Thursday, April 21, 2011

Lagi didakwa pecah amanah lebih RM14 juta

Lagi didakwa pecah amanah lebih RM14 juta
PULAU PINANG 20 April - Selepas didakwa melakukan pecah amanah RM1.57 juta dan dituduh terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram hampir RM200,000, seorang bekas Ketua Pusat Khidmat Pelanggan, Bank Muamalat Bhd., hari ini didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini.

Tertuduh, Aishah Mohamed Rose, 50, yang sebelum ini bertugas di cawangan Universiti Sains Malaysia (USM) didakwa atas lima pertuduhan pecah amanah harta milik bank tersebut berjumlah RM14,205,336.51.

Turut didakwa suaminya, Johari Ahmad, 54, yang merupakan seorang peguam bersama seorang Pegawai Logistik Motorola Technology Sdn. Bhd., Azman Abdul Aziz, 49, atas tuduhan bersubahat dengan Aishah melakukan pecah amanah.

Mereka bertiga mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Raut wajah pasangan itu yang diwakili peguam Jagdeep Singh Deo nampak bersahaja sementara Azman kelihatan sugul dan gelisah.

Mengikut pertuduhan pertama, Aishah didakwa melakukan pecah amanah wang RM3,363,936.94.

Dia dari Lintang Sungai Ara Dua, Bayan Lepas di sini didakwa melakukan empat lagi tuduhan serupa melibatkan wang RM3,679,939.54; RM2,889,878.99; RM2,490,758.40 dan RM1,780,852.64.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan antara 27 Januari 2005 dan 16 Julai 2009, di bangunan USM, Jalan Minden di sini.

Timbalan Pendakwa Raya S. Devanandan mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Sementara Johari dan Azman yang berasal dari Bukit Mertajam dekat sini pula didakwa telah bersubahat dengan Aishah melakukan pecah amanah RM14,205,336.51 pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 409 dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Sitarun Nisa membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM300,000 dan memerintahkan dokumen perjalanan masing-masing kepada mahkamah.

Sementara itu, di mahkamah sama Azman yang mohon dibicarakan atas 10 pertuduhan lain melibatkan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM988,464.38 dengan cara memindahkan 10 keping cek milik Citibank yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 17 April dan 14 Julai 2009 di Motorola Technology Sdn. Bhd., Plot 2, Bayan Lepas, Technoplex Industrial Park di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Pang Chuin Keat mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM5 juta.

Sitarun Nisa membenarkan Azman diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin.

Kesemua kes terhadap ketiga-tiga tertuduh akan disebut semula pada 23 Mei depan.

No comments:

Post a Comment