Tuesday, April 26, 2011

Gagal seludup 13 warga Afghanistan

Gagal seludup 13 warga Afghanistan


2011/04/26
MASJID TANAH: Cubaan warga Indonesia menyeludup keluar 13 warga Afghanistan ke negara jiran gagal, selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka satu batu nautika dari perairan Kuala Sungai Baru dekat sini, kelmarin.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Kuala Linggi, Kapten Ibrahim Mohamad, berkata dalam kejadian jam 11.30 malam itu, enam anggota pasukannya melakukan rondaan di situ sebelum terserempak bot tongkang dalam keadaan mencurigakan. Beliau berkata, menyedari kehadiran dua bot pasukan keselamatan berkenaan, tongkang itu cuba melarikan diri dengan berpatah balik ke arah Kuala Sungai Baru. “Bot terbabit kemudian dikesan terus memecut menuju ke arah pantai sehingga anggota kita terpaksa melepaskan beberapa tembakan amaran ke udara, tetapi tidak diendahkan.

“Sejurus tiba di tepi pantai, tekong tongkang itu melarikan diri dengan menyusup di celah semak. Pemeriksaan lanjut menjumpai 13 warga Afghanistan menyorok dalam bot terbabit,” katanya, semalam.

Ibrahim berkata, beberapa penumpang warga asing itu didapati cuba memusnahkan dokumen perjalanan mereka dengan mengoyak dan membuangnya ke laut, sebelum sembilan daripadanya ditemui semula.

Katanya, siasatan awal mendapati, 13 lelaki warga Afghanistan berusia antara 16 hingga 43 tahun itu memasuki negara ini melalui beberapa laluan seperti Rantau Panjang dan Johor Bahru, sebelum cuba diseludup keluar ke Australia melalui negara jiran.
“Mereka didapati menaiki kapal terbang melalui Lahore, Colombo, Dubai, Singapura dan Bangkok, sebelum menjadikan Malaysia transit untuk mengatur langkah seterusnya sebelum bergerak ke negara jiran,” katanya.

Ibrahim berkata, siasatan awal juga mendapati setiap seorang daripada warga asing itu dikenakan bayaran antara AS$5,000 (RM14,972) hingga AS$17,000 (RM50,906) oleh sindiket yang bertanggungjawab sebagai orang tengah menguruskan perjalanan menyeberang ke negara jiran dengan lancar.

No comments:

Post a Comment