Thursday, April 28, 2011

Kena cekup larikan tahi lembu

Kena cekup larikan tahi lembu


2011/04/29
MERSING: Demi mendapatkan wang secara mudah, empat buruh sanggup melarikan 52 guni baja tahi lembu dari sebuah ladang dekat Sungai Ambat di sini, petang kelmarin.

Namun, kegembiraan kumpulan pencuri terbabit yang membawa sebuah lori ketika mencuri baja bernilai RM4,000 itu berakhir apabila kenderaan dinaiki dipintas dan ditahan polis dua jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rashid, berkata sepasukan anggota polis digerakkan untuk mengesan kumpulan berkenaan selepas menerima maklumat mengenai kejadian terbabit.
“Polis mengesan kenderaan yang digunakan mereka di Kahang. Pemeriksaan mendapati ia sarat dengan muatan baja tahi lembu yang dilaporkan hilang.

“Siasatan polis mendapati, empat lelaki berusia lingkungan 40-an yang ditahan itu pekerja kontrak yang ditugaskan menyelesaikan kerja membaja ladang sawit di FELDA Sungai Ambat.

“Sebelum mencuri baja terbabit, semua suspek menjalankan kerja membaja di ladang berkenaan, namun mula bertindak memunggah bahan buangan haiwan itu ke dalam lori selepas yakin keadaan itu selamat kerana percaya ia boleh dijual kepada pembeli yang berminat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Nor berkata, semua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut kes mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri baja berkenaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara hingga tujuh tahun dan denda.

Tuesday, April 26, 2011

Gagal seludup 13 warga Afghanistan

Gagal seludup 13 warga Afghanistan


2011/04/26
MASJID TANAH: Cubaan warga Indonesia menyeludup keluar 13 warga Afghanistan ke negara jiran gagal, selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka satu batu nautika dari perairan Kuala Sungai Baru dekat sini, kelmarin.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Kuala Linggi, Kapten Ibrahim Mohamad, berkata dalam kejadian jam 11.30 malam itu, enam anggota pasukannya melakukan rondaan di situ sebelum terserempak bot tongkang dalam keadaan mencurigakan. Beliau berkata, menyedari kehadiran dua bot pasukan keselamatan berkenaan, tongkang itu cuba melarikan diri dengan berpatah balik ke arah Kuala Sungai Baru. “Bot terbabit kemudian dikesan terus memecut menuju ke arah pantai sehingga anggota kita terpaksa melepaskan beberapa tembakan amaran ke udara, tetapi tidak diendahkan.

“Sejurus tiba di tepi pantai, tekong tongkang itu melarikan diri dengan menyusup di celah semak. Pemeriksaan lanjut menjumpai 13 warga Afghanistan menyorok dalam bot terbabit,” katanya, semalam.

Ibrahim berkata, beberapa penumpang warga asing itu didapati cuba memusnahkan dokumen perjalanan mereka dengan mengoyak dan membuangnya ke laut, sebelum sembilan daripadanya ditemui semula.

Katanya, siasatan awal mendapati, 13 lelaki warga Afghanistan berusia antara 16 hingga 43 tahun itu memasuki negara ini melalui beberapa laluan seperti Rantau Panjang dan Johor Bahru, sebelum cuba diseludup keluar ke Australia melalui negara jiran.
“Mereka didapati menaiki kapal terbang melalui Lahore, Colombo, Dubai, Singapura dan Bangkok, sebelum menjadikan Malaysia transit untuk mengatur langkah seterusnya sebelum bergerak ke negara jiran,” katanya.

Ibrahim berkata, siasatan awal juga mendapati setiap seorang daripada warga asing itu dikenakan bayaran antara AS$5,000 (RM14,972) hingga AS$17,000 (RM50,906) oleh sindiket yang bertanggungjawab sebagai orang tengah menguruskan perjalanan menyeberang ke negara jiran dengan lancar.

Gali kubur cari harta karun RM7j

Gali kubur cari harta karun RM7j
Oleh Hamid Salleh
bhkt@bharian.com.my
2011/04/26


ABDULLAH menunjukkan satu daripada tiga kubur lama yang digali di Kampung Dusun, Kuala Berang, kelmarin.Kumpulan lelaki nekad ceroboh selepas permintaan ditolak imam masjid

KUALA BERANG: Sekumpulan tiga lelaki dipercayai terpengaruh dengan kegiatan mencari harta karun sanggup menceroboh dan menggali kubur lama di Kampung Dusun, di sini yang dikatakan tertanam harta dan barangan kemas bernilai lebih RM7 juta. Kumpulan lelaki yang dipercayai dibantu seorang lelaki kampung itu dikatakan bertindak menceroboh kubur lama berkenaan selepas permintaan mereka dengan imam masjid kampung untuk menggalinya tidak dibenarkan. Mereka menggunakan pelbagai kaedah untuk memikat imam masjid yang juga penjaga kubur, termasuk berjanji memberikan separuh daripada nilaian harta, tetapi tawaran itu juga tidak diendahkan imam berkenaan.

“Tiga bulan lalu mereka datang berjumpa dan menawarkan RM3.5 juta kepada saya untuk membenarkan beberapa kubur lama yang dikatakan mengandungi harta karun, tetapi saya tidak membenarkannya dan mereka beredar,” kata Abdullah Othman, 73, yang menjadi iman sejak lebih 40 tahun lalu.

Ketika ditemui di kawasan perkuburan itu kelmarin, Abdullah berkata, seorang lelaki dari Kelantan memberitahu di kawasan perkuburan itu tertanam barangan bernilai lebih RM7 juta berdasarkan petunjuk disampaikan seorang dukun dari Indonesia.

Ketika pertemuan itu, kumpulan berkenaan mengajak Abdullah berjalan di sekitar kawasan kubur yang terletak bersebelahan masjid itu yang berusia lebih 100 tahun dan menunjukkan tempat dipercayai tertanam harta karun.
Abdullah berkata, apabila beliau menolak tawaran itu, mereka minta kebenaran untuk mengambil sedikit tanah di kawasan itu untuk dibawa pulang bagi membolehkan seorang dukun dari Indonesia menarik harta karun.

Bagaimanapun, permintaan itu juga tidak dibenarkan Abdullah,
menyebabkan kumpulan itu kecewa dan beredar dari kawasan itu dengan sebuah kenderaan.

“Bagaimanapun, pagi kelmarin pemilik kebun duku bersebelahan kubur lama itu memberitahu melihat beberapa lubang sedalam kira-kira satu meter digali pihak tidak bertanggungjawab di tiga kubur lama di situ.

“Sebelum kejadian ini, saya tidak menceritakan kepada sesiapa mengenai kedatangan mereka kerana bimbang ia boleh menghangatkan lagi cerita harta karun itu hingga menyebabkan ada pihak menceroboh kawasan kubur,” katanya.

Dipenjara sehari, denda RM15,000 kerana beri rasuah

Dipenjara sehari, denda RM15,000 kerana beri rasuah
26/04/2011 10:32pm


JOHOR BAHRU 26 April - Kerana merasuah seorang pegawai polis sebanyak RM2,000 bulan lalu, seorang peniaga barang lusuh hari ini dipenjara sehari dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Mohd. Nasir Nordin turut memerintahkan Poh Chee Chow, 33, dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan.

Chee Chow didakwa memberi suapan kepada Inspektor Mohd. Hasrudi Mohd. Zain sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana tidak mempunyai lesen menjalankan perniagaan barangan lusuh pada pukul 11.45 pagi, 18 Mac lalu di 16A, Jalan Mengkibol, Kluang.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang diketuai oleh Mohd. Hasrudi yang membuat pemeriksaan di premis milik Chee Chow, dia mengaku, premisnya beroperasi tanpa lesen.

Chee Chow kemudian mengajak Mohd. Hasrudi bersama Konstabel Shazeril Aizat Mohd. Shaarani masuk ke pejabatnya dan mengeluarkan wang RM2,000 dari sakunya bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Meskipun sudah diberikan amaran beberapa kali, namun tertuduh tetap berdegil mahu memberikan suapan tersebut sambil berkata: ``Kita jadi kawanlah.’’

Chee Chow didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh merayu hukumannya diringankan kerana ia adalah kesalahan pertamanya.

``Pertama kali saya buat salah...encik tolong tengok berapa boleh kurang, lain kali saya janji tidak buat macam ini lagi,’’ katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norzieaina Mohd. Khalib manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Utusan

Monday, April 25, 2011

APMM patah cubaan seludup rokok

APMM patah cubaan seludup rokok


2011/04/25


MUHAMMAD Abdul Basar (kiri) menunjukkan sebahagian 3,300 karton rokok pelbagai jenama yang dirampas dari dua bot di jeti persendirian Sungai Kedah, dekat Kuala Kedah, semalam.ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah menggagalkan cubaan empat lelaki menyalahguna bot pendaftaran nelayan menyeludup 3,300 karton rokok pelbagai jenama dan rampasan bot bernilai lebih RM412,000 berhampiran Jeti Kuala Kedah, di sini, Rabu lalu.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 6.20 petang itu, empat suspek terbabit berjaya melarikan selepas mendarat di sebuah jeti kecil berhampiran Jeti Kuala Kedah dengan menyusup ke kawasan semak berhampiran. Berikutan itu, APMM merampas 3,300 karton rokok bernilai RM42,000 dengan cukai bernilai RM329,000 serta masing-masing dua bot gentian kaca sepanjang tujuh meter dan dua enjin sangkut. Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Muhammad Abdul Basar Taji, berkata operasi berkenaan membabitkan lima anggota APMM yang mengintip pergerakan suspek dari Langkawi sebelum mengejar mereka hingga ke Jeti Kuala Kedah.

Katanya, sebaik menyedari mereka diekori, keempat-empat suspek memecut bot mereka ke arah muara sungai berhampiran jeti sebelum meninggalkan semua barang yang diseludup.

“Hasil pemeriksaan kita mendapati sebanyak 1,400 karton rokok di dalam sebuah bot menggunakan nombor pendaftaran nelayan, manakala dalam bot kedua yang tidak mempunyai nombor pendaftaran kita menemui 1,900 karton rokok tanpa duti import kastam.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana kesalahan mengangkut barang larangan yang mana boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(iii)(aa) akta sama, iaitu denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali nilai dagangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya di sini, semalam.
Muhammad Basar berkata, kes berkenaan adalah yang pertama membabitkan penyeludupan rokok di kawasan itu bagi tahun ini dan pihaknya sedang menggiatkan usaha bagi membendung kegiatan jenayah di sekitar perairan berkenaan.

“Kita sentiasa menggandakan usaha untuk memastikan perairan kita sentiasa selamat dan semua kegiatan jenayah dapat dibendung untuk kepentingan ramai,” katanya

Keputusan bebas tanpa lepas kes Sime Darby, 18 Julai

Keputusan bebas tanpa lepas kes Sime Darby, 18 Julai
25/04/2011 5:04pm


KUALA LUMPUR 25 April - Mahkamah Sesyen menetapkan 18 Julai untuk membuat keputusan sama ada akan membebaskan tanpa melepaskan (DNAA) atau membebaskan seorang bekas pengurus kanan Sime Darby Engineering Sdn. Bhd. daripada tuduhan menerima sogokan RM200,000 berhubung jualan dan pembinaan kapal tunda.

Ini berikutan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membebaskan tanpa melepaskan tertuduh, Mazhazmi Jamaludin, selepas gagal mengesan saksi utama, Redzuan Goh Mohammed Karian serta permohonan peguam Shamsul Sulaiman yang mewakili Mazhazmi agar anak guamnya dibebaskan.

Hakim Rozilah Salleh memberikan tiga bulan kepada SPRM untuk mengesan saksi utama itu. Jika SPRM berjaya, mahkamah akan meneruskan perbicaraan tetapi sekiranya gagal, mahkamah akan memutuskan permohonan untuk membebaskan tanpa melepaskan tertuduh atau membebaskannya daripada tuduhan.

Beliau menetapkan 1 Jun, untuk sebutan semula kes bagi SPRM memaklumkan kepada mahkamah mengenai Redzuan. Rozilah, bagaimanapun, membenarkan permohonan timbalan pendakwa raya SPRM, Anthony Kevin Morais untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu hasil pencarian saksi berkenaan. - Bernama

Rasuah: Peniaga pasar malam dipenjara sehari, denda RM10,000

Rasuah: Peniaga pasar malam dipenjara sehari, denda RM10,000


Eleszulhelmie Ilias mengaku salah kerana cuba merasuah polis dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA BHARU 24 April - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 terhadap seorang peniaga pasar malam, Eleszulhelmie Ilias kerana cuba merasuah pegawai polis sebanyak RM2,775 tahun lalu.

Hakim Irwan Suainbon turut memerintahkan Eleszulhelmie, 23, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Balai Polis Kubang Kerian, kira-kira pukul 4.45 pagi pada 28 Ogos tahun lalu.

Eleszulhelmie didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh diwakili peguam Ahmad Nurie, manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Ahsan Abd. Latif.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebelum itu ditangkap sepasukan anggota polis di sekitar daerah ini kerana melakukan kesalahan berkaitan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketika ditangkap, polis menemui beberapa pil dipercayai dadah di dalam kereta dinaiki tertuduh termasuk wang tunai sebanyak RM2,775 dan dia dibawa ke Balai Polis Kubang Kerian untuk siasatan.

Dalam proses siasatan itu, tertuduh didakwa cuba merasuah Asisten Supritendan Basar Salam dari Bahagian Teknikal dan Siasatan, Jabatan Siasatan Jenayah negeri sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan, tetapi ditolak oleh pegawai berkenaan yang kemudiannya membuat aduan kepada SPRM.

Dalam prosiding hari ini, peguam tertuduh, Ahmad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan ia kesalahan pertama tertuduh dan anak bongsu daripada tujuh beradik itu terpaksa menanggung ibu bapanya.

"Dengan pendapatan sebanyak RM700 sebulan, tertuduh perlu menanggung kedua orang tuanya selepas kesemua kakak dan abangnya tidak berada di Kelantan kerana sudah berkahwin dan bekerja di negeri lain," katanya.

40,000 liter diesel seleweng dirampas

40,000 liter diesel seleweng dirampas
KUALA LUMPUR 24 April - Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menahan tiga lelaki termasuk seorang penjaga stor yang dipercayai terlibat dalam penyelewengan diesel subsidi Persatuan Nelayan Teluk Intan, Perak di Kawasan Perindustrian Bandar Bukit Puchong di sini awal pagi ini.

Ketiga-tiga mereka yang ditahan berusia lingkungan 40-an.

Ketua Pengarah Bahagian itu, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, dalam operasi kira-kira pukul 2 pagi itu, pihaknya berjaya mengesan sejumlah 40,000 liter diesel subsidi Persatuan Nelayan Teluk Intan yang dipercayai diseleweng.

Menurutnya, hasil maklumat awam, pihaknya mengekori sebuah treler dari Teluk Intan dan berjaya menangkap pemandu dan kelindannya.

Sepantas kilat, mereka tiba di lokasi

Sepantas kilat, mereka tiba di lokasi


SELAIN kecuaian, kemalangan yang berlaku juga berkemungkinan disebabkan terdapatnya 'perangkap' seperti paku, minyak atau pasir yang diletakkan di atas jalan oleh pihak tidak bertanggungjawab. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------



KISAH 1:
FARIZ Fikri, 23, pernah mengalami pengalaman membabitkan sikap biadab dan kasar pemandu trak tunda apabila terbabit dalam kemalangan setelah terlanggar sebuah kereta di hadapannya.

Kemalangan itu menyebabkan keretanya gagal dihidupkan dan pada masa sama, dia menghubungi pak ciknya yang juga seorang anggota polis untuk membantu.

Tidak sampai lima minit, dua buah kereta yang dipercayai runner tiba sambil membawa walkie-talkie.

''Mereka bertanya dengan nada keras kereta saya boleh bergerak atau tidak dan apabila dijawab tidak, serta-merta mereka menolaknya ke bahu jalan.

''Dengan cara mengugut, mereka terus menawarkan khidmat tunda kereta ke bengkel panel insurans dengan caj yang murah tetapi saya tidak bersetuju kerana mahu menunggu pak cik terlebih dahulu," katanya.

Bagaimanapun keadaan kembali terkawal apabila pak ciknya datang dengan kereta polis.

KISAH 2:

PENGALAMAN buruk itu juga pernah dialami seorang gadis, Lili Ahmad, 26, apabila terlibat dalam satu kemalangan baru-baru ini.

Hujan renyai-renyai menyebabkan permukaan jalan raya menjadi licin dan agak sukar untuk memberhentikan kereta serta-merta.

Tiba-tiba kenderaan di hadapannya berhenti mengejut, menyebabkan kereta dipandunya gagal berhenti walaupun telah membrek.

''Selang beberapa minit, datang sebuah trak tunda yang menawarkan perkhidmatan menunda kereta untuk dihantar ke bengkel.

''Pada mulanya saya enggan menerima tawaran itu kerana mahu menunggu abang datang tetapi gagal menghubunginya," kata Lili.

Dalam keadaan trauma dan panik, Lili terpaksa menerima tawaran itu kerana tidak mahu lama berada di tempat kejadian.

Akibatnya, dia bukan sahaja dikenakan caj yang tinggi malah keretanya terpaksa berada di bengkel itu selama sebulan kerana kekurangan pekerja.

KISAH 3:

SEORANG pemandu yang hanya mahu dikenali sebagai Jidin, 27, pernah menghadapi satu kejadian hampir meragut nyawanya ketika pulang ke kampung di Terengganu melalui Lebuh Raya Karak pada cuti persekolahan baru-baru ini.

''Cuaca pada hari itu baik, kereta yang baru diservis juga meyakinkan saya untuk memandu dengan kelajuan 100 kilometer sejam.

''Tiba-tiba kereta saya hilang kawalan sebelum berhenti di tepi jalan. Apabila memeriksanya, saya mendapati terdapat tumpahan minyak yang agak banyak di kawasan tersebut," katanya.

Tidak lama selepas itu, beliau didatangi sebuah kereta dengan dua orang lelaki bertanyakan keadaan keretanya.

''Mujur kejadian itu tidak meragut nyawa saya. Tetapi yang jelas ini menunjukkan memang ada pihak dengan sengaja meletakkan minyak gris ke atas jalan bagi tujuan mengaut keuntungan tanpa memikirkan keselamatan pengguna,'' ujarnya.

Jidin berpendapat trak-trak tunda wajar diharamkan dari memasuki lebuh raya dan penyelenggara lebuh raya itu perlu menyediakan perkhidmatan trak tunda bagi mengelakkan kejadian serupa berulang pada masa hadapan.

Polis serbu premis judi

Polis serbu premis judi
KUALA LUMPUR 24 April - Polis membongkar satu kegiatan perjudian selepas menyerbu sebuah pusat beli-belah di Kelana Jaya dekat sini malam tadi.

Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 9.30 malam itu, polis turut menahan seorang wanita berusia 27 tahun yang dipercayai penjaga premis berkenaan.

Operasi diketuai oleh Asisten Supritendan Yusir Othman itu merampas sebanyak 11 mesin judi seperti Roulet, Jackpot dan kuda.

Yusir berkata, pihaknya menyamar sebagai pelanggan selama sebulan sebelum menyerbu premis berkenaan dan siasatan mendapati, sindiket ini telah beroperasi sejak beberapa bulan lalu dan tidak menolak kemungkinan mempunyai rangkaian lain di sekitar Selangor.

Kemalangan dirancang, untung dikaut

Kemalangan dirancang, untung dikaut

STATISTIK Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan bahawa jumlah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya telah meningkat setiap tahun sejak lima tahun lalu.

Dalam tempoh tersebut, peningkatan paling ketara berlaku pada 2006 iaitu sebanyak 8.5 peratus atau 54,000 kes menjadikannya 635,082 kes berbanding 581,082 kes (2005).

Sementara itu, pada tahun lalu, jumlah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ialah sebanyak 762,529 kes, meningkat 4.2 peratus daripada tahun sebelumnya yang berjumlah 705,623 kes.

Peningkatan terendah pula ialah pada 2008 iaitu hanya 7,941 kes (1.17 peratus) kepada 676,114 kes daripada 668,173 kes (2007).

Perangkaan tersebut secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa kemalangan jalan raya yang berlaku di negara ini amat serius.

Di sebalik kebimbangan tersebut, wujud satu lagi fenomena yang ‘menakutkan’ apabila ada pihak-pihak tertentu telah menjadikannya sebagai satu cabang perniagaan paling menguntungkan.

Wartawan Unit Khas Utusan Malaysia, SITI MARIAM MD. ZAIN, ROSALINDA MD. SAID dan TERMIZI CHE ANUAR serta jurugambar,

ISMAIL KAMADIN cuba merungkai persoalan ini.



•Kemalangan tidak berbau tetapi ada juga kemalangan yang sengaja dirancang pihak tertentu bertujuan mengaut keuntungan.


•Antara pihak yang mendapat keuntungan apabila berlaku kemalangan adalah bengkel membaiki kereta dan juga pengendali trak tunda yang boleh mendapat pendapatan sehingga RM10,000 sebulan.


•Laporan Khas Utusan Malaysia mengupas mengenai sesetengah pihak yang sanggup mengupah ‘longkai’ memasang perangkap di jalan seperti paku, minyak dan pasir di kawasan yang mudah berlaku kemalangan.


•Perkhidmatan trak tunda telah menjadi perniagaan menguntungkan dan setakat ini, tiada pihak mengawal pergerakannya. Malah tidak seperti teksi, trak tunda tidak memerlukan permit.

KUALA LUMPUR – Jika setiap kenderaan yang ditunda ke bengkel dibayar komisyen antara 10 hingga 15 peratus daripada kos tuntutan insurans kemalangan, bayangkan keuntungan yang mampu dikaut oleh syarikat trak tunda apabila tahun lalu sahaja jumlah kenderaan yang terbabit dengan kemalangan dicatatkan ialah sebanyak 762,529!

Dengan purata tuntutan insurans antara RM1,000 hingga RM3,000, bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami, syarikat trak tunda mampu memperoleh antara RM100 hingga RM450 hanya untuk sebuah kenderaan. Itu belum lagi termasuk bayaran menunda ke bengkel.

Komisyen tersebut akan dibayar oleh pemilik-pemilik bengkel bagi memastikan mereka mendapat lebih ramai pelanggan.

Perkhidmatan trak tunda sebenarnya telah menjadi perniagaan atau industri yang menguntungkan. Tetapi setakat ini, tiada pihak mengawal pergerakannya. Malah, tidak seperti teksi, trak tunda tidak memerlukan permit.

Sejak lima tahun lalu, jumlah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya seperti direkodkan oleh pihak polis meningkat 24 peratus atau 181,447 kes iaitu daripada 581,082 kes pada tahun 2005 kepada 762,529 tahun lalu.

Kenderaan yang paling banyak terlibat pula ialah kereta diikuti motosikal, pelbagai jenis lori, pacuan empat roda, van dan sebagainya.

Peningkatan statistik kemalangan jalan raya dari setahun ke setahun, secara tidak langsung memberi ruang kepada perkembangan industri ini sekali gus menarik lebih ramai melibatkan diri.

Dengan pendapatan seorang pemandu trak tunda yang mampu mencecah RM10,000 sebulan, mereka sanggup melakukan apa sahaja.

Apa yang pasti, semakin hari, kepantasan pemandu-pemandu trak tunda menghidu kes-kes kemalangan yang berlaku semakin hebat.

‘Kecekapan’ dan habuan lumayan yang menanti ini juga telah menimbulkan pelbagai persoalan sehingga ada dakwaan mengatakan sebilangan daripada kemalangan itu sengaja dirancang.

Dakwaan tersebut mungkin benar menerusi beberapa pendedahan wujudnya ‘perangkap’ di laluan utama jalan raya seperti Kuala Terengganu-Kuantan, Jerangau-Jabor, laluan pantai Kuala Terengganu-Kota Bharu dan Kuala Terengganu-Kota Bharu melalui Bandar Permaisuri sebelum ini.

Malah, Jambatan Pulau Pinang juga pernah menjadi saksi tentang kewujudan pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini melakukan aktiviti khianat.

Antara yang digunakan sebagai perangkap ialah span berpaku, besi tajam, minyak petrol serta pasir yang sengaja ditabur di jalan raya.

Seorang pemilik trak tunda mendedahkan, kerja meletakkan minyak atau objek lain itu dilakukan oleh pihak ketiga yang dipanggil ‘longkai’ atau call man yang mendapat komisyen bagi setiap kemalangan dimaklumkan kepada mereka.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah pula berkata, berdasarkan kajian, kebanyakan kemalangan adalah disebabkan faktor kecuaian manusia.

Pulau Pinang lubuk judi?

Pulau Pinang lubuk judi?

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan
@utusangroup.com.my



DUA wanita yang disyaki terlibat dengan kegiatan judi bola haram ditahan polis dalam serbuan di Jelutong, Pulau

--------------------------------------------------------------------------------




•Aktiviti judi didapati semakin menjadi-jadi di Pulau Pinang apabila kian banyak tangkapan dilakukan, terbaru polis berjaya menumpaskan satu sindiket judi bola haram membabitkan taruhan sehingga jutaan ringgit.


•Sindiket yang beroperasi di sebuah pangsapuri di Jelutong itu tumpas setelah polis berjaya menahan tujuh lelaki dan dua wanita ketika mereka leka mengambil pertaruhan dalam talian.


•Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, dalam serbuan awal pagi semalam, polis merampas tiga buah komputer riba, kerusi serta meja ala kasino.


•Pada Khamis dan Jumaat lepas, polis berjaya menahan 50 orang yang sedang berjudi di Tokong Batu, Jelutong dan Tanjung Jaya, Jalan Raja Tun Uda, Pulau Pinang.

PULAU PINANG 24 April – Bermodalkan komputer riba dan talian Internet di sebuah pangsapuri sebagai pusat operasi judi bola haram, satu sindiket di Jelutong di sini mampu memperoleh nilai pertaruhan mencecah jutaan ringgit sehari.

Namun, sindiket itu yang dipercayai beroperasi sejak tahun lalu tumpas apabila diserbu sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut awal tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pertaruhan dijalankan dengan pembelian cip melalui akaun bank penjudi.

“Setiap pemain dibenarkan bertaruh hingga RM10,000 dalam setiap pertaruhan.

“Pertaruhan boleh mencecah RM300,000 dalam satu permainan atau hampir RM1 juta apabila terdapat tiga permainan dalam sehari,” katanya di sini hari ini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam, seramai tujuh lelaki dan dua wanita termasuk seorang wanita warga China berusia 30-an dan 48 tahun ditahan ketika leka mengambil pertaruhan dari dalam talian.

Kesemua mereka dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (1) dan Seksyen 4 (1)(C) Akta Rumah Perjudian Terbuka serta Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan.

Polis turut merampas tiga buah komputer riba dan kerusi serta meja ala kasino.

Kong Meng juga melahirkan penghargaan kepada pihak yang membuat aduan mengenai sindiket berkenaan dan meminta orang ramai berbuat demikian jika mengesyaki kegiatan seperti itu berlaku di kawasan mereka.

Pada Khamis dan Jumaat lepas, polis berjaya menahan 50 orang yang sedang berjudi di Tokong Batu, Jelutong dan Tanjung Jaya, Jalan Raja Tun Uda, Pulau Pinang.

Thursday, April 21, 2011

Pengarah syarikat dituduh terbit saham tanpa prospektus

Pengarah syarikat dituduh terbit saham tanpa prospektus


2011/04/21
KUALA LUMPUR: Dua pengarah syarikat hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua tuduhan menerbitkan saham preferen tanpa prospektus dan mengagihkankan borang permohonan saham tanpa kebenaran Suruhanjaya Sekuriti yang membabitkan jumlah nilai RM400 juta.

Hakim Ahmad Kamar Jamaluddin membenarkan Chong Yuk Ming, 49, dan Balachandran a/l A Shanmugam, 56, pengarah syarikat pelaburan jongkong emas, Bestino Group Berhad, diikat jamin masing-masing sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Jun untuk sebutan semula kes. Bagi tuduhan utama, Chong dan Balachandran masing-masing didakwa menerbitkan 400 juta saham preferen boleh tebus tanpa suatu prospektus yang telah didaftarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, di syarikat itu di No 80-B, Jalan Sultan Yussuf, Ipoh, Perak, antara 3 November 2008 dan 16 Jun 2009. Bagi tuduhan pilihan pula, mereka masing-masing didakwa telah mengagihkan borang permohonan bagi saham preferen itu yang tidak disertakan dengan satu salinan prospektus yang telah didaftarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, tanpa pemberian kuasa secara bertulis daripada Suruhanjaya Sekuriti, di tempat dan masa yang sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 232 (7) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-dua sekali.

Terdahulu, pegawai pendakwa Suruhanjaya Sekuriti, Susheel Kaur, menawarkan wang jaminan sebanyak RM1 juta kepada kedua-dua lelaki itu kerana ia adalah kesalahan yang serius yang mengakibatkan seramai 6,000 orang melabur dalam saham itu yang membabitkan jumlah RM400 juta.

Susheel berkata, Chong juga telah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak, pada Februari lalu terhadap 152 tuduhan pengubahan wang haram.
Peguam Datuk V Sithambaram yang mewakili Chong dan Balachandran memohon mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM50,000 sehingga RM100,000, kerana tujuan jaminan ialah bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah. - BERNAMA

Lagi didakwa pecah amanah lebih RM14 juta

Lagi didakwa pecah amanah lebih RM14 juta
PULAU PINANG 20 April - Selepas didakwa melakukan pecah amanah RM1.57 juta dan dituduh terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram hampir RM200,000, seorang bekas Ketua Pusat Khidmat Pelanggan, Bank Muamalat Bhd., hari ini didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini.

Tertuduh, Aishah Mohamed Rose, 50, yang sebelum ini bertugas di cawangan Universiti Sains Malaysia (USM) didakwa atas lima pertuduhan pecah amanah harta milik bank tersebut berjumlah RM14,205,336.51.

Turut didakwa suaminya, Johari Ahmad, 54, yang merupakan seorang peguam bersama seorang Pegawai Logistik Motorola Technology Sdn. Bhd., Azman Abdul Aziz, 49, atas tuduhan bersubahat dengan Aishah melakukan pecah amanah.

Mereka bertiga mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Raut wajah pasangan itu yang diwakili peguam Jagdeep Singh Deo nampak bersahaja sementara Azman kelihatan sugul dan gelisah.

Mengikut pertuduhan pertama, Aishah didakwa melakukan pecah amanah wang RM3,363,936.94.

Dia dari Lintang Sungai Ara Dua, Bayan Lepas di sini didakwa melakukan empat lagi tuduhan serupa melibatkan wang RM3,679,939.54; RM2,889,878.99; RM2,490,758.40 dan RM1,780,852.64.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan antara 27 Januari 2005 dan 16 Julai 2009, di bangunan USM, Jalan Minden di sini.

Timbalan Pendakwa Raya S. Devanandan mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Sementara Johari dan Azman yang berasal dari Bukit Mertajam dekat sini pula didakwa telah bersubahat dengan Aishah melakukan pecah amanah RM14,205,336.51 pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 409 dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Sitarun Nisa membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM300,000 dan memerintahkan dokumen perjalanan masing-masing kepada mahkamah.

Sementara itu, di mahkamah sama Azman yang mohon dibicarakan atas 10 pertuduhan lain melibatkan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM988,464.38 dengan cara memindahkan 10 keping cek milik Citibank yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 17 April dan 14 Julai 2009 di Motorola Technology Sdn. Bhd., Plot 2, Bayan Lepas, Technoplex Industrial Park di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Pang Chuin Keat mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM5 juta.

Sitarun Nisa membenarkan Azman diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin.

Kesemua kes terhadap ketiga-tiga tertuduh akan disebut semula pada 23 Mei depan.

Peneroka rugi RM67,800

Peneroka rugi RM67,800

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my



MOHAMED Awang Da menunjukkan 'permata' di dalam gelas yang diperolehi di rumahnya di Felda Jengka 18, Maran, Pahang, baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------



MARAN 20 April - Seorang peneroka Felda Jengka kerugian RM67,800 selepas terpedaya dengan helah seorang lelaki bergelar 'Pak Haji' yang berlagak alim dan meminjamkan wangnya kepada suspek di Temerloh, kelmarin.

Mangsa, Mohamed Awang Da, 78, dari Felda Jengka 18 mendakwa, kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu berlaku apabila dia ditegur seorang lelaki berdekatan Bangunan Tabung Haji Temerloh.

Menurutnya, lelaki yang mendakwa berasal dari Melaka itu berpura-pura bertanyakan seorang lelaki bernama 'Haji Husin' yang kononnya tinggal di Temerloh kerana menjalankan urusan perniagaan batu permata.

"Kira-kira lima minit berbual, muncul seorang lagi lelaki memperkenalkan diri sebagai 'Haji Mad Saad' menyatakan seorang rakannya yang dihubungi melalui telefon sanggup membeli permata dengan harga RM200,000.

"Haji Mad Saad mendakwa rakannya yang bernama Haji Osman sedang menunggu di hadapan Pasar Raya Terus Maju di Jalan Temerloh-Maran bagi urusan jual beli permata itu.

"Apa yang menghairankan, saya tidak membantah apabila dipelawa berjumpa Haji Osman di pasar raya berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Felda Seroja Jengka 18 di sini, semalam.

Mohamed memberitahu, ketika menemui Haji Osman di pasar raya itu, lelaki terbabit menyatakan tidak membawa wang untuk membeli batu permata berkenaan.

Berikutan itu, ujarnya, Haji Osman meminta dia mendahulukan wangnya sebelum memberi nombor telefon dan alamat rumah di Taman Chengal di sini.

"Saya diarah oleh Haji Osman balik ke Felda Jengka 18 bersama Haji Mad Saad untuk mengambil buku akaun sebelum datang semula ke Temerloh untuk mengeluarkan wang.

"Tanpa membantah saya mengeluarkan wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak RM52,000 dan RM13,000 daripada Bank Rakyat.

"Wang tunai di tangan sebanyak RM2,800 untuk membeli keperluan rumah turut dikebas ketiga-tiga lelaki terbabit," katanya.

Menyedari dirinya ditipu, Mohamed berkata, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3 petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Nor Mansor mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan.

Wednesday, April 20, 2011

Kretek RM1 juta dirampas

Kretek RM1 juta dirampas
LUMUT 19 April — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 3 di sini berjaya menahan dua daripada tiga buah bot dalam cubaan menyeludup rokok kretek kira-kira 18 batu nautika dari Pulau Pangkor di sini, semalam.

Ketua Penguatkuasa APMM Perak, Kapten (Maritim) Ang Cheng Hwa berkata, bot berkenaan ditahan selepas mendapat maklumat orang ramai berhubung aktiviti penyeludupan.

Beliau berkata, pada 7.30 petang dua buah bot APMM dihantar ke lokasi untuk menyiasat dan mereka mengesan tiga buah bot dalam keadaan mencurigakan dan cuba menghampiri bot berkenaan sebelum ketiga-tiga bot cuba melarikan diri.

Bagaimanapun, katanya, tali sebuah bot tersebut tersangkut pada kipas dan tekongnya melarikan diri dengan terjun ke laut manakala tekong bot kedua juga terjun ke laut sebelum melarikan diri dengan menaiki bot ketiga yang menghala ke arah sempadan perairan negara.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot berkenaan membawa 190,000 karton pelbagai jenis rokok kretek seperti Gudang Garam dengan anggaran harga pasaran bernilai RM800,000 manakala duti yang perlu dibayar dianggarkan kira-kira RM875,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 (Akta 235) yang membawa hukuman denda 10 kali ganda daripada nilai rampasan atau penjara 10 tahun jika sabit kesalahan.

Ini merupakan kes penyeludupan yang pertama ditangkap di perairan Perak bagi tahun 2011.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Laksamana Hang Nadim menahan sebuah bot nelayan asing ketika sedang menangkap ikan kira-kira 12 batu nautika dari sempadan perairan negara.

“Ketika diperiksa, bot pukat jerut berpangkalan di Belawan, Indonesia, KM Sumber Mujur 512 itu dipenuhi muatan ikan kembung dan cencaru dianggarkan lebih kurang 100 kilogram,” katanya.

Beliau berkata, semua 29 awak-awak termasuk tekong berumur antara 20 dan 58 tahun ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dan tiada kebenaran menangkap ikan yang sah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

“Bot tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan atau cuba menangkap ikan di perairan perikanan Malaysia yang mana jika disabitkan kesalahan, tekong boleh didenda tidak melebihi RM1 juta dan RM100,000 bagi setiap awak-awak.

“Permohonan reman akan dibuat bawah Seksyen 47D, akta yang sama,” katanya. — BERNAMA

Pecah amanah RM14j: Bekas pegawai bank didakwa

Pecah amanah RM14j: Bekas pegawai bank didakwa
20/04/2011 12:33pm


GEORGETOWN 20 April - Bekas ketua pusat khidmat pelanggan Bank Muamalat Berhad, Aishah Mohamed Rose, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap lima pertuduhan pecah amanah jenayah wang milik bank itu berjumlah RM14.2 juta enam tahun lepas.

Suami Aishah, Johari Ahmad, 54, bersama seorang Pegawai Logistik Motorola Technology Sdn. Bhd., Azman Abdul Aziz, 49, pula dihadapkan ke mahkamah yang sama dan mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Aishah melakukan jenayah itu.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula dan membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin sebanyak RM300,000 setiap seorang dan dokumen perjalanan masing-masing diserahkan kepada mahkamah.

Aishah, 50, dituduh melakukan kelima-lima kesalahan itu di Bank Muamalat Berhad, Universiti Sains Malaysia di Jalan Minden, antara 27 Januari 2005 dan 16 Julai 2009.

Bagi kesalahan pertama, dia dituduh melakukan pecah amanah jenayah wang milik bank itu sebanyak RM3,363,936.94 antara 27 dan 3 Januari 2005. - Bernama

Tuesday, April 19, 2011

Datuk dihukum 26 tahun penjara tipu dua datuk

Datuk dihukum 26 tahun penjara tipu dua datuk
19/04/2011 9:24pm


KUALA LUMPUR 19 April - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dijatuhi hukuman penjara 26 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana didapati bersalah menipu dan memalsukan dokumen melibatkan RM12 juta milik dua Datuk lain dalam satu kes penipuan pelaburan lima tahun lepas.

Bagi tuduhan pertama, Datuk Paiman Shakimon, 52, diperintahkan menjalani hukuman penjara lima tahun kerana menipu ahli perniagaan Datuk Rosidi Kamaruddin, 59, setelah mendorong mangsa menyerahkan lebih RM3.8 juta dalam skim pelaburan palsu dikenali sebagai ”Program Roll-Over”, yang kononnya diluluskan Bank Negara.

Paiman, dari Country Heights, Kajang, dihukum penjara lapan tahun kerana kesalahan serupa — sebagai ganti bagi tuduhan ketiga — melibatkan RM8 juta yang diterimanya daripada Datuk Liew Teck Keong, 56.

Mengenai kesalahan memalsukan dokumen berhubung tuduhan kedua dan keempat, Paiman dihukum penjara lima tahun kerana memperdayakan Rosidi, dan lapan tahun penjara berkaitan kes melibatkan Liew.

Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh memerintahkan hukuman bagi kesalahan pertama dan ketiga berjalan secara berturut-turut berkuatkuasa hari ini, manakala hukuman bagi kesalahan selebihnya berjalan secara serentak. - Bernama