Thursday, December 30, 2010

Tauke loteri haram didakwa rasuah

MELAKA 30 Dis. 2010 - Seorang tauke loteri haram mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi rasuah RM5,000 kepada seorang anggota polis pada pertengahan tahun ini.

Lim Hoak Chee, 60, didakwa memberi wang suapan itu kepada Sarjan Wong Soon Meng dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Kelantan sebagai dorongan supaya tidak menahannya yang disyaki menjalankan kegiatan loteri haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ban Hin & Co., 3228 Masjid Tanah, Alor Gajah di sini pada pukul 7.15 malam, 19 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Zaharah Husain membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 27 Januari ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Sa'ad Shukor.

Chow Kit lubuk tiket penerbangan

Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
2010/12/31


ANTARA agensi haram yang dipercayai menjual tiket penerbangan di sekitar Chow Kit.Pengusaha haram jadikan pekerja asing sebagai pelanggan untuk raih untung

KUALA LUMPUR: Sekitar kawasan Chow Kit dan Kampung Baru di ibu negara dikesan menjadi lubuk penjualan tiket penerbangan ke pelbagai destinasi luar negara dan tempatan oleh premis perniagaan tidak berdaftar sebagai agensi pengembaraan sah kepada pekerja asing, terutama dari Indonesia. Premis perniagaan yang beroperasi di lot kedai di lorong kecil sekitar Jalan Raja Bot, Lorong Masjid Pakistan dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, mengaut keuntungan dengan mengenakan caj tambahan antara RM30 dan RM40 bagi setiap e-tiket yang dijual. Pengusaha haram itu juga menjadikan pelancong asing yang menginap di hotel dan rumah tumpangan sekitar kawasan itu sebagai pelanggan terutama mereka yang tidak mempunyai kad kredit atau kemudahan akses internet untuk membeli e-tiket melalui tempahan dalam talian.

Mereka menawarkan tiket syarikat penerbangan seperti AirAsia, Malaysia Airlines, Garuda Airlines dan Lion Airlines ke beberapa destinasi di negara jiran, termasuk Jakarta, Surabaya, Yogyakarta dan Pekan Baru tanpa lesen sah daripada Kementerian Pelancongan.

Sumber Kementerian Pelancongan mengesahkan kegiatan tanpa mendaftarkan premis perniagaan sebagai agensi pengembaraan sah dengan Bahagian Pelesenan kementerian itu, menyalahi Akta Industri Pelancongan 1992 yang mewajibkan syarikat mempunyai modal berbayar RM200,000 untuk mendapatkan lesen penjualan tiket pakej pelancongan dan yang berkaitan.

Katanya, kegiatan itu semakin sukar dikawal selepas syarikat penerbangan memperkenalkan penjualan e-tiket beberapa tahun lalu selain kekurangan penguat kuasa.
Tinjauan Berita Harian ke kawasan itu mendapati kebanyakan premis terbabit tidak memiliki lesen agensi pengembaraan yang sepatutnya digantung pada kaunter atau tempat mudah dilihat pelanggan serta tidak mempunyai pelekat agensi pengembaraan di pintu masuk. Kebanyakan premis bukan saja tidak menepati keluasan premis jualan tiket penerbangan yang sepatutnya 400 kaki persegi, malah dicampur aduk dengan perkhidmatan lain.

Wartawan Berita Harian dengan mudah membeli tiket penerbangan AirAsia ke Alor Setar, Kedah, dengan dikenakan caj tambahan RM40 tanpa sebarang pertanyaan, sebaliknya dengan hanya mengemukakan nama penuh, nombor kad pengenalan serta tarikh dan masa penerbangan.

Kebanyakan premis terbabit mudah dilihat pelanggan kerana memaparkan pakej penerbangan yang ditawarkan pada banting atau pemidang syarikat penerbangan yang digantung di kawasan premis perniagaan, selain memaparkan pakej penerbangan di pintu masuk premis mereka.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Mohd Khalid Harun ketika diminta mengulas menyifatkan kewujudan agensi pengembaraan tidak sah itu sebagai kelemahan penguatkuasaan dalam sektor pelancongan.

“Kita mengetahui mengenai operasi agensi pengembaraan tidak berdaftar ini. Ia memburukkan keadaan jika turut membabitkan penjualan pakej pelancongan kerana memberi kesan negatif kepada industri pelancongan negara,” katanya.

Sumber industri pula berkata, premis perniagaan yang menjual tiket penerbangan tanpa lesen agensi pengembaraan itu mendapat sambutan pekerja asing kerana menganggap agensi pengembaraan berdaftar lebih mahal sedangkan caj dikenakan sama.

“Jika tidak diatasi ia akan menyebabkan agensi pengembaraan berdaftar gulung tikar kerana tidak mampu bersaing dengan agensi pengembaraan tidak sah yang mempunyai kos operasi rendah selain tidak mempunyai modal berbayar yang tinggi,” katanya

Wednesday, December 29, 2010

Peniaga terbeli sejadah curi

HASHIM Abd. Hadi menunjukkan sehelai sejadah milik Surau Hospital Melaka yang dibelinya daripada lelaki OKU dengan harga murah di warungnya di Kampung Ketapang, Pernu, Melaka, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



MELAKA 29 Dis. - Niat seorang peniaga untuk membantu seorang warga emas kurang upaya (OKU) kelmarin, memakan diri setelah tiga helai sejadah yang dibelinya daripada lelaki itu sebenarnya dicuri dari surau Hospital Melaka (HM).

Hashim Abd. Hadi, 55, berkata, semasa membeli, dia tidak perasan sejadah tersebut milik surau HM kerana dia dan isteri, Idayanti Musdar, 36, sedang sibuk di warung mereka di Kampung Ketapang, Pernu di sini.

"Saya dan isteri didatangi lelaki berkenaan dan kami kasihan melihatkan keadaan dirinya yang cacat tangan dan kaki kiri, bersusah-payah membawa sejadah untuk dijual kepada orang ramai.

"Dengan harga RM5 sehelai, saya membeli tiga helai sejadah tanpa memeriksa sejadah tersebut sebelum warga emas itu dengan segera meninggalkan warung saya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Hashim, sebaik sahaja warga emas berkenaan beredar, dia dan isteri membelek tiga helai sejadah tersebut dan terkejut kerana tertera tulisan 'Surau Hospital Melaka' pada bahagian tepi sejadah terbabit.

"Selepas melihat sejadah-sejadah tersebut, kami mengesyaki sejadah itu telah dicuri dari surau HM sebelum dijual kepada orang ramai dengan harga murah," katanya.

Menurut Hashim, dia juga sempat memandang bakul motosikal dinaiki lelaki terbabit yang penuh dengan sejadah.

Dia bercadang untuk memulangkan kembali ketiga-tiga sejadah berkenaan di Surau HM.

"Sudah tentu saya berasa terkejut dan kesal dengan perbuatan warga emas tersebut jika benar dia mencuri hak milik surau HM," katanya.

Ahli perniagaan didenda RM13j kes cetak rompak

Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my
2010/12/30
Dituduh miliki 6,500 VCD, DVD karaoke di kediaman

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan didenda RM13 juta oleh Mahkamah Sesyen Putrajaya di sini, pada 23 Disember lalu selepas didapati bersalah memiliki 6,500 video cakera padat (VCD) dan cakera video digital (DVD) karaoke cetak rompak membabitkan koleksi lagu artis popular tempatan dan antarabangsa, pada 23 Disember lalu. Ia sekali gus menjadi jumlah denda tertinggi pernah dikenakan ke atas pesalah cetak rompak sejak Akta Hak Cipta diluluskan Parlimen, seterusnya dikuatkuasakan 23 tahun lalu. Ahli perniagaan, Tee Min Hock, 35, turut berdepan hukuman dua tahun penjara jika gagal membayar denda berkenaan selepas disabitkan kesalahan itu mengikut Seksyen 41 (1) (d) Akta Hak Cipta 1987.

Mengikut keterangan fakta kes, VCD dan DVD karaoke cetak rompak itu ditemui disembunyikan di rumah ahli perniagaan terbabit dalam serbuan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) pada 27 September 2007.

Difahamkan, serbuan dilakukan berdasarkan laporan yang dibuat oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), dengan VCD dan DVD karaoke cetak rompak itu dipercayai mahu digunakan untuk tujuan komersial.

Timbalan Ketua Pengarah KPDNKK, Iskandar Halim Sulaiman, berkata tindakan itu adalah pengajaran terbaik kepada semua pihak yang tidak menghormati hak cipta, selain cuba mengaut keuntungan dari kegiatan cetak rompak.
“Walaupun sudah banyak kali kerajaan mengeluarkan amaran berhubung kegiatan haram ini, masih ada pihak tidak mengendahkannya dan cuba mengambil kesempatan.

“Hukuman dikenakan ke atas ahli perniagaan terbabit dianggap setimpal dengan kesalahan pelanggaran hak cipta dilakukannya, sekali gus menjadi pengajaran kepada mereka yang masih berdegil dan tidak menghormati undang-undang,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Anti Cetak Rompak (APAC), berkata mahkamah memandang serius kegiatan pelanggaran hak cipta oleh ahli perniagaan terbabit dengan menetapkan denda minimum RM2,000 bagi setiap salinan lagu.

“Mengikut Akta Hak Cipta 1987, denda maksimum yang dibenarkan boleh mencecah RM20,000 bagi setiap lagu dan penjara lima tahun jika disabitkan kesalahan.

“Kita akan bekerjasama dengan RIM dan organisasi lain yang berkaitan dalam usaha memerangi kegiatan cetak rompak ini melalui tindakan serbuan dan pemeriksaan lebih kerap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RIM, Tan Ngiap Foo, berkata usaha perlu diteruskan bagi membersihkan negara daripada menjadi sarang cetak rompak.

“Sejak 2001, kerajaan mengharamkan penjualan cakera optik, terutama VCD dan DVD di pasar malam di seluruh negara, namun usaha itu tidak menampakkan kesannya.

“Ia dikesan semakin berleluasa di Kuala Lumpur, dengan setiap pasar malam dikatakan mempunyai sekurang-kurangnya 30 gerai menjual karya muzik dan filem cetak rompak. Walaupun sudah banyak kali perkara ini diadukan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tiada tindakan diambil,” katanya.

Barang ganti tiruan: Zainal Rampak diminta kemuka bukti

2010/12/29
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Semenanjung Malaysia (PMBOA) hari ini menggesa Datuk Zainal Rampak mengemukakan bukti berhubung dakwaan penggunaan alat ganti tiruan pada kalangan pengusaha bas di negara ini.

Presidennya, Datuk Mohamad Ashfar Ali, berkata Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) itu juga wajar membuat laporan kepada pihak berkuasa jika benar keadaan itu wujud. "Jika ada pengusaha bas yang didapati bersalah menggunakan alat ganti tiruan saya tidak menghalang agar tindakan undang-undang dikenakan ke atas pengusaha bas terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. Ini kerana katanya, isu itu membabitkan soal keselamatan pengguna dan orang ramai.

Dalam pada itu kata Mohamad Ashfar, sehingga kini tidak ada bukti yang mengesahkan dakwaan alat ganti tiruan menjadi punca nahas kemalangan jalan raya, menunjukkan dakwaan berkenaan tidak berasas.

Zainal sebelum ini dilapor media sebagai berkata, syarikat pengusaha bas lebih cenderung menggunakan alat ganti tiruan kerana ia dapat meminimumkan kos syarikat dan lebih mudah didapati.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh berkata pengusaha bas atau pengangkutan komersial yang masih berdegil menggunakan alat ganti tiruan perlu digantung permit mereka.
"Kalau syarikat itu terus berdegil... pertama denda dan permit akan digantung, soal alat ganti tiruan ini tidak boleh bertolak ansur sebab ia melibatkan nyawa penumpang dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata," katanya.

Suret berkata pemantauan dan pemeriksaan oleh pihak yang berkenaan adalah penting untuk memastikan setiap pengusaha bas dan pengangkutan komersial menggunakan alat ganti tulen dan dijamin kualiti ketahanannya.

"...sekiranya dapati tidak tulen jangan biarkan mereka beroperasi. Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Jabatan Pengangkutan Jalan perlu membuat pemantauan terutamanya melibatkan enjin dan brek," katanya.

Bagi Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri, penggunaan alat ganti tiruan yang tidak mempunyai pengesahan daripada Institut Penyelidikan Industri dan Standard Malaysia (SIRIM) sememangnya boleh menjadi punca kemalangan.

"Pemantauan harus dibuat ke atas premis-premis perniagaan yang menjual alat ganti tiruan ini. Oleh itu Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan harus lebih tegas kepada mana-mana individu yang menjual alat ganti tiruan ini," katanya.

Dalam pada itu pengusaha bas, Syarikat RRR Holidays, Lim Chee Kheong, 52, berkata adalah tidak wajar menyalahkan sebelah pihak sahaja setiap kali berlaku kemalangan kerana terdapat pelbagai faktor lain yang mungkin menyumbang kepada tragedi itu.

"Contohnya, keadaan jalan yang berbukit dan tidak rata turut menjadi penyebab...bukan disebabkan penggunaan alat ganti tiruan. Saya sebagai pengusaha bas amat mementingkan keselamatan pengguna kerana nyawa penumpang terletak pada ''tangan'' pemandu bas itu sendiri," katanya. - BERNAMA

Tuesday, December 28, 2010

Pecah amanah: Ibu tunggal dipenjara setahun

KUALA LUMPUR 28 Dis. 2010 - ''Adalah sesuatu yang ironi bagi kamu, ibu tunggal kepada tiga anak, melakukan pecah amanah terhadap wang milik sebuah persatuan yang menjaga kebajikan golongan seperti kamu sendiri.''

Demikian kata Hakim Mahkamah Sesyen, Jagjit Singh sebelum menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas Genevieve Christeta Bois, 36, yang didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah 10 keping cek bernilai RM41,518.50 milik Persatuan Kumpulan Sumbangan Keluarga Ibu Kuala Lumpur, enam tahun lalu.

Wanita tersebut disabitkan dengan kesalahan berkenaan ketika dia memegang jawatan setiausaha di pejabat persatuan itu di No. 128, Jalan Terasik 8, Bangsar, Brickfields di sini antara 9 Jun dan 7 September 2004.

Bagaimanapun, Jagjit membenarkan permohonan peguam bela Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh untuk menggantung pelaksanaan hukuman terhadap anak guamnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Beliau turut menetapkan wang jaminan dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM20,000 dengan seorang penjamin.

Jagjit dalam keputusannya turut menegaskan, perbuatan tertuduh telah menganggu kelancaran usaha persatuan tersebut yang sememangnya berfungsi membantu golongan ibu tunggal dan kanak-kanak yang memerlukan sokongan.

Menurutnya, beliau turut mengambil kira faktor yang dinyatakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah K.M. Abu Bakar bahawa tertuduh masih gagal memulangkan semula wang tersebut kepada persatuan itu sehingga hari ini.

Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Amer Hamzah memohon agar Bois tidak dikenakan hukuman penjara kerana anak guamnya itu perlu menyara tiga anak berusia antara 8 dan 15 tahun serta ibu kandungnya.

Sepanjang perbicaraan, 10 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh sendiri telah memberikan keterangan.

Polis cari Chan Soo Sin bantu siasatan

BATU PAHAT 28 Dis. 2010 – Polis mencari seorang lelaki, Chan Soo Sin, bagi membantu siasatan kes pemalsuan dua keping cek bernilai RM400,000 di sebuah bank di bandar ini, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis daerah, Supritendan Adnan Azizon berkata, ia ekoran aduan sebuah syarikat swasta mengenai dua keping cek palsu yang telah dimasukkan ke dalam akaun sebuah bank.

“Menurut pengadu, setelah disemak nombor siri pada cek berkenaan adalah sama dengan nombor siri cek syarikat itu yang masih belum digunakan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati seorang lelaki cuba menggunakan cek tersebut dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

Justeru, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali Soo Sin diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Annasmahyudin Abdul Wahab di talian 07-4341222.

Janji gelaran 'datuk', pinjaman

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusann9@utusan.com.my

SEREMBAN 28 Dis. - Polis sedang mencari dua lelaki bagi membantu siasatan dua kes penipuan membabitkan pemberian anugerah gelaran 'Datuk' serta urusan pinjaman bank bernilai belasan ribu ringgit di sekitar negeri ini, tahun lalu.

Kerjasama kedua-duanya iaitu Jaspal Singh, 36, dan Rohaizad Abu Zarin, 43, amat diperlukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri.

Jurucakap polis berkata, dalam laporan kes pertama, mangsa mendakwa ditawarkan suspek untuk memperoleh anugerah 'Datuk' dengan membayar wang berjumlah RM20,000.

"Bagaimanapun, mangsa dikehendaki membayar deposit awal RM5,000 ke dalam akaun bank suspek sebagai kos tempahan meja pada majlis santapan diraja di sebuah hotel terkemuka di sekitar ibu negara.

"Namun, mangsa yang keberatan dan sangsi dengan tawaran berkenaan menyedari ia adalah penipuan sekali gus tidak membuat sebarang bayaran terhadap suspek," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, polis meminta kerjasama Jaspal supaya segera tampil bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Individu terbabit yang juga seorang peniaga memiliki alamat terakhirnya di No.22, Jalan Teladan 25/22, Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor," katanya.

Sementara itu, bagi kes kedua pula, jurucakap berkenaan memberitahu, mangsa mendakwa diminta membuat sejumlah pembayaran bagi tujuan mendapatkan kelulusan pinjaman melalui sebuah bank.

"Mangsa kemudian membuat pembayaran berjumlah RM15,000 sebagai wang pendahuluan secara ansuran kepada suspek.

"Selepas pembayaran itu selesai dibuat, suspek bagaimanapun memberi pelbagai alasan mengenai kelewatan pinjaman berkenaan.

"Apabila merujuk perkara itu dengan pihak bank, mangsa dimaklumkan bahawa tiada sebarang permohonan pinjaman dilakukan atas nama mangsa," jelasnya.

Katanya, mangsa yang menyedari dirinya diperdaya kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

"Berikutan itu, polis sedang mengesan Rohaizad Abu Zarin, 43, yang bekerja sebagai ejen pinjaman dan berasal dari Senawang bagi membantu siasatan," ujarnya.

Menurut jurucakap itu, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai mereka diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Haffiz Rosni di talian 012-4995823 untuk tindakan lanjut.

Helah refleksologi

Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my
2010/12/29


SEBAHAGIAN wanita warga asing yang menawarkan khidmat seks ditahan dalam operasi di sebuah pusat refleksologi dan kesihatan, di Kepong.Pusat kesihatan sedia gadis asing tawar pakej urutan badan, seks

KUALA LUMPUR: Berselindung di sebalik nama pusat refleksologi dan kesihatan, sebuah premis di Metro Prima, Kepong, dekat sini dikesan menawarkan gadis warga asing bagi pakej urutan badan serta seks oral dengan bayaran hanya RM80 kepada setiap pelanggan. Selain itu, pelanggan juga ditawarkan urutan badan ke badan atau b2b pada harga RM130, manakala perkhidmatan seks pula RM160. Bagaimanapun, taktik premis di tingkat bawah bangunan lot kedai belakang sebuah pasar raya dengan memaparkan gambar urutan tradisional di pintu masuknya itu terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 11 malam oleh sepasukan dua pegawai dan enam anggota dari Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman itu, seramai 10 wanita warga asing yang menawarkan perkhidmatan tidak bermoral itu ditahan.

Semua wanita terbabit yang tidak tahu berbahasa Melayu itu berusia 19 hingga 34 tahun yang mana enam daripada mereka adalah warga China dan empat lagi dari Vietnam.

Turut ditahan ialah empat lelaki pekerja premis berkenaan, termasuk dua yang datang ke situ untuk mengutip wang, selain tiga pelanggan warga tempatan yang diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Jurucakap D7 Bukit Aman berkata, pemeriksaan mendapati tiga daripadanya tidak memiliki pasport, manakala tujuh yang lain menyalahgunakan pas lawatan sosial ke negara ini.

"Premis ini didapati menyalahgunakan lesen refleksologi dengan menawarkan perkhidmatan seks dan urutan b2b kepada pelanggan sedangkan berdasarkan lesen dimiliki, mereka tidak boleh mengadakan aktiviti mengurut badan dan sauna.

“Pemeriksaan di dalam premis juga mendapati 14 bilik kecil disediakan, dipercayai digunakan untuk urutan b2b serta khidmat seks,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu.

Malah, beliau berkata, pemeriksaan dalam bilik kecil itu turut menemui beberapa kondom yang belum digunakan, sekali gus mengukuhkan bukti wujudnya aktiviti tidak bermoral di premis berkenaan.

“Ini kali pertama serbuan dijalankan terhadap premis ini. Siasatan mendapati ia beroperasi mulai jam 12 tengah hari hingga jam 3 pagi,” katanya.

Tinjauan juga mendapati premis terbabit dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

“Kita mohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan seperti ini supaya melaporkannya kepada polis. Kita juga akan meneruskan operasi sebegini untuk membanteras gejala maksiat dan kegiatan pelacuran,” katanya.

Kes curi enjin jet TUDM: Dua dibicara bersama 14 Jun

2010/12/28
PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan tiga hari bermula 14 Jun tahun depan sebagai tarikh bicara kes Sarjan N Tharmendran dari Tentera Udara Diraja Malaysia dan ahli perniagaan K Rajandran Prasad yang menghadapi pertuduhan bersubahat mencuri dan melupuskan enjin pesawat milik TUDM.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz juga menetapkan tarikh yang sama untuk perbicaraan kes pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA), yang turut dihadapi kedua-duanya. Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Hamidi Mohd Noh, Syed Feisal Syed Amir, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi dan Mohd Haziq Razali manakala Tharmendran diwakili T.Renuka dan Rajandran Prasad oleh Rejender Singh. Pada 17 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan Tharmendran untuk penggantungan kekal bagi tuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 yang dihadapinya.

Pada 6 Januari lalu, Tharmendran, 42, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di sini pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Rajandran Prasad, 38, pengarah sebuah syarikat pembekalan, turut mengaku tidak bersalah pada tarikh yang sama terhadap tuduhan dengan sengaja menghapuskan dua enjin TUDM itu di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang pada 30 April 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pada 20 Ogos lalu, Tharmendran turut mengaku tidak bersalah terhadap pengubahan wang haram melibatkan RM62,000, manakala Rajandran Prasad mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan serupa melibatkan RM437,319.50. - BERNAMA

Alat ganti tiruan antara punca kemalangan bas - TWU

28/12/2010 3:17pm


PETALING JAYA 28 Dis. — Alat ganti tiruan kini dikategorikan sebagai antara faktor utama kemalangan melibatkan bas ekspres di negara ini.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU), Datuk Zainal Rampak berkata, penggunaan alat ganti seperti itu berleluasa dalam kalangan syarikat bas kerana ia lebih menjimatkan kos selain mudah didapati.

"Benda ini sudah lama berlaku namun tidak banyak pihak meluahkannya pada pihak berkuasa dan kini pihak berkaitan seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu memberi perhatian serius terhadap isu ini,” katanya kepada pemberita di pejabat TWU di sini hari ini.

Zainal berkata, antara alat ganti tiruan yang digunakan secara meluas ialah cakera brek yang kadangkala diguna semula selain alat ganti yang tidak sesuai dengan model bas mereka.

"Cakera brek tiruan ini, bila ditekan berkali-kali ketika menuruni bukit contohnya, akan menjadi panas dan akhirnya akan menjadi lembut serta gagal berfungsi pada saat kecemasan,” katanya. - Bernama

Jurusolek diperintah bela diri tuduhan rasuah

2010/12/28
PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan seorang jurusolek membela diri terhadap pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM50,000 daripada seorang wanita yang kononnya bagi pihak seorang pegawai kanan polis Selangor.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sinti dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), berjaya membuktikkan kes prima facie terhadap Ong Lai Fong, 37, atau nama Islamnya, Nur Hidayah Jasmin Abdullah, dari Shah Alam itu membela diri. Ong yang diwakili peguam bela R. Rajakumar dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah restoran makanan segera di Bandar One Utama di sini pada 7 dan 10 Jun 2004. Bagi tuduhan pertama, dia didakwa meminta RM50,000 daripada seorang ahli perniagaan Yeow Wai Yee yang kononnya bagi pihak Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor ketika itu, SAC II Abu Bakar Mustaffa, sebagai dorongan bagi membebaskan suami Yeow, Chung Siew Ling, yang ditahan dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Bagi tuduhan kedua, Ong didakwa menerima RM50,000 daripada Yeow bagi tujuan yang sama. - BERNAMA

UPP rampas 14,000kg beras seludup bernilai RM42,000

28/12/2010 4:03pm



Oleh YATIMIN ABDULLAH

TUMPAT 28 Dis. – Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan merampas 14,000 kilogram beras wangi seludup dianggarkan bernilai RM42,000 dalam satu serbuan ke atas sebuah treler di Kampung Pek, Machang awal pagi ini.

Komander UPP negeri, Mazlan Che Hamid berkata, tangkapan tersebut hasil maklumat awam serta risikan dua anggotanya yang telah mengekori treler itu menghala ke Kuala Krai kira-kira pukul 4 pagi bermula dari Kampung Kemuning, Machang.

Menurutnya, selepas kira-kira 20 minit mengekori treler terbabit, anggota UPP berkenaan telah menahannya di Kampung Pek Machang untuk melakukan pemeriksaan selepas dipercayai membawa beras seludup dari negara jiran.

"Hasil pemeriksaan pihak kita mendapati treler terbabit membawa 14,000 kilogram beras wangi dalam 280 kampit yang mana setiap satu seberat 50 kilogram dan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM42,000.

"Pihak UPP telah menahan pemandu lori terbabit kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan dengan beras yang dibawa sebelum mengeluarkan satu invois yang kita percaya telah dipalsukan menyebabkan anggota kita mengesyaki ia adalah beras seludup," katanya ketika ditemui di sini, hari ini. - Utusan

Monday, December 27, 2010

Suami isteri pecah amanah dipenjara, sebat

KUALA LUMPUR 27 Dis. 2010 - Sepasang suami isteri, masing-masing dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah RM424,389.53, lebih 12 tahun lalu.

Hakim Azwarinda Affandi menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Hew Kun Loon, 38, dan isteri, Chong Siu Ling, 43, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes itu.

Hakim tersebut turut menetapkan hukuman sebatan tiga kali ke atas Kun Loon.

Bagaimanapun, Azwarinda membenarkan permohonan peguam bela Peter Siew yang mewakili kedua-dua tertuduh untuk menggantung pelaksanaan hukuman terhadap anak guamnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Wang jaminan terhadap setiap tertuduh turut dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM25,000.

Siu Ling didakwa melakukan pecah amanah terhadap 18 keping cek syarikat TP Indah Sdn. Bhd. semasa dia memegang jawatan setiausaha di syarikat terbabit dengan memindahkan wang kepunyaan syarikat itu ke dalam akaun milik suaminya.

Wang RM424,389.53 itu dipindahkan ke dalam dua buah akaun bank iaitu Bank Oriental (kini dikenali sebagai EON Bank) di Taman Cheras Indah, di sini dan Public Bank di Bukit Beruntung, Rawang.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 8 pagi dan 5 petang, 10 September 1998 dan 8 Jun 2000 di premis pejabat tersebut di nombor 21A, Tingkat 1, Jalan Emas, Taman Emas, Batu 9, Cheras di sini.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 14 tahun, sebatan dan denda.

Sementara itu, Kun Loon yang merupakan seorang jurujual pula didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan isterinya dalam melakukan kesalahan terbabit.

Dia didakwa mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 10 kanun tersebut yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan.

Pasangan yang menetap di Rawang itu ditangkap pada 7 Jun 2001, iaitu dua hari selepas pemilik syarikat, Ng Chai Fatt membuat laporan polis.

Mereka didakwa di mahkamah buat pertama kali pada 2 Ogos 2002.

Terdahulu, Siew memohon hukuman ringan dikenakan ke atas anak guamnya atas alasan pasangan tersebut mempunyai tiga anak berusia antara empat dan 11 tahun yang memerlukan penjagaan rapi.

Selain itu, katanya, kedua-dua tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa, Asisten Supritendan Dr. A. Vasu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kerana kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh-tertuduh telah menyebabkan pemilik syarikat mengalami kerugian.

''Walaupun pihak pendakwaan bersimpati dengan tertuduh tetapi undang-undang harus dipelihara,'' katanya.

Sepanjang perbicaraan berlangsung, sebanyak 10 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan.

Sentral: Curi pasir bawah jejambat

Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my
2010/12/28


TENGKU SHAIFFULIAZAN (kiri) menunjukkan kegiatan mengorek pasir secara haram di bawah jejambat di Sungai Damansara yang menjejaskan struktur jejambat susur keluar Tol Bukit Jelutong.Kegiatan korek pasir di Sungai Damansara jejas struktur tiang

SHAH ALAM: Sebuah jawatankuasa bertindak yang mewakili pengusaha pasir Melayu di Selangor mendakwa wujud kegiatan mengorek pasir secara haram di Sungai Damansara yang terletak di bawah jejambat susur keluar Tol Bukit Jelutong dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berdekatan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di sini. Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Tengku Shaiffuliazan Zainal Abidin, mendakwa aktiviti itu dilakukan lebih sebulan lalu tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta badan berkanun berkaitan. Lebih membimbangkan, beliau mendakwa kegiatan itu boleh memberi kesan kepada struktur jejambat berkenaan, termasuk mungkin mengakibatkan masalah keretakan, sekali gus membahayakan ribuan pengguna yang melalui laluan berkenaan setiap hari.

“Tindakan segera perlu dilakukan oleh pihak bertanggungjawab bagi mengelak tragedi,” katanya yang meninjau lokasi itu bersama media, baru-baru ini.

Tengku Shaiffuliazan mendakwa, sungai terbabit yang dulu bersih dan deras alirannya kini semakin cetek serta keruh akibat aktiviti pengambilan pasir sehingga menjejaskan alam sekitar.

“Kerajaan negeri perlu bertindak segera dan jangan hanya memejam mata apabila timbul isu membabitkan alam sekitar di negeri ini. Siasat siapa dalangnya.
“Ke mana perginya peraturan perlombongan pasir. Kalau betul kerajaan negeri telus dan serius membanteras kecurian pasir, perkara seperti ini tidak akan berlaku, apatah lagi ia dijalankan betul-betul di bawah jejambat ini,” katanya.

Ditanya kemungkinan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) terbabit dalam aktiviti berkenaan, beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk menyiasatnya selain tidak mengamalkan sikap pilih kasih berhubung isu terbabit.

Sementara itu, tinjauan pada jam 3 petang baru-baru ini mendapati kegiatan mengorek pasir itu sudah dihentikan, dipercayai kehadiran pihak media sudah terlebih dulu dihidu.

Bagaimanapun, ada tiga longgokan pasir setiap satunya setinggi kira-kira lima meter, selain satu mesin mengorek pasir di tebing sungai di bawah jejambat yang mempunyai kira-kira 30 tiang itu.

Difahamkan, jentera itu mampu mengorek pasir sehingga mencecah kedalaman 20 meter

SPRM Pulau Pinang tahan dua pegawai kerajaan

Oleh Fazli Abdullah
fazliabdullah@bharian.com.my
2010/12/28


LATIFAH menunjukkan laporan tangkapan dua penjawat awam yang ditahan di dua lokasi berasingan di Georgetown, semalam.Pengarah, pengurus didakwa terima rasuah, buat tuntutan palsu

GEORGETOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan seorang pengarah jabatan kerajaan dan seorang pengurus kanan sebuah agensi kerajaan negeri kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah di sini, semalam. Suspek pertama yang berusia 44 tahun ditahan di Pejabat SPRM di sini, pada jam 10 pagi, manakala pengurus kanan yang berusia 53 tahun itu ditahan di bandar ini, kira-kira jam 1 tengah hari. Bagaimanapun, kedua-dua kes berkenaan tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Latifah Md Yatim, berkata ketua jabatan kerajaan Persekutuan berkenaan ditahan kerana didakwa menerima rasuah sebanyak RM16,325 sebagai deposit membeli kenderaan daripada seorang kontraktor pembaikan dan penyelenggaraan pejabat.

Katanya, pengarah terbabit yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun sebagai kakitangan kerajaan termasuk bertugas di Pulau Pinang kira-kira dua tahun lalu, didakwa melakukan kesalahan itu pada 2008 dan 2009.

“Kesalahan terbabit didakwa berlaku di Kulim, Kedah, dan dia dijangka dihadapkan ke mahkamah di Sungai Petani, Kedah, esok (hari ini),” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 17A Akta Suruhanjaya SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Latifah berkata, pengurus kanan agensi kerajaan negeri berkenaan pula didakwa membuat tuntutan palsu sebanyak RM5,700, sekitar Ogos 2006.

Suspek yang bertanggungjawab terhadap kewangan perbadanan itu, didakwa membuat tuntutan palsu berhubung pembekalan peralatan berkaitan perakam waktu sedangkan peralatan berkenaan tidak pernah dibekalkan kepada agensi berkenaan.

Dia disiasat mengikut Seksyen 11C Akta Pencegahan Rasuah 1997, yang membawa denda lima kali nilai suapan dan penjara sekurang-kurangnya 14 hari dan maksimum 20 tahun.

“Suspek dijangka dihadapkan ke mahkamah di sini, esok (hari ini),” katanya yang berterima kasih kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat kepada SPRM berkaitan kedua-dua kes berkenaan

'Banyak pincang dalam industri pelancongan kita'

Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
2010/12/28
Syarikat salah guna, pajak permit semakin menjadi-jadi

KUALA LUMPUR: Kemalangan membabitkan bas persiaran mengorbankan 28 nyawa, termasuk 25 pelancong dari Thailand, pada minggu lalu mendedahkan kepincangan dalam industri pelancongan negara membabitkan penyelewengan permit bas persiaran. Syarikat pelancongan yang memiliki permit bas persiaran, memajak atau menyewakan permit kepada pihak kedua yang jelas menyalahi peraturan kenderaan pelancongan mengikut Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999. Akta itu secara jelas menyatakan permit tidak boleh dipindah milik, tetapi dalam kemalangan pada 20 Disember lalu, bas persiaran terbabit mempunyai dua nama syarikat.

Sumber industri berkata, syarikat yang memajakkan permit biasanya mengenakan bayaran minimum RM500 hingga RM1,000 sebulan bagi setiap permit dengan sebuah syarikat pelancongan dianggar memiliki purata 10 permit.

“Kegiatan memajakkan permit dipercayai berlaku sejak 10 tahun lalu dan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini,” katanya kepada Berita Harian.

Ia diakui Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali yang mengesahkan ada bas persiaran digunakan sebagai bas ekspres dan menggunakan khidmat ulat tiket untuk mendapatkan pelanggan di luar kawasan stesen bas kerana beroperasi secara tidak sah serta hanya bergerak apabila mempunyai jumlah penumpang mencukupi.
“Kebanyakan bas ini tiada insurans dan tidak sesuai diguna sebagai bas ekspres,” katanya sambil menambah kebanyakan bas persiaran atau bas sewa yang dijadikan bas ekspres tidak menggunakan lebuh raya bagi mengelakkan dicekup pihak berkuasa.

Menurut Statistik Kementerian Pelancongan, ada 9,699 bas persiaran diluluskan oleh Bahagian Pelesenan Kementerian Pelancongan termasuk bas persiaran dari Brunei, Singapura dan Thailand sehingga 31 Oktober lalu dengan 4,602 bas persiaran beroperasi di jalan raya selepas didaftarkan dengan JPJ.

Sementara itu, sumber Kementerian Pelancongan mengesahkan pihaknya menerima aduan mengenai kegiatan itu dan sekurang-kurangnya sebuah syarikat dikenakan tindakan dibatalkan lesen kerana terbabit dalam kegiatan itu.

“Kementerian menyedari masalah ini, namun untuk membuktikan kegiatan memajakkan permit agak rumit dan mengambil masa. Antara tindakan ialah melakukan proses audit yang menyeluruh mengenai rekod operasi syarikat terbabit,” katanya.

Naib Presiden Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Kedah bagi Pelancongan Dalam Negeri dan Pengangkutan, Jafree Don, berkata kegiatan memajakkan permit memberikan banyak kesan buruk kepada industri pelancongan jika gagal ditangani dengan baik.

Katanya, ia menyebabkan persaingan tidak sihat di kalangan agensi pelancongan dan menyebabkan banyak syarikat berdaftar gulung tikar kerana gagal bersaing dengan syarikat tidak berdaftar yang menanggung kos operasi lebih rendah.

“Selain itu, syarikat yang menyewa permit mengubah suai bas untuk membawa lebih ramai penumpang bagi mendapat keuntungan cepat walaupun kenderaan berisiko terbabit dalam kemalangan.

“Penumpang yang menaiki bas yang terbabit dalam kemalangan pula tidak akan dilindungi insurans. Kegiatan itu juga akan menjejaskan imej negara kerana banyak bas persiaran membawa pelancong asing,” katanya.

Pakar pengangkutan awam Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Abd Rahim Md Nor, berkata pihak berkaitan, terutama Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mencari penyelesaian segera bagi mengatasi masalah itu.

“Tidak perlu menuding jari pada mana-mana pihak tapi pihak terbabit perlu menjelaskan kenapa bas melebihi kapasiti penumpang terus beroperasi dan bagaimana ia melepasi pemeriksaan berkala di PUSPAKOM,” katanya

Sunday, December 26, 2010

Wilayah: Buka pintu belakang

Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2010/12/26


BANYAK kafe siber buka laluan sulit untuk kaut keuntungan lebih pada awal pagi.Kafe siber buat laluan sulit elak dikesan PBT di Kuantan

KUANTAN: Bimbang dikenakan tindakan jika beroperasi lebih daripada had masa ditetapkan, beberapa kafe siber di bandar ini dikesan membuka pintu belakang untuk pelanggan bagi mengaut lebih banyak keuntungan. Beberapa pemilik premis di sini dikesan cuba mengaburi mata pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan menutup premis sebaik jam 12 tengah malam. Namun, kerana permintaan pelanggan terutama remaja yang mahu melayari internet serta bermain permainan komputer, mereka dikatakan membuka pintu belakang premis kepada pelanggan.

Tinjauan Berita Harian di sebuah premis kafe siber di bandar ini sempat merakamkan keadaan premis terbabit ketika masih dibuka dan ditutup serta pintu belakang yang terbuka untuk pelanggan keluar dan masuk.

Difahamkan, premis terbabit turut menjadi tumpuan remaja termasuk pelajar sekolah pada hujung minggu dengan menghabiskan masa bermain permainan online.

Seorang penjaga premis itu yang hanya mahu dikenali sebagai Lan, berkata kafe siber berkenaan dibuka sejak tiga tahun lalu dan sepanjang pengetahuannya belum pernah dikenakan tindakan pihak berkuasa kerana beroperasi lebih masa.
Beliau berkata, ada kemungkinan kafe berkenaan tidak menjalankan permainan haram seperti perjudian online.

"Biasanya premis ditutup bergantung kepada pelanggan yang ada...paling lewat pun antara jam 4 atau 5 pagi.

"Setakat ini tidak berlaku kejadian tak diingini termasuk diserbu pihak berkuasa dan sesiapa saja boleh masuk melalui pintu belakang yang dibuka dan tidak berkunci," katanya.

Lan berkata, kebanyakan pelanggan yang datang kerana mahu bermain permainan komputer dan hanya segelintir yang melayari internet.

Sementara itu, seorang pengusaha restoran berhampiran premis, Johari Azman, 45, berkata beliau langsung tidak mengetahui kafe siber berkenaan masih beroperasi selepas jam 12 tengah malam.

"Biasanya nampak premis tutup seperti biasa tapi ada pintu rahsia untuk pelanggan sebenarnya.

"Apapun saya harap pihak berkuasa memantau keadaan ini, kerana bimbang ramai remaja bawah umur yang datang melepak hingga ke awal pagi gara-gara kerana ketagih permainan komputer," katanya.

Mangsa banjir buat tuntutan palsu dikesan

2010/12/27
JITRA: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd Johari Baharom berkata terdapat segelintir petani dan mangsa banjir di Kedah dan Perlis membuat tuntutan palsu bagi kerugian yang mereka alami ketika bencana banjir bulan lalu.

Beliau berkata, ada petani membuat tuntutan kerugian ke atas sawah mereka yang dikatakan rosak, padahal mereka tidak terjejas langsung. “Selain tuntutan palsu, terdapat ramai mangsa banjir membuat tuntutan bertindih iaitu mendaftar lebih dari sekali serta seluruh ahli keluarga mereka turut mendaftar. “Malangnya terdapat ketua unit Pertubuhan Peladang Kawasan mengesahkan tuntutan petani meragukan atau palsu,” katanya kepada pemberita ketika bergotong-royong mengecat semula Masjid Kampung Telok Malek bersama anggota Kelab Proton Shah Alam, dekat sini, semalam.

Mohd Johari berkata, dalam borang tuntutan dijelaskan maklumat palsu yang diberikan boleh dikaitkan DENGAN kesalahan di bawah akta rasuah. – BERNAMA

Friday, December 24, 2010

Pusat hiburan diserbu kali ke-22 tahun ini, 24 GRO asing ditahan

2010/12/24
GEORGETOWN: Polis menahan 23 pelayan pelanggan (GRO) warga China dan seorang warga Vietnam dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Persiaran Gurney di sini malam tadi.

Ketua Polis Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata pusat hiburan itu jelas tidak serik-serik menjalankan kegiatan tidak bermoral walaupun sudah 21 kali diserbu polis tahun ini. Beliau berkata dalam serbuan Ops Noda pada kira-kira 11 malam itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai penjaga pusat hiburan berkenaan. Katanya semua mereka yang dipercayai tidak mempunyai permit kerja yang sah di samping menyalahguna pas lawatan sosial untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral.

Katanya, semua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 39B Peraturan Imigresen dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini Gan berkata pemilik premis itu pula akan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen iaitu menggaji dan melindungi warga asing bekerja tanpa permit.

Thursday, December 23, 2010

Broker tanah dipenjara 5 tahun, denda RM1j

KUALA LUMPUR 23 Dis. 2010 - Dua broker tanah tanpa lesen dipenjara lima tahun dan didenda RM1 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas 16 pertuduhan mengubah wang haram berjumlah hampir RM5 juta, tujuh tahun lalu.

Hakim Jagjit Singh menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Gan Kiat Bend, 52, dan Ismail Husin, 59, selepas pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes itu semalam.

Selain itu, hakim tersebut turut memerintahkan Kiat Bend dikenakan denda tambahan RM2.43 juta sebagai bayaran penalti waran levi atau penjara setahun lapan bulan, jika gagal membayar jumlah tersebut dalam tempoh setahun.

Ismail pula dikenakan penalti waran levi RM2.1 juta atau penjara tiga tahun tiga bulan.

Jagjit memerintahkan kesemua hukuman terhadap mereka berkuatkuasa hari ini.

Bagaimanapun, Jagjit membenarkan permohonan peguam Zeffree Zainudin untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara terhadap anak guamnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Jagjit dalam keputusannya menyatakan, beliau mengambil kira jumlah kerugian RM9 juta yang ditanggung oleh mangsa sedangkan tertuduh pertama hanya melabur RM300,000 untuk mendapat keuntungan RM2.5 juta dalam masa beberapa hari.

Katanya, tertuduh kedua pula ternyata mengetahui bahawa wang yang diterimanya adalah hasil aktiviti haram kerana mengarahkan Syed Ahmad memindahkan empat keping cek berjumlah RM2.53 juta ke dalam akaun bank milik isteri dan anaknya sebelum mengambilnya semula selepas itu.

Kiat Bend didakwa atas empat tuduhan pengubahan wang haram dalam empat transaksi berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM2.4 juta di Standard Chartered Bank Malaysia Berhad di No. 2, Jalan Ampang, antara 19 November 2003 dan 5 Januari 2004.

Dalam transaksi itu, dia didapati menerima wang hasil daripada aktiviti haram melalui empat keping cek kepunyaan ahli perniagaan, Syed Ahmad Fauzi Syed Abu Bakar, 40, yang melanggar Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

Seksyen tersebut memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ismail pula didakwa atas 12 pertuduhan yang serupa, di tempat yang sama, melibatkan 12 keping cek berasingan milik Syed Ahmad berjumlah RM2.85 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 19 November 2003 dan 13 Januari 2004.

Wang tersebut dipercayai hasil jual beli dua lot tanah dengan nilai RM9 juta.

Kes itu mula dibicarakan pada 15 April lalu dan pendakwaan mengemukakan 25 saksi sementara tiga saksi pembelaan memberikan keterangan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hazril Harun.

Dua pengarah didakwa kirim wang RM17j

PULAU PINANG 23 Dis. 2010 - Dua pengarah syarikat pengurup wang bersama syarikat mereka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 30 tuduhan termasuk di bawah Akta Pengurupan Wang 1998 membabitkan pengiriman dana keluar negara bagi pihak ketiga berjumlah 17 juta, dua tahun lalu.

Mereka ialah Kalander Mydin R.K. Abdul Jabbar, 46, dan Mohamad Imtiaz Rajah Mohamed, 33, yang merupakan pengarah syarikat R. Kalander Sdn. Bhd. atas tuduhan gagal menyimpan rekod transaksi mata wang tempatan yang melebihi RM20,000 seperti yang ditentukan pihak berkuasa.

Mereka mengaku tidak bersalah atas kesemua tuduhan tersebut ketika ia dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Setiap tertuduh termasuk syarikat R. Kalender menghadapi 10 pertuduhan setiap seorang.

Mengikut pertuduhan utama, kedua-dua tertuduh dan syarikat itu didakwa telah membuat pengiriman dana ke luar Malaysia bagi pihak ketiga membabitkan antara RM3 juta hingga RM4 juta yang keseluruhannya berjumlah RM17 juta.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 (1)(a) Akta Pengurupan Wang 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(2) akta yang sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa gagal menyimpan rekod transaksi mata wang tempatan yang melebihi RM20,000 seperti yang ditentukan pihak berkuasa.

Bagi pertuduhan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 87(1)(a) Akta Pencegahan Rasuah Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 86(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000.

Semua kesalahan itu didakwa berlaku pada masa berbeza antara 23 Julai 2008 dan 27 Ogos tahun lalu di syarikat tersebut di No. 74, Lebuh Pantai di sini.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala Timbalan Pendakwa Raya, Pang Chuin Keat dan pegawai pendakwa Muhd. Shukri Ahmad Mansor dan Muhamad Riduan Baba mewakili Bank Negara.

Terdahulu Muhd. Shukri mencadangkan supaya kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM250,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Roslan membenarkan jaminan tersebut dan memerintahkan supaya tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan mereka kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Beliau menetapkan 25 Januari depan bagi sebutan semula kes.

Nahas: 14 guni ketum dirampas

SETIU 23 Dis. 2010 - Seorang lelaki yang dipercayai pengedar daun ketum bukan sahaja terbabit dalam kemalangan, malah dia turut ditahan oleh polis.

Suspek yang berusia 37 tahun ditangkap ketika cuba menyembunyikan daun ketum di dalam semak selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kampung Langkap dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi, suspek ditahan bersama 14 guni daun ketum seberat 72 kilogram bernilai RM3,000 selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum terhumban ke dalam parit.

Ketua Bahagian Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Daerah, Asisten Supritendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, kereta yang dipandu suspek yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu dikatakan hilang kawalan ketika hujan menyebabkan ia terbabas.

Bagaimanapun, selepas kemalangan itu, suspek terlebih dahulu mengeluarkan daun ketum dari kenderaan dan menyembunyikannya dalam kawasan semak berdekatan.

"Namun, hasil maklumat orang ramai, selepas enam anggota polis dari Balai Polis Sungai Tong membuat pemeriksaan di sekitar kawasan itu, mereka menemui lelaki terbabit bersama 14 guni daun ketum yang berada kira-kira 80 meter dari kawasan kemalangan.

"Hasil soal siasat, lelaki tersebut tidak mengalami kecederaan ketika kemalangan berkenaan berlaku. Jadi, dia sempat memunggah guni-guni berkenaan untuk disorokkan.

"Kita percaya daun ketum yang belum diproses ini diperoleh dari Kedah untuk dijual kepada pengedar di daerah ini pada harga RM30 sekilogram," katanya ketika ditemui di Balai Polis Sungai Tong dekat sini hari ini.

Beliau berkata, suspek itu ditahan dan akan didakwa di bawah Seksyen 30 Akta Racun 1952.

Tipu pinjaman: Kes sivil atau jenayah

Oleh Wan Faizal Ismayatim dan Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail

2010/12/24
KUALA LUMPUR: Pihak bank perlu membuat siasatan dalaman bagi memastikan pinjaman yang diluluskan kepada individu dipercayai melalui satu sindiket membabitkan kes sivil atau mempunyai unsur jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata pihak bank itu juga perlu memaklumkan kepada pihak pengurusan mereka mengenai hal itu supaya dapat memastikan ia adalah penipuan atau kes membabitkan pecah amanah. Katanya, kes itu perlu diperincikan kerana polis tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap kes sivil kecuali terbukti pinjaman yang diluluskan itu mengandungi elemen jenayah, penipuan atau ugutan. Pada masa sama, peminjam yang berasa tertipu dan menjadi mangsa sindiket itu perlu tampil membuat laporan polis bagi membolehkan polis membuat siasatan dan risikan segera.

Perkara ini memerlukan siasatan terperinci kerana berlaku dua senario iaitu mangsa yang memberikan nama untuk pinjaman mengetahui mengenai penipuan itu melalui kontrak yang ditandatangani atau dia tidak tahu langsung mengenai butirannya dipalsukan yang membolehkan perkara itu disiasat sebagai penipuan, katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar ini Ahad lalu mengenai satu sindiket penipuan yang menggunakan nama individu untuk mendapatkan pinjaman bank dan kad kredit dipercayai menggunakan 'orang dalam' beberapa agensi seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memalsukan dokumen bagi memastikan pinjaman mereka berjaya.

Sindiket itu juga dikatakan menyogok pegawai bank sehingga 20 peratus daripada jumlah pinjaman bagi memastikan pinjaman diluluskan.
Sindiket penipuan terancang yang menggunakan nama individu bagi mendapatkan pinjaman bank dan kad kredit itu dikesan di ibu negara dengan menjadikan golongan muda sebagai 'kambing hitam' sehingga mereka menanggung hutang ratusan ribu ringgit.

Syed Ismail berkata, setakat ini pihaknya menerima satu laporan daripada seorang pemandu teksi yang mempunyai fakta kes mirip kes itu dan meminta mangsa lain untuk tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Wednesday, December 22, 2010

Jaja rokok

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

2010/12/23


PENJUAL rokok haram beroperasi di kaki lima pekan Keningau.Peniaga beroperasi haram di kaki lima pekan Keningau

KENINGAU: Selain membuka `kaunter ekspres' menjual rokok di kaki lima kedai dan perhentian bas, penjual rokok haram di pekan ini juga ligat menjual rokok secara bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain di sekitar pekan ini bagi mencari pelanggan.

Kegiatan tidak kira masa, dari pagi hingga malam, selagi masih ada orang ramai di pekan ini, seolah-olah operasi mereka tidak mendapat perhatian Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau agensi penguat kuasa lain. Jika di Kota Kinabalu, kegiatan menjual rokok secara haram dilakukan secara sembunyi, di pekan ini, penjualnya berurus niaga secara terang-terangan tanpa gentar ketika menghulurkan rokok kepada orang ramai di kaki lima kedai. Bagi pengunjung luar di pekan ini, situasi itu agak mengejutkan kerana di kawasan lain, kegiatan menjual rokok di kaki lima kedai dilarang.

Seorang pengunjung dari Kota Kinabalu, Awang Aming Abdullah, 36, berkata dia terkejut melihat ramai penjual rokok beroperasi di kaki lima kedai sekitar pekan ini dan lebih memeranjatkan ialah ada penjual bergerak menawarkan rokok secara terbuka kepada orang ramai.

"Kalau di ibu negeri saya lihat penjual rokok haram takut menjual rokok secara terbuka kerana bimbang dirampas pihak berkuasa, tetapi di pekan ini situasi sebaliknya berlaku.

"Di sini, rokok boleh dibeli dengan mudah di kaki lima kedai. Bagi perokok yang malas berjalan, mereka boleh menunggu kedatangan penjual rokok bergerak," katanya.
Situasi itu menjejaskan imej pekan ini, terutama dari perspektif pelancong tempatan dan asing.

Pekan ini menjadi tempat persinggahan pelancong yang melawat beberapa tempat menarik di pedalaman seperti Taman Pertanian Sabah di Lagud Seberang, Tenom dan Batu Punggul di Pensiangan.

Rokok pelbagai jenama yang dijual di kaki lima pekan ini, dipercayai diseludup berikutan harganya lebih rendah berbanding rokok dijual secara sah.

Awang berkata, penguatkuasaan yang lemah terhadap aktiviti penjualan rokok haram adalah punca pengedar rokok seludup dari daerah lain mengambil kesempatan memasarkan rokok itu di pekan ini secara berleluasa.

"Kalau ada langkah penguatkuasaan lebih ketat, saya percaya kegiatan menjual rokok haram di kaki lima atau secara bergerak di pekan ini tidak berleluasa. Kegiatan ini turut menjejaskan perniagaan pengedar dan penjual rokok sah," katanya.

Tinjauan Berita Harian di sini mendapati, kebanyakan penjual rokok haram di pekan ini adalah daripada kalangan warga asing atau penduduk dari daerah lain dengan kebanyakannya menjadikan lokasi tumpuan orang ramai seperti perhentian bas, pasar malam dan pasar raya sebagai sasaran.

Harga lebih rendah berbanding rokok yang dijual secara sah mendorong orang ramai di pekan ini, khususnya golongan berpendapatan rendah, termasuk remaja lebih tertarik membeli rokok dipasarkan di kawasan kaki lima berbanding yang dijual di kedai.

Isnin lalu, akhbar ini mendedahkan rokok pelbagai jenama yang dijual secara haram pada harga lebih murah mengandungi nikotin dan tar melebihi paras dibenarkan serta menggunakan daun tembakau yang tidak memenuhi piawaian Lembaga Tembakau Negara.

Tuesday, December 21, 2010

Telefon murah

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@bharian.com.my
2010/12/22


PENJUAL telefon bimbit (tengah) mendekati pelanggan di pinggir jalan pekan Rawang.Sindiket perdaya pengguna berkeliaran di Rawang

RAWANG: Pengguna yang tidak berhati-hati mungkin mudah tertipu dengan tindakan beberapa lelaki yang menjual telefon bimbit berjenama berharga murah yang berkeliaran di sekitar bandar ini. Dengan menjadikan pelanggan beberapa pasar raya di sini sebagai mangsa mereka, lelaki terbabit akan terus memujuk rayu bagi memastikan telefon bimbit yang tidak diketahui dari mana asalnya itu dapat dijual. Seorang pekerja swasta, Mohd Shafik Hambali, 25, berkata beliau hampir menjadi mangsa lelaki terbabit apabila cuba didekati mereka, baru-baru ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit menawarkan satu unit telefon bimbit jenama terkemuka yang dikatakan masih baru dan mempunyai pelbagai aksesori dengan harga RM150.

"Penjual itu enggan memberitahu dari mana mereka memperoleh bekalan telefon bimbit terbabit, tetapi hanya menyatakan peralatan itu tahan lama dan ramai sudah membelinya,” katanya kepada Sentral.

Katanya, beliau menolak tawaran lelaki terbabit yang turut menurunkan harga daripada RM150 kepada RM100 bagi satu unit telefon bimbit kerana tidak mahu menjadi mangsa penipuan.
“Ini berikutan sebelum ini rakan saya pernah mengalami kerugian lebih RM200 selepas membeli telefon bimbit terbabit.

“Telefon bimbit yang dibeli rakan saya itu hanya boleh digunakan selama dua hari, sebelum rosak. Telefon bimbit terbabit juga tidak boleh dibaiki ketika dihantar ke kedai,” katanya.

Muzaffar Ishak, 32, berkata, kegiatan kumpulan lelaki terbabit dikesan sejak dua minggu lalu dan mungkin ramai pengguna sudah menjadi mangsa.

“Harga yang ditawarkan mungkin mencairkan hati kita dan kalau tidak berfikir panjang pasti akan membelinya,” katanya.

Suri rumah, Sharifah Hayati Munir, 45, berkata orang ramai juga rimas dan kurang selesa kerana sering diganggu kumpulan lelaki terbabit ketika hendak membeli-belah di pasar raya di bandar ini.

"Saya bimbang ramai pengguna yang tertipu dan akan berputih mata selepas membeli telefon bimbit murah itu yang tidak berdaftar di mana-mana syarikat telekomunikasi sah.

"Keselamatan pengguna pasar raya juga terancam apabila sering didatangi kumpulan lelaki terbabit," katanya

Wajib naik taraf dakwat keselamatan

2010/12/22
KUALA LUMPUR: Semua pengilang rokok di negara ini diwajibkan menggunakan dakwat keselamatan yang dinaik taraf bermula 1 Januari depan bagi membendung lambakan rokok tidak sah, termasuk rokok jenama tempatan yang dijual di bawah harga minimum ditetapkan kerajaan.

Antara ciri dakwat keselamatan baru ialah mudah dilihat dengan mata kasar iaitu berubah warna jika dilihat dari sudut berbeza, mudah dikesan dengan alat pengesan khas dan boleh disahkan melalui ujian makmal forensik. Melaluinya peruncit atau pembeli dengan mudah boleh mengenal pasti rokok sah atau rokok yang tidak menjelaskan cukai. Dakwat keselamatan pada kotak rokok mula diguna pakai di negara ini sejak 2004. Pengarah Bahagian Cukai Dalam Negeri Kastam, Kas-tam Diraja Malaysia (KDRM), Azizah Ibrahim, berkata penukaran dakwat keselamatan berkenaan membolehkan sistem pengesanan rokok lebih efektif, sekali gus membantu mengekang lambakan rokok tidak sah di pasaran tempatan.

“Kastam turut memperkenalkan sistem khas bagi mengawal cetakan dakwat keselamatan yang disambung terus ke mesin cetakan (sebelum ini dibuat secara manual). Jika 1,000 cetakan dakwat keselamatan dibuat maka 1,000 kotak rokok akan keluar daripada kilang rokok itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Isnin lalu, laporan muka depan akhbar ini mendedahkan lambakan rokok tidak sah jenama tempatan dijual RM3.50 sekotak iaitu 50 peratus lebih murah daripada RM7 harga minimum ditetapkan kerajaan, yang mana syarikat pengeluarnya dipercayai mengelak membayar duti eksais dan cukai jualan RM5.20 bagi sekotak (20 batang) rokok.

Tindakan itu menyebabkan kerajaan rugi jutaan ringgit dalam bentuk cukai hasil tembakau selain rokok itu dipercayai menggunakan tembakau tidak memenuhi piawaian Lembaga Tembakau Negara.
Rokok itu juga dikhuatiri mengandungi nikotin dan tar melebihi paras dibenarkan menyebabkan perokok lebih ketagih dan meningkatkan risiko mendapat penyakit kronik.

Ketika ini, tindakan kompaun maksimum RM5,000 hanya dikenakan terhadap peniaga yang menjual rokok di bawah harga minimum mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2009, namun kerajaan bercadang mengenakan denda sama kepa-da orang awam yang membeli, memiliki dan menggunakan rokok haram.

Sementara itu, KDRM dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat kegiatan rasuah dan salah guna kuasa di kalangan pegawai dan anggotanya yang bersubahat dengan penyeludupan rokok.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Ismail Ibrahim, berkata walaupun jumlah yang terbabit dalam kegiatan itu tidak membimbangkan dan menjejaskan intergriti jabatan, siasatan tetap dijalankan termasuk memberi amaran keras kepada anggota berkenaan.

“Saya tidak menafikan ada anggota terbabit. Saya minta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung salah laku anggota saya (KDRM) boleh menghubungi kami atau SPRM supaya siasatan boleh dijalankan sekali gus mengheret mereka ke muka pengadilan.

“Dalam setiap pertemuan dengan anggota saya selalu berpesan, kakitangan yang terbabit dengan rasuah adalah pengkhianat negara dan seorang pegawai yang terbabit adalah lebih bahaya daripada 1,000 penyeludup,” katanya selepas merasmikan Kempen Anti Penyeludupan Rokok Tidak Sah di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kes itu dan menegaskan tidak akan melindungi mana-mana anggota yang didapati bersalah dengan menyerahkan mereka kepada SPRM untuk disiasat.

Sindiket sogok pegawai bank

Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail dan Alzahrin Alias
bhnews@bharian.com.my
2010/12/22
Kegiatan palsukan maklumat lulus pinjaman, kad kredit didalangi ‘orang dalam’

KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan yang menggunakan nama individu untuk mendapatkan pinjaman bank dan kad kredit dipercayai menggunakan ‘orang dalam’ beberapa agensi seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memalsukan dokumen bagi memastikan pinjaman mereka berjaya.
Mereka juga dikatakan menyogok pegawai bank sehingga 20 peratus daripada jumlah pinjaman bagi memastikan pinjaman diluluskan.
Menurut sumber, kebanyakan nama mangsa yang digunakan untuk membuat pinjaman bekerja sebagai pengawal keselamatan, tetapi mempunyai dokumen yang dipalsukan seperti bekerja sebagai pengarah syarikat, mempunyai syarikat yang didaftarkan atas nama peminjam, mempunyai cukai tahunan dan gaji tahunan yang tinggi.

Selain menggunakan mereka untuk membuat pinjaman, sindiket juga menipu mangsa menerusi kaedah yang sama untuk memohon kad kredit. Satu taktik sindiket itu ialah menggunakan nama peserta untuk menyertai skim pertanian berkelompok dan pinjaman mikro kononnya bagi melaksanakan satu projek ternakan ikan air tawar di Selangor.

Namun, wang yang diperoleh hasil pinjaman diserahkan kepada sindiket dengan peminjam hanya mendapat elaun bulanan antara RM300 dan RM400 sebulan untuk tempoh setahun. Mangsa kemudian terpaksa menanggung hutang dan nama mereka disenarai hitam oleh pihak berkuasa.

Sumber sebuah berkata, pihak bank menerima sehingga 200 permohonan dengan nilai pinjaman setiap individu antara RM40,000 hingga RM50,000.
“Kami terkejut apabila menerima banyak permohonan sekali gus bagi projek ternakan ikan dari ibu pejabat kerana sebelum ini permohonan dikemukakan secara individu terus kepada cawangan. Separuh daripada permohonan yang diproses
tidak layak untuk mendapatkan pinjaman yang ditawarkan.

“Daripada 200 permohonan itu, hanya 28 orang saja yang layak. Namun, selepas itu kami menerima arahan ibu pejabat serta surat rayuan daripada sebuah kementerian untuk meluluskan pinjaman baki pemohon, menjadikan semuanya 38 pinjaman yang diluluskan,” kata sumber itu kepada Berita Harian.

Ahad lalu, akhbar ini mendedahkan satu sindiket penipuan terancang menggunakan nama individu bagi mendapatkan pinjaman bank dan kad kredit dikesan di ibu negara dengan menjadikan golongan muda sebagai ‘kambing hitam’ sehingga mereka menanggung hutang ratusan ribu ringgit.

Pihak bank turut terkejut apabila mendapati enam nama yang membuat aduan kepada Pengerusi Persatuan Bantuan Kebajikan Keluarga Malaysia, Datuk Fauzi Johan berhubung penipuan itu menggunakan maklumat yang dipalsukan.

Sumber itu berkata, pihak bank tidak menyangka ia adalah penipuan berdasarkan lawatan ke tapak projek dan menelefon peminjam.

serta melalui penilaian mendapati kebanyakan peminjam mempunyai kedudukan dan sumber kewangan kukuh.

Mereka berasa sangsi kerana setiap kali menandatangani perjanjian, individu yang sama dipercayai anggota sindiket menemani peminjam, manakala sesi lawatan ke rumah bukan membabitkan rumah peminjam, sebaliknya rumah orang lain.

Selain itu, setiap kali pihak bank mahu bercakap dengan peminjam melalui telefon, pelbagai alasan diberikan dan diberitahu mereka akan menelefon bank semula.

Kenyit mata isyarat beli rokok murah

Kenyit mata isyarat beli rokok murah
Oleh Suhana Roslan
suhanaroslan@bharian.com.my
2010/12/22
Penjual guna kod elak dicekup pihak berkuasa

SEMENYIH: Kenyit mata! Antara isyarat digunakan penduduk di sekitar Semenyih di sini, untuk membeli rokok murah jenama tempatan atau rokok tidak sah daripada peniaga kedai runcit yang menyembunyikan barangan itu di dalam stor atau gudang di belakang kedai bagi mengelakkan dicekup pihak berkuasa. Malah, ada peniaga yang lebih berani apabila hanya meletakkan rokok itu di bawah kaunter bayaran dan mengeluarkannya apabila menerima isyarat daripada pelanggan.

2,000 ekor haiwan eksotik cuba diseludup keluar

21/12/2010 6:46pm



Oleh SAFINA RAMLI

KUBANG PASU 21 Dis. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya merampas hampir 2,000 ekor haiwan eksotik seperti kura-kura, biawak, ular tedung selar dan ular senduk bernilai RM24,000 yang cuba diseludup keluar di pintu sempadan negara ini semalam.

Kesemua haiwan itu ditinggalkan dalam sebuah lori kira-kira pukul 6.40 pagi semalam di kawasan Zon Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam.

Pengarahnya, Ishak Ahmad berkata, lori tersebut ditinggalkan tanpa pemandu dalam keadaan mencurigakan sebelum pihaknya memeriksa dan menemui haiwan-haiwan berkenaan. – Utusan

Monday, December 20, 2010

Bekas timbalan ketua pengarah dipenjara 6 tahun

Dis 20, 10 9:57amBekas Timbalan Pengarah 1 Jabatan Imigresen, Yusof Abu Bakar hari ini dijatuhi hukuman penjara sejumlah 56 tahun dan denda RM620,000 oleh Mahkamah Sesyen setelah didapati bersalah terhadap 14 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM121,500 bagi meluluskan lanjutan pas lawatan warganegara China, dua tahun lepas.

Hakim Abu Bakar Katar bagaimanapun memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dan Yusof, 56, hanya perlu menjalankan hukuman penjara enam tahun bermula daripada tarikh beliau didapati bersalah pada Khamis lalu.

Hakim Abu Bakar turut membenarkan permohonan peguam Yusof, Mohammed Azmi Mohd Said untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sehingga keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi nanti.

Pada Khamis lepas, Abu Bakar mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu di akhir kes pembelaan dan menetapkan tarikh hari ini untuk menjatuhkan hukuman.

Yusof, 56, didakwa menerima rasuah berjumlah antara RM500 dan RM18,500 pada setiap transaksi daripada seorang pengurus jualan antara 21 Mac dan 25 Jun 2008.

Yusof didakwa melakukan kesemua kesalahan berkenaan di pejabat beliau bertugas di Bahagian Kawalan Aras 7, Jabatan Imigresen Malaysia, Blok 2G4, Presint 2, Putrajaya; di Federal Hotel, Jalan Bukit Bintang dan di Stesen Minyak Caltex, Jalan Pudu.

Kesemua pertuduhan itu mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 akta sama.

Jika disabit kesalahan, beliau boleh dipenjara tidak kurang dari 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara paling rendah di antara dua tahun dan denda RM10,000, serta maksimum enam tahun dan denda RM92,000 bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membantah permohonan untuk penangguhan hukuman memandangkan pihak pembelaan telah gagal menunjukkan sebarang keadaan istimewa untuk di dalam membuat permohonan lisan berkenaan.

Peguam Mohammed Azmi bagaimanapun berkata mahkamah mempunyai kuasa dalam membenarkan permohonan itu.

Hakim Abu Bakar membenarkan permohonan itu dan memerintahkan satu notis rayuan dikemukakan seawal esok pagi dan sekiranya gagal, mahkamah akan menarik balik pelaksanaan hukuman tersebut.

Pada Khamis lalu, mahkamah diberitahu bahawa Yusof telah berkhidmat sebagai penjawat awam lebih 30 tahun dan akan menamatkan perkhidmatan dalam dua tahun lagi dan selepas dituduh pada 30 Ogos 2008, anak tertuduh meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Pada 15 Okt lalu, Mahkamah Sesyen yang lain telah melepaskan dan membebaskan bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don atas tuduhan menerima rasuah melibatkan wang berjumlah RM60,000 sebagai upah mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh.

Wahid, 57, didakwa menerima rasuah itu daripada seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Low Chang Hian, pada 10 Julai 2008 sebagai bayaran upah mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh untuk memasuki negara ini.

Rayuan kes oleh SPRM masih berjalan di Mahkamah Tinggi di sini.

--Bernama

Thursday, December 16, 2010

Waspada RM100 palsu: Polis

2010/12/16
TAWAU: Masyarakat di sini, khususnya peniaga, diingatkan supaya berwaspada ketika menerima wang kertas RM100 berikutan kes pengedaran wang kertas RM100 palsu di Kem Luasong, kira-kira 120 kilometer, dari sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin, berkata kegiatan itu terbongkar apabila seorang peniaga pasar minggu di Kem Luasong membuat laporan polis semalam setelah menyedari 10 keping wang kertas RM100 yang diperoleh hasil daripada jualannya adalah palsu. Beliau berkata, peniaga berkenaan hanya menyedari mengenai wang palsu itu selepas dimaklumkan oleh pihak bank ketika hendak memasukkan wang berkenaan di sebuah bank di sini semalam. Katanya, polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab.

Mengulas perkembangan siasatan pembunuhan Dr Lim Tow Kiat,49, seorang doktor klinik swasta yang ditemui mati di rumahnya pada 8 Disember lalu dan dipercayai dibunuh oleh orang yang dikenalinya, Ibrahim berkata suspek sudah dikenal pasti.

“Semalam kita menahan tiga lelaki dan seorang wanita dipercayai dapat membantu menyelesaikan siasatan kes pembunuhan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ibrahim meminta masyarakat supaya tidak panik dengan kes pembunuhan doktor yang berasal dari Johor itu kerana kes tersebut dianggap kes peribadi antara mangsa dan suspek. -

Wednesday, December 15, 2010

Bekas Timbalan KP Imigresen didapati bersalah atas 14 tuduhan rasuah

2010/12/16


Yusof Abu BakarKUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Pengarah Imigresen, Yusof Abu Bakar didapati bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, pagi ini atas 14 tuduhan rasuah.

Hakim Abu Bakar Katar menetapkan Isnin ini keputusan hukuman terhadap Yusof. Abu Bakar berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Yusof tanpa keraguan munasabah. Yusof, 56. dituduh menerima rasuah berjumlah antara RM500 dan RM18,500 pada setiap transaksi daripada seorang pengurus jualan di Bahagian Kawalan Aras 7, Jabatan Imigresen Malaysia, Blok 2G4, Presint 2, Putrajaya; Federal Hotel, Jalan Bukit Bintang dan Stesen Minyak Caltex, Jalan Pudu antara 21 Mac dan 25 Jun 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 akta yang sama, jika disabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pada 14 November 2008, Yusof yang diwakili peguam Mohammed Azmi Mohd Said turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang terhadap empat tuduhan yang sama dan satu tuduhan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya membabitkan tuduhan yang sama.

Semua kes itu sudah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang bermula pada 22 Februari lalu untuk perbicaraan.
Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi memanggil 15 saksi sepanjang perbicaraan bermula 22 Februari lalu.

78 dakwa ditipu agensi pelancongan

Michael Chong (duduk tiga dari kiri) bersama sebahagian daripada kumpulan 78 penduduk Kampung Sri Jaya, Maran yang mendakwa ditipu agensi pelancongan berhubung pakej pelancongan ke Bali pada sidang akhbar di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 15 Dis. - Impian sekumpulan 78 penduduk Kampung Sri Jaya, Maran, Pahang untuk melancong bersama-sama ke Bali, Indonesia, hanya tinggal angan-angan kosong apabila ditipu sebuah agensi pelancongan yang berpejabat di Ipoh, Perak.

Kumpulan itu mendakwa sudah membuat bayaran sebanyak RM63,750 untuk pakej pelancongan ke Bali selama empat hari tiga malam yang dijadualkan dari 22 hingga 25 November lalu.

Namun malangnya, mereka dimaklumkan oleh agensi itu bahawa rombongan terpaksa ditunda pada saat-saat akhir ke Mac depan.

Pakej itu berharga RM850 setiap seorang yang merangkumi tiket penerbangan dan penginapan.

Ketua rombongan, Lew Pu Yok, 50, berkata, dia dan ahli-ahli rombongan hilang kepercayaan terhadap agensi terbabit apabila alasan yang diberikan kononnya berlaku huru-hara di Bali.

"Insiden penipuan ini memang sudah dijangka kerana kami langsung tidak diberikan sebarang pengesahan jadual perjalanan dan butiran lain mengenai rombongan itu walaupun telah membuat bayaran.

"Apabila saya menghubungi Anthony (salah seorang staf bertanggungjawab), dia menyatakan rombongan itu ditunda," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Menurut Pu Yok, dia yang berang dengan alasan tersebut meminta pemulangan bayaran daripada syarikat itu, namun yang diterimanya hanyalah enam keping cek bernilai RM6,000 setiap satu untuk Mei hingga November tahun depan.

"Mengapa tidak membayar semua sekali gus dalam tunai, malah cek yang dikeluarkan itu pun hanya boleh ditunaikan tahun depan.

"Tambahan pula, baru RM36,000 kami terima, mana baki yang lain?" soal ahli perniagaan itu.

Pu Yok juga berasa amat kesal dan bersalah kerana dialah yang mengajak rakan-rakan sekampungnya untuk menyertai rombongan itu.

Dia tidak menyangka tawaran melancong ke Bali secara percuma untuk dia dan dua ahli keluarganya, sebenarnya taktik memerangkapnya untuk menarik lebih banyak penyertaan.

"Saya termakan jerat 'percuma' untuk saya, isteri dan anak. Akhirnya 75 mangsa lain juga terlibat sama," katanya yang bagaimanapun bersyukur rakan-rakan sekampungnya itu memahami situasinya.

Kumpulan rombongan itu telah membuat laporan di Balai Polis Ipoh dan pejabat Kementerian Pelancongan di Ipoh, Perak namun tiada tindakan susulan diambil.

Berikutan itu, aduan juga dikemukakan kepada Ketua Jabatan Pengaduan MCA, Datuk Michael Chong pada 29 November lalu.

Sementara itu, Michael memberitahu, pihaknya akan merujuk aduan mangsa kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan untuk tindakan lanjut.

NUBE bantah 'penindasan' dalam Citibank

2010/12/15
KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) hari ini menghantar satu memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat bagi membantah apa yang didakwanya sebagai penindasan dan eksploitasi yang berlaku kepada pekerja Citibank di negara ini.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon, berkata "Memorandum Against Neo-Colonisation by Citibank Malaysia" setebal tujuh muka surat itu menyenaraikan bentuk penindasan dan ketidakadilan dalam bank dari Amerika Syarikat itu. "Kita mahu memorandum ini disampaikan kepada Pentadbiran Amerika dan Presiden Barack Obama supaya tindakan diambil bagi menyelesaikan masalah yang berlaku dalam pentabiran Citibank di negara ini. "Mereka (Amerika Syarikat) kata mereka adalah pemimpin pasaran bebas di dunia tapi apa yang dilakukan oleh Citibank terhadap rakyat kita yang bekerja dalam bank itu tidak menggambarkan seperti itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum itu ke kedutaan Amerikat Syarikat di Jalan Tun Razak di sini.

Terdahulu, lebih 200 anggota NUBE berhimpun di hadapan kedutaan itu sejak tengah hari dengan memegang sepanduk dan meniup wisel sambil melaung bantahan terhadap penindasan oleh Citibank.

Solomon berkata, antara penindasan yang dilakukan oleh bank itu ialah menafikan hak pekerjanya untuk berpesatuan dan menukar pekerja yang berpersatuan ke bahagian lain termasuk perkeranian.

"Mereka juga tidak membayar bayaran kerja lebih masa selain hanya pegawai atasan dan tinggi sahaja yang menerima bayaran bonus sedangkan mereka (Citibank) mendapat untung yang begitu banyak," katanya.

Tuesday, December 14, 2010

Sindiket kad kredit palsu tumpas

2010/12/15
GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan kad kredit antarabangsa yang bernilai RM3.16 juta setelah menahan 10 orang, termasuk seorang wanita di sebuah hotel di Persiaran Gurney di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis menyerbu dua bilik hotel dan menahan sembilan lelaki tempatan bersama seorang wanita Vietnam. "Ketika ditahan, semua anggota sindiket yang berusia antara 21 dan 51 tahun itu dipercayai sedang merancang operasi kegiatan haram mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 171 keping kad kredit palsu dan empat keping pasport Hong Kong dan sekeping pasport Singapura.

"Modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan memalsukan kad kredit dan berbelanja di luar negara terutama di Thailand dan Singapura sebelum menjual barangan yang dibeli dengan harga murah kepada orang ramai," katanya.

Ayub berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu aktif menjalankan kegiatan memalsukan kad kredit sejak dua tahun lalu.

Katanya, semua mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 420 dan 424 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Kecoh polis gempur mini kasino di kebun getah

MIRI 14 Dis. 2010 - Pelbagai gelagat dan aksi lucu disaksikan apabila sekumpulan 300 kaki judi bertempiaran melarikan diri setelah kebun getah yang dijadikan 'mini kasino' untuk berjudi sabung ayam, 'hoo hui how' dan 'pakaw' di Lutong Baru di sini, digempur polis Sabtu lalu.

Kebanyakannya terdiri daripada ahli perniagaan sanggup meredah belukar itu, malah ada yang nekad terjun ke dalam tasik untuk mengelak ditangkap.

Seorang lelaki yang mengalami luka di tangan kerana terkena taji ayam pula sanggup menahan kesakitan dan berbohong kepada polis mengatakan dia mendapat kecederaan itu akibat terkena duri.

Dia bagaimanapun akhirnya terpaksa meminta bantuan polis untuk merawat lukanya setelah tidak tahan menanggung kesakitan akibat bisa kesan taji tersebut.

Pegawai Turus Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Deputi Supritendan Abang Junaidi Abang Anuar berkata, pihaknya menyerbu kawasan kebun getah terbabit pukul 3.30 petang, hasil maklumat ia dijadikan pusat judi pada hujung minggu.

Beliau berkata, serbuan dilakukan bersama 10 anggota dari D7 IPK Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri itu berjaya memberkas 31 orang daripada kira-kira 300 orang kaki judi yang berkumpul di situ.

"Kesemua mereka termasuk dua perempuan yang ditahan merupakan penduduk tempatan berusia 18 hingga 81 tahun dan ramai terdiri daripada ahli perniagaan.

"Penganjur 'mini kasino' sengaja memilih kebun getah yang dikelilingi tasik bunga teratai seolah-olah sebuah pulau untuk mengelak kegiatan mereka daripada dikesan pihak berkuasa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Abang Junaidi, lokasi perjudian itu tersorok dan terletak kira-kira 50 meter dari jalan besar.

Beliau berkata, pengunjung yang ingin memasuki 'mini kasino' terbabit perlu melalui titi kayu sempit, manakala pintu masuk pula dijaga oleh dua pengawal.

Katanya, dalam kawasan 'mini kasino' pula didirikan khemah kanvas dan gelanggang sabung ayam untuk kemudahan berjudi.

"Malah, sebuah tokong turut dibina bagi membolehkan kaki judi berdoa untuk memohon kemenangan semasa bertaruh.

"Bagi mengelak pengunjung kelaparan, pelbagai jenis minuman dan makanan termasuk nasi berlauk turut dijual di situ," katanya.

Abang Junaidi berkata, 'mini kasino' terbabit menawarkan tiga jenis pertaruhan iaitu sabung ayam, 'hoo hui how' atau 'hallow' dalam bahasa tempatan serta 'pakaw' (daun terup) kepada peminat judi.

Dalam serbuan itu, beliau berkata, pihaknya berjaya merampas lapan ekor ayam sabung yang masih hidup, dua ayam mati, dua taji dan satu alat penimbang.

Tambahnya, kesemua yang ditahan didakwa di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Pencegahan Daripada Penganiayaan Terhadap Binatang (Sabung Ayam) 1962. Mereka sudah dijatuhi hukuman denda RM1,000 oleh mahkamah setelah disabitkan kesalahan.

Sindiket terancang dalang curi kereta

2010/12/15
KUALA LUMPUR: Kehilangan 28 kenderaan mewah bernilai RM3 juta milik sebuah syarikat kereta sewa di Kota Warisan, Sepang baru-baru ini dipercayai didalangi sindiket terancang, termasuk mendapat bantuan 'orang dalam' jabatan tertentu bagi memalsukan geran dan nombor casis kenderaan terbabit sebelum dijual sebagai kenderaan terpakai.

Pengarah Urusan Pesona Performance Management, Azlia Yakob mendakwa, pembabitan ‘orang dalam’ itu hanya diketahui selepas kereta mewah jenis Lexus LS350 milik syarikatnya ditemui di sebuah rumah di Puchong Jaya, 30 November lalu melalui Sistem Penentuan Kedudukan Global (GPS). Katanya, bertindak atas maklumat itu, beliau menemui pemiliknya yang memaklumkan kereta berkenaan dibeli daripada sebuah syarikat kenderaan terpakai di Subang Jaya, dua minggu lalu pada harga RM70,000. “Harga berkenaan jauh lebih murah daripada harga pasaran, malah kereta itu juga sudah diubahsuai, termasuk menggunakan nombor pendaftaran baru.

“Pemeriksaan turut mendapati kereta itu menggunakan geran baru, manakala nombor casis juga berbeza daripada geran asal yang berada dalam simpanan bank. Ini memang sukar dilakukan tanpa bantuan `orang dalam’ jabatan terbabit,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Azlia berkata, beliau bertindak mengesan kereta Lexus LS350 berkenaan selepas dihubungi polis pada 25 November lalu memaklumkan kereta BMW 525i milik syarikatnya terbabit dalam kes langgar lari di Puchong.

“Saya mengambil tindakan mengesan kereta milik syarikat melalui GPS dan mengesan kereta Lexus di Puchong Jaya,” katanya.
Selain Lexus LS350, model lain dilaporkan hilang ialah BMW 525i, Porsche Cayenne, Toyota Alphard, Toyota Camry, Honda City, Toyota Caldina dan Nissan Fairlady.

Kereta Honda City dan Toyota Caldina masing-masing dikesan sudah dibeli individu di Pulau Pinang dan Terengganu menggunakan geran serta nombor casis baru, manakala dua lagi kenderaan dikesan berada di premis menjual kenderaan terpakai di Johor Bahru.

Azlia berkata, kereta hilang itu termasuk kereta nasional disewa seorang lelaki yang juga pegawai sebuah syarikat berkaitan kerajaan untuk kegunaan wakil syarikat terbabit pada 6 November lalu dengan bayaran RM80,000 sebulan.

Rasuah: Sarjan trafik dipenjara 3 tahun, denda

2010/12/15
KUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 36 bulan dan denda RM50,000 terhadap seorang anggota polis trafik berpangkat Sarjan selepas didapati bersalah atas dua tuduhan rasuah masing-masing pada Julai dan Ogos tahun lalu.

Hakim, Noradidah Ahmad menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap tertuduh, Mahir Epandi Ahmad, 48, dari Kempadang, di sini selepas mendapati pihak pembela gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes terbabit. Mengikut tuduhan pertama, Mahir Epandi didakwa menerima suapan RM500 daripada Teoh Ting Keong di kafe sebuah hotel di sini, kira-kira jam 5.16 petang pada 10 Julai tahun lalu, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori milik Teoh yang mengangkut pasir dan didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959. Bagi tuduhan kedua, tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, didakwa menerima suapan RM500 daripada Teoh atas sebab dan di kafe hotel sama kira-kira jam 11.20 pagi, 6 Ogos tahun lalu.

Monday, December 13, 2010

Bekas hakim dipenjara 19 tahun kerana rasuah

14/12/2010 12:59pm


IPOH 14 Dis. - Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Hassan Basri Shapie hari ini dihukum penjara 19 tahun dan denda, RM210,000 selepas disabitkan atas tujuh pertuduhan rasuah. - Utusan

3,360 kicap tiruan dirampas

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my



Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan memunggah botol-botol kicap tiruan yang dirampas dari sebuah kedai pemborong di jalan Tuanku Antah, Seremban, semalam. - bernama

--------------------------------------------------------------------------------



SEREMBAN 13 Dis. - Sebanyak 3,360 botol kicap manis tiruan menggunakan jenama 'Kipas Udang' bernilai hampir RM9,100 berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah syarikat pemborong di Jalan Tuanku Antah, Rasah, di sini hari ini.

Serbuan pukul 1 petang itu dilakukan sepasukan anggota dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, hasil aduan syarikat pengeluar kicap tersebut.

Timbalan Pengarahnya, Mohd. Nor Musa berkata, pemeriksaan menemui 140 karton kicap jenama itu yang dipercayai diedarkan di sekitar daerah ini sejak dua bulan lalu.

Katanya, ketika serbuan, seramai lima individu termasuk pengusaha premis berusia 50-an turut berada di premis itu.

"Hasil perbandingan antara produk asli, terdapat empat perbezaan dari segi pembungkusan.

"Antara ciri boleh dibezakan adalah dengan membandingkan penutup botol, tarikh luput, label dan warna bungkusan yang pudar berbanding produk asli," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pengusaha tersebut tidak menyedari produk itu yang dibelinya dengan harga lebih rendah adalah tiruan.

"Kita akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pengeluar kicap tiruan itu termasuk menghantar sampelnya ke Jabatan Kimia untuk ujian," katanya.

Tambah Mohd Nor kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 3 (1) (b) Akta Perihal Dagangan 1972 kerana mengedar barang tiruan.

"Jika disabit kesalahan, pemilik syarikat boleh dikena denda maksimum sehingga mencecah RM250,000," katanya.

Sunday, December 12, 2010

Jawatankuasa khas PPIM kendali aduan mangsa MLM

2010/12/13
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menubuhkan Jawatankuasa Saringan Aktiviti Perniagaan bagi memudahkan orang ramai membuat aduan atau berkongsi pengalaman menjadi mangsa penipuan melalui aktiviti perniagaan termasuk jualan langsung (MLM) yang diragui operasinya.

Setiausaha Kerja PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata jawatankuasa itu yang beroperasi mulai minggu depan akan mengumpul dan membuat rumusan terhadap setiap maklumat yang diterima melalui satu ruangan khas yang dimuatkan di laman web PPIM.
“PPIM berharap sesiapa yang mempunyai pengalaman ditipu dalam aktiviti perniagaan berkongsi maklumat supaya masyarakat dapat menjadikannya sebagai rujukan untuk mengenalpasti sama ada sesuatu perniagaan itu benar-benar sah ataupun tidak. “Sekurang-kurangnya maklumat yang dikongsi membolehkan orang ramai berinteraksi sekali gus mengelakkan daripada terus tertipu melalui pelbagai tawaran dibuat khususnya syarikat MLM,” katanya pada sidang media mengenai isu penipuan syarikat jualan langsung di sini, semalam.

Katanya, tahun ini saja PPIM menerima kira-kira 70 aduan daripada pengguna yang mendakwa ditipu syarikat MLM, termasuk golongan profesional dan kakitangan awam.

Sementara itu, seorang mangsa, Fariza Shamsudin, 33, berkata beliau kini terpaksa menanggung hutang bank sebanyak RM60,000 selepas terpedaya dengan janji manis ejen MLM untuk menyertai satu skim yang menjanjikan pulangan sehingga RM120,000 dalam tempoh setahun.

“Semua urusan pinjaman (bank) diuruskan ejen dan saya hanya menandatangani surat perjanjian bank. Pada mulanya, saya memang mendapat pulangan RM20,000 secara berperingkat seperti dijanjikan tapi lama-kelamaan terus senyap,” kata jururawat yang bekerja di sebuah hospital kerajaan di sini.
Dalam perkembangan berasingan, Nadzim berkata pihaknya akan bertemu dengan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membincangkan langkah yang boleh diambil bagi membantu pelajar universiti persendirian di Mesir meneruskan pengajian mereka.

Katanya, sehingga semalam kutipan Tabung Kecemasan Pendidikan untuk membantu pelajar terbabit mencecah RM20,000 dan pihaknya masih mengharapkan sumbangan daripada orang ramai.

Didakwa pecah amanah RM1.57j

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my.



Aishah Mohamed Rose dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PULAU PINANG 10 Dis. – Bekas Ketua Pusat Khidmat Pelanggan, Bank Muamalat Bhd. cawangan Universiti Sains Malaysia (USM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan pecah amanah harta milik bank tersebut bernilai RM1.57 juta, tahun lalu.

Suaminya pula yang merupakan seorang peguam didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan perbuatan itu.

Aishah Mohamed Rose dan Johari Ahmad, kedua-dua berusia 49 tahun, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdullah.

Raut wajah pasangan itu dilihat bersahaja ketika jurubahasa bertanyakan pengakuan mereka.

Mengikut pertuduhan utama, Aishah sebagai ejen bank tersebut didakwa telah melakukan pecah amanah terhadap urusan penguasaan dan perjalanan ke atas harta bernilai RM1,578,191 milik bank itu.

Dia dari Lintang Sungai Ara Dua, Bayan Lepas di sini didakwa melakukan perbuatan itu antara 23 Februari dan 7 Disember 2009, di cawangan bank tersebut di Bangunan D12, USM, Jalan Minden di sini.

Pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya S. Devanandan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Sementara Johari pula didakwa bersubahat dengan isterinya itu untuk melakukan pecah amanah, pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 409 yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulunya, Devanandan mencadangkan supaya Aishah dan Johari dibebaskan dengan jaminan RM100,000 setiap seorang berserta seorang penjamin.

Peguam Jagdeep Singh Deo yang mewakili pasangan itu memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan sehingga RM25,000 setiap seorang.

‘‘Tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah dan mereka telah bekerjasama dengan pihak polis sepanjang siasatan,’’ kata peguam itu.

Sitarun Nisa membenarkan mereka diikat jaminan RM50,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan mengarahkan supaya pasangan itu menyerahkan pasport antarabangsa sebagai syarat jaminan.

Beliau menetapkan sebutan semula kes itu 17 Januari depan.

Thursday, December 9, 2010

Sentral: Rosak teruk

Oleh Sarah Sulaiman
sarahsulaiman@bharian.com.my
2010/12/10


PENGUAT KUASA PTDHL menyita sebuah jentera ketika operasi di Bukit Enggang, Hulu Langat.70 peratus daripada 72 hektar kawasan tanah rizab di Bukit Enggang gondol

HULU LANGAT: Walaupun Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat (PTDHL) berjaya membanteras kegiatan mencuri pasir dan menyita sebuah jengkaut, kelmarin, semua sudah terlambat kerana kawasan rizab tanah perkuburan Islam di Bukit Enggang, di sini seluas 72 hektar rosak teruk. Ia berikutan kira-kira 70 peratus daripada 72 hektar kawasan berbukit itu sudah gondol dan membentuk beberapa kawah besar sedalam 24 meter, sekali gus mengambil masa untuk memulihkannya. Serbuan dilakukan lapan anggota PTDHL dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai Penolong Pegawai Daerah (Penguat kuasa) PTDHL, Mohd Fadhlullah pada jam 2 petang itu, susulan pendedahan akhbar ini, kelmarin.

Ketika serbuan, penyangak pasir terbabit sempat menyembunyikan jentera pengaut yang digunakan untuk mengorek pasir di tanah perkuburan Islam berkenaan.

Bagaimanapun, selepas 30 minit mencarinya, anggota PTDHL mengesan jengkaut yang disembunyikan itu.

Selain itu, pekerja penyangak pasir cuba menimbulkan kekeliruan anggota PTDHL apabila mereka dipercayai menghapuskan bukti dengan meratakan laluan lori dan kesan tayar yang membawa muatan pasir seolah-olah tidak berlaku kegiatan mencuri pasir di kawasan terbabit.
Jurucakap PTDHL berkata, sebuah lagi jengkaut yang dipercayai tidak sempat disorokkan, diputuskan tayar berantai bagi menggagalkan PTDHL menyitanya.

“Selepas menyedari kehadiran anggota PTDHL, pekerja di lombong haram itu kelam kabut meninggalkan kawasan terbabit.

“Kereta PTDHL juga dipercayai diekori sejak awal oleh tonto yang diupah pengusaha pasir terbabit,” katanya kepada Sentral.

Dalam operasi terbabit, katanya sebuah jentera pengaut dianggarkan bernilai RM400,000 disita.

Tindakan diambil mengikut Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965 dan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Jurucakap PTDHL berkata, awal tahun ini tindakan ke atas aktiviti perlombongan itu sudah diambil dan anggotanya masih meneruskan pemantauan di kawasan terbabit.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan satu lagi kegiatan mencuri pasir dikesan di kawasan seluas 72 hektar yang juga tanah rizab perkuburan Islam di Bukit Enggang di sini.

Kegiatan itu dipercayai didalangi beberapa pengusaha pasir yang beroperasi sejak empat bulan lalu seolah-oleh kebal daripada tindakan pihak berkuasa.

Lebih mengejutkan, kira-kira 12 hektar kawasan bukit berdekatan sudah ditarah manakala tapaknya disedut menggunakan mesin khas hingga mengakibatkan kewujudan lubang kawasan sedalam kira-kira 24 meter.

Difahamkan, perlombongan pasir bukit di kawasan itu semakin tidak terkawal dan boleh memusnahkan kawasan tanah perkuburan Islam terbabit.

Wednesday, December 8, 2010

10,000 beg tangan, payung tiruan RM2 juta dirampas

KUALA LUMPUR 8 Dis. 2010 - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Wilayah Persekutuan merampas lebih 10,000 unit beg tangan dan payung pelbagai jenama dipercayai barang tiruan bernilai RM2 juta dalam satu serbuan di Desa Jaya, Kepong, di sini hari ini.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dari unit penguat kuasa pejabat cawangan itu kira-kira pukul 11 pagi selepas membuat intipan dan menerima maklumat orang awam.

Turut dirampas beberapa beg tangan yang menggunakan jenama pereka kasut terkenal tanah air, Datuk Jimmy Choo.

Pengarah Penguat Kuasanya, Othman Nawang berkata, rampasan beg tangan jenama Datuk Jimmy Choo itu merupakan kali pertama dilakukan pihaknya.

Kata beliau, siasatan ke atas rumah kedai terbabit mendapati premis itu digunakan untuk menyimpan dan mengedarkan pelbagai jenis beg tangan tiruan.

Katanya, sindiket barang tiruan itu menjual barangan mewah seperti Louis Vuitton, Chanel, Prada, Gucci dan Fendi pada harga RM70 hingga RM1,000 kepada pemborong melalui katalog yang ada di premis berkenaan.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini giat menjalankan operasi sejak tiga tahun lalu dan menjadikan premis itu sebagai tempat penyimpanan barangan tiruan tersebut.

"Dalam serbuan itu, kita menahan dua individu dipercayai pekerja premis berkenaan masing-masing berusia 35 dan 55 tahun," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan itu hari ini.

Menurut Othman, hasil pemeriksaan, kesemua barangan terbabit dipercayai diimport dari China dan Korea untuk diedarkan di negara ini.

Katanya, kes itu kini disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 1972.

"Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan lanjut dan mengesan pemilik premis berkenaan bagi membantu siasatan," katanya.

Wednesday, December 1, 2010

Bekas askar menyamar doktor ditahan

KLANG 1 Dis. 2010 - Selepas hampir tiga tahun memperdayakan tiga majikannya dan pernah membantu kelahiran sembilan bayi, seorang bekas askar yang menyamar sebagai doktor dan pernah berkhidmat di tiga buah klinik di sekitar negeri ini, akhirnya diberkas polis.

Lelaki berusia 41 tahun itu diberkas ketika membuat persiapan untuk menyambut kelahiran seorang bayi di klinik tempatnya bertugas di kawasan Klang Utara, di sini pada 22 November lalu.

Perbuatan bapa kepada sembilan anak itu bagaimanapun hanya terbongkar selepas seorang pekerja di klinik berusia 18 tahun membuat laporan polis pada 15 November lalu mendakwa dirinya dicabul.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Mohamad Shukor Sulong (gambar) berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu mencabul.

Katanya, suspek kini masih dalam tahanan reman yang akan berakhir esok.

Beliau berkata, pada mulanya pihaknya sendiri tidak mempunyai maklumat tentang kegiatan suspek itu dan hanya menahannya untuk membantu siasatan satu kes dakwaan cabul.

"Majikan suspek iaitu pemilik klinik juga tidak menyangka lelaki itu yang menggunakan nama Dr. Helmi Abdul Hamid dan berkelulusan Ijazah Sarjana Perubatan (MBBS) dari Turki adalah seorang penyamar.

"Ini kerana suspek pernah bertugas di dua klinik masing-masing di Rawang dan Batang Berjuntai, Kuala Selangor. Malah semasa bertugas di klinik di sini dia telah menyambut kelahiran sembilan orang bayi dengan selamat.

"Bagaimanapun selepas pihaknya membuat siasatan dengan Lembaga Perubatan, didapati lelaki itu hanya berkelulusan Diploma dari Kolej Perubatan Seremban. Dia pernah bertugas sebagai pembantu perubatan tentera sejak 1988 di sebuah hospital tentera di Melaka sebelum berhenti pada 2006," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamad Shukor menjelaskan, suspek ditahan pada 22 November lalu kerana semasa mangsa membuat laporan iaitu pada 15 November lalu, suspek pulang ke rumahnya di Seremban, Negeri Sembilan, untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.

"Kita mendapat maklumat suspek telah kembali bertugas pada 22 November lalu dan pergi ke klinik untuk memberkasnya.

"Ketika diberkas suspek sedang bersiap sedia untuk menyambut kelahiran bayi ke-10 sejak dia bertugas di klinik itu.

"Kita telah meminta bantuan pegawai perubatan lain untuk memindahkan wanita hendak bersalin itu ke klinik lain menggunakan ambulans dengan selamat," kata beliau.