Thursday, August 4, 2011

Awas 'Datuk palsu' cuba tarik pelaburan haram

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Seorang lelaki dikesan menggunakan gelaran Datuk palsu untuk memperdaya orang ramai supaya melabur dalam syarikatnya yang menjalankan perniagaan pesisir pantai, beroperasi di Wilayah Persekutuan Labuan dan Lembah Klang.
Lelaki berusia lingkungan 50-an itu mendakwa gelaran Datuk Kehormat diperoleh dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta diberi lesen untuk memperdagangkan mata wang asing sebanyak AS$30 bilion (RM89 bilion) untuk dibawa masuk ke dalam negara.
Menurut sumber, dianggarkan sejumlah RM900,000 dana dipercayai berjaya dikumpul daripada orang ramai sejak syarikat itu mula aktif Mac lalu.
Bekas pegawai polis itu dikatakan cuba meraih kepercayaan orang ramai dengan pengalaman kerjayanya yang lalu selain mempamerkan cek bernilai jutaan ringgit sebagai modal perniagaannya itu.
"Modus operandi penipuan yang dilakukannya adalah dengan menunjukkan surat-surat rasmi beberapa agensi termasuk PDRM, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia kepada orang ramai bagi meyakinkan yang pelaburan mereka selamat dan terjamin.
"Bagaimanapun, jika diteliti surat-surat yang dikemukakan hanya surat permohonan lesen untuk memperdagangkan mata wang asing ke dalam negara," kata sumber itu.
Tambahnya lagi, lelaki itu menawarkan dividen dan pulangan lumayan hasil pelaburan tersebut yang kononnya bakal dinikmati tahun depan.
"Individu tersebut turut mempamerkan senarai pengarah dan pemegang saham daripada tujuh syarikat bagi meyakinkan orang ramai.
"Bagaimanapun, undang-undang jelas menunjukkan tiada pemberian lesen memperdagangkan mata wang asing diberi kepada syarikat sendirian berhad.
"Lesen tersebut hanya diberi kepada bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan," katanya.
Turut difahamkan, ahli perniagaan tersebut memiliki rekod lampau selepas ditahan Jabatan Imigresen kerana menjalankan agensi pembantu rumah asing menggunakan nama syarikat sama pada 1994.