Wednesday, April 20, 2011

Kretek RM1 juta dirampas

Kretek RM1 juta dirampas
LUMUT 19 April — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 3 di sini berjaya menahan dua daripada tiga buah bot dalam cubaan menyeludup rokok kretek kira-kira 18 batu nautika dari Pulau Pangkor di sini, semalam.

Ketua Penguatkuasa APMM Perak, Kapten (Maritim) Ang Cheng Hwa berkata, bot berkenaan ditahan selepas mendapat maklumat orang ramai berhubung aktiviti penyeludupan.

Beliau berkata, pada 7.30 petang dua buah bot APMM dihantar ke lokasi untuk menyiasat dan mereka mengesan tiga buah bot dalam keadaan mencurigakan dan cuba menghampiri bot berkenaan sebelum ketiga-tiga bot cuba melarikan diri.

Bagaimanapun, katanya, tali sebuah bot tersebut tersangkut pada kipas dan tekongnya melarikan diri dengan terjun ke laut manakala tekong bot kedua juga terjun ke laut sebelum melarikan diri dengan menaiki bot ketiga yang menghala ke arah sempadan perairan negara.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot berkenaan membawa 190,000 karton pelbagai jenis rokok kretek seperti Gudang Garam dengan anggaran harga pasaran bernilai RM800,000 manakala duti yang perlu dibayar dianggarkan kira-kira RM875,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 (Akta 235) yang membawa hukuman denda 10 kali ganda daripada nilai rampasan atau penjara 10 tahun jika sabit kesalahan.

Ini merupakan kes penyeludupan yang pertama ditangkap di perairan Perak bagi tahun 2011.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Laksamana Hang Nadim menahan sebuah bot nelayan asing ketika sedang menangkap ikan kira-kira 12 batu nautika dari sempadan perairan negara.

“Ketika diperiksa, bot pukat jerut berpangkalan di Belawan, Indonesia, KM Sumber Mujur 512 itu dipenuhi muatan ikan kembung dan cencaru dianggarkan lebih kurang 100 kilogram,” katanya.

Beliau berkata, semua 29 awak-awak termasuk tekong berumur antara 20 dan 58 tahun ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dan tiada kebenaran menangkap ikan yang sah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

“Bot tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan atau cuba menangkap ikan di perairan perikanan Malaysia yang mana jika disabitkan kesalahan, tekong boleh didenda tidak melebihi RM1 juta dan RM100,000 bagi setiap awak-awak.

“Permohonan reman akan dibuat bawah Seksyen 47D, akta yang sama,” katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment