Monday, April 25, 2011

Rasuah: Peniaga pasar malam dipenjara sehari, denda RM10,000

Rasuah: Peniaga pasar malam dipenjara sehari, denda RM10,000


Eleszulhelmie Ilias mengaku salah kerana cuba merasuah polis dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA BHARU 24 April - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 terhadap seorang peniaga pasar malam, Eleszulhelmie Ilias kerana cuba merasuah pegawai polis sebanyak RM2,775 tahun lalu.

Hakim Irwan Suainbon turut memerintahkan Eleszulhelmie, 23, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Balai Polis Kubang Kerian, kira-kira pukul 4.45 pagi pada 28 Ogos tahun lalu.

Eleszulhelmie didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh diwakili peguam Ahmad Nurie, manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Ahsan Abd. Latif.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebelum itu ditangkap sepasukan anggota polis di sekitar daerah ini kerana melakukan kesalahan berkaitan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketika ditangkap, polis menemui beberapa pil dipercayai dadah di dalam kereta dinaiki tertuduh termasuk wang tunai sebanyak RM2,775 dan dia dibawa ke Balai Polis Kubang Kerian untuk siasatan.

Dalam proses siasatan itu, tertuduh didakwa cuba merasuah Asisten Supritendan Basar Salam dari Bahagian Teknikal dan Siasatan, Jabatan Siasatan Jenayah negeri sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan, tetapi ditolak oleh pegawai berkenaan yang kemudiannya membuat aduan kepada SPRM.

Dalam prosiding hari ini, peguam tertuduh, Ahmad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan ia kesalahan pertama tertuduh dan anak bongsu daripada tujuh beradik itu terpaksa menanggung ibu bapanya.

"Dengan pendapatan sebanyak RM700 sebulan, tertuduh perlu menanggung kedua orang tuanya selepas kesemua kakak dan abangnya tidak berada di Kelantan kerana sudah berkahwin dan bekerja di negeri lain," katanya.

No comments:

Post a Comment