Thursday, April 21, 2011

Pengarah syarikat dituduh terbit saham tanpa prospektus

Pengarah syarikat dituduh terbit saham tanpa prospektus


2011/04/21
KUALA LUMPUR: Dua pengarah syarikat hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua tuduhan menerbitkan saham preferen tanpa prospektus dan mengagihkankan borang permohonan saham tanpa kebenaran Suruhanjaya Sekuriti yang membabitkan jumlah nilai RM400 juta.

Hakim Ahmad Kamar Jamaluddin membenarkan Chong Yuk Ming, 49, dan Balachandran a/l A Shanmugam, 56, pengarah syarikat pelaburan jongkong emas, Bestino Group Berhad, diikat jamin masing-masing sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Jun untuk sebutan semula kes. Bagi tuduhan utama, Chong dan Balachandran masing-masing didakwa menerbitkan 400 juta saham preferen boleh tebus tanpa suatu prospektus yang telah didaftarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, di syarikat itu di No 80-B, Jalan Sultan Yussuf, Ipoh, Perak, antara 3 November 2008 dan 16 Jun 2009. Bagi tuduhan pilihan pula, mereka masing-masing didakwa telah mengagihkan borang permohonan bagi saham preferen itu yang tidak disertakan dengan satu salinan prospektus yang telah didaftarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, tanpa pemberian kuasa secara bertulis daripada Suruhanjaya Sekuriti, di tempat dan masa yang sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 232 (7) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-dua sekali.

Terdahulu, pegawai pendakwa Suruhanjaya Sekuriti, Susheel Kaur, menawarkan wang jaminan sebanyak RM1 juta kepada kedua-dua lelaki itu kerana ia adalah kesalahan yang serius yang mengakibatkan seramai 6,000 orang melabur dalam saham itu yang membabitkan jumlah RM400 juta.

Susheel berkata, Chong juga telah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak, pada Februari lalu terhadap 152 tuduhan pengubahan wang haram.
Peguam Datuk V Sithambaram yang mewakili Chong dan Balachandran memohon mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM50,000 sehingga RM100,000, kerana tujuan jaminan ialah bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment