberikan nombor akaun sebuah bank bernombor 446672**** dan meminta Rokiah memasukkan RM800 sebagai syarat mendapat bantuan bulanan PUZ.

Lelaki itu menyuruh ibu saya memasukkan wang ke dalam akaun berkenaan melalui mesin automatik sebelum jam 6.30 petang. Jika lewat, lelaki itu akan membatalkan bantuan zakat, katanya.

Muhamad Nazli berkata, pada mulanya ibunya percaya dengan helah lelaki terbabit, tetapi nasib baik kerana tidak pergi ke bank untuk memasukkan wang berkenaan.

Berikutan itu, lelaki terbabit menghubungi semula Rokiah pada jam 6.30 petang dan memaklumkan dia membatalkan bantuan zakat kerana wanita itu lewat memasukkan wang ke akaun yang diberinya.

Jurucakap PUZ negeri berkata, pihaknya dimaklumkan lebih 10 orang sudah dihubungi pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan modus operandi yang sama.

Kami ingin tegaskan tiada kakitangan PUZ yang melakukan kerja kotor seperti itu dan kami sudah merujuk kes berkenaan kepada polis untuk tindakan lanjut, katanya