Tuesday, May 31, 2011

Peguam dipenjara enam tahun

Peguam dipenjara enam tahun
Oleh Mohd Fitrie Muhamad

2011/06/01
Denda RM80,000 dikenakan atas tuduhan palsu surat kuasa, keterangan bohong

KUALA LUMPUR: Peguam S Kanawagi, 66, dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen semalam, selepas didapati bersalah atas dua tuduhan memalsukan surat kuasa (PA) dan satu tuduhan memberikan keterangan palsu dalam satu prosiding saman pemula, 18 tahun lalu.

Perbicaraan kes jenayah yang berlangsung selama 11 tahun itu bermula apabila Kanawagi dihadapkan ke mahkamah pada 2000 dan diperintah membela diri pada Oktober 2009 selepas pihak pendakwaan memanggil sebanyak 14 saksi termasuk pemilik hartanah itu, R Nirmala Devi, yang kini menetap di India.
Pihak pembelaan pula memanggil 24 saksi termasuk pakar tulisan tangan dari India, Vindhaya Chara Mishra.
Hakim Rosenani Abdul Rahman dalam keputusannya berkata, walaupun Kanawagi secara peribadi tidak hadir di Mahkamah Tinggi, beliau mempunyai pengetahuan penuh dokumen berkenaan tidak tulen ketika mengarahkan anak guamnya, S Siva Kumar dan budak pejabatnya, V Ranjahentherao memfailkan di Mahkamah Tinggi.

Katanya, tindakan Kanagawagi itu menyebabkan Nirmala, bekas pegawai Co-operative Central Bank (CCB) kehilangan hartanahnya akibat transaksi haram.

“Pihak pendakwaan juga membuktikan bagaimana tertuduh menggunakan butiran peribadi Nirmala yang diperoleh melalui seorang lagi bekas pegawai CCB, K Sivaloganathan dalam menyediakan PA itu dan bersetuju untuk berkongsi keuntungan daripada transaksi itu tanpa pengetahuan pemilik hartanah itu,” katanya.

Peguam Kanawagi, Hasnal Rezua Merican memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana ia kesalahan pertama anak guamnya itu yang kemungkinan akan diambil tindakan oleh Badan Peguam jika mahkamah mengenakan hukuman tahanan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya S Devananthan memohon mahkamah mengambil kira selama 11 tahun perbicaraan berlangsung, peguam yang mewakili Kanawagi memfailkan banyak permohonan yang menunjukkan tertuduh tidak insaf dengan perbuatannya itu.

Sebelum itu, Rosenani memerintahkan Kanawagi menjalani hukuman penjara dua tahun dan denda RM30,000 masing-masing bagi tuduhan pertama dan kedua, serta penjara dua tahun dan denda RM20,000 bagi kesalahan memberikan maklumat palsu dalam afidavit.

Beliau juga memerintahkan Kanawagi menjalani hukuman itu secara berturut-turut bermula semalam dan tambahan enam bulan penjara jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh menghadapi dua tuduhan menggunakan PA palsu sebagai tulen dan mendaftarkannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Ogos, 1993 dan 24 Mei, 1994.

Kanawagi menghadapi satu lagi tuduhan iaitu memberikan maklumat palsu dalam afidavit yang didaftarkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Februari 1995.

Mahkamah membenarkan pelaksanaan keputusan semalam ditangguhkan sehingga Mahkamah Tinggi membuat keputusan rayuan Kanagawagi selain menaikkan jaminan dari RM200,000 kepada RM400,000.

Thursday, May 26, 2011

Rokok seludup RM2j dirampas

Rokok seludup RM2j dirampas
oleh Haniza Hassan
utusanjohor@utusan.com.my
JOHOR BAHRU 26 Mei - Polis menahan tujuh lelaki dan merampas 361 kotak rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM2 juta termasuk cukai selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Sutera Kuning di sini awal pagi ini.
Kesemua lelaki yang diberkas dalam serbuan kira-kira pukul 2.30 pagi itu terdiri daripada lima rakyat Myanmar dan dua warga tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, serbuan di rumah dua tingkat yang dijadikan gudang simpanan rokok seludup sejak sembilan tahun lalu itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Taman Perling dan Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua.
"Ketika serbuan, kesemua suspek sedang berehat di dalam rumah itu. Difahamkan, pelbagai rokok jenama 'Minna', 'Luffmann' dan 'Ela & Marble' yang keseluruhan berjumlah 3.5 juta batang itu dipercayai sedang menunggu masa sesuai untuk diedarkan ke pasaran antarabangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, dalam serbuan tersebut juga, pihaknya turut merampas 12 botol minuman keras.
Ujarnya, kesemua barangan rampasan diserahkan kepada pihak kastam untuk siasatan lanjut manakala lima lelaki Myanmar berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 (2) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
"Dua lelaki tempatan berkenaan pula disiasat mengikut Seksyen 56 akta sama kerana melindungi warga asing. Malah pihak kami juga sedang mengesan dalang di sebalik sindiket tersebut," katanya.

Warga emas seludup mercun RM641,604

Warga emas seludup mercun RM641,604
BUKIT KAYU HITAM 26 Mei - Seorang warga emas berusia 64 tahun ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri kerana disyaki menyeludup mercun dan bunga api bernilai RM641,604 termasuk cukai menerusi pintu sempadan negara di sini semalam.
Lelaki yang berasal dari Sungai Petani itu ditahan kira-kira pukul 6.30 petang setelah treler yang dipandunya melepasi kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini menuju ke Changlun.
Timbalan Pengarah JKDM Kedah, Saidi Ismail memberitahu, lori itu kemudian dibawa ke stor penguatkuasaan Kastam di sini dan hasil pemeriksaan mendapati ia sarat dengan 19 jenis mercun dan bunga api yang dipercayai dibawa dari Thailand.
Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya menemui 700 kotak berisi bahan itu yang dianggarkan seberat 15,000 kilogram dengan nilai cukai RM252,752.

Thursday, May 19, 2011

Kastam patah cubaan seludup rokok RM500,000

Kastam patah cubaan seludup rokok RM500,000
SITIAWAN 19 Mei - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri ini berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok dan kretek pelbagai jenama bernilai lebih setengah juta ringgit dalam dua serbuan, di sini semalam.
Timbalan Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) negeri, Abdul Latif Abdul Kadir berkata, dalam serbuan di sebuah bot pancung di jeti pendaratan ikan Sungai Tiang, Selangor kira-kira pukul 4 pagi itu, 70 guni mengandungi 672,000 batang rokok kretek pelbagai jenama dirampas.
Menurutnya, ketika ditahan, dua individu dipercayai tekong dan awak-awak bot yang diubah suai itu melarikan diri dengan meredah lumpur sebelum masuk ke hutan bakau berhampiran.
"Hasil serbuan yang dijalankan selepas beberapa hari pemantauan itu, kita menemui rokok kretek bernilai RM94,080 dalam bot fiber tersebut.
"Duti rokok-rokok yang belum lulus kastam dari negara jiran itu dianggarkan RM266,179.20," katanya pada sidang akhbar di Cawangan Penguatkuasaan (Marin) JKDM Kampung Acheh, di sini hari ini.
Abdul Latif memberitahu, kejayaan rampasan kretek di jeti itu adalah yang terbesar dicatatkan Kastam Perak sepanjang tahun ini.
Dalam pada itu, katanya, serbuan yang dijalankan ke atas sebuah van di tepi Jalan Sabak Bernam-Hutan Melintang di sini 12 Mei lalu, turut berjaya menemui 26 guni mengandungi 249,600 batang rokok seludup jenama Gudang Garam Surya 12's.
Selain itu, rampasan pukul 3.30 pagi itu juga melibatkan 24,000 batang Nusantara Hijau dan 36,000 batang Nusantara 12's yang melibatkan cukai RM122,632.56.

Ahli perniagaan Taiwan rugi RM380,000 terjebak cinta siber

Ahli perniagaan Taiwan rugi RM380,000 terjebak cinta siber


2011/05/20
KUALA LUMPUR: Satu sindiket penipuan didalangi tiga individu termasuk pasangan suami isteri dikesan menggunakan laman sosial Facebook untuk memikat mangsa wanita dan menjanjikan hadiah sejumlah wang tunai sebelum memperdayakan mangsa.

Difahamkan, dua lelaki warga Nigeria berperanan mencari mangsa terutama warga asing melalui laman sosial berkenaan dan menjadikan mereka sebagai teman wanita.
Sebaik menjalinkan hubungan cinta, sindiket berkenaan mendakwa menghantar bungkusan mengandungi sejumlah wang melalui ejen syarikat penghantaran di Malaysia kepada mangsa sebagai hadiah cinta.
Bagaimanapun, tindakan licik sindiket berkenaan berjaya dilumpuhkan selepas tiga suspek iaitu dua lelaki Nigeria dan seorang wanita tempatan ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman di dua lokasi berasingan di Cheras dan Seri Kembangan Isnin lalu.

Tangkapan jam 4.30 petang itu dilakukan hasil laporan polis yang dibuat seorang wanita yang juga ahli perniagaan dari Taiwan mendakwa kerugian RM380,000 selepas melakukan beberapa transaksi kepada sindiket berkenaan melalui Western Union.

Turut dirampas empat kenderaan, sejumlah barangan kemas bernilai RM100,000, pelbagai jenis peralatan komputer, kad ATM dan visa pelbagai bank, beberapa telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai RM14,000 dan wang tunai AS$15,000.

Timbalan Pengarah II, JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusuf, berkata mangsa berusia 43 tahun mendakwa mengenali seorang suspek menggunakan nama ‘John Miller’ awal Februari lalu melalui Facebook dan menjalinkan hubungan cinta sebelum diperdaya.
“Mangsa dijanjikan bungkusan mengandungi wang tunai RM4.6 juta sebagai hadiah, tetapi diminta membuat transaksi RM380,000 berikutan bungkusan itu didakwa mengandungi masalah untuk dihantar.

“Mangsa yang sempat membuat tiga kali transaksi bagaimanapun sedar beliau ditipu apabila menyedari barang dijanjikan tidak sampai sebelum tampil membuat laporan di Kedutaan Taiwan di Malaysia akhir Februari lalu,” katanya.

Mohd Rodwan berkata, siasatan polis mendapati, suspek iaitu dua lelaki warga Nigeria berusia 30-an dan seorang wanita tempatan berusia 38 tahun turut melakukan perniagaan kereta sewa dipercayai hasil keuntungan penipuan.

“Siasatan terperinci sedang dilakukan termasuk menyiasat sama ada terdapat pembabitan individu lain. Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan ramai lagi menjadi mangsa sindiket itu,” katanya.

Suspek kini ditahan reman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd Rodwan berkata, sepanjang empat bulan pertama tahun ini, pihaknya menerima laporan 245 kes dan menangkap 48 individu berhubung penipuan menggunakan modus operandi sama membabitkan nilai kerugian RM9.4 juta.

Berbanding sepanjang tahun lalu, katanya, sebanyak 759 kes direkodkan dan 30 individu ditahan serta membabitkan jumlah kerugian RM20.5 juta.

Wednesday, May 18, 2011

Pegawai TLDM tak mengaku kemuka invois palsu

Pegawai TLDM tak mengaku kemuka invois palsu
IPOH 18 Mei - Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan mengemukakan invois palsu bernilai RM235,707.73 bagi pembelian rangsum segar atau pek makanan tentera, lima tahun lalu.
Leftenan Komander Ahmad Shukry Othman , 39, ketika bertugas sebagai Pegawai Perbekalan di kapal KD Mahawangsa TLDM didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu satu invois Landmark Trading Pte. Ltd. bernilai US$46,813 (RM173,208.10) bertarikh 3 Jun 2006 untuk tuntutan pembelian rangsum segar.
Tertuduh yang telah berkhidmat selama 15 tahun dalam TLDM didakwa melakukan perbuatan tersebut di atas kapal KD Mahawangsa TLDM sekitar Jun 2006.
Ahmad Shukry turut didakwa menggunakan satu lagi invois palsu daripada syarikat yang sama bernilai US$16,864.74 (RM62,399.53) bertarikh 26 Ogos 2006 bagi tujuan sama di atas kapal KD Mahawangsa TLDM sekitar Ogos 2006.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Shahrullah Khan Nawab Khan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Norhasham Hasan.
Hakim Julie Lack Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 16 Jun ini sebagai sebutan semula kes tersebut.
Terdahulu, Shahrullah Khan menawarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan tetapi peguam bela tertuduh merayu jumlah tersebut dikurangkan kepada RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Menurut Norhasham, anak guamnya menanggung empat orang anak dengan tiga daripadanya masih bersekolah dan tertuduh telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan.
''Anak guam saya juga masih bertugas dan TLDM akan menentukan dia mengikuti setiap prosedur SPRM,'' katanya.

Dua didakwa menipu projek kerajaan

Dua didakwa menipu projek kerajaan
KOTA KINABALU 18 Mei - Seorang lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai 'Datuk' dan seorang warga asing berusia 58 tahun masing-masing dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Pegawai Jabatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Deputi Supritendan Mohd. Razif Alang Mat Jaya berkata, lelaki tempatan yang dikenali sebagai Abdul Aziz Jainal, 44, dan Wilson Ablikan Hiponia dituduh di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu kerana menipu dalam mengendalikan projek kerajaan.
Katanya, kedua-duanya dituduh bertindak menipu dua warga asing untuk melabur dalam dua projek yang diperoleh mereka bagi membina jalan dua hala di Lahad Datu dan menyiapkan projek rumah kos rendah di Papar, dekat sini.
Menurutnya, mangsa pertama mendakwa membuat pelaburan sebanyak RM450,000 untuk projek di Lahad Datu, manakala seorang lagi mangsa membuat pembayaran sebanyak RM1 juta untuk projek di Papar.
"Mangsa membuat laporan polis pada 10 Mei lalu dan pada keesokan harinya menerusi maklumat orang ramai, pihak polis berjaya menahan suspek. Hari ini suspek dituduh di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, tetapi mengaku tidak bersalah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Razif berkata, Abdul Aziz yang menghadapi tiga kes diikat jamin RM12,000, manakala Wilson RM18,000 oleh dua orang penjamin warga tempatan dan pasport miliknya ditahan.
Katanya, bagi projek di Lahad Datu, Abdul Aziz dan Wilson didakwa menggunakan surat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) sementara di Papar, mereka menggunakan surat daripada Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB).
Tambahnya, salah seorang lagi rakan suspek yang dijadikan boneka dipercayai telah mengaku sebagai Pengerusi SPNB dalam usaha meyakinkan mangsa.
"Kedua-dua projek kerajaan ini sebenarnya memang wujud, tetapi bukan diperoleh oleh mereka. Syarikat lain yang sebenarnya diberi tugas untuk melaksanakan dua projek tersebut," katanya.

Kakitangan APMM mengaku pecah amanah

Kakitangan APMM mengaku pecah amanah


2011/05/19
ALOR SETAR: Seorang kakitangan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah mengaku salah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas 42 tuduhan melakukan pecah amanah menggunakan kad Petronas Smartpay milik APMM bagi membeli petrol dan diesel untuk kepentingan sendiri berjumlah lebih RM87,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Laskar Kanan Maritim Azman Md Noh, 42, mengaku salah terhadap semua pertuduhan selepas dibaca jurubahasa di depan Hakim Mohd Rosli Osman.
Azman dari Taman Jeragan, Kuala Kedah, dekat sini didakwa melakukan kesalahan itu dari 3 Januari 2009 hingga 23 September 2009 di stesen minyak Petronas Jalan Batas Paip, Kuala Kedah. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah. Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dengan sebatan serta boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Dalam setiap pertuduhan itu, jumlah bayaran untuk pengisian bahan bakar ialah antara RM300 dan RM3,830.

Sepanjang tempoh itu, tertuduh mengisi petrol dan diesel menggunakan lima kad minyak berkenaan untuk empat kenderaan milik APMM Kedah iaitu Mitsubishi Pajero, Proton Wira, Proton Iswara dan van Kia Pregio.

Tertuduh yang bertugas sebagai Pegawai Pengangkutan Kenderaan Rasmi APMM di Kuala Kedah, dipercayai mengisi minyak purata lima kali sehari menggunakan kad itu untuk kegunaan sendiri.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Iznina Hanim Hashim dan A Hafiz Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim menetapkan 12 Jun depan untuk menjatuhkan hukuman berikutan pihak pendakwaan memerlukan masa menyediakan dokumen dan barang kes.

Pihak pendakwaan memohon jaminan RM200,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin. Tertuduh yang gagal membayar jaminan ditahan reman di Penjara Alor Setar sehingga tarikh jatuh hukum pada 12 Jun depan.

Sunday, May 15, 2011

Cubaan seludup 592kg gula pasir gagal

Cubaan seludup 592kg gula pasir gagal
TAWAU 15 Mei — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tawau merampas 592 kilogram (kg) gula pasir cuba diseludup keluar menggunakan bot jongkong dan feri penumpang dari Tawau dalam dua operasi.
Ketua Penguat kuasa Maritim Malaysia Tawau, Komander Maritim Amran Daud berkata daripada jumlah itu, 442 kg dirampas dari sebuah feri yang dalam perjalanan dari sini ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik, pada Jumaat.
Katanya, sebanyak 150 kg lagi dirampas dari sebuah bot jongkong yang juga dalam perjalanan dari sini ke Sungai Melayu kira-kira pukul 3 petang semalam.
"Dalam operasi kedua itu, Maritim Malaysia turut merampas 140 liter petrol dan 93 kg minyak masak.
"Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat," katanya. — BERNAMA

Penyeludup petrol dihempap lori

Penyeludup petrol dihempap lori
Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my
2011/05/16

ANGGOTA polis trafik menunjukkan tangki minyak tambahan diubah suai di but kereta Nissan Sunny yang terbabit dalam kemalangan di Kampung Wang Perah, Jitra, petang kelmarin.
Beban berlebihan sebabkan kereta hilang kawalan

JITRA: Seorang lelaki tidak sempat untuk menyeludup petrol ke negara jiran apabila dia maut selepas kereta yang diubah suai dengan menempatkan dua tangki tambahan bagi membawa lebih banyak bahan api itu hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebuah lori di Kampung Wang Perah, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 2 petang kelmarin, kereta Nissan Sunny dipandu mangsa berusia 25 tahun itu dikatakan hilang kawalan kerana beban dibawa.
Difahamkan, mangsa sudah beberapa kali melakukan kegiatan itu dipercayai mengisi petrol di beberapa stesen minyak melalui saluran getah untuk disimpan dalam tangki tambahan pada kenderaannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusoff berkata, setiba di lokasi kejadian, pemandu kereta terbabit dikatakan hilang kawalan akibat membawa muatan minyak petrol berlebihan sebelum terbabas ke laluan bersebelahan dan merempuh sebuah lori dari arah bertentangan.

Katanya, lori terbabit dikatakan datang dari arah Changlun dipercayai dalam perjalanan mengambil bekalan pasir di Bukit Wang, dekat sini.

“Rempuhan itu menyebabkan lori berkenaan terbalik serta menghempap kereta mangsa. Pemandu kereta tersepit di tempat duduk dan meninggal di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan mendapati tangki minyak kereta itu sudah diubah suai bagi membolehkan membawa lebih banyak petrol untuk tujuan penyeludupan

78 kereta mewah dirampas dalam serbuan

78 kereta mewah dirampas dalam serbuan
KUALA LUMPUR 11 Mei - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi sebuah pasukan tugas khas telah merampas 78 kereta import milik beberapa syarikat di seluruh negara.
Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, rampasan itu dilakukan hasil serbuan ke atas 32 firma audit dan 59 kediaman pengarah syarikat-syarikat terlibat.
Menurut kenyataan itu, kesemua kereta yang dirampas dipercayai terlibat dengan beberapa kesalahan yang mengakibatkan negara kehilangan jumlah pendapatan yang sangat besar.
"Antara kesalahan tersebut ialah gagal di bawah perisytiharan tugas-tugas kastam, elak cukai, salah guna pemberian Permit Import (AP), pemalsuan dokumen dan aktiviti penggubahan wang haram serta rasuah,'' jelas kenyataan itu di sini hari ini.
Kenyataan itu memberitahu, objektif utama penyerbuan adalah untuk mengenal pasti dan bagi mendapatkan jumlah pendapatan negara yang masih belum diisytiharkan kepada pihak kastam dan LHDN.
Jelas kenyataan tersebut, pasukan tugas khas berkenaan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu dan syarikat yang terbabit berikutan kes-kes tersebut boleh mengancam ekonomi negara serta seterusnya menjejaskan reputasi negara.
Tambah Jabatan Peguam, operasi membanteras penyeludupan itu dikendalikan melalui Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Kastam 1969, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Anti Penggubahan Wang Haram dan Anti Pengganas Kewangan 2001 (AMLATFA).
Menurut kenyataan itu lagi, setakat ini pasukan tugas khas berkenaan telah membekukan lebih 300 akaun bank yang berkaitan dengan semua entiti di bawah AMLATFA.

Mahkamah benarkan tuntutan ganti rugi terhadap KADA

Mahkamah benarkan tuntutan ganti rugi terhadap KADA
KOTA BHARU 11 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan tuntutan saman dua individu terhadap Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang didakwa menceroboh tanah mereka seluas 0.24 hektar di Kok Lanas, Ketereh lima tahun lalu.
Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian selepas mendapati KADA yang diwakili peguam Noraini Ismail gagal membawa beberapa saksi penting untuk menafikan tuntutan yang dikemukakan oleh Azhar Mohd. Rais, 48, dan Mohd. Effendi Daud, 41.
Beliau yang membenarkan tuntutan itu dengan kos turut memerintahkan ganti rugi ditaksirkan kemudian oleh Timbalan Pendaftar.
Azhar dan Mohd. Effendi selaku pihak plaintif memfailkan saman itu pada 2007 dengan mendakwa KADA telah menceroboh tanah mereka termasuk membina pagar pada penghujung 2006 untuk membangunkan sebuah kompleks perniagaan dikenali sebagai Dataran Warisan KADA.
Mereka yang diwakili peguam Mohd. Allaudin Mat Nor antara lain menuntut ganti rugi am dan tanah tersebut dikembalikan kepada keadaan asal dengan keseluruhan tuntutan bernilai RM13.8 juta atau dengan tafsiran mahkamah.
Dalam penghakimannya, Hakim Ahmad Zaidi bagaimanapun menolak tuntutan kedua supaya tanah itu dikembalikan kepada keadaan asal kerana menganggap ia tidak praktikal.
"Saya dapati defendan mendakwa tanah itu dibangunkan secara bersama dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Kerajaan Malaysia, bagaimanapun defendan gagal membawa wakil daripada kedua-dua pihak untuk hadir di mahkamah, maka tuntutan pertama plaintif dibenarkan.
"Bagi saya tuntutan kedua tidak praktikal kerana secara munasabah tanah itu sudah dibangunkan dan tidak perlu dikembalikan kepada keadaan asal iaitu tanah kosong dan bersemak," jelas beliau.
Dataran Warisan KADA merupakan kompleks perniagaan yang dibangunkan KADA bermula 2007 dan menempatkan beberapa ruang perniagaan serta satu kawasan pasar malam.
Perasmian pembinaan kompleks itu telah dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tiga sindiket seludup kereta tumpas

Tiga sindiket seludup kereta tumpas
Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my


Mohd. Bakri Zinin (lima dari kiri) melihat kereta curi yang cuba diseludup ke luar negara di Shah Alam, semalam.
________________________________________

SHAH ALAM 11 Mei - Polis menumpaskan tiga sindiket yang dipercayai terlibat dengan jenayah mencuri, menyeludup dan meleraikan komponen kenderaan melibatkan 261 kes dengan nilai keseluruhan sebanyak RM30 juta dalam tiga operasi berasingan sepanjang April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, dua daripada sindiket itu melibatkan jenayah penyeludupan kereta mewah, masing-masing di Pelabuhan Klang dan sempadan utara negara ini.
Beliau berkata, berdasarkan penahanan 17 suspek di sekitar Lembah Klang, April lalu, pihaknya mendapati dua sindiket itu masing-masing menyeludup keluar kira-kira 213 buah dan 45 buah kereta curi melalui pintu masuk negara ini dengan nilai mencecah RM17 juta.
"Sindiket pertama beroperasi sejak setahun lalu di sekitar Lembah Klang, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Mereka membuat penghantaran dipercayai ke Dubai melalui Pelabuhan Klang menggunakan nombor dan sijil pendaftaran palsu bagi mengaburi pihak Kastam.
"Sindiket yang ditumpaskan di sempadan utara negara pula dikenali sebagai Kumpulan AAA yang menyeludup kereta mewah curi ke negara jiran.
"Kita turut berjaya merampas dua kenderaan iaitu sebuah BMW X5 dan sebuah Toyota Estima untuk dipasarkan ke negara jiran," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.
Mohd. Bakri berkata, antara kereta mewah yang menjadi sasaran dua sindiket itu adalah Toyota Alphard, Toyota Fortuner, Toyota Estima, Toyota Hilux, Toyota Camry, BMW dan Mercedes-Benz.
Selain itu, katanya, satu lagi sindiket berjaya dilumpuhkan melibatkan kegiatan membekalkan komponen kenderaan curi dalam Ops Ambang Merdeka, bulan lalu.
Beliau berkata, dalam operasi itu, polis menahan enam suspek lelaki yang merupakan anggota sindiket terbabit, selain merampas 1,603 komponen kenderaan pelbagai jenis dipercayai untuk dibekalkan kepada bengkel-bengkel kenderaan tempatan melalui pasaran gelap.
Katanya, pihaknya turut merampas enam buah kereta dan sebuah lori yang nilai kesemuanya dianggarkan berjumlah RM5 juta.

Lubuk GRO diserbu

Lubuk GRO diserbu
Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
pengarang@utusan.com.my


Sebahagian GRO warga asing ditahan di Taman AST, Seremban, semalam. - UTUSAN/ABD. RAZAK AID
________________________________________

SEREMBAN 11 Mei - Tindakan sebuah premis hiburan menggajikan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing menerima padah apabila mereka dan tiga pekerja lain ditahan dalam serbuan di Taman AST, di sini malam tadi.
Dalam Ops Noda yang dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) negeri pada pukul 10.15 malam itu, seramai 18 GRO warga asing terdiri daripada warganegara China dan Vietnam ditahan.
Ketua Operasinya, Asisten Supritendan Shahrulizam Jaafar berkata, ketika serbuan, GRO yang berusia antara 23 dan 46 tahun cuba meloloskan diri melalui lubang tikus tetapi gagal.
"Tiga lelaki dipercayai warga Vietnam ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk bekerja di negara ini," katanya ketika ditemui, di sini malam tadi.
Shahrulizam menjelaskan, berdasarkan kepada risikan dan intipan pihaknya selama seminggu, polis percaya pengusaha berkenaan turut menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggannya.
Jelas beliau, kesemua GRO berkenaan didapati menyalahgunakan pas pelajar ke negara ini untuk bekerja secara haram di pusat hiburan berkenaan.
"Kesemua mereka akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk disoal siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1956/1963," kata beliau.

Lubuk ikan diceroboh

Lubuk ikan diceroboh
Oleh Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my
2011/05/12
6 bot laut dalam, 57 awak-awak warga asing ditahan

KUANTAN: Jabatan Perikanan menahan enam bot laut dalam bersama 57 awak-awak warga asing selepas dikesan melakukan tiga kesalahan, termasuk menangkap ikan di kawasan larangan dalam operasi bersepadu di perairan Endau-Rompin dan muara Sungai Kuantan.
Penolong Pengarah Perikanan Operasi Jabatan Perikanan Malaysia, Wan Rosli Wan Yahya, berkata semua awak-awak terbabit berusia antara 18 dan 55 tahun kini ditahan di jeti Jabatan Perikanan, Padang Lalang dekat sini.
"Dalam operasi yang bermula Selasa lalu, pasukan penguat kuasa kita melakukan pemeriksaan ke atas 12 bot laut dalam tetapi hanya enam yang ditahan untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati semua awak-awak terbabit mempunyai pasport dan dipercayai bekerja untuk pemilik bot tempatan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya siasatan sedang dijalankan bagi memastikan majikan tempatan mempunyai permit untuk menggunakan khidmat warga asing, pemeriksaan sama ada lesen masih hidup dan kegagalan menggunakan alat sistem pemantauan bot (VMS).

Katanya, pemasangan alat VMS diwajibkan kerana ia dapat memantau pergerakan bot laut dalam di perairan negara.
"Bot laut dalam hanya dibenarkan melakukan aktiviti penangkapan di luar kawasan 40 batu nautika dari pantai atau mana-mana pulau yang diwartakan," katanya.

Wan Rosli berkata, siasatan awal juga mendapati semua enam bot terbabit adalah milik penduduk tempatan.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 46A dan Seksyen 8B Akta Perikanan 1985 jika ia berkaitan dengan pelanggaran syarat lesen.

Operasi bersepadu itu membabitkan lapan anggota daripada Bahagian Perlindungan Sumber JPM Putrajaya, Pangkalan Sumber Kuantan dan Pangkalan Sumber Kampung Acheh, Pekan.

Flet jadi 'penthouse' PATI

Flet jadi 'penthouse' PATI
Oleh Safeek Affendy Razali
bhnews@bharian.com.my
2011/05/12

'OPERASI Sapu’ berjaya menahan 30 orang warga asing di Flet Sentul Utara, Sentul, Kuala Lumpur.
Rumah dua bilik diubah suai jadi tujuh diduduki 12 warga asing

KUALA LUMPUR: Pemilik sebuah rumah di tingkat paling atas Flet Sentul Utara, Sentul, di sini dianggap licik apabila sanggup mengubahsuai kediamannya seolah-olah menjadi sebuah 'penthouse' untuk menempatkan 12 warga asing termasuk lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal di situ.
Rumah flet berkenaan yang asalnya dua bilik, diubahsuai secara haram menjadi dua tingkat dengan kemudahan tujuh bilik, menjadikan bumbung lebih tinggi berbanding unit lain di tingkat itu.
Tindakan pemilik rumah terbabit ‘menyimpan’ lapan PATI termasuk empat wanita, dibongkar ketika sepasukan anggota Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur menyerbu flet berkenaan jam 1 pagi semalam, selepas menerima aduan berhubung kebanjiran warga asing tanpa dokumen perjalanan sah dan tinggal di situ.

Lapan PATI terbabit menyewa di rumah itu sejak lebih setahun lalu dan bekerja di kawasan berhampiran sebagai pembantu rumah dan pekerja restoran.

Timbalan Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Mohamed Yusof Khan Mohd Hassan berkata, dalam operasi itu, seramai 30 PATI termasuk 15 wanita warga Indonesia, Filipina, Pakistan, India, Nigeria dan Nepal ditahan hasil serbuan ke 20 unit rumah di flet berkenaan.

Katanya, ia dilakukan hasil pemantauan pihaknya sejak beberapa hari lalu berdasarkan aduan penduduk flet itu yang bimbang melihat kemasukan penduduk baru warga asing ke situ setiap hari.
“Kami percaya masih ada warga asing yang bebas, malah terdapat beberapa rumah yang disyaki dihuni warga asing terbabit tetapi ketika pemeriksaan dilakukan, mereka tiada di rumah,” katanya.

Dalam operasi sama juga, seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun turut terkejut apabila teman wanitanya yang disangka rakyat tempatan rupa-rupanya wanita warga Indonesia.

Wanita terbabit bersama dua lagi rakannya yang juga warga Indonesia tinggal bersama lelaki itu, ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

Lelaki terbabit yang dikatakan tidak dapat menerima kenyataan itu, cuba merayu anggota imigresen supaya teman wanitanya dibebaskan tetapi tidak diendahkan.

Mohamed Yusof berkata, walaupun sudah diserbu, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan ke atas lokasi berkenaan bagi memastikan PATI di kawasan itu dapat dikurangkan.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen Kuala Lumpur juga berharap orang ramai menghubungi pihaknya bagi memberi maklumat jika mereka mengetahui kewujudan PATI di kawasan masing-masing untuk tindakan susulan.

“Semua PATI yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 61 (c) Akta Imigresen kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah, Seksyen 15 (1)(c) kerana tinggal lebih masa dibenarkan dan Seksyen 56(1)(l) akta sama kerana menyalahguna pas lawatan sosial.

“Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara atau sebat,” katanya

Proses sampah jadi makanan

Proses sampah jadi makanan
Oleh ROZIANAH RISMAN
pengarang@utusan.com.my


Othman Nawang (kanan) memeriksa pelbagai barangan seperti susu tin, coklat dan ubat gigi tamat tempoh yang dikitar semula untuk dijual di Gombak, dekat Kuala Lumpur, kelmarin.
________________________________________

KUALA LUMPUR 11 Mei - Kegiatan sebuah premis yang mengaut keuntungan segera dengan membeli barangan runcit tamat tempoh sebelum menjualnya semula kepada orang ramai tumpas apabila diserbu pihak berkuasa di Kampung Sungai Salak, Batu 10, Jalan Gombak, dekat sini malam semalam.
Serbuan di rumah banglo tersebut dilakukan 10 anggota dan pegawai penguat kuasa dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Selangor, pukul 10.15 malam.
Modus operandi digunakan adalah membeli secara pukal atau mengutip barangan runcit tamat tempoh dari tong dan tempat pelupusan sampah, kedai dan kilang-kilang sebelum membersih dan melabel semula tarikh luput.
Dalam serbuan hasil maklumat awam dan risikan, sebanyak 3,500 pelbagai jenis produk makanan bernilai kira-kira RM30,000 yang dipercayai untuk dijual di pasaran sekitar Gombak dirampas.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, ketika serbuan, terdapat dua pekerja wanita warga tempatan dan Indonesia, masing-masing berusia 50-an dan 34 tahun leka membersihkan botol susu.
"Bahan yang dibersihkan itu kemudian diletakkan di sesuatu tempat sebelum proses melupuskan cop tarikh luput dilakukan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian dekat sini malam semalam.
Tambahnya, barangan runcit pelbagai jenama termasuk terkenal yang telah dibersihkan akan dihantar kepada beberapa pengusaha restoran, kedai runcit dan gerai-gerai kecil.
"Barangan runcit itu dihantar ke tempat yang membuat tempahan sama ada menggunakan bungkusan baru atau tanpa sebarang pelekat," jelasnya.
Othman memberitahu, selain produk makanan seperti susu tin, susu segar, teh, serbuk koko, bahan kegunaan harian yang telah rosak turut dijual semula antaranya sabun, lampin pakai buang, tuala wanita, ubat gigi dan losen.
"Malah lebih mengejutkan apabila pembekal itu turut menjual aiskrim yang dihasilkan daripada bahan yang telah rosak kepada pelajar-pelajar melalui penjaja di luar sekolah," jelasnya.
Katanya, pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti suspek terlibat menjalankan kegiatan itu mengikut Akta Perihal Dagangan 1972.

Monday, May 9, 2011

Lapan suspek perdaya cinta Internet ditahan

Lapan suspek perdaya cinta Internet ditahan
KOTA KINABALU 9 Mei - Kelicikan lapan suspek termasuk empat wanita tempatan memperdaya seorang mangsa dari negeri ini melalui cinta Internet sehingga kerugian kira-kira RM1.1 juta awal tahun ini, terbongkar dengan penahanan kesemuanya di ibu negara, Jumaat lalu.
Empat suspek lelaki yang ditahan ialah warga Nigeria dan Bangladesh berusia antara 20 hingga 29 tahun manakala wanita terbabit berusia dari 27 hingga 44 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Supritendan Soh Hock Sing berkata, siasatan berhubung kes itu dimulakan ekoran aduan mangsa wanita berusia 48 tahun.
"Sejurus menerima laporan, polis menjalankan siasatan dengan bantuan unit forensik dan agensi kerajaan lain untuk mengesan dalang penipuan terbabit," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hock Sing berkata, modus operandi digunakan adalah dengan mencari kenalan di Internet sehingga membuatkan mangsa wanita jatuh cinta dan kemudian menawarkan hadiah kepadanya.
"Bagaimanapun, apabila hadiah itu hendak dihantar, timbul banyak masalah termasuklah kononnya hadiah ditahan pihak Kastam. Oleh itu memerlukan sejumlah wang untuk membawa keluar hadiah tersebut.
"Suspek cuba memujuk mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun dengan alasan hadiah terbabit hanya boleh dilepaskan oleh Kastam selepas sejumlah wang dibayar," ujarnya.
Tambah Hock Sing, disebabkan terlalu mabuk cinta dan terpedaya dengan kata-kata manis, mangsa memasukkan wang ke dalam akaun suspek.
Katanya, mangsa hanya tersedar ditipu dan membuat laporan polis selepas beberapa kali memasukkan wang ke dalam akaun tersebut sehingga mencecah jutaan ringgit.
Dalam pada itu, beliau berkata, kes berkenaan adalah yang kelima berjaya diselesaikan oleh polis Sabah.
Katanya, sebelum ini terdapat tiga lagi kes serupa telah berjaya diselesaikan selepas suspek yang dikehendaki berjaya ditangkap iaitu di Penampang, Wilayah Persekutuan Labuan dan Tawau.

50 pengimport kereta diserbu

50 pengimport kereta diserbu
KUALA LUMPUR 9 Mei - Lebih 50 syarikat jualan kereta import terpakai di seluruh negara diserbu dalam operasi bersepadu membabitkan empat agensi kerajaan sejak 5 Mei lalu, dipercayai bagi menyiasat kes-kes berkaitan pengimportan kereta-kereta terpakai.
Empat agensi terbabit adalah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Yang Dipertua Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya dimaklumkan operasi tersebut dilaksanakan bagi menyiasat kes-kes melibatkan ikrar mengikut harga sebenar, selain cukai tertunggak.
Katanya, selain itu, terdapat antara ahli persatuan yang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA).
"Berikutan itu, beberapa akaun perniagaan syarikat ahli telah dibeku dan telah menimbulkan masalah termasuk untuk membayar gaji pekerja.
"Tindakan tersebut adalah tidak wajar memandangkan Pekema telah menjalankan perniagaan tersebut sejak 30 tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zainuddin memberitahu, pihaknya bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan mahu mana-mana ahlinya yang melanggar peraturan dikenakan tindakan sewajarnya.
"Ada ahli mengadu pejabat mereka diserbu 20 pegawai yang bersikap kasar seolah-olah mereka sudah didapati bersalah. Sehubungan itu, saya meminta agensi terbabit supaya menggunakan kaedah penyiasatan yang berhemah," katanya lagi.
Beliau turut menyeru ahli-ahli Pekema agar memberi kerjasama kepada pihak berkuasa yang datang menyiasat fail perniagaan mereka.

Peguam sakit: Kes Dr. Hamimah tangguh 21 Jun

Peguam sakit: Kes Dr. Hamimah tangguh 21 Jun
KUALA LUMPUR 9 Mei - Keputusan kes individu pertama yang didakwa di bawah Akta Pengubahan Wang Haram 2001, Dr. Hamimah Idruss (gambar) terpaksa ditangguhkan ke 21 Jun ini, ekoran peguam bela tertuduh masih menerima rawatan selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital di Perak.
Hakim Asmadi Hussin menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mustaqim Sukarno yang turut menyebut bagi pihak peguam, S. Pushpam memaklumkan mengenai perkara itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Peguam terbabit dimasukkan ke Pusat Perubatan Kinta, Perak sejak 18 April lalu selepas mengalami kekurangan air dalam badan yang melampau dan kepenatan serta beberapa komplikasi lain sehingga terpaksa menjalani pembedahan.
Hamimah, bekas pengarah syarikat Safire Pharmaceuticals (M) Sdn. Bhd., (Safire) hadir di mahkamah tanpa ditemani sesiapa.
Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) akta tersebut, wanita terbabit didakwa atas lapan pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM41.33 juta antara 3 hingga 10 Jun 2003.
Jika sabit kesalahan, Hamimah boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun.
Wanita itu turut didakwa atas 10 tuduhan bersubahat dengan pekerjanya, Yusaini Wan Abi Sabian, 41, memalsukan surat perjanjian Safire Pharmaceuticals (M) Sdn. Bhd., yang setiap satunya bernilai AS$1.2 juta (RM4.56 juta).
Bagi pertuduhan itu, dakwaan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 468 kanun sama.
Kes itu mula dibicarakan pada 12 Julai 2005 dan seramai 54 saksi telah dipanggil memberi keterangan termasuk dua saksi dari Jerman dan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Drs. Suleiman Mohamed.

Kemeja T tiruan RM500,000

Kemeja T tiruan RM500,000
Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my
2011/05/10
Penguat kuasa KPDNKK serbu premis di Taman Tunku Husna

ALOR SETAR: Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah merampas lebih 50,000 helai kemeja T pelbagai jenama tiruan bernilai RM500,000 dalam serbuan di sebuah premis bangunan di Taman Tunku Husna, Jalan Tanjung Bendahara, semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kedah, Suhaimi Mat Sari, berkata dalam serbuan kira kira jam 11 pagi, pemilik premis berkenaan berpura-pura menjual pakaian tiruan di sebuah premis saja.
"Bagaimanapun, hasil soal siasat lelaki terbabit mengaku mempunyai sebuah lagi stor menyimpan pakaian tiruan di tingkat atas bangunan sama yang terletak tidak jauh dari premis yang diserbu,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, semalam.

Suhaimi berkata, lelaki terbabit dipercayai terbabit dengan sindiket menjual pakaian tiruan untuk diedarkan di sekitar pasar malam, premis pakaian dan kedai runcit.

Beliau berkata, pakaian tiruan itu dipercayai dibawa masuk dari Thailand dengan harga murah tetapi dijual pada harga pasaran.

“Lelaki itu dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran pakaian tiruan setahun lalu.
"Sindiket ini dipercayai akan berpindah randah apabila kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa untuk mengelakkan kerugian apabila barangan dirampas," katanya.

Suhaimi berkata, pihaknya menahan lelaki itu untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 kerana menjual barangan tiruan dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali

Thursday, May 5, 2011

Rugi RM1j angkara cinta internet

Rugi RM1j angkara cinta internet
Oleh Zailani Ahmad

2011/05/05
Rakan kongsi warga asing lesap selepas mangsa masuk wang dalam akaun

SHAH ALAM: Hubungan cinta dan perniagaan yang dijalin melalui laman sosial Facebook menyebabkan seorang akauntan dari Kota Kinabalu, Sabah, kehilangan lebih RM1 juta kerana ditipu rakan kongsi yang tidak pernah ditemuinya.

Mangsa, Helen Chin Sep Yun, 48, dikatakan berkenalan dan bercinta dengan warga Britain dikenali sebagai Alex Bob menerusi Facebook awal tahun ini dan bersetuju menjadi rakan kongsi perniagaan berkaitan industri hiliran ditawarkan Petronas Carigali Malaysia Berhad (PETRONAS) di Ketereh, Terengganu.
Bagaimanapun, lelaki maya itu meminta Helen membantu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan akaun, duti setem, insurans serta pelbagai bayaran lain dengan alasan dia tidak memiliki akaun di negara ini.
Helen memenuhi permintaan kekasih dan rakan kongsinya itu dengan memasukkan wang tunai berjumlah RM1,110,350 ke dalam akaun lelaki berkenaan secara berperingkat antara 29 Mac hingga 19 April lalu.

Mangsa terpaksa `bergolok gadai' dan meminjam wang daripada rakan bagi menyokong perniagaannya tetapi lelaki maya itu tiba-tiba lesap bulan lalu dan gagal dihubungi melalui telefon, selain memadam profilnya dalam laman sosial popular itu.

Berikutan aduan mangsa baru-baru ini, polis menahan empat rakyat asing dan dua warga tempatan berusia antara 22 dan 33 tahun termasuk lelaki yang menyamar sebagai Alex Bob di Desa Aman Puri, Kepong dekat sini, petang kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata dalam serbuan pada jam 3 petang itu, polis merampas wang tunai RM15,000, 18 keping kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank, tujuh telefon bimbit dan sebuah komputer riba dipercayai digunakan kumpulan terbabit.
“Semua suspek yang kini direman di Balai Polis Kepong, akan didakwa minggu depan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Katanya, penipuan menerusi laman sosial membabitkan warga asing terus berleluasa dan tahun lalu saja, sebanyak 1,201 kes jenayah dilaporkan berlaku, membabitkan kerugian berjumlah RM20.8 juta.

Beliau mengingatkan orang ramai sentiasa berhati-hati ketika melayari Facebook kerana laman itu kini menjadi tumpuan utama penjenayah mencari mangsa.

Wednesday, May 4, 2011

Awasi sindiket dakwa wakil Bank Negara

Awasi sindiket dakwa wakil Bank Negara
AWAS sekiranya anda menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa mereka adalah wakil Bank Negara Malaysia atau bank-bank tempatan yang meminta 16 digit nombor kad bank.
Malah, orang ramai juga diminta berwaspada sekiranya dihubungi oleh sindiket yang sama, kononnya memaklumkan bahawa kad bank mereka sedang digunakan oleh individu lain.
Ini kerana semua panggilan itu adalah helah sindiket penipuan tersebut yang ingin mencuri wang simpanan anda.
Sindiket itu sebelum ini dikesan menghubungi mangsa dengan pelbagai alasan untuk mengetahui nombor kad bank.
Malah, ada di antara mangsa terkejut setelah dimaklumkan bahawa terdapat individu sedang menggunakan kad bank mereka dan meminta supaya penggunaan itu disekat serta merta.
Berikutan itu, si penipu yang membuat panggilan akan menyebut 12 digit pertama kad bank mangsa untuk memberi keyakinan bahawa mereka adalah wakil bank.
Kemudian panggilan kedua akan dilakukan oleh sindiket itu untuk meminta mangsa memberikan 4 digit terakhir kad bank.
Dengan memperoleh empat digit terakhir itu sindiket berkenaan berupaya memindahkan wang simpanan dari akuan mangsa ke dalam akaun mereka.
Pemindahan wang itu dipercayai dilakukan menggunakan rangkaian Internet.
Mengikut laporan yang pernah didedahkan akhbar tempatan sebelum ini, terdapat mangsa kehilangan wang simpanan berjumlah ratusan ribu ringgit akibat ditipu sindiket itu.
Oleh itu, bagi anda yang mendapat panggilan sama seperti di atas diharap mendapatkan nasihat dari bank-bank berdekatan terlebih dahulu bagi kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sindiket ‘Terbang Malam’ tumpas

Sindiket ‘Terbang Malam’ tumpas
Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 4 Mei – Satu sindiket bergelar Fly By Night iaitu membuka syarikat dalam tempoh yang singkat dan kemudian menghilangkan diri dikesan telah menipu ratusan syarikat pembekal barangan di negeri ini, Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka sejak tiga tahun lalu.
Sehingga kini sebanyak 124 kertas siasatan dibuka melibatkan sindiket tersebut dengan jumlah kerugian dilaporkan mencecah RM7.85 juta.
Bagaimanapun, sindiket itu tumpas selepas tiga anggotanya diberkas polis pada Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, ketiga-tiga suspek ditangkap di sebuah stor di Taman Perindustrian USJ Subang Jaya dekat sini, pukul 4.45 petang.
“Susulan tangkapan itu, suspek telah membawa polis ke sebuah premis di Winner Height, Desa Petaling, Kuala Lumpur dan beberapa dokumen berkaitan kes serta sejumlah barangan bernilai RM55,000 telah dirampas.
“Berdasarkan siasatan di Selangor sahaja, sindiket itu menubuhkan enam buah syarikat untuk membuat tempahan barangan daripada puluhan syarikat pembekal yang menjadi mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini. Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.
Antara barangan dirampas adalah 200 gulung paip, lima gulung smoke tinted film, tiga cop syarikat, tujuh telefon bimbit, dua komputer riba dan buku cek, slip bank dan dokumen sebut harga.
Menjelaskan modus operandi sindiket itu, beliau berkata, semasa pembekal menghantar barangan ke premis syarikat itu, anggota sindiket akan membuat bayaran menggunakan cek tertunda.
“Bagaimanapun pada sebelah malam, anggota sindiket bertindak menutup operasi syarikat di premis itu dan terus menghilangkan diri bersama barangan tersebut.
“Pembekal hanya mengetahui telah ditipu apabila gagal menunaikan cek yang diberikan anggota sindiket itu dan pemeriksaan mendapati premis syarikat tersebut telah ditutup,” katanya.
Jelas beliau, dengan tertangkapnya tiga suspek itu, pihaknya percaya menyelesaikan 66 kes penipuan melibatkan kerugian RM1.66 juta di Selangor manakala kes melibatkan negeri lain masih dalam siasatan.
“Kesemua suspek berusia antara 30 dan 58 tahun kini ditahan reman seminggu sehingga 5 Mei ini dan polis sedang memburu seorang lagi anggota kumpulan itu yang dikenali sebagai Thomas,” katanya.

Adik bekas Pengarah Perbadanan Putrajaya dijel

Adik bekas Pengarah Perbadanan Putrajaya dijel
SHAH ALAM 4 Mei - Seorang bekas pengarah syarikat landskap dihukum penjara 15 hari dan denda RM315,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas enam tuduhan menerima rasuah berjumlah RM63,000 daripada sebuah syarikat landskap, lima tahun lalu.
Hakim Mat Ghani Abdullah turut memerintahkan Azizi Johan Ariffin, 54, dipenjara 30 bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Azizi merupakan adik kepada bekas Pengarah di Perbadanan Putrajaya, Datuk Shahoran yang sebelum ini terlepas daripada tuduhan bersetuju terima suapan berupa tiket pergi balik ke London daripada seorang kontraktor, lima tahun lalu.
Hakim bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Azizi digantung sementara menunggu rayuan dengan syarat ikat jamin lelaki itu yang berjumlah RM10,000 sebelum ini ditambah kepada RM20,000 beserta seorang penjamin.
Azizi didakwa menerima suapan tersebut sebagai upah membantu mendapatkan kelulusan tender 'Kerja-Kerja Penyelenggaraan Landskap di Persiaran Putrajaya, Persiaran Utara, Persiaran Barat, Lebuh Sentosa (Jambatan Seri Saujana) Lebuh Wawasan (Jambatan Seri Wawasan), Wilayah Persekutuan Putrajaya' untuk Perbadanan Putrajaya kepada syarikat Timeless Construction Sdn. Bhd.
Walhal syarikat Sekitar Indah Sdn. Bhd. menjadi subkontraktor kepada Timeless Construction Sdn. Bhd.
Azizi didakwa menerima suapan tersebut dalam bentuk wang tunai yang dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Bhd. miliknya daripada Pengarah Sekitar Indah, Mohd. Kamil Sapuan menerusi enam transaksi berbeza antara 26 Januari 2006 dan 9 November 2006 di Affin Bank Bhd. di Desa Jaya Kepong, dekat sini.
Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Ridzuan Johan Ariffin yang mewakili Azizi, memohon mahkamah agar tidak mengenakan hukuman penjara kerana tertuduh yang juga adiknya menghidap penyakit tulang belakang dan paru-paru yang serius.
Ridzuan juga memohon denda yang rendah memandangkan Azizi kini bekerja sebagai jurujual di pasar moden Seksyen 6 di sini dengan pendapatan bulanan antara RM300 dan RM500 selain mendapat wang pencen RM200 sebulan.
Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Josiendra Abu Senin memohon hukuman setimpal dikenakan kerana ia melibatkan kepentingan awam.