Wednesday, October 26, 2011

Bekas kerani dicari bantu siasatan kehilangan RM1 juta

PULAU PINANG 26 Okt. - Polis memburu seorang kerani wanita yang dipercayai bertanggungjawab melarikan wang RM1 juta milik syarikat tempatnya bekerja dengan memindahkan wang tersebut ke dalam akaun pihak ketiga setelah memalsukan tandatangan majikannya.
Suspek berusia 38 tahun disyaki melakukan jenayah itu antara 2006 dan 2009.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik, berdasarkan siasatan polis, suspek telah mengeluarkan 49 cek syarikat kepada tiga akaun yang dimilikinya selain suami dan rakannya.
"Ia terbongkar kerana suspek tiba-tiba meletakkan jawatan. Majikannya membuat laporan polis pada Oktober 2009," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Roslee berkata, hasil siasatan mendapati suspek telah bekerja selama 16 tahun di syarikat itu dan sehingga kini dipercayai masih berada di negara ini.
"Suspek diamanahkan untuk menguruskan semua urusan yang berkaitan kewangan oleh majikannya, tetapi dia pula mengkhianati syarikat itu," katanya.
Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan sama, Roslee berkata, polis mahu menghubungi Ooi Chew Gue (gambar), 38, yang beralamat di 33-09-12 Lorong Semarak Api 3, Desa Sri Swarna Bandar Baru, 11500 Air Itam bagi membantu dalam siasatan berkenaan.
Tambahnya, sesiapa yang mempunyai maklumat tentang Chew Gue diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Azrim Abu Bakar pada nombor telefon 04-5824222.

Monday, October 24, 2011

Bank ditipu RM37 juta

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 24 Okt. - Sebuah bank tempatan mengalami kerugian teruk sepanjang 26 tahun tempoh perniagaannya selepas ditipu sebanyak RM37 juta melalui satu komplot pinjaman sebuah syarikat, dua tahun lalu.
Menurut sumber polis, setelah pinjaman diluluskan sepenuhnya secara sekali gus pada 2009, syarikat itu tiba-tiba lesap tanpa membuat sebarang pembayaran balik.
Kata sumber itu, pihak bank yang menjalankan siasatan dalaman gagal mengesan syarikat berkenaan dan akhirnya membuat laporan polis setelah diminta berbuat demikian.
"Siasatan awal polis mendapati, pinjaman dilakukan oleh pihak yang telah berkomplot dan melakukan penipuan secara licik sehingga bank tidak mempunyai masalah untuk meluluskan pinjaman kerana selain dokumen yang meyakinkan, pinjaman turut mendapat jaminan sebuah bank lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sumber itu bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada terdapat penglibatan 'orang dalam' dalam kes penipuan ini kerana siasatan pihak polis masih di peringkat awal.
Beliau juga enggan mendedahkan identiti syarikat yang membuat pinjaman itu kerana tidak mahu mengganggu siasatan selain tidak menjejaskan proses pertuduhan di mahkamah kelak.
Ini kes kedua melibatkan institusi kewangan menjadi mangsa penipuan pinjaman berjumlah tinggi.
Utusan Malaysia pada 17 Februari lalu mendedahkan, sebuah bank di ibu negara kerugian RM19 juta setelah menyerahkan wang pinjaman kepada dua syarikat yang mendakwa mendapat projek penyelenggaraan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menurut sumber itu lagi, berikutan penipuan terbesar itu, polis sedang menyiasat secara terperinci termasuk meneliti semua dokumen berkaitan bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab.
"Berikutan penipuan itu juga, bank berkenaan telah mencatatkan kerugian teruk dan terpaksa melakukan perubahan ke atas pengurusannya," kata sumber itu.
Bank berkenaan kemudiannya telah mencatat keuntungan semula.

Dadah bernilai RM550,000 dirampas

Oleh ANI AWANG utusanperak@utusan.com.my

NOOR Rashid Ibrahim (dua, kanan) menunjukkan sebahagian dadah jenis heroin yang dirampas pada sidang akhbar di Ipoh, Perak semalam. – UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
________________________________________


IPOH 24 Okt. – Polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif di negeri ini setelah menahan lapan lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM550,000 dalam empat serbuan termasuk di dua buah makmal memproses bahan itu di sini, Sabtu lalu.
Dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Perak itu, polis merampas lapan kilogram heroin, 1.219 kilogram syabu, 30 liter cecair syabu, 108 gram ketamin dan 21 gram pil psikotropik.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, polis turut merampas pelbagai barangan bernilai RM371,000 termasuk tiga buah kereta, sebuah lori, tiga motosikal, wang tunai RM32,131, barang kemas dan sembilan telefon bimbit pelbagai jenama.
Menurut beliau, kejayaan itu bermula hasil serbuan pertama di sebuah rumah di Jelapang Tambahan, di sini pada 22 Oktober lalu pukul 5 petang.
“Polis menahan seorang lelaki di dalam rumah itu dan hasil pemeriksaan menjumpai empat peket plastik berisi ketulan kristal berwarna putih disyaki syabu seberat 207 gram.
“Kita juga merampas bahan-bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah seperti iodin, asid hidroklorik, aceton, red fosforus, dimethyl sulphoxido dan caustic soda serta peralatan memproses dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati, dadah berkenaan diseludup masuk ke negara ini sebelum diproses di sekitar daerah Kinta, Batu Gajah dan Kampar sejak enam bulan lalu.
Noor Rashid berkata, susulan serbuan pertama, polis menahan empat lelaki masing-masing seorang di Taman Silibin Mewah dan tiga lagi di kawasan kebun pisang berhampiran Taman Suria, Tanjung Rambutan di sini.
Hasil pemeriksaan, polis menemui dua tong aluminium mengandungi cecair aceton, 24 tong plastik cecair aceton, empat periuk berisi syabu cecair, empat setengah plastik bertulis caustic soda dan peralatan dapur memproses dadah.
Tambahnya, polis kemudian membuat serbuan di Kondominium Taman Meru Impiana, di sini dan berjaya menahan tiga lagi suspek dengan salah seorang daripadanya patah tangan kiri selain cedera di pinggang dan kaki setelah cuba melarikan diri dengan terjun dari bangunan itu.
“Hasil pemeriksaan polis menemui serbuk disyaki heroin seberat lapan kilogram, syabu (1.012 kilogram), ketamin (108 gram) dan pil psikotropik seberat 21 gram,” ujarnya.
Menurutnya, semakan rekod mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lalu di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Kata beliau, kesemua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 29 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 kerana mengedar dadah yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Bekas Pengarah Muzium ATM dipenjara, denda

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 24 Okt. - Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan bekas Pengarah Muzium Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel Zainal Mohd. Ali, 57, menjalani hukuman penjara dua tahun dan denda berjumlah RM350,000 atau penjara 33 bulan atas 14 kesalahan rasuah, 11 tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak rayuan akhir bekas pegawai kanan tentera itu dan rayuan balas pendakwa raya.
Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus dan Hakim Datuk Clement Allan Skinner dalam keputusan ringkasnya menyatakan, mahkamah tiada sebab untuk mengganggu keputusan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 14 April tahun lalu.
Panel itu turut menolak rayuan bapa kepada lima orang anak itu agar dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah. Dia yang berkaki palsu dan bertongkat kelihatan ditenteramkan oleh isteri dan anak lelakinya sejurus keputusan diumumkan.
Zainal yang berkhidmat selama 30 tahun dalam ATM pernah menyertai pelbagai operasi menentang komunis dan kini kudung kaki kanannya selepas terkena jerangkap samar ketika berkhidmat di Kem Gubir, Kedah di sempadan Malaysia-Thailand pada tahun 1979.
Pada asalnya, dia dihukum penjara empat tahun serentak atas kesemua 14 tuduhan tanpa dikenakan denda. Bagaimanapun, rayuannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi yang kemudian mengurangkan hukuman penjara kepada dua tahun dan dikenakan denda RM350,000.
Zainal disabitkan atas lapan tuduhan salah guna kuasa dengan menggunakan kedudukannya sebagai pengarah Muzium iaitu meminta suapan daripada kontraktor, Mohamed Annuar Abdul berhubung pesanan kerajaan berjumlah RM154,600.
Kesalahan itu dilakukan di antara November dan Disember 2000 di Pejabat Muzium ATM, Jalan Padang Tembak di ibu negara.
Dia turut disabitkan atas satu tuduhan rasuah membuat tuntutan palsu berhubung pesanan kerajaan bernilai RM19,500 di Pejabat Bahagian Perkhidmatan Anggota, Kementerian Pertahanan.
Zainal juga disabitkan atas lima tuduhan memperoleh suapan berjumlah RM33,000 melalui cek daripada Mohamed Annuar di Maybank cawangan-cawangan berasingan.
Sebelum itu, peguam Mejar (B) Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang mewakili Zainal berhujah agar mahkamah mempertimbangkan rayuan anak guamnya supaya tidak didenda kerana wang suapan itu bukan untuk kegunaan sendiri.
Peguam bela turut memohon mahkamah mengambil kira rekod perkhidmatan selama 30 tahun serta pernah menyumbang jasa mempertahankan negara sehingga kudung kaki kanannya.
Hujah beliau, ekoran keputusan mahkamah, Zainal tiada punca pendapatan selepas diberhentikan kerja selain hilang nikmat persaraan seperti wang pencen dan faedah lain yang sepatutnya diperoleh sepanjang perkhidmatan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Asnawi Abu Hanipah berhujah agar rayuan berkaitan denda ditolak kerana hukuman yang diputuskan itu selaras dengan undang-undang.

Wanita Thailand ditahan seludup masuk ganja

SAIDI Ismail (dua, kiri) menunjukkan ketulan mampat daun kering disyaki ganja yang dirampas dari seorang wanita Thailand yang cuba menyeludupnya dengan menaiki bas ekspres di Alor Setar, Kedah, semalam.
________________________________________


ALOR SETAR 24 Okt. - Seorang wanita warga Thailand dipercayai keldai dadah yang cuba menyeludup masuk ganja dengan menaiki sebuah bas ekspres dicekup oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berhampiran Plaza Tol Jitra dekat sini pada Khamis lalu.
Suspek berusia 28 tahun yang merupakan suri rumah itu ditahan pada pukul 9.10 malam oleh sepasukan pegawai JKDM yang diketuai oleh Donian Othman, hasil maklumat awam.
Ganja tersebut ditemui disorok dalam sebuah beg pakaian dalam ruang bagasi bas yang dalam perjalanan dari Changlun menuju ke Johor Bharu.
Timbalan Pengarah JKDM negeri, Saidi Ismail memberitahu, hasil pemeriksaan pihaknya menemui 20 ketul mampat daun kering ganja seberat 18.6 kilogram yang dianggarkan bernilai RM44,700.
Katanya, dadah itu dipercayai untuk pasaran di ibu negara kerana destinasi wanita terbabit adalah Kuala Lumpur.
"Pihak kami menahan bas ekspres itu dan meminta kesemua 12 penumpangnya turun. Setelah suspek membuka begnya yang berkunci, kami menemui ketulan mampat ganja dan tiga helai baju," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata, wanita yang mempunyai dua anak itu dipercayai menaiki teksi dari Changlun ke Bukit Kayu Hitam setelah membuat pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) sebelum menaiki bas untuk ke ibu negara.
Menurut Saidi, suspek dipercayai sering keluar masuk membawa dadah itu melalui negara ini, disebabkan kebiasaan itu, suspek tidak cuba melarikan diri ketika diperiksa.
Tambahnya, suspek kini direman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

5 kontena beras wangi dirampas

Oleh HISYAMUDDIN AYUB
utusansabah@utusan.com.my

HAMZAH Sundang (tengah) menyatakan sesuatu kepada pegawainya semasa melihat beras wangi yang dirampas di Pelabuhan Sabah dekat Sepangar, Kota Kinabalu, semalam. – UTUSAN/GHAZALI BASRI
________________________________________


SEPANGAR 24 Okt. – Cubaan menyeludup masuk lima kontena berisi beras wangi dari Vietnam berjaya digagalkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah pada Selasa lalu.
Timbalan Pengarah JKDM negeri, Hamzah Sundang berkata, beras bernilai kira-kira RM300,000 itu dibawa masuk menerusi Singapura sebelum dirampas di Pelabuhan Sabah dekat sini.
Beliau berkata, serbuan dibuat berdasarkan maklumat daripada orang ramai.
“Beras seberat 130 tan metrik yang melibatkan 5,200 karung beras wangi itu dipercayai untuk pasaran di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, rampasan itu dibuat kerana segala urusan mengimport beras memerlukan lesen import yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan hanya Padiberas Nasional Berhad (Bernas) diberi kelulusan mengimport beras.
“Selain tidak memiliki daftar cukai terhadap beras yang dirampas itu, tiada pihak yang mengaku barang tersebut milik mereka dan hanya terdapat surat penghantaran oleh ejen perkapalan,” katanya.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, ia merupakan rampasan beras pertama di Sabah pada tahun ini dan nilai rampasan agak besar kerana harga beras wangi adalah mahal.

Sunday, October 9, 2011

Skim tipu jual mesin

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my


Suspek kes penipuan mesin layan diri dibawa masuk ke dalam kereta polis sambil disaksikan oleh sekumpulan mangsa di hadapan sebuah hotel di Petaling Jaya, kelmarin.

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Satu skim penipuan perniagaan mesin layan diri (vending machine) yang melibatkan kerugian ratusan juta ringgit berjaya ditumpaskan menerusi penangkapan seorang lelaki di Petaling Jaya dekat sini semalam.

Kegiatan penipuan itu dibongkar hasil maklumat yang diperoleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) selepas kira-kira setahun mengumpul bukti dan maklumat daripada kira-kira 1,600 individu yang menjadi mangsa skim berkenaan.

Dalam serbuan semalam, PPIM dengan kerjasama polis memberkas lelaki yang dipercayai salah seorang dalang utama skim penipuan itu ketika memberi ceramah di sebuah hotel.

Pegawai Kerja PPIM, Mustafa Hamzah berkata, dalam serbuan itu juga 30 mangsa penipuan skim tersebut meminta supaya suspek memulangkan semula wang mereka sehingga berlaku pergaduhan kecil.

“Suspek akhirnya mengaku bahawa beliau bertanggungjawab serta sedang berusaha untuk memulangkan wang yang dituntut mangsa,” dakwanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, PPIM kemudiannya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya yang menghantar anggota untuk menahan suspek bagi siasatan lanjut.

Katanya, mangsa dikatakan ditipu supaya membeli beberapa jenis mesin layan diri Matkiosk (mesin serbaguna), Waterdrop (air) dan ‘kiddie ride’ (alat permainan kanak-kanak).

Menurutnya, modus operandi skim itu adalah dengan menjanjikan keuntungan setiap bulan kepada pelabur yang membeli mesin itu, namun tidak pernah dibayar.

Setiap mesin layan diri itu katanya, dijual dengan harga serendah RM18,000 dengan ada di kalangan pelabur yang membeli beberapa mesin berbeza membabitkan nilai sehingga RM100,000.

Berikutan penangkapan suspek itu juga, Mustafa menyeru orang ramai yang menjadi mangsa kepada penipuan skim perniagaan mesin layan diri itu tampil memberi maklumat kepada pertubuhan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan seorang lelaki ditahan dalam kejadian itu kerana dipercayai terlibat dalam skim penipuan perniagaan.