Sunday, January 30, 2011

64 peniaga ambil kesempatan

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 30 Jan. - Biarpun isu kekurangan bekalan minyak masak kembali reda, namun masih lagi terdapat peniaga barangan kawalan itu 'mengambil kesempatan' apabila sebanyak 64 kes dikesan gagal mematuhi peraturan sepanjang bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, daripada jumlah itu, 18 kes adalah membabitkan peniaga yang gagal menyelenggara akaun harian selain 15 kes berniaga tanpa lesen.
Selain itu, katanya, 13 kes pula dikesan memiliki barang kawalan secara tidak sah, enam pemborong didapati menyimpan melebihi kapasiti dibenarkan dan tiga kes pula membabitkan pemindahan barang kawalan ke tempat tidak berlesen.
''Sementara itu, kes-kes lain masing-masing mencatatkan satu atau dua kes membabitkan pemborong dan peruncit barang kawalan itu di seluruh negara.
''Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan tiada kenaikan harga minyak masak dan rakyat diminta jangan membeli secara panik,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di pasar Jinjang Utara dan Pasar raya besar Giant Brem Mall, Kepong di sini hari ini.
Lawatan tersebut diadakan sempena kempen Skim Kawalan Harga sempena musim perayaan Tahun Baru Cina yang bermula hari ini sehingga 10 Februari ini.
Sebanyak 11 jenis barang ditetapkan pada skim kawalan harga itu melibatkan harga maksimum borong dan runcit dibuat bagi 146 kawasan dan daerah di seluruh negara dengan 1,606 harga maksimum borong dan 1,606 harga maksimum runcit.
Beliau berkata, seramai 1,600 pemantau dan 1,900 penguat kuasa telah memulakan tugas memantau harga barang di seluruh negara sepanjang kempen itu.
''Bagaimanapun, kita berbangga peniaga tidak menaikkan harga barang malah menjual pada harga lebih rendah.
''Kita turut berharap mereka mengekalkan harga itu supaya tidak membebankan pengguna untuk menyambut perayaan tidak lama lagi,'' katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengguna diminta memahami keadaan cuaca tidak baik ketika ini yang telah menjejaskan tangkapan makanan laut.
''Oleh itu, harga bahan mentah itu didapati naik sedikit tetapi kita tidak dapat mengawal harganya kecuali ikan bawal putih dan udang putih sahaja,'' katanya.

Majikan potong gaji tidak carum KWSP

2011/01/30

SEBAHAGIAN pekerja sebuah syarikat keselamatan menunjukkan penyata KWSP mereka di Batu Maung, semalam.
GEORGETOWN: Lebih 200 pengawal keselamatan sebuah syarikat kawalan keselamatan di Batu Maung, di sini mendakwa majikan mereka gagal mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun gaji mereka dipotong setiap bulan sejak tiga tahun lalu.

Lebih malang lagi, jika ada pekerja yang bersuara mengenai isu berkenaan, mereka akan dipecat dan sehingga kini beberapa pengawal keselamatan sudah diberhentikan.
Pengawal keselamatan itu juga mendakwa mereka sudah membuat aduan kepada KWSP dan berulang kali ke pejabat agensi berkenaan, tetapi jawapan yang diterima amat mengecewakan iaitu ‘masih dalam siasatan.’
Jurucakap pekerja itu, Ahmad Ibrahim, 42, berkata masalah itu disedari apabila beberapa pekerja membuat semakan di KWSP dan mendapati majikan tidak membuat caruman walaupun gaji mereka dipotong setiap bulan.

Sehubungan itu, katanya, pekerja yang terbabit sudah mengadakan perbincangan dengan majikan bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu, tetapi sehingga kini masih tiada penyelesaian.

“Kami pernah membangkitkan perkara ini tetapi majikan memberi pelbagai alasan seperti cek lambat proses. Mereka juga mendakwa pemeriksaan rekod perlu dibuat di KWSP Seberang jaya, bukannya Bayan Baru,” katanya yang ditemui bersama 50 pekerja syarikat itu di Batu Maung, semalam.

Ahmad mendakwa, mereka tidak berpuas hati dengan tindakan majikan kerana penyata gaji menunjukkan potongan dibuat setiap bulan membabitkan purata RM120 sebulan setiap pengawal keselamatan.
“Kami pelik ke mana perginya duit yang dipotong daripada gaji kami. Ini hak kami yang sepatutnya dijaga majikan dan ia jaminan untuk kami pada hari tua. Cuba bayangkan pekerja yang sudah berhenti, sudah pasti majikan akan lepas tangan," katanya.

Ketika ditanya kenapa sekarang baru mahu membangkitkan masalah ini, Ahmad berkata, pihaknya trauma untuk mengadu kerana ada rakan yang pernah mengadu pada media atau agensi berkaitan, dibuang kerja dengan pelbagai alasan.

“Kami juga yakin, selepas perjumpaan dengan media hari ini (semalam), akan ada antara kami yang akan dipecat atau diberi notis gantung kerja, potong gaji ataupun cubaan membuat kami berhenti secara rela dengan memindahkan kami ke negeri lain seperti yang berlaku pada 2008 dan 2009,” katanya.

Sementara itu, bekas pengawal keselamatan yang mendakwa dipecat tujuh bulan lalu, Mohd Saffuan Adnan, 24, berkata dia yang berkhidmat dengan syarikat itu selama lima tahun, hanya mempunyai caruman KWSP sebanyak RM1,000.

“Saya banyak kali mempertikaikan ke mana pergi caruman saya dan majikan yang mungkin risau masalah saya akan diketahui pekerja lain, memecat saya dengan notis 24 jam dengan alasan syarikat yang menggunakan khidmat syarikat kami tidak mahu melanjutkan kontrak,” katanya

JAIK tahan tiga pasangan di premis Jalan Bukit Pinang

ALOR SETAR: Sebuah motel yang terletak di hujung kampung yang menawarkan harga serendah RM80 semalam untuk setiap bilik menjadi lokasi pilihan pasangan ‘bercinta’ untuk melempiaskan nafsu sejak beberapa tahun lalu.
Kegiatan itu didedahkan Bahagian penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) yang menyerbu motel di Jalan Bukit Pinang, dekat sini dan menahan tiga pasangan termasuk tiga penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) tengah malam kelmarin.
Dalam serbuan pada kira-kira jam 12.40 tengah malam itu, penjaga motel yang berusia awal 20-an dikatakan terkejut apabila melihat sepasukan 15 anggota penguatkuasa JAIK membuat pemeriksaan di situ.

Hasil siasatan mendapati penjaga motel itu memberi jaminan kepada pelanggannya yang beliau akan menghantar SMS jika ada serbuan JAIK untuk membolehkan mereka melarikan diri sebagai tarikan untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan ke motel itu kerana ia dikategorikan ‘selamat’.

Bagaimanapun, kelmarin, penjaga motel itu terpaksa akur dengan memberi kerjasama dan mengetuk bilik pelanggannya yang disyaki melakukan maksiat itu. Motel itu mempunyai 15 bilik membabitkan tiga blok.

Ketua Operasi JAIK, Mat Nasir Md Dali, berkata pihaknya yang menerima maklumat berhubung kegiatan itu membuat serbuan di motel itu dan menahan tiga pasangan berusia 19 hingga 33 tahun di tiga bilik sewa di motel itu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan, ketiga-tiga pasangan itu mengaku tidak mempunyai sebarang ikatan sah atau suami isteri menyebabkan timbul syak mereka melakukan maksiat.

"Kita sudah banyak kali menerima aduan berhubung kegiatan maksiat di motel itu sejak beberapa tahun lalu, tetapi kita perlu menjalankan siasatan menyeluruh termasuk membuat rondaan serta risikan maklumat dan membuat pengesahan berhubung aduan itu terlebih dulu sebelum membuat serbuan.

"Hasil serbuan kita menemui tiga pasangan terbabit di bilik berasingan dan percaya lebih ramai pelanggan menyewa di situ setiap malam disebabkan lokasinya yang jauh daripada pandangan orang ramai dan terletak di hujung kampung," katanya.

Mat Nasir berkata, berdasarkan siasatan kebanyakan mereka yang dicekup itu berasal di sekitar negeri ini dan ada di kalangan mereka mengaku sudah beberapa kali datang ke motel itu untuk melakukan maksiat bersama pasangan masing-masing.

Semua pasangan yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Kepala Batas, di sini untuk dibuat laporan tangkapan dan dibawa ke pejabat JAIK untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan keluarga masing-masing.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana disyaki berkurung sehingga mendatangkan syak kepada orang ramai dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Mat Nasir berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada seorang pengadu, motel itu kerap disewakan untuk pasangan Islam yang belum berkahwin terutama penuntut universiti dan pelajar sekolah kerana jalan masuk ke situ gelap gelita dan sudah lama beroperasi.

"Disebabkan banyak hotel dan motel murah di sekitar bandaraya ini diserbu JAIK, lokasi ini menjadi pilihan utama pasangan remaja untuk melakukan maksiat kerana ia terletak di kawasan yang terpencil dan tidak diketahui ramai,” katanya.

Tuesday, January 25, 2011

13 wanita asing ditangkap miliki dokumen palsu

2011/01/26
BAHAU: Seramai 11 wanita warga China dan dua wanita warga Thailand yang dipercayai menggunakan pas lawatan kerja sementara palsu ditahan dalam satu operasi Jabatan Imigresen di tiga premis rumah urut di sini malam tadi.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Ahmad Shakirin Zainal Abidin, berkata hasil soal-siasat terhadap tujuh wanita warga China yang berusia awal 30-an itu mendapati mereka membelanjakan sejumlah RM13,510 untuk mendapatkan dokumen palsu itu. "Kita tahan mereka kerana disyaki menggunakan pas lawatan kerja sementara
yang palsu. Pas palsu ini diperolehi melalui orang tengah," katanya kepada
pemberita di pejabatnya.

Katanya, kesemua mereka yang berusia antara 30 hingga 35 tahun akan didakwa mengikut Seksyen 56(1)(L) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dari lima tahun dan denda tidak lebih dari RM10,000.

Seramai tiga pegawai dan 10 anggota terbabit dalam operasi yang dimulakan pada jam 9 malam dan berakhir kira-kira jam 12.30 pagi. - BERNAMA

Bekas pengarah syarikat Ho Hup Constructions Bhd didakwa

2011/01/26
KUALA LUMPUR: Bekas pengarah syarikat Ho Hup Construction Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana gagal memaklumkan perubahan kepentingan selepas menjadi pemegang saham berjumlah besar kepada syarikat itu seperti yang dikehendaki di bawah Akta Syarikat 1965.

Datuk Low Tuck Choy, 52, didakwa mempunyai kepentingan secara tidak langsung dalam Syarikat Low Chee & Sons Sdn Bhd, didakwa gagal memaklumkan perubahan kepentingan kepada Syarikat Ho Hup melalui borang 29B bertarikh 15 Jan 2010, melebihi tempoh tujuh hari seperti yang termaktub di bawah Seksyen 69F(2) akta itu. Low didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat Ho Hup yang beralamat di No 18 Jalan 17/155C, Bandar Bukit Jalil di sini, pada 15 Januari 2010. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 69M Akta Syarikat 1965 dan dibaca bersama Seksyen 6A Akta Syarikat 1965 yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Mohamad Azies Han Mohd Fadzil dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia manakala Low diwakili peguam Datuk V Sithambaram.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menetapkan 17 Mac depan untuk sebutan kes. - BERNAMA

UPP Kedah rampas 32 kotak mercun papan

KUBANG PASU 25 Jan. 2011 - Kegiatan menyeludup mercun sempena sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi, sudah bermula.
Dalam satu operasi tengah malam tadi, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Changlun merampas mercun papan bernilai RM19,200 yang cuba diseludup masuk di persimpangan Jalan Kampung Langsat Lebuh Raya Changlun-Perlis, dekat sini.
Komandernya, Muhamad Zunaidi Nairitt Abdullah berkata, mercun jenis 888 itu ditemui dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang tersadai di tepi jalan menghala ke Kodiang semasa anggotanya menjalankan rondaan kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Katanya, kenderaan jenis Naza Ria berwarna hitam itu dipercayai ditinggalkan oleh pemandunya di tepi jalan akibat mengalami kerosakan enjin.
"Ketika diperiksa, kenderaan itu tidak berkunci. Kami kemudian menemui kotak-kotak mercun yang ditutup dengan kain hitam di tempat duduk belakang kenderaan itu.
"Kesemua kerusi penumpang dalam kenderaan itu telah dibuang bagi memudahkan pemiliknya memuatkan kotak-kotak mercun," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Muhamad Zunaidi berkata, berikutan itu, anggotanya melakukan intipan selama tiga jam sebelum kenderaan itu dibawa ke Pangkalan UPP Changlun selepas tiada siapa yang menuntutnya.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati sejumlah 32 kotak mengandungi 1,920 papan mercun papan yang dipercayai untuk pasaran tempatan disorok di dalam MPV bernombor pendaftaran Malaysia itu.
"Siasatan lanjut mengenai siapa pemilik kenderaan itu sedang dijalankan. Kami akan berkerjasama dengan agensi-agensi berkaitan termasuk menyiasat sama ada ia menggunakan nombor pendaftaran palsu," ujarnya.
Kes itu, katanya, akan dirujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia kerana mercun-mercun berkenaan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
Katanya, rampasan itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang boleh membawa hukuman denda maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Rasuah Jakim, pengurus dipenjara dipenjara

ALOR SETAR 25 Jan. 2011 - Seorang pengurus kilang dihukum penjara dua tahun dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memberi rasuah RM1,000 kepada dua pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), lima tahun lalu.

Hakim Zainol Saad menjatuhkan hukuman itu ke atas Teh Choon Guan, 49, selepas didapati bersalah melakukan perbuatan itu di Guan Xeng Industries Sdn. Bhd., Kulim pada pukul 10.10 pagi, 9 November 2006.

Dia didakwa memberi suapan wang tunai RM500 bagi setiap pegawai Jakim terbabit sebagai dorongan agar mereka tidak melaporkan hasil pemeriksaan pensijilan halal ke atas syarikatnya, Guan Xeng Industries Sdn. Bhd.

Dalam pemeriksaan itu, syarikat itu didapati tidak memenuhi prosedur pensijilan halal yang ditetapkan oleh Jakim.

Dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Ghani Darus mengikut Seksyen 11(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu rayuan selain membebaskan tertuduh dengan jaminan RM10,000 beserta seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam Andrew Paul membayar jaminan dan denda tersebut.

Sindiket seludup warga Afghan tumpas tumpaskan

PELABUHAN KLANG 25 Jan. 2011 - Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia menjadikan rakyat Afghanistan yang ingin mencari perlindungan di Australia sebagai sasaran apabila memberkas dua lelaki yang mendalangi kegiatan itu di Jeti Pulau Ketam di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 4.30 petang itu, selain anggota sindiket, turut ditahan ialah tiga lelaki warga Afghanistan yang ingin berhijrah secara haram ke Pulau Christmas di Australia.

Ketua Pejabat Imigresen Jeti Pulau Ketam, M. Chandran berkata, pihaknya berjaya menumpaskan kumpulan sindiket terbabit hasil kerjasama dengan Jabatan Imigresen Indonesia dan syarikat Feri Indomel Ekspres.

"Pihak kami menunggu di Jeti Pulau Ketam setelah dimaklumkan oleh Imigresen Indonesia bahawa tiga lelaki Afghanistan yang ingin menyeludup masuk ke Pulau Christmas melalui negara ini kini berpatah balik ke Malaysia setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa di republik itu.

"Kapten feri yang dinaiki suspek juga memberi kerjasama dengan mengawasi dan melaporkan pergerakan suspek sepanjang perjalanan sebelum mereka ditangkap," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek berusia 25 hingga 40 tahun ditangkap sebaik sahaja keluar dari feri, manakala pemandu teksi yang diupah membawa mereka diberkas di tempat letak kereta berhampiran jeti tersebut.

Menurutnya, rakan pemandu teksi iaitu lelaki Indonesia yang berada berhampiran bertindak melarikan diri apabila menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa Imigresen.

Katanya, suspek berlari masuk ke dalam komuter yang sedang berhenti dan keluar semula menahan sebuah teksi untuk melarikan diri.

"Saya bersama empat anggota terpaksa mengejar suspek sejauh kira-kira 300 meter dan berjaya memberkasnya apabila pemandu teksi bertindak memberhentikan kenderaannya sebaik menyedari penumpang dibawa sedang dikejar oleh penguat kuasa Imigresen.

"Dalam insiden itu, anggota saya terjatuh dan mengalami kecederaan tetapi ia tidak menghalang usaha kami menangkap suspek," ujarnya.

Chandran berkata, siasatan mendapati, lelaki Afghanistan terbabit bergerak masuk melalui Pakistan, Thailand, Malaysia dan Indonesia sebelum ke Pulau Christmas.

Menurutnya, pelarian terbabit memiliki tiga pasport palsu iaitu Afghanistan, Pakistan dan Peru untuk digunakan sepanjang perjalanan ke Australia.

Beliau berkata, semasa perjalanan dari Afghanistan ke Thailand, mereka menggunakan pasport Pakistan dan pasport Peru digunakan semasa tiba ke Malaysia, Indonesia dan Pulau Christmas nanti.

"Apabila tiba di tengah laut, mereka diminta mengoyak dan membuang pasport Pakistan yang digunakan sebelum itu.

"Bagi mengaburi pihak berkuasa, pasport Peru yang dibawa sudah siap dicop oleh Imigresen kononnya semasa pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang," katanya.

Beliau berkata, mereka membeli pasport palsu Peru itu dengan harga 1,000 Dolar Amerika Syarikat (AS$) atau RM3,053.

Apabila usaha mereka memasuki Indonesia gagal, katanya, pelarian terbabit berpatah balik ke Malaysia untuk bersembunyi di sebuah hotel di Sepang.

Katanya, lelaki Indonesia dan pemandu teksi masing-masing berusia 32 tahun dan 40-an yang ditangkap ditugaskan membawa pelarian ini ke hotel sementara menunggu untuk diseludup semula ke Pulau Christmas menggunakan taktik lain.

"Setiap lelaki Afghanistan terbabit akan membayar AS$500 (RM1,526.50) kepada lelaki Indonesia itu untuk upah membawa mereka ke hotel," katanya sambil memberitahu pihaknya turut merampas wang AS$500 daripada tiga lelaki berkenaan.

Chandran berkata, ketiga-tiga lelaki Afghanistan itu kini direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Pasport 1966, manakala dua anggota sindiket disiasat di bawah Akta Pemerdagangan Orang 2007.

Petugas JPJ didakwa peroleh rasuah RM200

2011/01/25
SHAH ALAM: Seorang petugas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan memperoleh suapan RM200 sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan saman terhadap seorang pemandu lori April tahun lalu.

Zafri Zulkepli, 28, dari Jasin, Melaka, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah. Tertuduh, yang bertugas sebagai pemeriksa kereta motor di JPJ Wilayah Persekutuan, telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan itu daripada Eng Kim Seng sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan saman terhadap K Nadarajan yang melakukan kesalahan meletak kenderaan yang menghalang lalu lintas di Jalan Samudera Barat 3, di Taman Samudera, Gombak, pada 10.40 malam 14 April tahun lalu. Zafri, yang ditangkap pada 15 April tahun lalu, didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 , yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mat Ghani membenarkan Zafri dibebaskan dengan jaminan RM3,000 serta seorang penjamin dan menetapkan empat hari bermula 9 Mei ini untuk perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Fadzillah Mohd Ossman manakala Zafri diwakili peguam Martin Tay. - BERNAMA

Monday, January 24, 2011

Peniaga didakwa cuba sogok polis RM50

24/01/2011 5:57pm

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA BHARU 24 Jan. – Usaha seorang peniaga cuba menyogok seorang anggota polis trafik sebanyak RM50 bagi mengelak disaman akibat memandu tanpa lesen bukan sahaja tidak berjaya, malah dia kini berhadapan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000.
Peniaga terbabit, Mohd. Sabri Maarof, 38, dari Pasir Mas, didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Irwan Suainbon di sini hari ini, kerana memberi suapan itu kepada Inspektor Mohamad Azmihrul yang bertugas di cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada 1 Ogos tahun lalu.
Menurut fakta kes, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 11.30 pagi di hadapan pejabat penggawa di Jalan Sultan Yahya Petra dekat sini. - Utusan

Polis hanya tumpu sindiket jual bayi bukan ketirisan agensi

KUALA LUMPUR 24 Jan. 2011 - Siasatan polis dalam kes penjualan bayi tidak tertumpu terhadap ketirisan yang berlaku di agensi-agensi tertentu termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebaliknya ia bertujuan membongkar kegiatan penyediaan dokumen kelahiran bayi yang dijual.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin (gambar) menegaskan, dalam siasatan dilakukan, pihaknya juga tidak menuding jari terhadap ketirisan mana-mana pihak.

Menurutnya, siasatan polis setakat ini tertumpu kepada dua perkara iaitu dokumen yang diperoleh untuk setiap bayi dan sindiket menjual bayi berkenaan.

"Polis sedang mengesan bagaimana setiap bayi yang dijual mendapatkan dokumen kelahiran kerana tindakan mereka menyalahi undang-undang.

"Pada masa sama, kita juga sedang menyiasat mengenai sindiket penjualan bayi serta modus operandi yang digunakan mereka. Kedua-dua perkara itu kini masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selasa lalu, polis berjaya membongkar satu kegiatan sindiket jual bayi di sekitar Lembah Klang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa.

Dalam siasatan itu, polis tidak menolak kemungkinan terdapat dalang dalam agensi yang mengeluarkan dokumen kelahiran bayi-bayi.

Berikutan itu akhbar hari ini melaporkan Ketua Pengarah JPN, Datuk Alwi Ibrahim, menafikan bahawa kakitangannya terlibat dalam sindiket tersebut.

Beliau bagaimanapun meminta pihak yang mempunyai bukti berhubung penglibatan kakitangannya agar tampil memberikan maklumat.

17 pencarum KWSP disabit kesalahan menipu pengeluaran

24/01/2011 5:10pm

KUALA LUMPUR, 24 Jan. - Seramai 17 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didapati bersalah oleh mahkamah atas dakwaan menipu pengeluaran bagi tempoh Oktober hingga Disember lepas.
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, mereka semua dikenakan hukuman denda di mana 12 daripada mereka berkemungkinan menghadapi hukuman penjara sehingga enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Antara Januari dan Disember 2010, sebanyak 74 saman mahkamah telah difailkan terhadap pencarum yang terlibat dengan penipuan di bawah pengeluaran perumahan, hilang upaya dan pendidikan, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, dalam tempoh sama, seramai 56 ahli telah didapati bersalah membuat penipuan pengeluaran sementara 61 kes lagi sedang dalam proses tindakan mahkamah. - Bernama

Bekas Penolong Pengarah Hutan dan Galian dipenjara, denda

2011/01/24
KUALA LUMPUR: Bekas Penolong Pengarah Jabatan Tanah dan Galian di Putrajaya, Mohd Nadzri Mohd Radzi dipenjara 14 hari dan didenda RM230,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini bagi kesalahan memperdayakan jabatan dengan memalsukan butiran dalam beberapa dokumen.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas Mohd Nadzri, 28, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap empat pertuduhan berkenaan pada prosiding hari ini. Sebelum ini mahkamah menetapkan kes itu dibicarakan selama seminggu bermula hari ini. Rozilah menjatuhkan hukuman penjara 14 hari bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan Mohd Nadzri menjalani hukuman itu secara serentak bermula hari ini.

Bagaimanapun mahkamah memberi peluang kepadanya untuk membayar denda itu secara ansuran sebanyak RM46,000 setiap bulan, dalam tempoh lima bulan pada setiap 28 haribulan.

Jika gagal menjelaskannya, Mohd Nadzri yang tidak diwakili peguam itu boleh dipenjara dua tahun.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Nadzri didakwa dengan niat memperdayakan jabatannya untuk mempercayai butiran dalam dokumen iaitu Pesanan Kerja bertarikh 17 April 2009 yang mengandungi perakuan bayaran "Pakej Penginapan, Makan dan Minum bagi Kursus Budaya Kerja Cemerlang Kumpulan Sokongan Zon Utara dan Zon Timur pada 22-24 April 2009 di The Regency Hotel Alor Setar, Kedah berjumlah RM18,360, sedangkan jumlah sebenarnya adalah RM10,462.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan niat memperdayakan jabatannya untuk mempercayai butiran dalam dokumen iaitu invois M Suites Hotel bagi pakej penginapan makan dan minum bagi kursus budaya kerja cemerlang kumpulan pengurusan Zon Selatan dan Putrajaya bertarikh 13 hingga 15 Mei 2009 di hotel itu berjumlah RM20,010 sedangkan jumlah sebenar pakej itu adalah RM10,810.

Dia didakwa dengan pertuduhan yang sama yang melibatkan butiran dalam dokumen yang bertarikh 26 Mei 2009 iaitu "Pakej Penginapan, Makan dan Minum Bagi Kursus Pengurusan Majlis Protokol dan Etika Sosial anjuran Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian pada 3 hingga 5 Jun 2009" di Hotel Dynasty berjumlah RM24,995 sedangkan jumlah sebenar adalah RM12,166.80.

Bagi pertuduhan terakhir, dia didakwa dengan pertuduhan yang sama iaitu melibatkan butiran dalam dokumen yang bertarikh 19 Julai, iaitu "Pakej Penginapan, Makan dan Minum Bagi Kursus Induksi Khusus Bil 2 Tahun 2009, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian pada 21 hingga 24 Julai 2009" di Brisdale International Hotel, Kuala Lumpur yang berjumlah RM29,900 sedangkan jumlah sebenar RM10,160.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Aras 4, Podium 1, Wisma Sumber Asli, No 25 Persiaran Perdana, Presint 4, Putrajaya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24, akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya hakim mengapa Mohd Nadzri melakukan kesalahan itu, dia berkata perlu menjelaskan hutangnya berjumlah RM80,000 selain perlu menyara keluarganya.

"Saya merayu kepada mahkamah agar meringankan hukuman itu kerana telah insaf," katanya. - BERNAMA

Sunday, January 23, 2011

Bekas Pengarah Imigresen Pulau Pinang didakwa

Oleh Petah Wazzan Iskandar

2011/01/24
GEORGETOWN: Bekas Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Harun, 52, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana memiliki harta wang dan hartanah lebihan sebanyak RM152,081 yang melampau daripada pemilikan yang sepatutnya.

Abdul Rahman yang kini memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Kementerian Dalam Negeri (KDN) didakwa selepas gagal memberi penjelasan yang memuaskan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika disoal siasat di sini pada 11 Oktober tahun lalu. Beliau disiasat mengikut Seksyen 36(3) Akta SPRM 2009. Bagaimanapun, tertuduh yang berpakaian hitam dengan tenang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, Abdul Rahman didapati memiliki harta wang dan hartanah sebanyak RM817,355 yang terdiri daripada Akaun Amanah Saham Bumiputera (RM334,245), Akaun Lembaga Tabung Haji (RM299,016) dan Akaun Maybank (RM48,094).

Manakala, nilai hartanah sebanyak RM136,000 yang menunjukkan terdapatnya harta berlebih-lebihan sebanyak RM152,081 selepas mengambil kira emolumen sekarang dan yang lalu dan segala hal keadaan berkaitan.

Abdul Rahman diwakili peguam Mohd Fadhly Hashim manakala SPRM diketuai Timbalan Pendakwaraya, Anthony Kelvin Morais.
Mohd Fadly meminta mahkamah mengurangkan nilai ikat jamin kerana Abdul Rahman sudah berkhidmat selama 28 tahun dalam perkhidmatan awam dan adalah seorang yang dihormati masyarakat.

"Sejak kesnya disiasat, beliau memberi kerjasama sebaiknya dan tiada sebab untuk dirinya yang dijamin isterinya yang juga seorang pegawai perkhidmatan awam, untuk tidak hadir ke mahkamah," katanya.

Sementara itu, Anthony berkata pihaknya membantah pengurangan ikat jamin kerana kes tertuduh adalah serius.

Sitarun membenarkan Abdul Rahman diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin sebelum tarikh sebutan kes pada 13 Jun ini.

Thursday, January 20, 2011

Suapan RM60,000 - hukuman ditangguh

Jan 21, 11 11:24amKongsi 0Mahkamah Sesyen di Butterworth hari ini menangguhkan hukuman terhadap bekas pegawai daerah Seberang Perai Utara (SPU) yang didapati bersalah meminta rasuah lima tahun lalu kerana sedang menjalani rawatan penyakit jantung di Hospital Besar Pulau Pinang.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin menetapkan 28 Jan ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Jamil Mohd Noor, 58, selepas peguamnya Rosli Ismail mengemukakan surat mengenai rawatan itu.

Mohd Jamil didapati bersalah melakukan perbuatan itu pada 27 Jan 2006 pukul 11 malam di Restoran Nasi Kandar An Nur, Kepala Batas.

Dia cuba meminta wang suapan RM60,000 daripada Arizal Mohd Arshad untuk menaikkan nilai pampasan pengambilan balik sebahagian tanah Lot 3482 GM2058, Mukim 5, SPU bagi meluaskan kawasan meletak kenderaan di Pasar Awam, Kepala Batas.

Mohd Jamil dituduh mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575), yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama iaitu penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun atau denda RM300,000 atau lima kali nilai suapan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Janariah Abdul Mutalib.

Tuntutan palsu: Pegawai FAMA didenda RM10,000

21/01/2011 12:53pm


SHAH ALAM 21 Jan. - Seorang Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dihukum penjara sebulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah sesyen disini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berhubung kos penginapan di sebuah hotel, lapan tahun lalu.

Hakim Mat Ghani Abdullah turut memerintahkan Rosli Kasmuni, 48, menjalani hukuman penjara tambahan selama tiga bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut.

Beliau bagaimana pun membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sehingga rayuan selesai didengar. - Utusan

Suami isteri rugi ditipu 'doktor'

Suami isteri rugi ditipu 'doktor'

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my



SARIP Sayed dan Salihah Biran sambil diperhatikan Saharudin menunjukkan salinan laporan polis dan baucar bayaran RM14,000 di Melaka, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



MELAKA 20 Jan. - Sepasang suami isteri hari ini mendakwa kerugian RM14,000 akibat ditipu seorang 'doktor' yang mengaku kononnya mampu mengubati penyakit kronik yang dihidapi mereka.

Akibatnya, pasangan itu bukan sahaja kehilangan wang simpanan Tabung Haji yang dikumpul sejak 10 tahun lalu, malah penyakit yang dihidapi juga dikatakan semakin melarat.

Sarip Sayed, 61, dan isterinya, Salihah Biran, 54, mendakwa, mereka tidak menyangka lelaki berusia 72 tahun yang mengaku dirinya sebagai doktor itu sanggup mengaut keuntungan mudah dengan menipu di sebalik perwatakan alim.

Menurut Salihah, kali pertama dia dan suami bertemu dengan 'doktor' tersebut adalah pada 14 Oktober 2009 di rumah lelaki itu di Taman Merak, Bukit Katil di sini.

Ketika itu, katanya, dia bercadang menjalani perubatan homeopati bagi merawat sakit urat dan batu karang yang dihidapinya, manakala suaminya menghidap kencing manis dan darah tinggi.

"Sampai di rumahnya, lelaki itu yang memakai stetoskop di leher memperkenalkan dirinya sebagai doktor.

"Dia kemudian mengambil gambar mata saya dan memaparkannya di skrin besar sebelum menjelaskan saya turut mempunyai penyakit buah pinggang yang perlu dirawat segera sebelum melarat," dakwanya.

Tambahnya, sepanjang sesi penerangan itu, lelaki tersebut tidak berhenti-henti menyebut nama Allah dan berjanji akan merawat penyakit mereka sehingga sembuh tetapi perlu menggunakan ubatan herba yang dibekalkan pada harga RM14,000.

Dia memberitahu, warga emas itu juga cuba menakutkan mereka dengan mengatakan sekiranya dibiar, buah pinggang akan rosak dan memerlukan perbelanjaan lebih tinggi sekitar RM100,000.

"Dia juga bijak memujuk kami supaya mengeluarkan simpanan di Tabung Haji dengan mengatakan tidak guna menunaikan haji sekiranya badan tidak sihat dan selalu sakit-sakit.

"Termakan dengan kata-katanya itu, saya dan suami pun bersetuju dan pada masa sama 'doktor' itu pula menggesa kami menyerahkan wang tersebut keesokan harinya sebelum pukul 11 pagi kerana perlu ke Kuala Lumpur segera untuk membeli ubat tersebut.

"Esoknya, pada 15 Oktober 2009, saya dan suami mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji sebanyak RM12,000 dan serahkan kepada lelaki itu tanpa diberi sebarang ubat. Baki RM2,000 perlu dijelaskan di ibu pejabat klinik lelaki itu di Setapak, Kuala Lumpur," dakwanya lagi.

Salihah berkata, selang lima hari, dia dan suami pergi ke Kuala Lumpur dan di sana barulah mereka diberi bekalan ubat seperti dijanjikan, tetapi terkejut apabila mendapati kesemua tiga bungkusan ubat adalah sama sedangkan ia untuk rawatan penyakit yang berbeza.

Tambahnya, selepas sebulan menggunakan 'ubat' itu, penyakit yang dihadapi semakin teruk dan terkejut apabila 'doktor' terbabit mengarahkannya mendapatkan rawatan susulan di hospital sedangkan sebelum ini dia memberi jaminan mereka sekeluarga akan dirawat sehingga sembuh.

"Setelah tertipu, saya dan suami membuat laporan polis pada 8 Januari 2010 selain ke Tribunal Tuntutan Pengguna tetapi kecewa apabila ditolak dengan alasan lelaki itu doktor profesional.

"Saya cuba menghubungi 'doktor' itu tetapi gagal malah ketiga-tiga cawangan pusat perubatan homeopatinya di Melaka, Kuala Lumpur dan Temerloh, juga ditutup," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pelindung Pengguna Melaka, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi, lelaki terbabit tidak pernah diiktiraf sebagai doktor, sebaliknya dia cuma pernah menjalani kursus latihan kedoktoran.

Tambahnya, beliau juga difahamkan hasil ujian makmal daripada Jabatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ubat-ubatan yang dibekalkan kepada keluarga itu tidak mempunyai kelulusan KKM.

"Saya lihat, memang ada unsur penipuan memandangkan semua cawangan pusat perubatan lelaki tersebut tidak lagi beroperasi, malah lelaki itu juga tidak dapat dihubungi," katanya.

Wednesday, January 19, 2011

Ketua jemaah tarik emas dicekup

Dari: Harian Metro




KUALA LUMPUR: Wanita warga Indonesia yang mendakwa mampu menarik emas dan mempunyai kira-kira 20 pengikut membabitkan lelaki muda dan tampan, dicekup di rumahnya di Taman Meru Empat, Klang awal pagi semalam.

Ketika ditahan sepasukan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman itu pada kira-kira jam 3 pagi, wanita berkenaan didapati sedang mengurut seorang pengikutnya di ruang tamu rumah mereka.


Seorang daripada anggota SRS yang enggan dikenali berkata, ketika tangkapan dibuat seorang lagi pengikut wanita berusia 40-an itu berada dalam sebuah bilik di bahagian belakang rumah.


Menurutnya, penduduk taman perumahan itu membabitkan anggota SRS dan KRT membuat serbuan selepas pemantauan dan intipan selama dua minggu selepas kisah wanita itu disiarkan Harian Metro pada 11 Januari lalu.


“Penangkapan dilakukan pada jam lebih kurang 3 pagi semalam. Ketika diserbu dua lelaki muda turut berada di dalam rumah, seorang daripada mereka ditangkap ketika diurut wanita itu.


“Seorang lagi yang berada di dalam bilik cuba melarikan diri menggunakan pintu belakang, namun ditahan pihak kami yang terlebih awal mengepung rumah itu,” katanya.



Katanya, sebelum serbuan dilakukan, mereka menghubungi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), namun penguat kuasa jabatan itu tidak hadir walaupun sudah berkali-kali dihubungi.


“Berikutan itu, wanita itu dan dua lelaki yang juga dibawa ke Balai Polis Meru. Kami dimaklumkan, pada jam 10 pagi tadi (semalam) baru anggota Jais datang.


“Namun, kami agak kecewa kerana selepas disoal siasat kira-kira satu jam, wanita itu dan dua lelaki terbabit dibebaskan. Kami keliru mengapa dia tidak ditahan terus sedangkan kami diberitahu pas lawatan sosial milik wanita itu sudah tamat tempoh,” katanya.


Kegiatan wanita itu yang dipanggil Kak Emi atau Ibu oleh pengikutnya disiarkan akhbar ini 11 Januari lalu kerana dia dikatakan ligat memancing pemuda tampan berusia 20-an dijadikan pengikutnya bagi dilatih menjadi ejen perbuatan khurafat menarik emas dari alam ghaib.


Wanita berkenaan dikatakan menjalankan kegiatan penipuan itu sejak empat tahun lalu di sekitar Lembah Klang dan setakat ini, jumlah pemuda tampan yang menjadi pengikutnya mencecah 20 orang.


Lebih menjelikkan, beberapa pengikutnya turut dipercayai tinggal serumah dan melakukan hubungan seks bersama Ibu itu di rumah sewanya.


Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarof berkata, Jais perlu menjalankan siasatan dengan teliti walaupun mereka yang ditahan itu dipercayai melakukan kesalahan khalwat dan amalan pelik yang dilakukan.


Menurutnya, mungkin lebih mudah jika penguat kuasa Jais yang melakukan tangkapan kerana sudah pasti siasatan dan risikan yang dilakukan berdasarkan maklumat orang ramai, selain memiliki kuasa menguatkuasakan undang-undang syariah.


“Lazimya, mereka bukan dibebaskan sewenang-wenangnya, tetapi dengan bon jaminan dan dipanggil semula ke pejabat Jais bagi direkodkan siasatan terperinci yang dilakukan Jais bagi melengkapkan siasatan sebelum mereka boleh didakwa berdasarkan enakmen jenayah berkaitan.


“Bukan itu saja, Jais juga akan mendapatkan maklumat daripada kumpulan masyarakat di taman berkenaan yang bertanggungjawab menahan mereka yang disyaki,” katanya, semalam.


Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penahanan ketiga-tiga suspek berkenaan.

Sentral: Jual arak di rumah sewa

2011/01/20


RUMAH sewa yang didiami warga asing dijadikan premis perniagaan di Taman Meru Utama.Warga asing di Taman Meru Utama kian bermaharajalela

KLANG: Kebanjiran peniaga warga asing di Taman Meru Utama di sini meresahkan penduduk tempatan yang mendakwa ketenteraman terganggu akibat tindakan mereka mengubah suai rumah disewa untuk dijadikan premis perniagaan haram. Penduduk meminta Majlis Perbandaran Klang (MPK) bertindak tegas melarang peniaga asing menjadikan kawasan perumahan itu sebagai premis perniagaan. Setiausaha Kejiranan dan Keselamatan Kariah Batu 7 Meru, Syed Hassan Kuthoos Syed Ahmad Kabeer, berkata setakat ini, MPK hanya menyaman peniaga asing terbabit tanpa tindakan susulan lebih tegas untuk menghalang mereka daripada terus menjalankan perniagaan haram berkenaan.

"Saya pernah bertanya kepada peniaga terbabit dan mereka menyifatkan saman MPK itu seperti bayaran sewa, walaupun bukan setiap bulan disaman.

"Saya tidak faham tindakan MPK itu yang dianggap amat lemah tanpa menyita barang perniagaan mereka kerana perkara ini sudah lama berlarutan.

"Walaupun beberapa kali diserbu pihak berkuasa, keadaan di kawasan perumahan ini tetap tidak berubah, malah mereka dilihat lebih bermaharajalela tanpa memikirkan perasaan penduduk tempatan," katanya.
Tinjauan Sentral di taman berkenaan baru-baru ini mendapati, lebih lima rumah dijadikan premis perniagaan, selain sebuah rumah didakwa penduduk dijadikan tempat menjual minuman keras dari Myanmar.

Syed Hassan berkata, tindakan tegas sepatutnya diambil kerana mereka secara terang-terangan melakukan kesalahan berniaga tanpa lesen sah perniagaan.

Selain tidak memiliki lesen perniagaan dan tidak membayar cukai, mereka dikatakan membuang sampah sesuka hati menyebabkan sekitar kawasan perumahan itu kotor.

"Saya rasa tidak adil apabila warga asing dibiarkan berniaga tanpa lesen sedangkan jika penduduk tempatan melakukan perkara sama, peralatan perniagaan mereka disita.

“Kita juga musykil adakah warga asing itu memiliki dokumen perjalanan sah berada di negara ini kerana kehidupan mereka kelihatan selesa, seolah-olah berada di negara sendiri. Penguat kuasa jabatan berkaitan perlu menjalankan pemeriksaan segera,” katanya.

Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Azmi pula berkata, selain berlaku kesesakan lalu lintas, sikap warga asing yang suka membuat bising mengganggu ketenteraman penduduk di taman berkenaan.

"Kawasan perumahan tidak boleh dijadikan premis perniagaan tetapi tanpa tindakan tegas pihak berkuasa tempatan, ia seolah-olah memberi lampu hijau kepada warga asing ini menjalankan perniagaan dan mengubah suai rumah tanpa halangan," katanya.

Tuesday, January 18, 2011

APMM rampas barangan kawalan dalam 4 feri di Tawau

2011/01/19
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas pelbagai jenis barangan kawalan yang cuba diseludup ke negara jiran dalam pemeriksaan terhadap empat feri penumpang berhampiran Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau semalam.

Keempat-empat feri penumpang itu diperiksa ketika dalam perjalanan dari Tawau ke Nunukan Indonesia, kira-kira satu kilometer dari CIQ itu, kata Pegawai Operasi APMM Tawau, Lt (M) Norihan Ngah. Barangan yang dirampas dalam operasi selama lima jam mulai pukul 1 petang itu ialah 4,501 kilogram (kg) gula pasir, 4,644kg minyak masak, 310kg beras, 110kg tepung gandum dan 13 tong gas memasak dengan nilai keseluruhannya RM3,148.20 "Semua barangan barangan bersubsidi itu disembunyikan dalam beg pakaian, kotak, tong dram, tong minyak, guni dan beg plastik yang disorok dicelah-celah barangan lain di atas feri penumpang itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud sindiket menggunakan khidmat "petek-petek" iaitu sejenis bot kecil berenjin sangkut untuk membawa barang kawalan itu dari tepi pantai ke dalam feri berkenaan tanpa melalui CIQ. - BERNAMA

Tekong laut kaut RM4,000 sehari

Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman
uminadirah@bharian.com.my
2011/01/19
Pendatang asing bayar RM400 seorang untuk seludup masuk ke Malaysia

JOHOR BAHRU: Kesukaran memasuki Malaysia menyebabkan tekong laut yang menyeludup pendatang tanpa izin dari negara jiran mengutip tambang sehingga RM400 seorang. Tambang tinggi itu membolehkan mereka mengutip sehingga RM4,000 setiap kali membawa 10 pendatang tanpa izin dengan menaiki bot dilengkapi enjin kuasa tinggi mencapai 400 kuasa kuda. Penggunaan enjin kuasa tinggi itu membolehkan tekong laut berulang-alik antara negara jiran dengan kawasan tumpuan pencerobohan negeri ini dalam tempoh singkat apabila hanya mengambil masa kira-kira 30 minit bagi satu perjalanan, jika gagal dipintas pihak berkuasa negara ini.

Komander Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Mohd Khamsani Abd Rahman, berkata pihaknya mengenal pasti pantai sekitar Pengerang, Desaru dan Sungai Rengit di Kota Tinggi, menjadi tumpuan pencerobohan.

“Penggunaan bot berkuasa tinggi menjadi modus operandi penyeludup kerana di sesetengah lokasi, jarak antara dua negara hanya kira-kira empat batu nautika yang mampu direntasi dalam masa setengah jam.

“PGM tidak menolak kemungkinan (hasil lumayan) serta faktor geografi dua negara memudahkan kegiatan penyeludupan secara aktif, walaupun setakat ini, kita belum mengetahui jumlah sebenar perjalanan dibuat dalam sehari,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Bahagian Risikan dan Operasi PGM Wilayah Dua, Rosman Ismail.

Mohd Khamsani berkata, berdasarkan soal siasat terhadap pendatang tanpa izin yang berjaya ditahan selepas bot kuasa tinggi dinaiki mereka dipintas PGM, mereka mendakwa membayar RM400 kepada tekong bot untuk cubaan pencerobohan itu.

Katanya, walaupun kadar tambang terbabit dianggap tinggi, namun pendatang tanpa izin masih sanggup mengambil risiko dan membayarnya demi menceroboh negara ini semata-mata untuk mencari pekerjaan.

“Menyedari pelbagai taktik dan modus operandi pencerobohan pendatang tanpa izin itu, PGM kini meningkatkan pemantauan di kawasan yang dikenal pasti, selain memantau kemasukan melalui laluan sah dalam usaha membendung kemasukan warga asing untuk bekerja secara haram di negara ini,” katanya.

Beliau mengakui usaha membanteras pencerobohan pendatang tanpa izin memerlukan kerjasama semua pihak termasuk penduduk di pesisir pantai untuk tampil menyalurkan maklumat.

Katanya, selain tindakan mengikut Akta Imigresen, PGM juga tidak teragak-agak mencadangkan tindakan mengikut undang-undang pencegahan seperti Ordinan Darurat terhadap tekong yang ditangkap menguruskan pencerobohan.

“Selain faktor geografi yang terlalu hampir, pencerobohan juga berlaku berikutan faktor ekonomi yang kurang baik di negara sendiri serta faktor politik yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan di kalangan pendatang tanpa izin,” katanya

Sindiket jual bayi dapat bantuan orang dalam JPN

Oleh Safeek Affendy Razali
bhnews@bharian.com.my
2011/01/19


ANGGOTA polis menyelamatkan seorang bayi dalam proses untuk dijual dalam serbuan di klinik swasta di Selayang, kelmarin.Habuan lumayan dengan menyediakan sijil lahir, cop rasmi

KUALA LUMPUR: Sindiket penjualan bayi yang ditumpaskan di sekitar Lembah Klang, Sabtu lalu dipercayai turut dibantu kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan menguruskan sijil kelahiran bagi 22 bayi yang berjaya diselamatkan polis dalam operasi khas itu. Difahamkan, pegawai JPN menerima upah separuh daripada harga jualan setiap bayi iaitu RM15,000 hingga RM20,000 oleh sindiket yang didalangi dua wanita tempatan sejak akhir tahun lalu. Sumber memberitahu Berita Harian, ‘orang dalam’ JPN memperoleh pendapatan lumayan melalui kegiatan haram itu dengan hanya menyediakan sijil lahir berserta cop rasmi agensi berkenaan.

“Pembabitan `orang dalam’ dikesan ekoran penemuan dokumen sijil kelahiran bersama semua bayi yang terbabit dalam urus niaga haram itu. Pemeriksaan mendapati semua sijil lahir itu mempunyai cop rasmi JPN yang hanya dikeluarkan JPN,” katanya.

Dalam operasi itu, Unit Anti-Pemerdagangan Orang (ATIP) dan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman menahan lapan anggota sindiket itu, termasuk empat wanita warga asing berusia 20 hingga 50 tahun dalam serbuan di sebuah klinik swasta di Selayang dan sebuah rumah di Subang Jaya.

Turut diselamatkan dalam operasi itu tiga bayi berusia lima hingga tujuh hari yang dalam proses untuk dijual.
Di samping itu, polis turut menemui beberapa dokumen berkaitan pengeluaran sijil kelahiran, buku rekod dan wang tunai RM3,000.

“JPN terkejut dengan tindakan pegawainya yang sanggup bersekongkol dengan sindiket itu semata-mata untuk mendapatkan keuntungan sampingan,” katanya.

Di PUTRAJAYA, Ketua Pengarah JPN, Datuk Alwi Abdul Rahman, berkata siasatan dalaman sedang dilakukan ke atas semua pegawai dan kakitangannya berikutan pendedahan itu.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dalam kegiatan haram ini. JPN akan turut memperincikan semula prosedur pendaftaran kelahiran, termasuk mencatatkan jumlah sijil dikeluarkan bagi mengelak ia disalah guna untuk tujuan jenayah.

“Kita juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti klinik disyaki bersubahat,” katanya ketika ditemui Berita Harian, semalam.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan sijil kelahiran ‘LN01’ dan `LN05’ juga boleh diperoleh di hospital kerajaan dan klinik swasta.

“Beberapa klinik swasta sekitar ibu negara juga disenaraihitamkan sebelum ini selepas dikenal pasti terbabit dalam kegiatan meragukan. Kita sedang siasat klinik terbabit bagi mengesan kepada siapa, ke mana dan untuk apa sijil kelahiran dikeluarkan,” katanya.

Alwi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan penyelewengan sijil kelahiran menghubunginya terus di talian 03-88807001

Cubaan seludup daging babi hutan tumpas

BUKIT KAYU HITAM 18 Jan. 2011 - Seorang pemandu lori ditahan di sini hari ini kerana cuba menyeludup keluar ke negara jiran tujuh tan daging yang dipercayai babi hutan yang telah dipotong-potong.

Daging tersebut dianggarkan bernilai kira-kira RM35,000.

Lelaki berkenaan yang berumur 40-an ditahan oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di KM 0.6 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Thailand tengah hari ini.

"Lori itu memuatkan ketulan-ketulan daging haiwan yang telah dipotong. Hasil pemeriksaan lanjut dan keterangan pemandu lori tersebut, didapati ketulan-ketulan daging adalah daging babi hutan yang disyaki dari Padang Besar, Perlis," kata Komander UPP Kedah, Mohd. Jasri Othman.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 65 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 iaitu mengeksport hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen yang sah.

Jika sabit kesalahan, pihak berkenaan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000 serta penjara tidak lebih daripada satu tahun.

Kes itu diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

Monday, January 17, 2011

Lelaki menyamar polis minta wang lepaskan tahanan

2011/01/18
IPOH: Seorang lelaki dikesan menyamar sebagai anggota polis yang memperdaya orang ramai dan menuntut bayaran sehingga RM10,000 kononnya dia dapat membantu membebaskan seseorang yang ditahan kerana kesalahan jenayah.

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan, berkata tiga kes dilaporkan kepada polis minggu lalu oleh mangsa yang menyerahkan wang antara RM8,000 dan RM10,000 kepada lelaki itu untuk membebaskan saudara mereka yang ditahan polis. "Tiada proses rundingan antara polis dan orang tengah, sebaliknya polis akan menjalankan siasatan berhubung sesuatu tangkapan," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Ketua Polis Perak di sini hari ini. Shukri berkata, siasatan mendapati modus operandi yang dilakukan oleh suspek ialah menyamar sebagai anggota polis dan menelefon mangsa yang terbabit yang sanggup menyerahkan wang sebagai upah untuk melepaskan anak atau saudara mereka yang ditahan polis.

"Mangsa merasa tertipu apabila anak atau keluarga mereka yang dijanjikan dibebaskan tidak muncul selepas wang tersebut diserahkan kepada suspek," katanya. - BERNAMA

Suami isteri mengaku tidak bersalah pegubahan wang haram

PULAU PINANG 17 Jan. 2011 - Bekas Ketua Pusat Khidmat Pelanggan, Bank Muamalat Bhd. cawangan Universiti Sains Malaysia (USM) dan suaminya hari ini sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, kali ini membabitkan kesalahan pengubahan wang haram hampir RM200,000.

Pada 10 Disember tahun lalu, Aishah Mohamed Rose didakwa di mahkamah sama atas tuduhan pecah amanah harta milik bank tersebut bernilai RM1.57 juta.

Suaminya, Johari Ahmad pula yang merupakan seorang peguam didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan perbuatan itu.

Pada prosiding hari ini, Aishah dan Johari, kedua-duanya berusia 50 tahun, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdullah.

Raut wajah pasangan itu yang diwakili peguam Jagdeep Singh Deo dilihat bersahaja ketika jurubahasa bertanyakan pengakuan mereka.

Mengikut pertuduhan utama, Aishah sebagai ejen bank tersebut didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM183,702.63 melalui cek bertarikh 1 Disember 2009 ke dalam akaun pelanggan firma guaman, Johari Nasri & Tan.

Aishah dari Lintang Sungai Ara Dua, Bayan Lepas didakwa melakukan kesalahan itu pada 7 Disember tahun lalu, di cawangan bank tersebut di Bangunan D12, USM, Jalan Minden di sini.

Sementara Johari pula didakwa bersubahat dengan isterinya itu untuk melakukan aktiviti pengubahan wang haram pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Pang Chuin Keat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Sitarun Nisa membenarkan setiap tertuduh diikat jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 9 Februari ini.

Sunday, January 16, 2011

1,000 liter diesel subsidi dirampas

TAIPING 16 Jan. 2011 - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini merampas 1,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM4,000 dalam satu serbuan di sini, Rabu lalu.

Dalam serbuan pukul 1 pagi itu, sepasukan pegawai diketuai Ahmad Zakhiri Mohamad telah membuat intipan ke atas sebuah van yang membawa muatan minyak tersebut.

Ketuanya, Basaruddin Mohiyuddin berkata, pasukan itu membuat pengintipan lebih 15 minit dan mengekori van tersebut selama satu jam bagi mengesan kegiatan berkenaan.

Beliau berkata, tidak lama kemudian, pihaknya menahan van tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati, van itu membawa dua tong minyak diesel bersubsidi sejumlah 1,000 liter.

"Siasatan awal kami percaya diesel itu dibeli mengikut harga subsidi untuk dijual kepada pengusaha industri.

"Berikutan itu, kami menyita van dan diesel tersebut, manakala pemandunya yang berusia lingkungan 40-an ditahan untuk diambil keterangan," katanya di sini hari ini.

Basaruddin berkata, kes ini disiasat mengikut Peraturan 3(3) Peraturan Kawalan Bekalan (Penandaan Barang Berjadual) 2006, Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh didenda RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Wednesday, January 12, 2011

KDN nafi anjur majlis makan malam bernilai RM30,000

KDN nafi anjur majlis makan malam bernilai RM30,000


2011/01/12
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini menafikan pernah menganjurkan sebarang majlis makan makan berharga antara RM15,000 dan RM30,000.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, KDN menerima aduan mengenai kegiatan penipuan oleh seorang individu yang menyamar Ketua Setiausaha KDN yang meminta agensi pekerja asing menaja meja bagi jamuan makan malam. "Individu ini turut menyatakan bahawa 10 agensi pekerjaan Bumiputera sudah terpilih sebagai penyumbang dan borang penjualan meja sudah difakskan kepada syarikat berkenaan. "Kementerian ingin menegaskan bahawa Kementerian ini tidak pernah menganjurkan sebarang majlis makan malam seperti yang dinyatakan," katanya.

Menurutnya lagi, satu laporan polis berkenaan kegiatan penipuan itu sudah dibuat pagi tadi.

Tuesday, January 11, 2011

Hakim asal sambung perbicaraan bekas CEO Sime Bank

PUTRAJAYA 11 Jan. 2011 - Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan Ketua Bahagian Penasihat di Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Khadijah Idris kembali bertindak selaku Hakim Mahkamah Sesyen bagi menyambung perbicaraan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sime Bank Bhd., Datuk Ismail Zakaria.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hasan Lah memutuskan demikian setelah menolak rayuan Ismail agar bekas hakim berkenaan yang telah dilantik ke jawatan itu, menarik diri daripada terus mendengar perbicaraannya.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Abdul Malik Ishak dan Hakim Datuk Ahmad Maarop mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Khadijah terus mendengar kes tersebut hingga selesai.

Hakim Hasan ketika memutuskan demikian berpuas hati bahawa tidak wujud kemungkinan bahawa Khadijah berlaku berat sebelah terhadap perayu walaupun beliau pernah dilantik sebagai Peguam Cara Perbendaharaan dan kini berkhidmat dengan AGC.

Ismail, 68, diperintah membela diri atas empat tuduhan di bawah Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) iaitu bertindak di luar bidang kuasanya ketika meluluskan pinjaman berjumlah RM175 juta.

Pada 6 Februari 2008, Khadijah menolak permohonan perayu agar beliau menarik diri dan seterusnya menetapkan 30 Jun hingga 4 Julai 2008 untuk Ismail mula memberi keterangan bela diri.

Khadijah selesai mendengar kes pendakwaan pada 2004 sebelum berkhidmat dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM). Pada 1 Jun 2007, beliau dilantik sebagai Peguam Cara Perbendaharaan, Kementerian Kewangan.

Sebelum itu, peguam Datuk V. Sithambaram yang mewakili Ismail berhujah, hakim berkenaan perlu menarik diri daripada terus mendengar dan membuat keputusan dalam prosiding itu bagi mengelakkan wujud unsur-unsur berat sebelah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Murtazadi Amran berhujah bahawa tugas selaku Peguam Cara Perbendaharaan tidak menimbulkan sebarang konflik ketika mengendalikan kes itu.

Hujah beliau, tugas Khadijah hanya selaku penasihat berkaitan BAFIA bukannya terlibat sebagai pihak pendakwaan walaupun Ismail didakwa di bawah akta tersebut.

Ismail diperintah membela diri atas empat tuduhan bertindak di luar bidang kuasanya meluluskan pinjaman berjumlah RM175 juta di pejabatnya di Tingkat 2, Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Sulaiman di ibu negara antara 20 September 1997 dan 21 Oktober 1997.

Ismail didakwa bertindak di luar terma dan syarat tugasnya sebagai CEO dalam meluluskan pinjaman RM59 juta, RM50 juta, RM40 juta dan RM26 juta kepada Everise Capital Sdn. Bhd., sebuah syarikat pegangan pelaburan pada 1997.

Semua tuduhan dibuat mengikut Seksyen 65(1) BAFIA 1989 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta yang sama. Jika sabit kesalahan, Ismail boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM5 juta atau kedua-duanya.

Dua bekas pengarah syarikat tergamam

KUALA LUMPUR 11 Jan. 2011 - Dua bekas pengarah sebuah syarikat pelaburan tergamam apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap mereka.

Ooi Boon Leong dan Tan Yeow Teck, kedua-duanya berusia 50 tahun, menunjukkan reaksi demikian selepas Hakim Datuk Ghazali Cha menjatuhkan hukuman sewaktu membenarkan rayuan pihak pendakwaan dari Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Hakim tersebut turut mengekalkan jumlah denda RM300,000 yang dikenakan ke atas kedua-dua lelaki itu oleh Mahkamah Sesyen di sini sebelum ini.

Boon Leong yang juga ahli jawatankuasa audit dan Yeow Teck yang memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan syarikat Mems Technology Berhad (Mems) kemudian menarik nafas lega sebaik sahaja mengetahui mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada prosiding hari ini, SC diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Roz Mawar Rozain, manakala kedua-dua perayu diwakili peguam bela Francis Ng Aik Guan.

SC mengemukakan rayuan selepas tidak berpuas hati terhadap hukuman yang dikenakan ke atas Boon Leong dan Yeow Teck oleh Hakim Asmadi Hussin pada 25 Februari tahun lalu.

Pada tarikh tersebut, kedua-duanya mengaku bersalah atas tuduhan dengan sengaja memberi kebenaran mengemukakan pernyataan yang mengelirukan berhubung hasil Kumpulan Mems bagi tahun berakhir pada 31 Julai 2007 yang terkandung dalam kenyataan pendapatan tergabung bagi tempoh 12 bulan berakhir pada 31 Julai tahun sama.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 122B(b)(bb) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, dalam penghakimannya, Ghazali menyatakan, kesalahan kedua-dua perayu adalah sangat serius kerana ia membabitkan kepercayaan para pelabur dalam pasaran saham yang disifatkannya sebagai kayu pengukur terhadap kestabilan ekonomi negara.

Beliau berkata, sekiranya pelaburan dibuat berdasarkan maklumat palsu dan mengalami kerugian, orang ramai terutama pelabur akan menjauhkan diri daripada pasaran saham.

Oleh itu, hakim membenarkan rayuan pihak pendakwaan dengan mengekalkan hukuman denda yang dikenakan sebelum ini dan turut menambah hukuman penjara enam bulan berkuat kuasa hari ini.

Selain membenarkan hukuman penjara ditangguhkan, Ghazali turut membenarkan kedua-duanya dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 seorang beserta seorang penjamin.

Notis rayuan juga perlu difailkan selewat-lewatnya esok.

Bekas Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat dipenjara 6 bulan, denda RM20,000

2011/01/11
SHAH ALAM: Seorang bekas Penolong Pegawai Daerah dihukum penjara enam bulan dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pagi tadi selepas didapati bersalah menerima rasuah sebanyak RM10,000 daripada Ketua Eksekutif sebuah syarikat melombong pasir, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Mat Ghani membenarkan hukuman itu ditangguhkan bagi membolehkan tertuduh membuat rayuan dan mengekalkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin. Norhanizatuazwin Samsuni, 30, dikenakan hukuman itu selepas Hakim Mat Ghani Abdullah mendapati dia bersalah kerana setuju menerima wang RM10,000 daripada Ketua Eksekutif syarikat Syarikat Winmont Development Sdn Bhd, Datuk Lau Kim Soo, sebagai balasan kepada kelulusan untuk satu permit membawa keluar pasir. Pembayaran dalam bentuk cek itu digunakan sebagai sebahagian daripada pembayaran unit pangsapuri miliknya di perumahan Rumah Pangsa Kajang Impian.

Ketika kesalahan itu dilakukan, Norhanizatuazwin adalah penolong Pegawai Daerah di Hulu Langat.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 17 Mac 2009 di pejabat Trans Loyal Development Sdn Bhd di alamat No 45A, Jalan Bukit Mewah 11, Taman Bukit Mewah, Kajang.

Ketika mitigasi, peguam K Puspalingam yang mewakili Norhanizatuazwin, memohon supaya hukuman yang dikenakan terhadap anak guamnya diringankan berikutan wanita berkenan menanggung ibu apa serta seorang anaknya.
"Anak guam saya digantung tugas kerana kes ini," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudian memohon hukuman yang berat dikenakan terhadap tertuduh dengan alasan tertuduh sepatutnya memikirkan akibat perbuatannya sebelum melakukan kesalahan itu.

Seramai 15 saksi memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

Monday, January 10, 2011

2 anggota polis cedera dicekup SPRM

PULAU PINANG 10 Jan. 2010 - Dua anggota polis cedera ketika cuba melarikan diri daripada dicekup sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyamar sebagai orang awam di Jalan Gurney, di sini hari ini.

Dalam insiden pukul 1.30 petang, kedua- dua suspek sebelum itu meminta sogokan bagi melepaskan dua 'orang awam' terbabit yang ditahan setelah berpura-pura melakukan kesalahan lalu lintas.

Difahamkan, SPRM sebelum ini menerima banyak aduan orang ramai mengenai kegiatan rasuah melibatkan anggota polis di kawasan berkenaan.

Bertindak daripada maklumat diberikan, SPRM memasang perangkap bagi menahan suspek.

Ketika ditahan, suspek meminta wang daripada 'orang awam' tersebut supaya tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Semasa mahu menyerahkan suapan wang tunai RM800, dua lagi pegawai SPRM muncul dan cuba menahan suspek.

Kedua-dua suspek cuba meloloskan diri semasa hendak digari tetapi terjatuh sehingga mengalami cedera ringan sebelum berjaya diberkas.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Latifah Md. Yatim ketika dihubungi hari ini mengesahkan penahanan tersebut.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, tinjauan di Hospital Pulau Pinang mendapati kedua-dua suspek dilihat keluar dari Unit Kecemasan hospital berkenaan kira-kira pukul 7.15 malam selepas menerima rawatan.

Denda RM5j, penjara 7 tahun

Denda RM5j, penjara 7 tahun

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Jan. - Seorang ahli perniagaan wanita dihukum penjara tujuh tahun dan denda RM5 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 54 pertuduhan menipu, menjalankan perkhidmatan pasaran modal tanpa lesen dan terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram.

Raja Noor Asma Raja Harun, 48, turut diperintahkan Hakim S.M. Komathy Suppiah membayar penalti RM7,528,250.29 dan sekiranya gagal menjelaskannya, hukuman penjara tertuduh boleh ditambah enam bulan lagi.

Nilai penalti tersebut merupakan jumlah wang para pelabur yang tidak dapat diperolehi kembali oleh pihak berkuasa.

Terdahulu, ketika membaca keputusannya, Komathy menyatakan hukuman yang dikenakan ke atas ibu tunggal itu dibuat selepas mengambil kira keseriusan kesalahan yang telah dilakukan.

Ujarnya, keyakinan orang awam terhadap sistem kehakiman akan terhakis sekiranya tertuduh yang merupakan pengarah dua buah syarikat dagangan (trading) tidak dikenakan hukuman yang setimpal.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anslem Charles Fernandis dan pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Sekuriti (SC), Susheel Kaur manakala tertuduh diwakili peguam bela, Jimmy Chou.

Raja Noor Asma mengaku bersalah atas empat tuduhan menipu dan menjalankan perkhidmatan pasaran modal membabitkan pelaburan RM100 juta tanpa lesen antara Februari 2007 dan September 2008

Dia didakwa menggunakan satu skim untuk menipu para pelabur di pejabatnya, FX Capital Consultant (M) Sdn. Bhd. dan FX Consultant, Bandar Rawang Mutiara 1, Rawang dekat sini antara 5 Februari dan 27 September 2007 serta 28 September 2007 dan 9 Mei 2008.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 83(a) Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993 dan Seksyen 206(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang memperuntukan hukuman denda minimum RM1 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun.

Dia juga didakwa berdagang dalam kontrak niaga hadapan bagi pihak pelabur dengan bertindak sebagai broker tanpa lesen yang sah antara 7 Mei dan 27 September 2007 di tempat yang sama dan dituduh mengikut Seksyen 16(1)(a) Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum 10 tahun.

Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 atas tuduhan menjalankan perkhidmatan pasaran modal tanpa lesen antara 28 September 2007 dan 9 Mei lalu.

Komathy menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan berjalan serentak bermula hari ini.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 206(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, hakim itu turut memerintahkan tertuduh membayar denda RM5 juta, gagal bayar penjara enam bulan.

Raja Noor Asma turut mengaku bersalah terhadap 50 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Dia didakwa terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram dengan menerima dan membuat pelbagai bayaran kepada beberapa bank serta syarikat di beberapa bank sekitar Rawang dan Gombak antara 5 April 2007 dan 9 Mei 2008.

Bagi setiap kesalahan ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan berjalan serentak.

Perintah pemenjaraan bagi kesalahan di bawah AMLATFA berkuat kuasa sejurus selepas tamat hukuman penjara bagi kesalahan-kesalahan terdahulu.

Komathy turut membenarkan permohonan Anslem agar jumlah wang pelabur yang tidak dapat diperolehi semula oleh pihak berkuasa dituntut daripada tertuduh dalam bentuk penalti.

Beliau turut menetapkan 1 April ini prosiding tuntutan oleh pihak ketiga terhadap wang yang telah berjaya dirampas oleh pihak berkuasa,

Pada masa ini, SC berjaya merampas wang RM8,381,853.64 daripada tertuduh.

Sunday, January 9, 2011

Tender 'curigakan', pejabat KTMB digelidah

Regina Lee
Jan 10, 11
12:53pmKongsi 0Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggelidah pejabat Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) baru-baru ini atas dakwaan pemberian tender yang 'mencurigakan' yang menyaksikan kontrak jutaan ringgit diberikan kepada syarikat yang tidak mempunyai 'kelayakan'.

Projek itu adalah bagi menyusun semula sistem tiket di semua 56 stesen KT sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Sebuah firma tempatan dilaporkan memenangi kontrak itu dengan bidaan RM85 juta, meskipun terdapat tawaran pada harga yang lebih murah oleh syarikat-syarikat yang mempunyai pengalaman luas dalam sistem perkhidmatan KTMB.

Malaysiakini dimaklumkan bahawa proses penilaian teknikal dmanipulasi bagi membolehkan firma berkenaan terpilih.

Markah penuh

“Meskipun tidak layak untuk seksyen, tertentu, mereka masih mendapat markah penuh,” dakwa sumber yang biasa dengan projek itu.

Pasukan penyiasat SPRM menyerbu pejabat KTMB di Kuala Lumpur dan menggelidah jabatan tendernya pada 14 Disember tahun lalu. Ia merampas beberapa dokumen utama.

Jumaat lalu, SPRM sekali lagi menyerbu pejabat KTMB untuk mendapatkan lebih banyak bukti. Menurut sumber, siasatan masih pada peringkat awal.

Notis bagi tender itu diterbit dan diumumkan pada 3 Ogos tahun lalu dan ia ditutup pada 29 September.

Dipercayai pasukan teknikal KTMB juga tidak menjalankan pemeriksaan di tapak atau memohon demonstrasi oleh pihaak pembida seperti yang ditetapkan.

Tender yang dikemukakan oleh lima syarikat yang lain yang disenarai-pendek pula tidak dinilai.

Dua syarikat dengan projek sekarang membabitkan sistem tiket juga ditolak meskipun mereka masing-masing menawarkan bidaan pada harga RM69.8 juta dan RM72.6 juta.

‘Kontraktor’ tipu RM250,000 ditahan

Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman

2011/01/10
Bekas kakitangan SAJ perdaya tujuh individu

PONTIAN: Kelicikan seorang bekas kakitangan Syarikat Air Johor (SAJ) menipu dengan menawarkan kontrak pemasa-ngan paip hingga menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh individu rugi RM250,000, berakhir apabila dia ditahan polis, Khamis lalu.

Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan anggota Cawangan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Pontian yang mengesan kereta dipandunya berdekatan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah, jam 2.45 petang.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin, berkata siasatan mendapati suspek memperdayakan tujuh individu sejak setahun lalu, dengan mempelawa mereka menjadi rakan kongsinya dalam perniagaan.
“Suspek dipercayai menggunakan pengalaman dan pengetahuannya ketika bertugas dengan SAJ sebelum ini, untuk memperdayakan mangsa, kononnya dia adalah kontraktor syarikat utiliti terbabit sebelum menawarkan projek pemasangan paip air di daerah ini.

“Suspek dikesan mempelawa semua mangsa menjadi rakan kongsi perniagaannya sebelum mereka menyedari tertipu selepas menyerahkan wang. Mereka tampil membuat laporan sebaik menyedari tertipu.

“Siasatan mendapati semua projek ditawarkan suspek kepada mangsa sebenarnya tidak wujud, malah dia juga tidak mempunyai dokumen berkaitan projek yang didakwa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zahaliman berkata, pihaknya percaya ramai lagi individu menjadi mangsa penipuan lelaki terbabit dan meminta mereka tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.
“Suspek kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dengan denda dan sebatan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan semakan, suspek sebelum ini pernah dipenjara dua tahun pada 2004 atas kesalahan menipu dan terbabit dalam kes menyamar sebagai pegawai polis.

Thursday, January 6, 2011

Dua lagi syarikat disiasat seleweng minyak masak

06/01/2011 6:32pm


KUALA LUMPUR 6 Jan. — Dua lagi syarikat pembungkusan minyak masak kini disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kerana disyaki menyeleweng pengeluaran bekalan bahan itu.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kini enam syarikat sedang disiasat berikutan kegiatan mereka yang mencurigai berikutan kekurangan bekalan minyak di pasaran.

Kementerian itu juga telah menubuhkan satu jawatankuasa bertindak untuk menyiasat perkara itu, dan mereka yang terlibat boleh didenda sehingga maksimum RM250,000 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, katanya kepada pemberita selepas melawat kilang pembungkusan minyak masak Golden Palm Oil Industries Sdn Bhd di Bandar Tun Razak di sini hari ini. - Bernama

Bekas CEO syarikat didakwa guna dokumen palsu

2011/01/06
SHAH ALAM: Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung permohonan untuk membekal dan memasang alat pantulan keselamatan jalan raya di jalan persekutuan dan negeri, dua tahun lalu.

Mohd Azizi Kong Abdullah, 61, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah. Tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai dokumen rasmi dari Kementerian Kewangan bertarikh 18 Mei 2009 berkaitan permohonan untuk membekal dan memasang ''Sinarflex Road Edge Delimeator Posts'' di jalan-jalan persekutuan dan negeri di seluruh negara sedangkan dia tahu surat itu adalah palsu. Mohd Azizi didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat IDH Venture Sdn Bhd, Suite 3A05, Level 4, Menara Mutiara Majestic, 15 Off Jalan Othman, Seksyen 3, Petaling Jaya dekat sini, antara Mei dan Jun 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang ditangkap pada 30 Jun 2009 boleh dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Sinti mencadangkan agar Mohd Azizi dibebaskan dengan jaminan RM30,000 serta seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana dia kini tidak lagi bekerja dan tidak mempunyai wang selepas membayar bon jaminan RM30,000 kepada SPRM sebelum ini.
Mat Ghani kemudian menetapkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Febriari ini untuk sebutan bagi Mohd Azizi melantik peguam. - BERNAMA

Peguam diperintah bela diri tuduhan rasuah

06/01/2011 2:46pm


KUALA LUMPUR 6 Jan. - Seorang peguam diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan meminta dan menerima suapan daripada anak guamnya, seorang doktor kononnya untuk menyogok polis bagi menyelesaikan siasatan kes ugut, enam tahun lepas.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh, Ranjit Singh, 57, di akhir kes pendakwaan.

Bagi pertuduhan pertama, Ranjit didakwa secara rasuah meminta suapan iaitu wang tunai RM40,000 daripada Dr. Chong Kuck Meng, 46, bagi menyelesaikan siasatan kes ugutan jenayah terhadap seorang pelajar Lee Khai Yin, 26, di Lobi Hotel Le Meridien, Jalan Stesen Sentral pada 11.45 malam, 22 April 2005.

Bagi pertuduhan kedua, Ranjit turut didakwa secara rasuah menerima suapan iaitu wang tunai RM7,000 daripada Kuck Meng kononnya untuk menyogok polis bagi menyelesaikan siasatan kes ugutan jenayah terhadap Khai Yin.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Twin Happiness, Pekan Slim River, Batang Padang, Perak pada 8.30 malam, 28 Jun 2005.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengemukakan seramai 10 saksi, manakala Ranjit diwakili peguam Mohd Afifuddin Hafifi akan mengemukakan lima saksi pembelaan. - Bernama

Wednesday, January 5, 2011

Eksekutif didakwa tipu bank guna dokumen palsu

06/01/2011 12:19pm


SHAH ALAM 6 Jan. - Seorang bekas eksekutif akaun sebuah bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan tuduhan menggunakan dokumen palsu bagi urusan transaksi wang sebanyak RM5.2 juta dua tahun lalu.

Yusma Norul Yusob, 30, didakwa menggunakan tiga keping cek palsu bernilai RM58,500 serta lima borang permohonan kiriman wang palsu di CIMB Bank Berhad cawangan Menara MRCB di sini antara 1 dan 24 April 2009.

Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob membenarkan wanita itu dibebaskan dengan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 19 Januari ini untuk sebutan kes itu. - Utusan

HARIAN METRO-Pinjam 'koperasi along'

KUALA LUMPUR: Ceti haram atau along dikesan menggunakan taktik baru menipu kakitangan awam dengan mengumpan mereka mendapatkan pinjaman mudah daripada koperasi tertentu sebelum melaburkan wang dipinjam itu dalam skim pemasaran berperingkat (MLM) yang membabitkan pelaburan terkumpul berjumlah hampir RM1 bilion, sejak tiga tahun lalu.
Kakitangan awam yang terpedaya janji manis along terbabit hanya perlu menyediakan dokumen tertentu untuk mendapatkan pinjaman mudah dan menyedari mereka tertipu selepas menyemak dengan koperasi mengenai jumlah sebenar pinjaman, malah terkejut dengan kadar faedah pinjaman tidak masuk akal yang dikenakan.
Sindiket terbabit menggunakan orang tengah untuk memujuk kakitangan kerajaan supaya membuat pinjaman daripada koperasi kononnya bagi melabur dalam skim MLM yang menjanjikan pulangan berlipat ganda, sedangkan hakikatnya skim berkenaan disenaraihitamkan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, semua urusan permohonan pinjaman seperti borang koperasi dan dokumen lain diuruskan dalang terbabit yang hanya menghubungi peminjam untuk mengeluarkan wang menerusi draf bank yang dipindahkan ke akaun milik sebuah syarikat.

Kegiatan itu dikesan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) selepas menerima aduan orang ramai yang tertipu dengan sindiket terbabit menerusi tawaran pinjaman dan diluluskan tidak sampai 24 jam.

Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Md Yusof Samsudin, berkata sindiket itu dipercayai menggunakan cap jari dan tandatangan palsu mangsa untuk memohon pinjaman selain menawarkan satu skim pelaburan kononnya pemohon akan mendapat keuntungan berlipat ganda dalam masa singkat.

Katanya, kumpulan terbabit turut menjadikan kecanggihan teknologi maklumat untuk mendapatkan maklumat peribadi orang ramai yang diperoleh menerusi laman sosial Facebook dengan menjadikan penjawat awam di Lembah Klang sebagai mangsa.

Menurutnya, mangsa akan diperdaya dengan dakwaan kononnya pinjaman itu mendapat kelulusan kerajaan dan menunjukkan bukti koperasi sebagai badan yang dipertanggungjawabkan menguruskan kewangan itu sehingga diluluskan.

“Ramai di kalangan mereka (dalang) terbabit bergelar jutawan hasil daripada kadar caj pinjaman dan imbuhan tinggi yang dikenakan kepada pemohon. Mereka mengaku menjadi ejen koperasi, tetapi ramai yang tidak tahu, SKM sudah mengeluarkan arahan untuk melarang penggunaan ejen oleh mana-mana koperasi di negara ini.

“Berdasarkan aduan, ada peminjam yang dikenakan caj 12 peratus iaitu kadar yang terlalu tinggi jika dibandingkan caj biasa yang diterima koperasi sebanyak satu peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Sebelum itu, beliau menerima kunjungan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang mengadakan pertemuan dengannya untuk menyelesaikan satu kes terbaru membabitkan penipuan pinjaman bernilai RM111,000.

Menurut Md Yusof, pemantauan pihaknya juga mendapati rata-rata peminjam yang menjadi mangsa adalah penjawat awam yang baru bekerja dan tidak tahu membezakan antara skim yang dibenarkan atau didalangi pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan semata-mata.

“Kami percaya sindiket menggunakan koperasi tertentu ini didalangi along yang turut menawarkan skim cepat kaya untuk menipu orang ramai yang terpedaya helah licik mereka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan menjalankan siasatan lanjut bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Katanya, pihaknya menerima banyak aduan orang ramai terutama penjawat awam yang terpedaya dengan tawaran sindiket terbabit yang mengakibatkan mereka terpaksa menanggung bebanan hutang pinjaman yang tinggi.

Md Yusof berkata, mana-mana koperasi yang terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 64 dan 66 Akta Koperasi dan jika sabit kesalahan, tindakan menggantung, membubar atau memecat ahli lembaga koperasi berkenaan akan diambil.

“Kami juga mengambil tindakan membekukan kod Biro Pemotongan Angkasa (BPA) yang diberikan kepada koperasi terbabit bagi menghalang mereka daripada menjalankan kegiatan baru dan hanya boleh menjalankan urusan sedia ada seperti pungutan hutang.

“Kebanyakan ejen ini agresif, mereka akan buat apa saja untuk menarik peminjam kerana imbuhan yang menanti adalah tinggi. Justeru, kami menasihati orang ramai supaya tidak terburu-buru membuat pinjaman, sebaliknya merujuk kepada SKM terlebih dulu bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai status koperasi,” katanya.

Tuesday, January 4, 2011

Sindiket tipu penyata bank buat pinjaman dikesan

KUALA LUMPUR 4 Jan. 2010 - Satu sindiket yang menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen bank dikesan bergerak aktif di sekitar Ampang sejak tiga tahun lalu.

Sindiket itu dikatakan melakukan penipuan dengan menggunakan salinan penyata bank palsu yang dicetak menggunakan komputer.

Difahamkan, penyata kewangan yang dikeluarkan Bank Hong Leong merupakan syarikat yang paling banyak ditiru dan hampir 100 peratus menyerupai penyata bank tulen yang dikeluarkan oleh bank tersebut.

Presiden Persatuan Peminjam Wang Berlesen Malaysia, R.C. Veeraseelan ketika mendedahkan perkara itu berkata, sindiket tersebut bertindak memalsukan salinan penyata bank bagi meyakinkan syarikat peminjam wang berlesen meluluskan permohonan pinjaman mereka.

Katanya, aktiviti penipuan yang dilakukan sindiket itu biasanya menggunakan penyata bank palsu melibatkan nilai pinjaman mencecah sehingga RM1 juta.

"Modus operandi sindiket tersebut adalah membuat penyata bank palsu yang tertera baki akaun dalam jumlah yang banyak.

"Bagaimanapun, apabila ahli-ahli syarikat peminjam berkenaan melakukan semakan dengan pihak bank terbabit ia sangat mengejutkan apabila bakinya hanya tinggal RM5," katanya ketika pada sidang akhbar di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, Jalan Ampang, di sini hari ini.

Ekoran kegiatan aktif sindiket tersebut, pihaknya turut menerima lebih 10 aduan mengenai kes tersebut melibatkan peminjam wang berlesen dari seluruh negara.

Sementara itu, seorang pemilik syarikat peminjam wang berlesen, W. K. Wong berkata, syarikatnya nyaris mengalami kerugian RM500,000 apabila cuba ditipu sindiket itu.

"Terdapat seorang pelanggan berjumpa dengan pihak kami sambil membawa penyata bank Hong Leong dengan menunjukkan baki akaun kononnya lebih RM600,000.

"Kami yang teruja untuk memberi pinjaman bagaimanapun sempat melakukan semakan ke atas penyata bank yang diberi pelanggan dan ternyata palsu setelah diperiksa," kata Wong.

Tambah Wong, pelanggan lelaki berusia 40-an itu memaklumkan dia memohon pinjaman untuk membeli tanah bernilai RM1 juta di Puchong.

Katanya, pelanggan lelaki itu bukan sahaja melakukan penipuan dari segi pemalsuan jumlah baki akaun dalam bank malah turut memalsukan tarikh pembukaan akaun bank terbabit.

"Hasil semakan dengan bank mendapati mendapati lelaki itu sebenarnya baru membuka akaun Bank Hong Leong.

"Malah baki akaun sebenarnya adalah sebanyak RM5, bukannya RM600,000," ujarnya.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada laporan polis dibuat berhubung kes terbabit kerana pihak pemberi pinjaman wang sempat menghidu kegiatan penipuan sindiket itu sebelum meluluskan pinjaman yang dimohon.

Perkeso tidak lantik orang tengah urus tuntutan kemalangan di tempat kerja

Perkeso tidak lantik orang tengah urus tuntutan kemalangan di tempat kerja
KUALA LIPIS 4 Jan. - Semua pekerja yang berdaftar di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diminta tidak terperangkap dengan kegiatan 'orang tengah' ketika membuat tuntutan mengenai sesuatu kemalangan di tempat kerja.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Operasi Perkeso, Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya menerima laporan terdapat pencarum ditipu oleh individu tertentu yang sudi menjadi orang tengah jika terbabit kemalangan semasa bekerja.

Menurutnya, individu terbabit mendakwa boleh menghubungkan mangsa dengan agensi itu bagi memudahkan urusan untuk menerima pampasan.

Katanya, agensi itu tidak pernah melantik mana-mana pihak menjadi 'orang tengah' untuk menguruskan hal ehwal tuntutan.

"Malah kita tidak pernah menghalang sekiranya pekerja atau waris ingin berurusan terus dengan pejabat pertubuhan itu jika bersabit tuntutan kemalangan.

"Kita tidak pernah melantik mana-mana pihak menguruskan atau membantu sesuatu permohonan tuntutan sama ada mengenakan caj perkhidmatan daripada mangsa atau waris berkenaan seperti yang pernah dilaporkan oleh media.

"Pihak yang mendakwa orang tengah itu mengambil kesempatan mengaut keuntungan menerusi caj tertentu daripada hasil caruman yang diperoleh pekerja atau waris dan tindakan ini memburukkan imej Perkeso sendiri," katanya kepada pemberita selepas Program Seranta dan Penyampaian Cek Perkeso Bentong di sini baru-baru ini.

Mohammed Azman menjelaskan, Perkeso melaksanakan dua jenis skim iaitu Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat.

Sehubungan itu katanya, pekerja berkenaan perlu datang ke pejabat pertubuhan berdekatan dan mengemukakan tuntutan pada bila-bila masa untuk diproses oleh pihaknya.

"Tuntutan menerusi skim berkenaan boleh membantu kebajikan pekerja atau waris mereka untuk memulihkan semula kehidupan selepas menghadapi musibah iaitu kemalangan semasa bekerja," katanya.

Dalam pada itu, Mohammed Azman menegaskan, semua majikan perlu mencarum kepada Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja separuh masa dan tetap yang menjamin keselesaan kehidupan pencarum pada masa akan datang.

Katanya, Perkeso memandang serius kedegilan pihak majikan yang belum mendaftar dan mencarum untuk pekerja mereka supaya dapat meringankan beban kesengsaraan apabila mereka terlibat kemalangan.

"Kita memantau segelintir majikan yang masih berdegil serta memberi panduan berasaskan situasi menang-menang dan perlu mematuhi peraturan Perkeso mengenai hak dan kebajikan pekerja," tambahnya

Monday, January 3, 2011

Bekas pengurus Sime Darby dituduh rasuah RM55,300

2011/01/04
JOHOR BAHRU: Bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby Engineering Sdn Bhd di Pasir Gudang di sini, Md Zaki Othman, 49 (kanan), didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas dua tuduhan menerima sogokan bernilai RM55,300 bagi bayaran perabot dan jam tangan mewah, antara Disember 2007 dan Mac 2009.

Md Zaki mengaku tidak bersalah sejurus sebaik kedua-dua pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Ghafar Abdul Latif di hadapan Pendaftar Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Hidayah Abdul Manap. Bagi tuduhan pertama, Md Zaki yang diwakili peguam, S Vijaya, didakwa menerima sogokan RM33,600 bagi bayaran beberapa set perabot termasuk sofa, meja makan dan meja telefon yang dibekalkan Europe Asia Furniture Expo Sdn Bhd daripada Abdul Salam Ahmad. Tertuduh yang ketika itu pengurus besar operasi syarikat sama, dituduh menerima sogokan berkenaan sebagai dorongan membantu Abdul Salam mendapatkan surat hasrat bertarikh 11 Januari 2008 bagi projek bernilai lebih RM23.9 juta kepada Duplex Energy Sdn Bhd.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama di Premis 4, Jalan Austin Perdana 2/11, Taman Austin Perdana di sini, jam 10 pagi, 14 Disember 2007.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menerima jam tangan jenama Rolex untuk isterinya, Harison Hamzah, bernilai RM21,700 daripada lelaki sama, sebagai upah membantu melulus dan mempercepatkan tuntutan bayaran kemajuan projek di Sime Darby Engineering, Pasir Gudang, dan kontrak kecil projek oleh Duplex Energy Sdn Bhd.

Berikutan pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh, Abdul Ghafar menawarkan ikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu tetapi Vijaya memohon agar dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan tertuduh mempunyai empat anak termasuk tiga masih bersekolah, manakala isterinya tidak bekerja.
Hidayah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi dua pertuduhan terbabit sebelum menetapkan 25 Februari depan sebutan semula kes.