Sunday, February 27, 2011

Bekas Mejar menipu didenda RM10,000

Bekas Mejar menipu didenda RM10,000
BUTTERWORTH 25 Feb. - Seorang bekas pegawai tentera berpangkat Mejar didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima tuduhan menipu seorang lelaki membabitkan wang berjumlah RM54,750, enam tahun lalu.

Hakim Mohd. Zairan Aman menjatuhkan hukuman tersebut selepas Ahmad Jamluddin, 44, mengaku menipu Johari Omar, 47, dengan menyerahkan dokumen palsu bagi kerja-kerja pembekalan di 92 Depot Kenderaan Pusat (DKP) Batu Kentomen, Kuala Lumpur.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Ahmad didakwa memperdaya Johari hingga mendorongnya menyerahkan wang antara RM4,000 dan RM19,750 di Affin Bank Bhd. cawangan Seberang Jaya antara 21 Julai dan 16 September 2005.

Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ahmad yang berbaju kemeja biru dan berseluar hitam diwakili peguam bela V. Pamela manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim

Wednesday, February 23, 2011

4 pengarah syarikat hadapi 325 tuduhan penggubahan wang haram

4 pengarah syarikat hadapi 325 tuduhan penggubahan wang haram


2011/02/23
IPOH: Empat pengarah Syarikat Bestino Golden House Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 325 tuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM156.2 juta.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 9 September 2006 hingga 21 Disember 2008 lalu. Hakim Julie Lack Abdullah membenarkan jaminan RM1.5 juta kepada setiap tertuduh dan menetapkan 11 April depan sebagai sebutan semula kes itu.

Shanmugam dipenjara 10 tahun

Shanmugam dipenjara 10 tahun


2011/02/23
KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE), K Shanmugam dipenjarakan 10 tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan pecah amanah dana kesatuan membabitkan RM8 juta.

Hukuman itu dijatuhkan selepas dia didapati melakukan kesalahan terbabit pada 1996

Tuesday, February 22, 2011

Salah guna kelonggaran OIC?

Salah guna kelonggaran OIC?

Oleh HAKIMI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 22 Feb. - Mungkinkah kebanjiran warga Iran di negara ini berpunca daripada perjanjian yang tercatat dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)?

Ini kerana menerusi syarat dalam perjanjian, warga Iran boleh memasuki negara ini tanpa menggunakan visa selama tiga bulan kerana negara tersebut menjadi ahli OIC dan menjalin hubungan baik dengan Malaysia.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, melalui perjanjian dalam OIC, warga Iran boleh memasuki negara ini tanpa sebarang visa untuk tempoh tersebut dan selepas itu mereka hanya perlu berhubung dengan Jabatan Imigresen untuk urusan seterusnya.

Katanya, walaupun tanpa sebarang visa selama tiga bulan, warga Iran perlu mempunyai pasport yang disahkan oleh negara mereka bagi melancarkan segala urusan di sini.

"Tidak dinafikan kelonggaran yang diberikan kepada warga Iran itu menyebabkan segelintir mereka mengambil kesempatan melakukan kegiatan jenayah termasuk terlibat dengan penyeludupan dadah di negara ini.

"Kita akan sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa lain dalam membanteras setiap jenayah yang dilakukan warga asing, bagaimanapun selagi mereka mempunyai dokumen yang sah, kita tidak mempunyai hak untuk menghalang mereka memasuki negara ini sebagai pelancong," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri perjumpaan bulanan Jabatan Imigresen dan majlis perasmian Kempen Senyum, Sapa dan Sopan di Ibu Pejabat Imigresen di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan), Datuk Raja Mohd. Raja Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan), Aloyah Mamat.

Menurut Alias, jika terdapat warga asing dari mana-mana negara yang melanggar peraturan dan disenaraihitamkan, Jabatan Imigresen mempunyai hak untuk menghalang mereka daripada memasuki negara ini.

Katanya, ketika ini terdapat kira-kira 1.9 juta warga asing menetap di negara ini dan daripada jumlah tersebut, 11,409 orang merupakan warga Iran.

Tambah Alias, mereka memasuki negara ini dengan pelbagai tujuan antaranya untuk belajar, bekerja dan melancong. Malah ada antara mereka sudah mempunyai keluarga di negara ini.

Sejak Oktober tahun lalu, penglibatan warga Iran dalam kegiatan pengedaran dadah di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara dengan penahanan 138 rakyat negara itu berbanding 16 tangkapan pada 2009.

Daripada jumlah itu, sebanyak 121 tangkapan terdiri daripada 'keldai dadah' iaitu orang yang dipergunakan untuk membawa dadah manakala bakinya disyaki pengendali dan anggota sindiket dadah.

Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga lagi rakyat Iran termasuk dua wanita bersama dadah jenis syabu bernilai RM2.65 juta di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Kasanova perdaya wanita, kaut RM60,000

Kasanova perdaya wanita, kaut RM60,000
KUALA LUMPUR 22 Feb. - Hanya berbekalkan rupa paras yang menarik dan ayat-ayat cinta seorang kasanova berjaya menipu ramai gadis sehingga mengakibatkan mereka kerugian lebih RM60,000 sejak dua tahun lalu.

Lelaki dikenali sebagai Ken Isaac berusia 31 tahun itu menyasarkan gadis-gadis berusia lewat 20-an sebagai mangsa.

Ketua Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Micheal Chong berkata, empat wanita menjadi mangsa lelaki itu sepanjang tahun ini sahaja.

Katanya, selain mendapatkan wang, suspek turut menuntut habuan seks bersama mangsa.

Tambahnya, modus operandi digunakan suspek adalah menggunakan laman sosial dan kenalan lain untuk mendekati mangsa-mangsa.

"Dia kemudian menabur janji-janji manis dan meluahkan cinta. Selepas berkenalan selama dua hingga tiga bulan, dia mula meminta bantuan kewangan.

"Suspek yang mendakwa ahli perniagaan syarikat pengiklanan, menjadikan masalah syarikatnya sebagai alasan untuk mendapatkan wang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas Micheal, selepas mendapatkan wang, suspek bertindak menghilangkan diri selain enggan menjawab panggilan telefon daripada mangsa.

Menurutnya, setiap mangsa kerugian sekurang-kurangnya RM1,000, malah ada yang lebih tinggi sehingga mencecah RM26,000.

"Lebih menyedihkan, ada mangsa itu menggunakan wang untuk pembedahan ibunya," katanya.

Beliau percaya suspek masih memperdayakan wanita-wanita bagi mendapatkan wang selain nafsu seks.

"Kita juga percaya suspek berada di sekitar Damansara, Petaling Jaya dan mana-mana wanita yang pernah menjadi mangsa agar tampil membuat aduan," katanya.

Selain itu, Micheal berkata, 22 kes membabitkan kerugian RM1.6 juta dicatatkan membabitkan kes kasanova bagi empat tahun lalu.

UPP Kuala Kedah rampas kayu gaharu seludup

22/02/2011 3:36pm



Oleh SAFINA RAMLI

ALOR SETAR 22 Feb. – Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Kedah merampas lapan guni kayu gaharu seludup bernilai RM337,600 dalam satu operasi di Kuala Kedah di sini semalam.

Komander UPP Kedah, Mohd. Jasri Othman berkata, operasi kira-kira pukul 11.30 malam itu diketuai oleh Komander Kawasan, Wan Mazlan Endut dengan dibantu enam pegawai lain telah membuat pemerhatian di satu kawasan tempat letak kereta di pekan itu.

“Pihak kami telah membuat intipan serta menunggu lebih dari 10 jam namun tiada pemilik datang mengambil guni tersebut.

“Pada mulanya kami menyangka kandungan dalam guni tersebut adalah rokok seludup, namun setelah dibuka, terdapat 422 kilogram kayu gaharu yang bernilai tinggi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – Utusan

Sunday, February 20, 2011

70,000 DVD, VCD dirampas

Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my
2011/02/21


PEGAWAI Penguat kuasa KPDNKK, Nuri Ismadi, memeriksa sampul VCD yang dirampas dalam serbuan di dua rumah di Taman Setia Berjaya, Alor Setar, semalam.KPDNKK tahan 3 lelaki, sita mesin penyalin dalam serbuan

ALOR SETAR: Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas 70,000 cakera video digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) bernilai kira-kira RM370,000 dalam serbuan di dua rumah di Taman Setia Berjaya, di sini, semalam. Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 11 pagi itu dianggap kejayaan terbesar KPDNKK di negeri ini tahun ini, dan dua rumah yang jaraknya kira-kira 300 meter itu dikenal pasti dijadikan tempat memproses dan membungkus cakera optik berkenaan. Dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa turut menahan tiga lelaki berusia 20-an serta merampas 10 mesin penyalin DVD dan VCD serta satu unit pencetak.

Ketua Penguat kuasa KPDNKK Kedah, Suhaimi Mat Sari, berkata sindiket itu dipercayai beroperasi sejak dua bulan lalu dan DVD serta VCD haram itu adalah untuk pasaran negeri ini.

Katanya, pihaknya percaya sindiket itu mampu menghasilkan antara 5,000 hingga 8,000 keping DVD dan VCD setiap hari dan ia bagi untuk menampung permintaan di negeri ini.

“Ketika serbuan dibuat tiga lelaki terbabit terpinga-pinga kerana baru tersedar daripada tidur serta enggan memberikan kerjasama kepada anggota KPDNKK untuk menjalankan tugas mereka.
“Berikutan itu, kami terpaksa memecahkan pintu rumah berkenaan dalam serbuan yang dilakukan serentak,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 bagi setiap salinan atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Suhaimi berkata, pihak KPDNKK Kedah melakukan risikan terhadap kegiatan sindiket berkenaan sejak tiga bulan lalu

3 polis didakwa ambil rasuah daripada kerani

Oleh Abdul Halim Yusoff
halem@bharian.com.my
2011/02/21
Koperal, sarjan dan sarjan mejar mengaku tidak bersalah

CHUKAI: Tiga anggota polis, masing-masing berpangkat koperal, sarjan dan sarjan mejar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan menerima rasuah daripada seorang kerani sebuah syarikat besi buruk. Ketiga-tiga tertuduh, Koperal Baderulhisham Abdullah Sani, 46; Sarjan Almi Yaccob, 56, dan Sarjan Mejar Shamsudin Omar, 52, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman didakwa secara berasingan dan mengaku tidak bersalah. Mengikut kertas pertuduhan, Baderulhisham dituduh menerima suapan RM500 daripada Nor Hasni Maria Ab Rahim untuk tidak melakukan pemeriksaan rekod belian besi buruk di premis RBA Metal Sdn Bhd di Jalan Bukit Kuang di sini.

Almi dan Shamsuddin masing-masing menghadapi dakwaan atas tiga pertuduhan menerima suapan dan bersubahat.

Almi menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan masing-masing sebanyak RM500 jam 12.25 tengah hari pada 8 Januari 2009; jam 11.55 pagi pada 5 November 2009 dan jam 2.30 petang pada 9 Disember 2009 daripada Nor Hasni Maria.

Shamsudin pula didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dengan Almi menerima suapan RM500 setiap kali pada masa dan tarikh sama.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syafinas Shabudin di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Thursday, February 17, 2011

Tan Sri, artis antara 500 guna sindiket nikah palsu

Tan Sri, artis antara 500 guna sindiket nikah palsu
Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my
2011/02/18


PEGAWAI SPRM menunjukkan sijil nikah palsu yang didalangi kakitangan JAKIM, di Putrajaya, semalam.SPRM tahan 3, seorang kakitangan JAKIM disyaki dalang

KUALA LUMPUR: Tokoh korporat bergelar Tan Sri dan artis adalah antara lebih 500 pelanggan yang menggunakan khidmat sindiket nikah palsu yang dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahad lalu. Kebanyakan pelanggan sindiket yang dianggotai empat orang itu dipercayai mereka yang mahu berpoligami tanpa kebenaran isteri. Kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas SPRM menahan empat anggota sindiket terbabit, termasuk dipercayai dalangnya, seorang kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Suami isteri ditipu 'doktor' dapat kembali wang RM14,000

Suami isteri ditipu 'doktor' dapat kembali wang RM14,000
MELAKA 17 Feb. - Sepasang suami isteri yang kerugian kira-kira RM14,000 kerana ditipu doktor palsu, kini boleh menarik nafas lega apabila wang tersebut dikembalikan kepada mereka.

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) mengarahkan sebuah syarikat Vibracare ASL membayar RM14,000 iaitu sama jumlah yang dituntut oleh Sarip Sayed, 61, dan isterinya, Salihah Biran, 54, kepada syarikat tersebut dua tahun lalu.

Presidennya, D. Pretam Singh dalam penghakimannya memberitahu, hasil maklumat membuktikan pasangan suami isteri itu telah ditipu oleh syarikat terbabit yang menawarkan pelbagai jenis ubat namun gagal menyembuhkan penyakit mereka.

"Oleh itu, TTPM mengarahkan pihak penentang supaya membayar sebanyak RM14,000 kepada penuntut bermula tarikh penghakiman yang dibuat hari ini.

"Apa yang saya boleh katakan, penuntut sendiri perlu berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan apatah lagi ia melibatkan wang," katanya pada sidang TTPM di Wisma Persekutuan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Sementara itu Salihah ketika ditemui memberitahu, kali pertama dia dan suami bertemu dengan 'doktor' terbabit ialah pada 14 Oktober 2009 di rumah lelaki itu di Taman Merak, Bukit Katil di sini.

"Apabila sampai di rumahnya, lelaki itu yang memakai stetoskop di leher memperkenalkan dirinya sebagai 'doktor' dan dia kemudian mengambil gambar mata saya dan memaparkannya di skrin besar sebelum menjelaskan saya turut mempunyai penyakit buah pinggang yang perlu dirawat segera sebelum melarat," katanya.

Kata Salihah lagi, sepanjang sesi penerangan itu, lelaki tersebut tidak berhenti-henti menyebut nama Allah dan berjanji akan merawat penyakit mereka sehingga sembuh tetapi perlu menggunakan ubatan herba yang dibekalkan pada harga RM14,000.

Kata Salihah, lelaki itu juga bijak memujuk dia dan suami supaya mengeluarkan simpanan di Tabung Haji dengan mengatakan tidak guna menunaikan haji sekiranya badan tidak sihat dan selalu sakit-sakit.

Tambahnya, selepas sebulan menggunakan 'ubat' yang diberikan oleh lelaki terbabit, penyakit yang dihadapi semakin teruk dan terkejut apabila 'doktor' terbabit mengarahkannya mendapatkan rawatan susulan di hospital.

Menurut Salihah, kata-kata lelaki tersebut berbeza dengan jaminan yang pernah dibuatnya sebelum ini yang berjanji akan merawat mereka sekeluarga sehingga sembuh.

"Setelah berasa tertipu, saya dan suami kemudian memfailkan tuntutan di TTPM pada 8 Februari 2009 dan membuat laporan polis pada 8 Januari 2010," katanya.

Wednesday, February 16, 2011

2 pengarah syarikat terima rasuah dicekup

DUA pengarah syarikat menutup muka mereka ketika dibawa ke mahkamah, Seremban, semalam. - UTUSAN/MD.SHAHJEHAN MAAMIN

--------------------------------------------------------------------------------



SEREMBAN 16 Feb. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pengarah syarikat pembinaan setelah menerima suapan RM50,000 daripada rakan niaganya, kononnya bagi membolehkan mereka mendapat kontrak bernilai RM350 juta.

Kedua-dua mereka ditahan pukul 10 pagi di sebuah hotel di ibu negara, Rabu lalu.

Menurut jurucakap SPRM, kedua-dua lelaki berusia 45 dan 48 tahun itu dipercayai telah mengambil wang untuk projek berkenaan namun kontrak yang dinyatakan mereka tidak wujud.

Katanya, projek tersebut bagi menaik taraf Jalan Benta-Jerantut Maran, Pahang.

"Rakan niaga suspek dikatakan telah memberi wang itu kononnya bagi tujuan mendapatkan projek namun mangsa tidak menerimanya lalu melaporkan kepada SPRM.

"Kedua-duanya direman enam hari bagi membolehkan SPRM melengkapkan kertas siasatan," katanya di sini hari ini.

Tambahnya, SPRM turut memanggil beberapa individu untuk mendapatkan keterangan berhubung kes itu agar dapat diselesaikan.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Hishammuddin Hashim yang mengesahkan penahanan kedua-dua lelaki berkenaan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci.

"Siasatan akan dibuat secara menyeluruh sebelum kes ini bawa untuk pendakwaan," katanya.

Jelas beliau, kes itu disiasat di Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Saman fitnah syarikat kopi terhadap Utusan Karya ditolak

ALOR SETAR 16 Feb. 2011 - Sebuah syarikat pengilang dan pengedar kopi hari ini gagal dalam tuntutan saman fitnah terhadap Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) yang didakwa menerbitkan semula sebuah rencana iklan dalam tiga buah majalah terbitannya mengenai kopi tersebut, enam tahun lalu.

Ia berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Hakim See Mee Chun yang menolak dengan kos saman tersebut setelah mendapati pihak plaintif gagal membuktikan kes terhadap defendan-defendan.

Pihak plaintif iaitu MB Products (M) Sdn. Bhd. dan R.H. Marketing Sdn. Bhd. menamakan UKSB dan ejennya, Utusan Media Sales Sdn. Bhd., Ahmad Abdul Hamid, BYG Worldwide Bhd. dan Yang Chin Yong sebagai defendan pertama hingga keempat.

Defendan pertama merupakan penerbit majalah Mastika, Saji dan Keluarga Harmoni manakala defendan kedua ialah ketua pengarang majalah-majalah tersebut ketika itu.

Defendan ketiga pula adalah sebuah syarikat pengeluaran kopi dan defendan keempat ialah Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut.

Penghakiman ringkas kes saman itu dibacakan oleh Timbalan Pendaftar, Ooi Sheow Wean mewakili Hakim Mee Chun.

Pihak plaintif diwakili oleh peguam Mohd. Jamil Abd. Rahman manakala defendan pertama dan kedua diwakili oleh Mohana Kumar yang turut hadir bagi pihak defendan ketiga dan keempat.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 21 April 2006, pihak plaintif mendakwa, majalah Mastika, Saji dan Keluarga Harmoni telah mengeluarkan kenyataan daripada defendan ketiga dan keempat dalam rencana iklan bagi keluaran antara 15 Ogos 2005 dan September 2005 bertajuk 'Kopi Merah BYG tak pernah tukar kotak'.

Pihak plaintif mendakwa, rencana iklan tersebut merujuk kepada syarikatnya yang bermaksud untuk mengelirukan pengguna bahawa plaintif adalah syarikat tidak bertanggungjawab, bersikap tamak dan menggugat populariti Kopi Merah BYG.

Menurut pihak plaintif lagi, perniagaan mereka terjejas selepas tersiarnya rencana tersebut sehingga mereka terpaksa menghentikan keluaran kopi merah berkenaan.

Dengan itu, pihak plaintif menuntut ganti rugi, injunksi menghalang kesemua defendan daripada menyiarkan rencana tersebut, faedah, kos dan lain-lain perintah yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Sementara pihak defendan pertama dan kedua dalam pernyataan pembelaan bertarikh 28 Jun 2006 menyatakan, rencana iklan tersebut tidak merujuk kepada pihak plaintif, malah identiti pengeluar atau pengedar kopi pihak ketiga itu juga tidak diterbitkan.

Sindiket guna Facebook rekrut wanita jadi keldai dadah

16/02/2011 4:12pm


KUALA LUMPUR 16 Feb. – Populariti laman sosial Facebook di Malaysia, dikesan telah disalah gunakan oleh sindiket dadah antarabangsa untuk mencari gadis-gadis tempatan bagi direkrut sebagai keldai dadah ke luar negara.

Melalui laman sosial ini, sindiket menggunakan ahli-ahli di kalangan lelaki tempatan akan mencari kenalan wanita dan memikat mereka sehingga jatuh cinta.

Wanita tempatan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, golongan profesional dan ada juga di kalangan janda akan dilayan dengan baik sekali sepanjang tempoh bercinta apabila diberikan hadiah barang-barang mewah serta dibawa melancong ke luar negara.

Setelah yakin wanita terbabit mempercayai mereka, anggota sindiket akan mengambil kesempatan itu memperdayakan mangsa untuk membawa dadah ke luar negara sehingga akhirnya tertangkap dan meringkuk dalam penjara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, Facebook adalah taktik terbaru dikenal pasti digunakan oleh sindiket dadah antarabangsa untuk merekrut rakyat Malaysia bagi dijadikan keldai dadah.

“Sebelum ini, sindiket dadah antarabangsa dari Nigeria dan Iran ini menggunakan rakyat mereka untuk memikat wanita tempatan untuk dijadikan kurier dadah.

“Apabila rakyat Malaysia tidak lagi terpedaya dengan taktik itu, sindiket beralih menggunakan pendekatan baru iaitu melantik ahli-ahli sindiket di kalangan pemuda tempatan untuk mencari mangsa wanita sebagai keldai dadah melalui Facebook,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Noor Rashid, taktik sindiket menggunakan lelaki tempatan untuk memperdayakan wanita melalui Facebook dikesan setelah polis menerima banyak laporan mengenai tangkapan rakyat Malaysia di luar negara pada setiap tahun.

Beliau berkata, sejak 2007 hingga tahun lalu sahaja, seramai 239 rakyat Malaysia ditangkap kerana kesalahan membawa dadah ke luar negara.

Daripada jumlah itu, katanya, 120 orang merupakan lelaki, manakala 119 orang adalah wanita yang berusia di bawah 40 tahun.

“Jumlah tangkapan rakyat Malaysia menyeludup dadah ke luar negara bagaimanapun didapati menurun pada setiap tahun iaitu 35 orang pada tahun lalu berbanding 54 orang (2009), 66 orang (2008) dan 84 orang (2007).

“Kebanyakan rakyat kita ditahan semasa menyeludup dadah ke Taiwan, Peru, Brazil, Thailand dan Argentina,” katanya sambil memberitahu tiada tangkapan rakyat Malaysia di luar negara dilaporkan setakat tahun ini. - Utusan

Tuesday, February 15, 2011

Logo SC diguna tanpa kebenaran

Logo SC diguna tanpa kebenaran


2011/02/16
SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia (SC) mendedahkan mengenai tindakan pihak tertentu menggunakan logo dan namanya tanpa kebenaran bagi menyokong pengesahan sesuatu laman web promosi, produk pelaburan ataupun program.

Badan pengawal selia pasaran modal tempatan itu dalam kenyataannya berkata, ia menyedari yang www.kuasaforex.com telah menggunakan identiti korporat suruhanjaya itu untuk laman webnya bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan berkaitan dengan urus niaga mata wang asing. “Kami tiada kaitan langsung dengan laman web ini dan promoternya dan tidak pernah mengesahkan aktivitinya,” kata SC dalam kenyataan itu. SC berkata, ia telah memasukkan laman web itu dalam’senarai ‘Investor Alert" dan akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara itu.

“Orang ramai diingatkan yang SC tidak membenarkan sebarang promosi laman web atau produk dan program pelaburan,” katanya.

SC berkata, senarai syarikat dan individu yang telah diberikan lesen untuk menjalankan aktiviti pelaburan, termasuk menyediakan nasihat pelaburan boleh diperoleh di laman webnya di www.sc.com.my.

Ia turut menjelaskan bahawa aktiviti berkaitan dengan urus niaga dalam mata wang berada di bawah skop Bank Negara Malaysia dan memerlukan kelulusannya.
Katanya, untuk maklumat lanjut mengenai urus niaga mata wang, orang ramai dinasihati menghubungi Bank Negara Malaysia di 1-300-88-5465 atau melalui emel di bnmtelelink@bnm.gov.my.

“Sesiapa yang ada keraguan berhubung mana-mana laman web, emel atau maklumat di internet berkaitan nasihat pelaburan dan perkhidmatan mengenai sekuriti, boleh hubungi SC di 603-62048999 atau emel di aduan@seccom.com.my,” katanya.

Pegawai, 2 anggota JPJ diberkas

Pegawai, 2 anggota JPJ diberkas

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 15 Feb. - Kegiatan seorang pegawai dan dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menerima rasuah RM500 untuk membatalkan saman pesalah trafik terbongkar apabila mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Ketiga-tiga mereka ditahan bersama seorang awam yang bertindak sebagai orang tengah untuk meminta wang daripada pesalah trafik dalam operasi SPRM negeri di Shah Alam, Selangor.

Jurucakap SPRM negeri berkata, operasi itu dijalankan selepas menerima aduan daripada seorang orang awam di negeri ini.

Katanya, pengadu mendakwa terdapat individu meminta rasuah jika ingin membatalkan saman yang dikeluarkan terhadapnya oleh jabatan itu, baru-baru ini.

"SPRM kemudian menahan individu terbabit yang disyaki orang tengah selepas dia mengambil wang berjumlah RM500 daripada pengadu.

"Hasil soal-siasat lelaki itu mengaku dia diarahkan oleh anggota JPJ terbabit untuk mengambil wang daripada pengadu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, susulan itu, SPRM menahan seorang pegawai JPJ dan dua anggotanya di beberapa lokasi di sekitar Shah Alam.

Difahamkan, pegawai dan anggota JPJ tersebut bertugas di Ibu Pejabat JPJ Selangor di Padang Jawa, Klang.

Jelas jurucakap berkenaan, kesemua suspek yang ditahan berusia 25 hingga 35 tahun dan mereka kini ditahan di lokap SPRM negeri untuk siasatan lanjut.

"Buat masa ini kita masih menyiasat tempoh pembabitan pegawai dan anggota berkenaan dalam kegiatan rasuah serta kesalahan lain," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Monday, February 14, 2011

Bekas ADO kena penjara 6 tahun

2011/02/15


Mohd Jamil Mohd NoorBUTTERWORTH: Bekas Penolong Pegawai Daerah Seberang Prai Utara (SPU), Mohd Jamil Mohd Noor, dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana cuba memperoleh rasuah lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Ikmal Hishan Mohd Tajuddin, membuat keputusan itu selepas meneliti fakta kes dan mendengar hujah pihak pendakwa raya serta peguam bela. Sebelum ini, prosiding untuk menjatuhkan hukuman ke atas Mohd Jamil, 58, ditangguhkan tiga kali berikutan tertuduh menjalani rawatan penyakit jantung di Hospital Pulau Pinang. Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara yang sepatutnya bermula semalam sementara menunggu rayuan.

Bagaimanapun, tertuduh diarahkan menjalani hukuman penjara empat bulan kerana gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa cuba meminta suapan sebanyak RM60,000 daripada Arizal Mohd Arshad untuk menaikkan nilai pampasan pengambilan balik sebahagian tanah Lot 3482 GM2058 Mukim 5, SPU bagi meluaskan kawasan meletak kenderaan di pasar awam Kepala Batas.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 11A Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan jika disabitkan kesalahan penjara minimum 14 hari serta maksimum 20 tahun atau denda RM300,000 atau lima kali nilai suapan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Janariah Abdul Mutalib, manakala Mohd Jamil diwakili Rosli Ismail.

Dalam prosiding semalam, Janariah meminta hukuman yang setimpal dikenakan memandangkan tertuduh adalah bekas pegawai kerajaan yang tahu hukumannya jika melakukan kesalahan rasuah.

Katanya, mahkamah juga perlu beri pengajaran kepada orang awam bahawa jenayah rasuah adalah kesalahan berat dan kerajaan serius menangani masalah itu dengan menjadikannya sebagai satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Rosli pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap Mohd Jamil kerana jasa anak guamnya berkhidmat dengan kerajaan perlu dipertimbangkan.
Katanya, tertuduh juga tidak mempunyai sebarang pendapatan tetap kerana sudah lama tidak bekerja.

Sunday, February 13, 2011

Tiga warga Thailand cuba seludup 11,000 liter diesel

2011/02/14
KANGAR: Tiga awak-awak Thailand ditahan selepas dikesan menggunakan sebuah bot pukat tunda yang diubah suai dengan mempunyai 11 tangki minyak untuk menyeludup 11,000 liter diesel subsidi ke negara jiran melalui perairan Kuala Perlis, di sini, malam kelmarin.

Semua awak-awak berusia antara 20 dan 54 tahun itu ditahan bersama bot pukat tunda jenis C pada kedudukan 1.5 batu nautika dari pantai Kuala Perlis kira-kira jam 8.20 malam, iaitu lokasi sama di mana 1,500 liter diesel dan 500 liter petrol subsidi dirampas dua malam lepas. Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 1 Langkawi, Kapten Abdul Rahim Abdullah, berkata bot berkenaan dikesan dilengkapi dengan 11 tangki bersaiz besar, yang mana setiap satunya mampu mengisi sehingga 1,000 liter. Katanya, semua tangki terbabit dipasang khusus memenuhi ruang kabin bot yang kebiasaannya digunakan nelayan untuk tujuan berehat, iaitu masing-masing pada bahagian kiri dan kanan, manakala selebihnya dimuatkan pada bahagian atas kabin.

“Hasil siasatan, kita percaya bot berkenaan memang digunakan khusus sindiket sebagai transit untuk tujuan penyeludupan diesel subsidi ke negara jiran kerana tiada sebarang stok ikan ditemui ketika serbuan dilakukan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, pihaknya percaya kegiatan berkenaan bukan suatu yang baru dan bot berkenaan juga sudah sekian lama digunakan sindiket untuk tujuan penyeludupan diesel subsidi terbabit di sekitar perairan berkenaan.

Beliau ketika ditanya mengenai punca stok diesel terbabit diperoleh sindiket, bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.
"Kebiasaannya diesel subsidi dikumpulkan sindiket sedikit demi sedikit, sebelum stok terbabit dibawa sekali gus ke negara jiran. Malah, sendiri kita tidak menolak kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam pemberian subsidi nelayan.

"Justeru, semua bot dengan stok diesel bernilai RM13,750 itu dirampas, manakala ketiga-tiga awak-awak berkenaan pula ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya

Pengawal buntu dokumen dipalsukan beli kereta

2011/02/14
KUALA TERENGGANU: Seorang pengawal keselamatan terkejut apabila dokumen peribadinya digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk membeli sebuah kenderaan mewah menggunakan identitinya.

Shamsul Bahrin Bidin, 36, dari Kampung Surau Haji Daud Atas Tol, di sini, berkata dia menyedari dokumen peribadinya diguna pihak lain sebaik ingin menyambung cukai jalan keretanya, Perodua Kancil. Kejadian disedari awal Ogos tahun lalu, apabila kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri memberitahu bahawa sebuah kereta jenis Kia Optima didaftarkan atas namanya ada lima rekod saman. “Mana mungkin saya yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM730 sebulan mampu membeli dan memandu kereta import berharga mahal seperti itu,” katanya.

Shamsul berkata, menyedari dokumen peribadi miliknya dipalsu dan digunakan pihak lain, dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga dan meneruskan hasrat menyambung cukai jalan keretanya akhir Ogos lalu.

“Apa yang mengejutkan, jawapan saya terima daripada kakitangan JPJ tetap sama iaitu kereta Kia Optima yang dipalsukan dokumennya dan didaftarkan atas nama saya mempunyai 17 saman pula,” katanya.

Dia berkata, tertekan dengan kejadian itu, dia sekali lagi ke Balai Polis Chabang Tiga membuat laporan mengenai pemalsuan dokumen sehingga dia terpaksa berdepan pelbagai masalah.
Katanya, akibat masalah itu, dia juga tidak dapat membuat pinjaman peribadi kerana pihak bank sudah menyenaraihitam maklumat dirinya.

“Pihak bank memberitahu kereta Kia Optima yang didaftarkan atas nama saya itu mempunyai jumlah hutang RM120,000 dan saya tidak boleh membuat sebarang pinjaman lain.

“Kini saya buntu memikirkan masalah yang tiada kesudahan ini dan lebih membimbangkan jumlah hutang yang besar itu perlu saya lunaskan sedangkan kereta berkenaan bukan milik saya dan tidak tahu di mana ia berada,” katanya.

Thursday, February 10, 2011

Dua ejen dituduh tipu wang jemaah

2011/02/11


JOHARI (kanan) dan Mustafar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas tuduhan tipu pakej umrah RM766,500.KUALA TERENGGANU: Dua ejen pelancongan dari Kelantan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana didakwa melakukan pecah amanah dan menipu wang bayaran pakej mengerjakan umrah ke Makkah bernilai RM766,500.

Tertuduh, Mustafar Ismail, 56, dari Kampung Bukit Cina, Kok Lanas, Kota Bharu dan Johari Kamaruddin, 35, dari Kampung Kedai Lalat, Kota Bharu, dituduh secara berasingan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan. Mustafar yang memakai kopiah putih, berbaju kemeja kelabu dan berseluar hitam kelihatan mengangguk ketika lapan tuduhan pecah amanah dan menipu membabitkan 219 jemaah dengan menawarkan pakej umrah RM3,500 setiap seorang dibacakan ke atasnya. Dia yang didakwa melakukan semua kesalahan itu di Besut bermula Februari hingga Jun tahun lalu, tidak mengaku salah dan minta dibicarakan.

Berikutan itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM55,000 bagi semua pertuduhan berkenaan.

Johari pula menghadapi satu tuduhan dan didakwa melakukan kesalahan sama pada 1 Jun 2009, jam 3.20 petang di depan Maybank cawangan Jertih membabitkan wang RM5,500.

Tertuduh tidak mengaku salah dan minta dibicarakan dan mahkamah mengenakan ikat jamin RM6,000.
Pendawaan ke atas kedua-dua tertuduh dijalankan Inspektor Faisal Abdullah di depan Majistret Nor Adila Abd Latiff.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 10 tahun, denda dan sebat. Nor Adila menetapkan 30 Mac ini tarikh sebutan semula kes.

Wartawan Utusan peroleh ganti rugi RM26,400

KUALA LUMPUR 10 Feb. 2011 -- Seorang wartawan Utusan Malaysia menerima ganti rugi sebanyak RM26,400 selepas Mahkamah Perusahaan di sini membenarkan tuntutan yang dikemukakan ke atas bekas majikannya kerana diberhentikan kerja tanpa alasan munasabah, lima tahun lalu.

Pengerusinya, Hamdan Indah membenarkan tuntutan Wan Noor Hayati Wan Alias, 30, selepas selesai mendengar keterangannya pada prosiding yang dibuat secara ex-parte (sebelah pihak) pada 28 Januari lalu.

Tiada wakil hadir mahupun pernyataan pembelaan difailkan oleh syarikat pelaburan, Dalamasa Sdn. Bhd., (Dalamasa) walaupun notis perbicaraan telah diterima oleh wakil syarikat terbabit.

Menurut keputusan mahkamah yang dikeluarkan semalam, Wan Noor Norhayati selaku pemohon memfailkan tuntutan tersebut selepas mendakwa dia dibuang kerja secara salah dan turut dinafikan peluang untuk membela diri oleh Dalamasa pada 11 Julai 2007.

Dia telah bekerja di syarikat terbabit sejak 1 Januari 2007 dengan jawatan sebagai Eksekutif Perhubungan Awam dan menerima gaji sebanyak RM1,700 sebulan sebelum dia dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif dengan gaji baru RM2,200 sebulan.

Alasan pemberhentian yang diberikan oleh syarikat pada masa itu ialah pemohon telah melanggar terma 'Kerahsiaan' dalam surat pelantikan jawatannya.

Mahkamah bagaimanapun, mempercayai keterangan pemohon bahawa dia sebenarnya telah diberhentikan kerana Wan Noor Hayati mempunyai pengetahuan tentang penyelewengan kewangan membabitkan pengarah syarikat terbabit.

Tuesday, February 8, 2011

Bekas perunding dipenjara tiga tahun kerana pecah amanah

2011/02/08
KUALA LUMPUR: Seorang bekas perunding hari ini dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan 498,000 unit saham P&O (Pacific & Orient Bhd) bernilai RM1.5 juta.

Hakim Rozana Ali Yusoff, membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Mohd Nasir Abd Samad, 60. Bagaimanapun, Mohd Nasir yang mempunyai enam anak itu bernasib baik tidak dikenakan hukuman sebatan berikutan faktor umur. Terdahulu, permohonan peguam bela Lalitha Nagamuthu, yang mewakili Mohd Nasir, untuk penangguhan pelaksanaan hukuman ditolak Rozana, yang mengarahkannya memfailkan permohonan terlebih dulu.

Mohd Nasir didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertugas sebagai perunding Yayasan Pemodalan Guru Kebangsaan Bhd (kini dikenali sebagai Yayasan Guru Malaysia Bhd).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Keluarga Sdn Bhd Suite 901, Tingkat 9, Pernas International, Jalan Sultan Ismail, di sini, antara Oktober 1995 dan Disember 1995.

Mohd Nasir dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Sepanjang prosiding itu, seramai 11 saksi pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad manakala pihak pembelaan mengemukakan dua saksi. - BERNAMA

Nama 248 pengarah syarikat diserah ke Imigresen

08/02/2011 6:02pm


KUALA LUMPUR 8 Feb. - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengemukakan nama 248 pengarah syarikat kepada Jabatan Imigresen bagi menahan mereka daripada meninggalkan negara sebelum menjelaskan tunggakan caruman pekerja masing-masing.

"Membayar caruman kepada KWSP adalah kewajipan majikan yang tidak boleh dipandang ringan dan kami tidak akan teragak-agak untuk mendakwa majikan yang tidak mencarum untuk simpanan persaraan pekerja mereka,” kata Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, KWSP pada suku keempat tahun lepas telah memfailkan 232 kes sivil dan 358 kes jenayah terhadap majikan yang tidak mencarum.

Dalam tempoh itu, 112 majikan telah didapati bersalah oleh mahkamah dan dikenakan denda berjumlah RM134,570 kerana tidak membayar caruman KWSP pekerja masing-masing.

Nik Affendi berkata, majikan yang gagal mencarum biasanya diberi peluang membayar secara ansuran tunggakan mereka dan pembayaran dipantau oleh KWSP untuk memastikan ia selesai.

"Majikan sepatutnya tidak menganggap membayar caruman hanya sekadar mematuhi undang-undang tetapi ia adalah tanggungjawab mereka untuk memastikan pekerja bersara dengan selesa,” katanya. - Bernama

PGM gagalkan cubaan seludup sembilan ekor lembu

08/02/2011 5:04pm



Oleh YATIMIN ABDULLAH

PENGKALAN KUBOR 8 Feb. - Aktiviti penyeludupan terus berleluasa di kawasan sempadan di negeri ini, sungguhpun pihak berkuasa telah meningkatkan penguatkuasaan.

Terbaru, Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor mematahkan cubaan menyeludup

sembilan ekor lembu dari jenis "Baka kampung" melalui sungai dari negara jiran di kampung Tualang, Simpangan, dekat sini, awal pagi ini.

Rampasan tersebut menyusul selepas kejayaan PGM merampas minyak petrol bernilai RM4,894 dalam dua operasi berasingan di Kampung Simpangan sepanjang minggu lalu.

Penolong Pengawai Pemerintah PGM Pengkalan Kubor, Asisten Supritanden Wan Ismail Wan Mamat berkata, rampasan itu dilakukan kira-kira pukul 5 pagi hasil maklumat Unit Risikan Marin (URM) selama seminggu di Kawasan Mentua.

Menurutnya, anggota URM telah menjejaki penyeludup menyeberangi Sungai Golok di Kampung Tualang dan melalui kawasan bendang padi dengan membawa lembu-lembu berkenaan ke arah Kampung Mentua.

"Semasa sampai di kawasan bendang tersebut, anggota URM telah memperkenalkan diri sebagai polis dan terus membuat serbuan. Semasa diserbu dua orang lelaki berjaya meloloskan diri dan meninggalkan lembu-lembu itu.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan, pihak kami mendapati ada sembilan ekor lembu iaitu dua ekor betina, selebihnya jantan. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM27,000," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - Utusan

Monday, February 7, 2011

Umpan anak

Oleh Kandau Sidi
kandau@bharian.com.my
2011/02/08


BEBERAPA wanita membawa anak kecil mengemis di kawasan kaki lima di bandar raya Miri.Ibu bawa si kecil mengemis di kaki lima Miri

MIRI: Anak kecil dijadikan umpan bagi menarik simpati awam supaya menghulurkan derma. Itulah taktik terbaru digunakan sekumpulan wanita dipercayai daripada golongan kurang kemampuan di bandar raya ini bagi meraih ‘pendapatan’ daripada orang awam dengan menjadikan aktiviti mengemis sebagai kerjaya mereka. Jika dilihat dari aspek fizikal, wanita terbabit tidak mempunyai sebarang kekurangan atau boleh dikategorikan sebagai golongan kurang upaya, malah mereka masih mampu berdikari seandainya ada kemahuan.

Namun, golongan ini memilih jalan mudah sekali gus menjadi ‘pengemis’ dan membawa bersama anak kecil berusia dalam lingkungan setahun hingga empat tahun bagi meraih simpati orang ramai termasuk pelancong asing.

Tinjauan Berita Harian mendapati golongan ini juga memilih lokasi di pusat bandar yang sesak dengan orang ramai untuk menjalankan operasi mereka, khususnya di kaki lima berdekatan premis menjual nombor ramalan.

Dengan berpakaian tidak terurus, wanita itu bersama anak mereka duduk sambil membentangkan kertas kotak untuk membolehkan orang ramai menghulurkan derma.
Difahamkan golongan terbabit dikesan memulakan kegiatan mereka sejak beberapa minggu lalu menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

Lebih membimbangkan mereka tidak bersendirian tetapi ‘diawasi’ individu lain yang dipercayai mendalangi aktiviti itu.

Keadaan ini disedari ketika gambar mereka cuba dirakamkan seorang lelaki bertindak menghalang perbuatan itu dan berkata: “Jangan! Jangan ambil gambar!”

Beberapa kali dia menegaskan perkara itu sambil memandang tajam dan menunjukkan isyarat awas.

Situasi itu, seolah-olah menggambarkan tindakan ‘mengemis’ terbabit tidak ubah seperti satu kegiatan dirancang bertujuan untuk meraih simpati masyarakat dengan helah jijik.

Seorang pekerja syarikat swasta, Dominic Ateng, 32, dari Tudan, berkata pengemis wanita terbabit terdiri daripada tiga wanita berusia sekitar 30-an.

“Biasanya mereka berada di situ pada Selasa, Rabu, Sabtu dan Ahad. Saya selalu nampak mereka mengemis di kawasan sama pada hari berkenaan.

“Mulanya, saya hulurkan derma kerana simpati melihat anak kecil yang mereka bawa. Tetapi pada minggu seterusnya saya perhatikan wanita berkenaan tidak cacat. Yang hairan mengapa mereka sanggup bawa anak kecil mengemis” katanya.

Dominic berkata, selepas menyedari perkara itu beliau tidak lagi menghulurkan derma kepada wanita berkenaan kerana tidak mahu wanita itu meneruskan aktiviti terbabit.

Beliau mahu Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan tegas untuk membanteras kegiatan tidak sihat berkenaan, terutama membabitkan kanak-kanak.

Skru, kepingan besi hilang

Oleh Shukor Kasim
bhnews@bharian.com.my
2011/02/08


RAHIM (kiri), Mohd Yatim (kanan) bersama ahli JKKK Kampung Tehel, Sahat Junos meninjau besi penghalang keselamatan tertanggal akibat kehilangan skru dan besi pengapitnya.JKKK Kampung Tun Razak-Tehel percaya mat gian jual sebagai besi buruk

JASIN: Sebanyak 93 skru dan 31 kepingan besi pengapit penghadang keselamatan yang dipasang di tepi jalan utama Kampung Tun Razak-Tehel dekat sini, didapati hilang dipercayai menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab untuk menjualnya sebagai besi buruk. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tehel, Rahim Selamat, berkata pihaknya amat kesal dengan kejadian terbabit dan ia dipercayai dilakukan penagih dadah. Beliau berkata, kegiatan mencuri skru dan kepingan besi pelapik berukuran 1 kaki x 8 inci itu mungkin dilakukan pada waktu malam kerana jalan sejauh lebih 10 kilometer (km) berkenaan setakat ini masih tidak dilengkapi kemudahan lampu awam.

"Apabila skru dan besi pengapit ini hilang, ia menyebabkan penghadang sedia ada tergantung, sekali gus menyakitkan mata sesiapa saja yang memandangnya.

"Tujuan besi penghadang dipasang adalah untuk keselamatan dan apabila keadaan ini berlaku, ia boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya terutama ketika mereka yang memandu pada waktu malam," katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan dekat sini.

Tinjauan Berita Harian di tiga lokasi di laluan itu mendapati, kehilangan skru dan kepingan besi pengapit terbabit menyebabkan penghadang sedia ada tergantung daripada tempat asalnya.
Kehilangan peralatan itudipercayai disebabkan permintaan yang tinggi terhadap besi buruk di sekitar negeri ini dan akhirnya menyebabkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terpaksa menanggung kerugian apabila pelbagai peralatan yang diperbuat daripada besi dicuri.

Sementara itu, setiausahanya, Mohd Yatim Saring, berkata pihaknya sudah memaklumkan kejadian berkenaan kepada Balai Polis Bemban dan meminta anggota pihak berkuasa itu meningkatkan rondaan di laluan terbabit.

"Sejak kejadian mencuri berlaku, kami kerap mengadakan intipan untuk mencegah kegiatan jenayah terbabit daripada terus berlaku," katanya

Pejabat MB Perak kemuka laporan polis

2011/02/08


AZHAR menunjukkan salinan laporan polis dan salinan surat palsu yang menggunakan kepala surat pejabat Menteri Besar Perak pada sidang media di Ipoh, semalam.IPOH: Pejabat Menteri Besar Perak semalam membuat dua laporan polis berhubung kes penipuan dan pemalsuan dokumen yang menggunakan nama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan jabatan kerajaan negeri berhubung kelulusan tanah.

Kedua-dua laporan berkenaan dibuat Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Azhar Ahmad di Balai Polis Pantai Remis pada jam 6 pagi dan di Balai Polis Sungai Senam di sini, tiga jam kemudian. Azhar berkata, laporan itu dibuat selepas pihaknya menerima dua surat menggunakan kepala surat Menteri Besar dan mempunyai tanda tangannya berhubung kelulusan tanah pertanian di dua lokasi oleh kerajaan negeri. Katanya, surat pertama membabitkan kelulusan tanah pertanian seluas kira-kira 324 hektar di Mukim Kenering bertarikh pada 9 Disember lalu.

“Surat kedua yang menggunakan modus operandi sama iaitu kepala surat Pejabat Menteri Besar serta mempunyai tanda tangan saya membabitkan kelulusan tanah seluas kira-kira 400 hektar di Mukim Pengkalan Hulu yang dikeluarkan pada 13 Januari lalu.

“Kedua-dua surat berkenaan adalah palsu, tipu dan berniat jahat. Kita (Pejabat Menteri Besar) tidak pernah mengeluarkan surat seumpama itu, apatah lagi untuk meluluskannya. Saya tidak mempunyai sebarang kuasa bagi tujuan itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media pejabatnya di sini, semalam.

Sidang media itu bagi mengulas perkembangan terbaru mengenai kes penipuan dan pemalsuan dokumen menggunakan nama Menteri Besar serta jabatan kerajaan negeri untuk meluluskan sesuatu projek.
Azhar berkata, laporan polis itu dibuat bagi menafikan sekeras-kerasnya mengenai pembabitan Menteri Besar atau dirinya dalam kes surat berkenaan.

“Saya mohon supaya mana-mana individu yang menerima surat sedemikian atau menjadi mangsa penipuan sindiket itu supaya membuat laporan polis, selain mendapatkan pengesahan lanjut daripada kerajaan negeri sebelum membuat sebarang pembayaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahlan, mengesahkan menerima laporan polis berkenaan.

Katanya, polis mengenal pasti seorang individu yang menjadi dalang dalam kegiatan penipuan terbabit dan kini mengumpul lebih banyak bukti kukuh sebelum bertindak menahannya.

“Kes ini masih dalam siasatan dan kita masih mengumpulkan lebih banyak bukti sebelum tindakan selanjutnya dibuat. Kita percaya ada dalang yang bertanggungjawab dan tidak menolak kemungkinan ada ‘orang dalam’ yang terbabit.

“Setakat ini, ada dua laporan polis dibuat dan tiada sebarang tangkapan dibuat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan iaitu pemalsuan membabit penipuan.