Monday, April 25, 2011

APMM patah cubaan seludup rokok

APMM patah cubaan seludup rokok


2011/04/25


MUHAMMAD Abdul Basar (kiri) menunjukkan sebahagian 3,300 karton rokok pelbagai jenama yang dirampas dari dua bot di jeti persendirian Sungai Kedah, dekat Kuala Kedah, semalam.ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah menggagalkan cubaan empat lelaki menyalahguna bot pendaftaran nelayan menyeludup 3,300 karton rokok pelbagai jenama dan rampasan bot bernilai lebih RM412,000 berhampiran Jeti Kuala Kedah, di sini, Rabu lalu.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 6.20 petang itu, empat suspek terbabit berjaya melarikan selepas mendarat di sebuah jeti kecil berhampiran Jeti Kuala Kedah dengan menyusup ke kawasan semak berhampiran. Berikutan itu, APMM merampas 3,300 karton rokok bernilai RM42,000 dengan cukai bernilai RM329,000 serta masing-masing dua bot gentian kaca sepanjang tujuh meter dan dua enjin sangkut. Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Muhammad Abdul Basar Taji, berkata operasi berkenaan membabitkan lima anggota APMM yang mengintip pergerakan suspek dari Langkawi sebelum mengejar mereka hingga ke Jeti Kuala Kedah.

Katanya, sebaik menyedari mereka diekori, keempat-empat suspek memecut bot mereka ke arah muara sungai berhampiran jeti sebelum meninggalkan semua barang yang diseludup.

“Hasil pemeriksaan kita mendapati sebanyak 1,400 karton rokok di dalam sebuah bot menggunakan nombor pendaftaran nelayan, manakala dalam bot kedua yang tidak mempunyai nombor pendaftaran kita menemui 1,900 karton rokok tanpa duti import kastam.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana kesalahan mengangkut barang larangan yang mana boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(iii)(aa) akta sama, iaitu denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali nilai dagangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya di sini, semalam.
Muhammad Basar berkata, kes berkenaan adalah yang pertama membabitkan penyeludupan rokok di kawasan itu bagi tahun ini dan pihaknya sedang menggiatkan usaha bagi membendung kegiatan jenayah di sekitar perairan berkenaan.

“Kita sentiasa menggandakan usaha untuk memastikan perairan kita sentiasa selamat dan semua kegiatan jenayah dapat dibendung untuk kepentingan ramai,” katanya

No comments:

Post a Comment