Friday, October 29, 2010

Hanya 0.5% koperasi bermasalah

29/10/2010 4:18pm


KUALA LUMPUR 29 Okt — Terdapat hanya 40 koperasi atau kurang 0.5 peratus koperasi yang bermasalah dikesan di seluruh negara setakat ini.

Daripada jumlah koperasi bermasalah itu, hanya 11 sahaja terlibat dalam kes-kes yang serius seperti skim cepat kaya dan melakukan penipuan.

"Sasaran kita satu peratus atau kira-kira 80 koperasi bermasalah tetapi sekarang cuma 40 koperasi iaitu kurang 0.5 peratus.

“Angka itu masih belum menular begitu besar dan masih boleh dikawal,” kata Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Mangsor Saad dalam temubual bersama Bernama hari ini.

SKM telah pun mengambil tindakan terhadap 11 koperasi bermasalah itu baru-baru ini manakala empat daripadanya telah didakwa di mahkamah.

Kebiasaannya terdapat dua situasi yang membolehkan sesebuah koperasi itu diambil tindakan iaitu lemah atau salah laku.

Dalam sesetengah kes, SKM akan berusaha menjalinkan jaringan perniagaan dengan membantu menambahkan perniagaan dan kalau perlu salurkan suntikan modal.

Koperasi yang telah diserahkan kembali tetap akan dipantau antara enam bulan ke setahun sebelum diserahkan sepenuhnya.

Mangsor berkata, adalah penting dalam gerakan koperasi untuk memastikan penguasaan ilmu berkoperasi kerana sekiranya hanya berada pada tahap asas, koperasi akan cenderung untuk melanggar akta dan peraturan koperasi, hingga melakukan kesalahan dan diambil tindakan.

Dari segi jumlah koperasi, terdapat 4,771 koperasi pada tahun 2005, dan jumlah berkenaan meningkat kepada 7,215 pada 2009 dan 7,980 setakat Oktober ini.

Dalam tempoh lima tahun (2005-2009), bilangan koperasi telah meningkat pada kadar purata 9.4 peratus setahun, keanggotaan 4.7 peratus, modal syer 8.2 peratus, aset 20.8 peratus dan perolehan 17 peratus setahun.

Pada tahun 2009 modal syer berjumlah RM8.97 bilion dan aset bernilai RM65 bilion, katanya lagi.

Melalui sumber dan kekuatan kewangan ini, koperasi telah dapat menjana perolehan berjumlah RM8.92 bilion bagi tahun 2009. — Bernama

Thursday, October 28, 2010

Lelaki menyamar polis tipu kontraktor dicekup di Tawau

2010/10/28
TAWAU: Seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis ditahan di sini semalam, selepas memperdaya seorang kontraktor pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin, berkata lelaki berusia 35 tahun itu yang bekerja di sebuah syarikat swasta ditahan kira-kira jam 11.30 pagi hasil laporan polis yang dibuat oleh kontraktor tersebut. "Lelaki itu yang mengenali kontraktor berkenaan menerusi seorang kawan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai kanan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah. "Dia kemudian menjanjikan kontrak kerajaan kepada kontraktor tersebut dengan syarat kontraktor itu membayar imbuhan sebanyak RM1,500 kepadanya," kata beliau kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya, kontraktor itu yang percaya dengan helah lelaki tersebut telah memberi wang pendahuluan sebanyak RM1,000, namun berasa curiga apabila lelaki berkenaan tidak dapat dihubungi sejak pertemuan mereka lalu membuat laporan polis.

Hasil siasatan, lelaki tersebut berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati dia juga positif dadah jenis syabu, kata beliau. -

Eksekutif LHDN dipenjara, didenda RM30,000 kerana rasuah

2010/10/28
KUALA LUMPUR: Seorang penolong pegawai eksekutif (Penaksiran) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dari cawangan Kuala Lumpur Bandar dipenjara dua tahun dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah, lima tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Ariffin, berkata sekiranya tertuduh, Miftahhudin Abdullah, 40, gagal membayar denda itu, dia akan dikenakan penjara 12 bulan dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini. Rosbiahanin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan. Miftahhudin didakwa bersetuju untuk terima wang suapan RM6,000 daripada Maimunah Suhor sebagai dorongan untuk mengeluarkan Surat Pengesahan Pendapatan bertarikh 4 Mac 2005 di Mentari Channel Food Court, Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Sulaiman di sini pada 5.05 petang, 4 Mac 2005.

Dia yang kini digantung tugas, didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pada 21 September lalu, mahkamah melepas dan membebaskan Miftahhudin daripada satu tuduhan meminta suapan RM6,000 bagi dirinya daripada Maimunah melalui Ainon Samat sebagai dorongan untuk mengeluarkan Surat Pengesahan Pendapatan kepada Maimunah di LHDN Cawangan Kuala Lumpur Bandar, Jalan Kampung Attap di sini pada 11.26 pagi, 1 Mac 2005.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 10(a)(bb) akta yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Tertuduh diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadzillah Mohd Ossman.

Wednesday, October 27, 2010

Lelaki 30an ditahan terbabit skim cepat kaya

2010/10/28
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 30-an ditahan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Putrajaya bagi membantu siasatan ke atas sebuah syarikat skim cepat kaya di Taman Equine Park di Seri Kembangan dekat sini, awal pagi tadi.

Pengarah Kanannya, Shahrudin Hamzah, berkata dalam serbuan ke atas premis itu pada jam 10.30 malam tadi, 30 ahli syarikat turut diperiksa dan diambil keterangan, sebelum mereka dibebaskan. "Serbuan tersebut dibuat atas hasil maklumat dan aduan dari orang ramai. Lelaki yang ditahan itu dipercayai orang kuat skim tersebut. Kita turut menyita beberapa komputer mudah alih dan pulhan kepingan risalah mengenai skim ini yang dipercayai untuk diedarkan kepada orang ramai," katanya di lokasi kejadian awal pagi tadi selepas menamatkan operasi tersebut. Beliau berkata, skim itu dipercayai aktif sejak setahun lalu dengan menjanjikan pulangan hampir mencecah RM100,000 dalam tempoh sebulan kepada pelabur yang membuat pelaburan minimum RM3,000 seorang.

Sebelum mengajak ahli melabur, syarikat itu menarik orang ramai dengan menjual pelbagai produk, termasuk produk kosmetik dan kesihatan, dan selepas itu memujuk mereka melabur dalam skim cepat kayanya, kata Shahrudin.

Shahrudin berkata, ahli skim itu turut ke negeri lain termasuk Melaka dan Negeri Sembilan bagi menarik lebih ramai penyertaan.

Katanya, siasatan awal mendapati skim yang berasaskan sistem piramid itu beroperasi menggunakan lesen sebuah syarikat lain.
"Kita akan siasat perkara ini dan jika itu berlaku, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap syarikat berlesen itu," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan perniagaan yang menawarkan pulangan pelaburan tinggi dalam tempoh masa yang singkat.

Katanya, individu yang menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Jualan Langsung 1993. -

11 wanita rugi RM100,000

2010/10/28
KUALA LUMPUR: Seramai 11 wanita pekerja hotel di sini mendakwa kerugian kira-kira RM100,000 selepas menyerahkan wang tunai dan barang kemas kepada seorang wanita dikenali sebagai Kak Jan yang berjanji akan melaburkan wang itu bagi mendapatkan keuntungan berganda.

Kak Jan berurusan dengan pelanggannya di dalam kereta jenis Peugeot miliknya sejam setiap pelanggan berhubung kebaikan pelaburannya sebelum memukau mereka. Seorang pegawai hotel, Maizuwin Hamzah, 29, berkata beliau mengenali Kak Jan melalui seorang rakan kerjanya. “Pada mulanya saya kurang berminat tetapi selepas mendengar dia bercerita mengenai keuntungan yang bakal diperoleh, saya semakin tertarik untuk turut serta. Keesokan harinya saya menyerahkan barang kemas dan wang tunai bernilai hampir RM6,000 kepada Kak Jan.
“Kak Jan menjanjikan kami akan memperoleh pulangan sebelum Aidilfitri lalu tetapi sehingga kini tidak mendapat apa-apa. Malah, lebih menyedihkan telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi,” katanya semalam.

Maizuwin berkata, beliau tidak menolak kemungkinan wanita berusia 38 tahun itu yang berasal dari Pulau Pinang menggunakan kaedah pukau kerana sebaik mangsa keluar dari keretanya baru mereka sedar tindakan itu salah.

Kak Jan juga dikatakan menasihati semua pelanggannya supaya tidak memaklumkan mengenai pelaburan mereka kepada suami atau ahli keluarga terdekat.
Selepas percaya dia ditipu, Maizuwin membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, pada 21 September lalu. Semua rakannya turut membuat laporan di beberapa balai polis di ibu negara.

Seorang lagi pekerja hotel sama, Siti Khadijah Amsar, 36, berkata beliau mengalami kerugian hampir RM20,000 selepas menyerahkan wang tunai dan barang kemas kepada wanita itu.

“Penat saya bekerja di hotel selama 13 tahun untuk mengumpul wang sebanyak itu tetapi semuanya musnah sekelip mata. Saya rasa memang dia mengamalkan sesuatu yang boleh melembutkan hati orang untuk menyerahkan duit kepadanya.

“Kali terakhir saya berjumpanya adalah sehari sebelum Hari Raya. Saya khuatir dia sudah meninggalkan negara ini kerana mendakwa sudah bernikah dengan lelaki warga Amerika,” katanya.

Mangsa berharap polis bertindak segera menahan wanita itu kerana dipercayai turut mengembangkan kegiatannya di sekitar Ampang dan Wangsa Maju.

Sementara itu, jurucakap polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tuesday, October 26, 2010

Bekas Setiausaha Persatuan Riffel Kebangsaan didenda RM2.2j

27/10/2010 12:02pm


KUALA LUMPUR 27 Okt. 2010 - Bekas Setiausaha Persatuan Riffel Kebangsaan Malaysia, Ismail Zainuddin dihukum penjara tiga bulan dan didenda RM2.2 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan mengemukakan dua dokumen palsu berbentuk invois berjumlah RM441, 000 kepada Majlis Sukan Negara,lima tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Arifin membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Beliau memerintahkan Ismail, 46, menjalani hukuman itu bermula hari ini dan sekiranya gagal menjelaskan denda itu boleh dipenjara enam bulan. - Utusan

Dua pekerja bank ditahan, RM1.45 juta ditemui semula

PULAU PINANG 26 Okt. 2010 - Polis bertindak cekap menyelesaikan kes kehilangan wang RM1.5 juta milik sebuah bank di Lebuh Bishop di sini, pada 19 Oktober lalu, dengan menahan dua kakitangan bank terbabit.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, berikutan penahanan kedua-dua suspek berusia 46 tahun sehari selepas kejadian, polis menemui semula wang tunai yang hilang berjumlah RM1.45 juta.

Katanya, baki wang terbabit berjumlah RM50,000 masih belum ditemui dan sedang disiasat.

Menurutnya, wang tunai RM590,000 itu ditemui di bank tersebut, manakala RM860,000 pula di dalam sebuah beg bola boling di sebuah pusat boling di Sungai Petani, Kedah, Jumaat lalu.

"Kita percaya telah menyelesaikan kes tersebut dan kertas siasatan juga hampir siap dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat.

"Kita sedang siasat motif kejadian selain mengesan baki RM50,000 yang masih hilang.

"Salah seorang suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala seorang lagi ditahan reman sehingga esok," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng.

Mengulas kes itu, Ayub memberitahu, pihak bank menyedari kehilangan wang tunai berjumlah RM1.5 juta selepas membuat imbangan akaun untuk minggu berkenaan pada Jumaat lalu.

Katanya, hasil siasatan dalaman menemui RM500,000 di salah sebuah bilik di bangunan bank itu, manakala RM90,000 pula ditemui di tingkat bawah bangunan terbabit.

"Pihak bank kemudian membuat laporan polis dan satu pasukan penyiasat diwujudkan bagi mengesan kehilangan wang berkenaan. Hasilnya dua suspek ditahan dan polis menemui sejumlah wang.

"Kes yang disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan ini kita anggap selesai," ujarnya

Friday, October 22, 2010

Kastam Selangor rampas 532 tayar lori untuk pasaran gelap

2010/10/22
PELABUHAN KLANG: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor merampas 532 biji tayar lori bernilai RM317,642 termasuk cukai dipercayai untuk dijual di pasaran gelap di negara ini.

Penolong Ketua Pengarah KDRM Bahagian Penguatkuasaan, Datuk Ismail Ibrahim, berkata rampasan itu dilakukan secara berasingan terhadap dua lori kontena di Puchong dan Kajang kelmarin. Beliau berkata, pihaknya turut menahan 12 orang dipercayai terbabit dengan sindiket tersebut.
Mengulas operasi itu kepada pemberita di sini hari ini, Ismail berkata pihaknya mengekori dua buah lori kontena tersebut yang sebelum itu keluar dari Gudang Berlesen Awam (GBA) di Bandar Sultan Sulaiman di sini.

"Dalam kedua-dua operasi itu, anggota penguatkuasa KDRM Selangor mengekori kedua-dua lori kontena itu yang memulakan perjalanan dari GBA, masing-masing pada ja 5.30 petang dan 6 petang dengan membawa muatan tayar lori baru bersama borang kastam untuk tujuan eksport ke Thailand," katanya.

Ismail berkata, dalam serbuan pertama di Puchong, anggota penguatkuasa KDRM mengekori lori kontena itu hampir dua jam sebelum ia berhenti di sebuah premis di kawasan perindustrian Bandar Bukit Puchong.

"Sebaik berhenti, pihak kami mendapati sekumpulan lelaki memulakan kerja-kerja memunggah muatan iaitu 260 biji tayar lori baru," katanya.
Dalam serbuan kedua pula, kata beliau pasukan KDRM mengekori lori tersebut selama enam jam sebelum berhenti di kawasan perindustrian Sungai Chua, Kajang.

"Hasil intipan mendapati sekumpulan lelaki sedang memindahkan 272 biji tayar lori baru itu ke sebuah premis tidak bertanda," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan bagi mengesan anggota sindiket itu yang masih bebas dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 (Semakan 1980) iaitu mengelak apa-apa duti Kastam. - BERNAMA

Thursday, October 21, 2010

Graduan dakwa ditipu syarikat pelaburan

KUALA LUMPUR 21 Okt. 2010 – Jawatan ditawarkan cukup menarik iaitu sebagai Eksekutif Pentadbiran namun tugas sebenar menghendaki mereka keluar mencari pelanggan untuk melabur dalam syarikat yang didakwa menjalankan perdagangan mata wang asing (forex) di luar negara.

Pihak syarikat berjanji akan membayar gaji lumayan iaitu memberi komisen AS$60 (RM186.80) kepada pekerja yang berjaya membawa seorang pelanggan melabur.

Ini bermakna makin ramai pelanggan dibawa melabur maka bertambah besar gaji akan dibayar kepada pekerja berkenaan.

Tertarik dengan tawaran gaji lumayan itu, maka ramai graduan lepasan ijazah bersetuju bekerja di syarikat terletak di Jalan Yap Kwan Seng di sini.

Sumber polis berkata, bagi memastikan sasaran memperoleh komisen tinggi tercapai, ada di kalangan graduan yang baru bekerja sanggup memujuk ahli keluarga dan rakan-rakan termasuk ibu bapa agar menjadi pelanggan mereka.

Katanya, mangsa bersetuju melabur antara RM100,000 dan RM200,000 setelah diyakinkan syarikat terbabit mereka akan memperoleh keuntungan lumayan.

Namun, katanya, mereka mula sangsi apabila setelah sekian lama melabur dan syarikat sudah mencapai sasaran pelaburan lebih RM2 juta, keuntungan yang dijanjikan langsung tidak diterima.

“Pekerja yang berasa tertipu akhirnya membuat laporan polis dan siasatan mendapati syarikat terbabit sebenarnya menjalankan perniagaan haram dengan menjadikan graduan lepasan ijazah sebagai mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber berkata, setakat ini, sudah lima laporan polis diterima daripada graduan lepasan ijazah yang mendakwa menjadi mangsa penipuan syarikat berkenaan.

Beliau berkata, hasil laporan tersebut, pihaknya baru-baru ini telah menyerbu syarikat terbabit dan menahan 15 pekerja termasuk pengurus dan pembantunya untuk siasatan lanjut.

Katanya, semua pekerja kecuali pengurus dan pembantu pengurus syarikat berusia antara 20 dan 30 tahun kemudian dibebaskan setelah keterangan mereka direkodkan.

“Pengurus dan pembantu pengurus syarikat terbabit direman di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan daripada 31 mangsa yang mendakwa pernah ditipu oleh syarikat terbabit,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati syarikat terbabit sudah beroperasi kira-kira tiga tahun lalu dan mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat pelaburan asing, Capitol Group International Limited (CGIL) di New Zealand.

Katanya, syarikat terbabit menjual saham dengan harga AS$4,000 (RM12,458) bagi satu lot.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan tangkapan suspek dalam kes tersebut.

Tuesday, October 19, 2010

Rakyat Malaysia kena tipu RM1j

2010/10/20
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurang tujuh rakyat Malaysia kerugian lebih RM1 juta sepanjang tahun ini selepas menjadi mangsa kegiatan penipuan berhubung tawaran harta pusaka orang kenamaan dan golongan kaya dari luar negara.

Jika dikira kerugian keseluruhan sejak beberapa tahun lalu, jumlahnya mencecah ratusan juta ringgit berdasarkan lebih 70 laporan diterima Kastam Diraja Malaysia (KDRM) setakat ini. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah yang mendedahkan kegiatan sindiket itu berkata, mereka yang menjadi mangsa kebanyakannya golongan profesional dan berpendidikan tinggi.
“Modus operandi digunakan sindiket diketuai seorang wanita adalah dengan menjalin hubungan rapat bersama rakyat tempatan sebelum menawarkan harta ratusan juta ringgit yang dimiliki keluarganya di luar negara dan mahu mewasiatkan kepada rakyat tempatan,” katanya.

“Sindiket itu kemudian berjanji menghantar bungkusan melalui kargo diisi wang tunai jutaan ringgit kepada mangsa menggunakan perkhidmatan kurier melalui Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dengan syarat mangsa membayar RM30,000 hingga RM70,000 untuk urusan memproses wang itu,” katanya.

Murugiah berkata, sebaik mangsa memasukkan jumlah wang diminta, anggota sindiket akan menghubunginya dengan menyamar sebagai kakitangan syarikat kurier dan memintanya mengambil bungkusan dikirim di Kompleks Kargo KLIA atau pejabat pos.

“Mangsa hanya sedar ditipu apabila menuntut kargonya kerana tiada bungkusan seperti dijanjikan. Apabila mangsa menghubungi semula sindiket memaklumkan mengenainya, anggota sindiket akan mendakwa ia kemungkinan dicuri pegawai KDRM atau kakitangan kurier,” katanya.
Beliau berkata, ada mangsa yang datang berjumpanya mahu membunuh diri kerana gagal menyelesaikan hutang yang dipinjam dengan Ah Long untuk membayar wang pendahuluan dengan harapan menjadi jutawan.

“Perbincangan sudah diadakan dengan polis, KDRM, pengurusan KLIA dan syarikat kurier mengenai kegiatan sindiket itu. Polis akan bekerjasama dengan Interpol dalam usaha menjejaki anggota sindiket terbabit.

“Saya juga berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan sindiket yang menjanjikan kekayaan, dan jika ada buat laporan polis,” katanya.

Monday, October 18, 2010

Bekas ejen pelancongan menang saman fitnah RM5 juta

KUALA LUMPUR 18 Okt. 2010 - Seorang bekas ejen syarikat pelancongan berjaya dalam kes saman fitnah bagi menuntut ganti rugi RM5 juta yang dikemukakannya ke atas dua pemilik sebuah syarikat pelancongan yang menguruskan haji dan umrah.

Tuntutan undang-undang itu berpihak kepada plaintif, Firdaus Abd. Ghani setelah Mahkamah Tinggi di sini pada minggu lalu membenarkan permohonannya bagi mendapatkan penghakiman ingkar terhadap pihak defendan terbabit.

Plaintif mengemukakan permohonan itu selepas pihak defendan gagal memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman yang difailkan melalui firma guaman, Tetuan Yusma Azlin & Co. pada 14 Julai lalu.

Penolong Kanan Pendaftar, Fa'erah Nurul Ainni Izany turut memerintahkan faedah lapan peratus dikenakan ke atas jumlah tersebut sehingga tamat penyelesaiannya.

Dalam writ saman fitnah itu, Firdaus yang kini mengendalikan syarikat pelancongannya sendiri menamakan Ahmad Khairi Mohd. Khalil, Zioui Fatimah Al-Aidi dan syarikat pelancongan Bahrulmazi Travel And Tours Sdn. Bhd. (Bahrulmazi) sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa, defendan pertama dan kedua telah membuat kenyataan fitnah yang membawa maksud Firdaus telah menjual tiket haji dan umrah dengan harga yang mahal sehingga menyebabkan Bahrulmazi terpaksa menanggung kerugian.

Akibat fitnah tersebut, Firdaus mendakwa, nama baik, imej dan kredibilitinya tercemar sehingga mengakibatkan beliau mengalami tekanan, gangguan emosi dan mental.

Plaintif juga mendakwa terpaksa menanggung persepsi negatif daripada masyarakat sekeliling.

Oleh yang demikian, Firdaus menuntut ganti rugi RM5 juta, faedah lapan peratus ke atas jumlah tersebut, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif turut memohon defendan pertama dan kedua membuat permohonan maaf bertulis secara terbuka dan perintah agar Ahmad Khairi dan Zioui Fatimah berhenti menyebarkan fitnah mengenai dirinya.

Pengarah syarikat hadapi tuduhan gubah wang haram RM43.7j

18/10/2010 6:15pm


SHAH ALAM 18 Okt. 2010- Seorang pengarah syarikat yang sebelum ini menghadapi 412 pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM100.2 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang dan Shah Alam atas 61 lagi pertuduhan melibatkan diri dalam penggubahan wang haram berjumlah RM43.7 juta.


Lim Long Yew, 39, dari Pasir Penambang, Kuala Selangor, Selangor mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.


Di Mahkamah Sesyen Shah Alam, tertuduh didakwa atas 32 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang berjumlah RM5.2 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun miliknya ke dalam satu lagi akaun kepunyaannya.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Public Bank Berhad, No. 3,4,5, Jalan CKC 1, Batang Kali dekat sini, antara 15 Dis 2008 dan 19 Okt 2009.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman dari Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara memohon agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM300,000 serta penjamin di kalangan saudara mara tertuduh sekiranya mahkamah cenderung untuk membenarkan ikat jamin.

Mohd. Farez juga memohon agar semua pertuduhan itu dibicarakan bersama dan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.


Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan semua akaun miliknya telah dibekukan.


Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes itu dibicarakan bersama dan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dibenarkan jamin RM300,000 serta seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. - Bernama

Sunday, October 17, 2010

Kutu: 4 lagi pemilik syarikat didakwa

KUALA LUMPUR 15 Okt. 2010 - Selepas sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam atas dakwaan menganjurkan pelaburan wang kutu melalui 'Program Ekspres', hari ini empat ahli perniagaan turut didakwa terlibat dengan pasangan itu dalam penganjuran kegiatan tersebut.

Mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini ketika kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Sharin Mohamad.

Rosnani Rahim, 32, pemilik syarikat Kristal Karisma Enterprise didakwa menggunakan syarikatnya itu untuk menganjurkan pelaburan wang kutu tersebut.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di No. 5-3, Jalan 15/48A, The Boulevard Shop Office, Persimpangan Jalan Sentul di sini antara 19 November 2008 dan 29 April lalu.

Sementara tiga lagi, Rimahyon Sanuri, 39; Salina Ahmad, 45; dan Ma'amor Kamaruddin, 45, yang merupakan pemilik bersama syarikat Al Falah Global Resources yang beralamat di No.325A, Melawati Square, Jalan Bandar Melawati, Pusat Bandar Melawati di sini masing-masing menghadapi dua tuduhan serupa.

Mereka didakwa bersubahat dengan Rosnani menggunakan perniagaan untuk menganjurkan program tersebut di tempat yang sama antara 4 November 2009 dan 29 April lalu.

Bagi tuduhan seterusnya, ketiga-tiga mereka didakwa selaku pemilik syarikat tersebut bersubahat dengan pemilik syarikat World Heritage Resources, iaitu Rahimah Rahim, 39, dan suaminya Sabbri Yusof, 49, melakukan perbuatan yang serupa.

Pada 28 September lalu, Rahimah dan Sabbri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan menganjurkan program kutu tersebut.

'Pengkhianat' punca PATI bolos

Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my
2010/10/18
Syor jawatankuasa khas siasat dakwaan, hadapkan ke muka pengadilan

PADANG BESAR: Ketua Polis Perlis, Datuk Ghazali Md Amin yakin kewujudan ‘pengkhianat’ di kalangan anggota penguat kuasa menjadi antara punca pendatang asing tanpa izin (PATI) mudah menyusup masuk ke negara ini, walaupun sempadan dikawal rapi. Justeru, beliau mahu satu jawatankuasa khas ditubuhkan dengan kadar segera untuk menyiasat dakwaan itu, sekali gus memastikan setiap anggota penguat kuasa yang dikesan terbabit dapat dihadapkan ke muka pengadilan.
“Saya tidak nafikan ada kemungkinan anggota penguat kuasa mempunyai hubungan dengan ejen yang bertanggungjawab membawa masuk PATI ke negara ini.

“Justeru, kita mahu jawatankuasa khas itu menyiasat perkara ini sebaik mungkin untuk membolehkan tindakan pemulihan diambil,” katanya mengulas kes penyusupan PATI dan pemerdagangan orang yang dikesan semakin berleluasa di sempadan negara, di sini.

Kelmarin, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis menahan 25 PATI terdiri daripada 16 warga Bangladesh dan sembilan Myanmar dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang di sekitar Chuping, selepas dikesan menyusup masuk ke negara ini secara haram melalui pagar keselamatan, di sini.

Difahamkan, semua warga asing terbabit membelanjakan hampir RM20,000 setiap seorang untuk masuk ke negara ini, bagaimanapun dipercayai ditipu sindiket terbabit sebelum ditinggalkan di sempadan Malaysia-Thailand, di sini.
Mengulas mengenai cadangan penubuhan jawatankuasa itu, Ghazali berkata motif utama penubuhannya adalah untuk memantau aktiviti penyusupan PATI dan aktiviti pemerdagangan orang terutama di sempadan negara.

Beliau berkata, polis mahu dapatkan gambaran sebenar mengenai kegiatan itu, terutama modus operandi digunakan sindiket berkenaan yang dilihat begitu mudah menjadikan pagar keselamatan sebagai laluan utama aktiviti haram mereka.

"Jika keadaan infrastruktur seperti pagar yang rosak menjadi punca, kita akan ambil tindakan untuk baik pulih. Namun, sekiranya siasatan membuktikan ada anggota dan pegawai bertugas yang memainkan peranan di sebalik kegiatan itu, maka tindakan tegas akan diambil ke atas mereka," katanya.

Beliau berkata, amaran tegas itu ini bukan saja ditujukan kepada anggota polis, terutama Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mengawal laluan keselamatan semata-mata, malah turut membabitkan semua penguat kuasa lain di sekitar sempadan

Thursday, October 14, 2010

Empat didakwa 769 pertuduhan pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR 14 Okt. 2010 - Tiga pengarah syarikat yang didakwa menjalankan aktiviti skim cepat kaya dan seorang lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 769 pertuduhan membabitkan transaksi pengubahan wang haram berjumlah RM3 juta.

Mereka ialah Ng Poh Weng, Marcus Yee Yuen Seng dan Chin Wai Leong. Sementara seorang lagi bekas pengarah syarikat tersebut, Liew Chee Wah masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Poh Weng, 60, didakwa atas 263 pertuduhan, melibatkan diri dalam transaksi hasil aktiviti haram RM185,146 yang dilakukan antara 10 Jun dan 27 Julai 2008.

Yuen Seng, 58, pula menghadapi 234 pertuduhan yang serupa bernilai RM153,324 antara 20 Julai 2007 dan 20 Julai 2009.

Wai Leong, 34, pula didakwa atas 210 pertuduhan, terlibat dalam aktiviti haram membabitkan RM212,992 antara 10 Jun 2008 dan 6 Disember 2009.

Sementara Chee Wah, 56, pula menghadapi 89 pertuduhan membabitkan transaksi berjumlah RM31,332,757 antara 20 Julai 2007 dan 3 Februari 2009.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad cawangan utama KL di tingkat bawah, Menara Public Bank, No. 146, Jalan Ampang di sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haziq Razali mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Haziq mencadangkan supaya setiap tertuduh diikat jamin RM4 juta dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa mereka diserahkan pada mahkamah selain memohon dibicarakan bersama.

Barisan peguam bela Wong Kian Kheong yang mewakili tiga tertuduh memohon jumlah jaminan Poh Weng, Yuen Seng dan Wai Leong dikurangkan sehingga RM100,000 kerana aset mereka telah dibekukan.

Peguam Keppy Wong Kai Pon bagi pihak Chee Wah turut mengemukakan hujah yang sama.

Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan Poh Weng, Yuen Seng dan Wai Leong diikat jamin RM1 juta sementara Chee Wah RM800,000 berserta dua penjamin setiap seorang.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 November ini.

Mini kasino tumpuan kaki judi di tengah hutan diserbu

ANGGOTA polis memeriksa mini kasino dalam serbuan di Kampung Batak, Sungai Ara, Pulau Pinang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PULAU PINANG 14 Okt. - Siapa sangka, di tengah-tengah hutan di Kampung Batak, Sungai Ara di sini, wujud sebuah mini kasino yang menjadi tumpuan kaki judi pada setiap malam.

Selain jauh dari penempatan penduduk, ia dikelilingi kebun sayur dan perlu menyeberangi sungai dengan jambatan untuk sampai ke situ, menjadikan lokasi itu cukup strategik untuk menjalankan kegiatan perjudian kerana terlindung daripada pandangan umum.

Namun, mini kasino itu hanya mampu beroperasi selama seminggu kerana berjaya dihidu oleh polis hasil maklumat orang ramai dan intipan selama tiga hari.

Awal pagi ini, sepasukan polis seramai 10 anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya diketuai Inspektor Hafizuddin Hassan menyerbu tempat tersebut.

Menurut jurucakap polis, dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah malam itu, seramai 14 orang yang sedang leka bermain judi jenis belangkas berjaya ditahan.

"Mereka yang ditahan berusia lingkungan 20-an hingga 50-an, kesemuanya lelaki terdiri daripada tiga berbangsa India dan selebihnya Cina.

"Ketika serbuan dalam Ops Dadu ini, dianggarkan seramai 40 orang sedang leka berjudi tetapi hanya 14 orang dapat ditahan manakala selebihnya sempat meloloskan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.

Kesemua yang ditahan kini disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas wang tunai dan cip judi untuk pertaruhan yang dianggarkan bernilai puluhan ribu ringgit.

Wednesday, October 13, 2010

Utara: Pengkhianat petrol subsidi

Oleh Azmi Md Deros
azmimd@bharian.com.my
2010/10/13
Sindiket seludup bina stor penyimpanan minyak di Kampung Remia Manis

DURIAN BURUNG: Kawalan ketat di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar di Perlis mendorong sindiket penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi memindahkan operasinya ke sini sejak beberapa bulan lalu dengan mengaut keuntungan mudah mencecah puluhan ribu ringgit sebulan. Tinjauan mendapati sindiket penyeludupan bahan api bersubsidi yang dipercayai didalangi warga tempatan itu, dikesan bergiat aktif apabila berani membina stor penyimpanan minyak haram kira-kira 500 meter dari balai polis di Kampung Remia Manis, di sini.
Sindiket itu dipercayai memindahkan operasinya ke sini disebabkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) yang beroperasi sejak hampir setahun lalu itu lengang kerana kurang digunakan penduduk kedua-dua negara.

Stor terbabit terletak kira-kira empat kilometer (km) dari KIK berkenaan.

Bagaimanapun, ketika tinjauan dilakukan sindiket itu didapati menghentikan operasi sementara kerana disyaki dapat menghidu kehadiran petugas media, tetapi beberapa kenderaan pikap dan kereta dilihat berada dalam stor haram berkenaan dipercayai sedang memindahkan minyak.

Malah, penduduk tempatan mendakwa anggota sindiket itu beroperasi secara terang-terangan apabila kenderaan bernombor pendaftaran tempatan digunakan bebas membeli petrol dan diesel di tiga stesen minyak mini di Kampung Padang Cenderai dan Kampung Pisang yang terletak kira-kira 15 km dari stor berkenaan.
Penduduk mendakwa, selepas beberapa kali membuat pembelian petrol atau diesel berkenaan, anggota sindiket terbabit akan menghantar bahan api ke stor haram itu, sebelum diseludup ke Thailand melalui pekan kecil di sempadan, iaitu Nattawi dan Ban Prakop sama ada menggunakan kenderaan Thailand atau tempatan.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ramlan mendakwa, dia mendapat tahu sindiket itu didalangi seorang penduduk tempatan yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan pihak berkuasa yang berkawal di pintu masuk sempadan.

“Kami sudah melaporkan masalah ini kepada pihak berkuasa, tetapi ia seumpama mencurah air ke daun keladi kerana penyeludupan tetap berlaku seperti biasa.

“Kami juga mengesyaki pengusaha stesen minyak mini terbabit bersubahat dengan sindiket berkenaan dan mereka menjual antara 3,000 dan 4,000 liter bahan api itu kepada sindiket itu setiap hari,” katanya yang enggan gambarnya dirakamkan atas sebab keselamatan.

Harga runcit petrol dan diesel di negara ini masing-masing RM1.85 dan RM1.65 seliter, berbanding RM2.70 dan RM2.50 seliter di Thailand, menyebabkan sindiket penyeludupan minyak melakukan pelbagai taktik untuk menyeludup.

Ramlan berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, kenderaan yang digunakan anggota sindiket itu turut mempunyai tangki yang diubahsuai.

“Sindiket terbabit dikatakan mengupah penduduk berhampiran untuk membeli petrol dan diesel di tiga stesen minyak mini itu dengan bayaran antara RM50 dan RM100 sehari, manakala pemandu warga Thailand yang melakukan tugas menyeludup bahan api itu diupah RM30,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kedah, Mohd Salleh Maamor ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat kegiatan itu

Sabah & Sarawak: Subahat tipu subsidi jual padi

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2010/10/13
KOTA KINABALU: Segelintir pesawah di Sabah didakwa bersubahat dengan beberapa pengilang dalam melakukan penipuan untuk mendapatkan subsidi jualan padi tanpa menjual hasil pertanian itu.

Aktivis sosial dan kepenggunaan negeri itu, Datuk Patrick Sindu, mendakwa petani terbabit hanya membawa padi ke kilang untuk ditimbang bagi mendapatkan subsidi, tetapi padi itu kemudiannya dipercayai dibawa pulang untuk keperluan harian masing-masing. Katanya, timbangan itu diperakui dalam buku rekod jualan padi dan pemberian subsidi kononnya pesawah terbabit menjual padi di kilang berkenaan.
"Tiga pihak ini dipercayai mengagihkan pendapatan itu sesama mereka dan kegiatan berkenaan dikatakan sudah lama berlaku, malah pernah dilaporkan ketika saya menjadi Presiden Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (CASH)," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Patrick mendakwa, kegiatan pihak tidak amanah itu dengan sendirinya menyekat pengeluaran beras hingga Sabah bergantung 70 peratus kepada beras import.

Sehubungan itu, beliau meminta Bahagian Kawalselia Padi dan Beras cawangan Sabah memantau operasi pembelian dan pemberian subsidi padi dengan lebih teliti bagi menyekat kegiatan yang merugikan industri pertanian Sabah itu.

"Pihak terbabit perlu menyiasat dan bertindak terhadap golongan yang dengan jelas membantutkan usaha kerajaan negeri memajukan sektor penanaman padi bagi mengurangkan pengimportan beras," katanya.
Patrick berkata, pendedahan Pengurus Besar Kanan Sektor Perniagaan Malaysia Timur BERNAS, Azhar Abdullah, bahawa Sabah bergantung kepada 70 peratus bekalan beras import antaranya dari Vietnam, Thailand dan Pakistan perlu diberi perhatian termasuk penilaian semula sistem penanaman padi dan kesesuaian tanah sawah di negeri ini.

"Kita yakin jika sawah diusahakan secara sistematik dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi pertanian moden, hasil pengeluaran padi dapat ditingkatkan," katanya.

Sementara itu, jurucakap Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) Sabah ketika dihubungi, mengakui turut mengesan kegiatan segelintir pesawah di negeri itu yang bersubahat dengan sebilangan kecil pengilang untuk melakukan penipuan bagi mendapatkan subsidi jualan padi tanpa menjual hasil pertanian itu.

"Kita siasat semua aduan dengan rapi dan mengambil tindakan sewajarnya jika mendapati wujud kebenaran terhadap dakwaan itu," katanya

Monday, October 11, 2010

Gred baja Felda diragui

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 11 Okt 2010: Bekas kakitangan Felda, Khamis Saad hari ini mendedahkan bukti mengenai penipuan Felda dalam gred baja yang dibekalkan kepada peneroka.

Beliau yang juga Pengerusi Alumni Bekas Peneroka Felda berkata, baja yang dibekalkan oleh Felda telah dicampur dengan pasir menyebabkan kandungan aslinya berkurangan.

"Baja yang datang daripada Jerman yang dibekalkan kepada peneroka yang dibekalkan melalui syarikat-syarikat tertentu di Malaysia, kemudian dibungkus balik poleh Felda kemudian dicampur dengan pasir yang menyebabkan kualiti berkurangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di parlimen hari ini yang diiringi Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Menurutnya, zat tambahan yang terdapat dalam baja asli dapat meningkatkan pengeluaran minyak sawit dan getah.

"Daripada saya bekerja daripada tahun 70-an sehingga 90-an inilah baja yang kami pakai yang tidak berkualiti menyebabkan pengeluaran tidak memuakan," katanya.

Menurut Mazlan pula, salah satu sebab peneroka enggan mengikuti program tanam semula dengan Felda adalah kerana faktor baja yang didedahkan itu.

"Kenapa salah satu sebab peneroka tidak mengikuti program tanam semula kerana Felda membekalkan baja yang sangat diragui kualitinya.

"Potongan yang dibuat sangat tinggi dalam setiap bulan lima hingga tujuh ratus untuk baja sahaja dan untuk setiap tahun tujuh hingga lapan ribu sedangkan hasilnya begitu rendah," kata beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Mazlan turut menyentuh isu wang tanam semula yang belum dilunaskan oleh Felda seperti yang dijanjikan kepada peneroka.

Turut bersama dalam sidang media itu ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub yang juga Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli yang juga Bendahari PAS Pusat.

Friday, October 8, 2010

Bekas pengurus Tekun Pulau Pinang didakwa pecah amanah

2010/10/08
BUTTERWORTH: Bekas Pengurus Tekun Nasional Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah wang Skim Pinjaman Bazaar Ramadan 2008 berjumlah RM9,000 pada 2008.

Sabaruddin Md Hashim, 46, dituduh memasukkan tiga keping cek masing-masing bernilai RM2,955.15 ke dalam akaun bank isterinya Noorhayati Othman antara 28 Ogos dan 18 September 2008 di Pejabat Tekun Nasional Pulau Pinang, Taman Selat, di sini. Mengikut kertas pertuduhan, isteri Sabaruddin bukan peminjam yang layak di bawah skim berkenaan. Sabaruddin didakwa menurut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dengan sebatan dan juga boleh dikenakan denda.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes 22 Oktober ini bagi tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Janariah Abdul Mutalib. - BERNAMA

Thursday, October 7, 2010

UPP rampas 560 karton rokok

tara:
Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my
2010/10/08
Seorang lelaki dipercayai ahli sindiket penyeludupan ditahan di Alor Setar

KUALA KEDAH: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Kedah menahan seorang lelaki yang dipercayai menyeludup masuk 560 karton rokok kretek dari Indonesia bernilai RM9,408, petang kelmarin. Komander UPP Kedah, Mohd Jasri Othman, berkata ia hasil serbuan diketuai Komander UPP Kuala Kedah, Wan Mazlan Endut bersama dua anggota selepas mengekori sebuah kereta dinaiki suspek berusia 50-an di sebuah kawasan perumahan di Alor Setar, kira-kira jam 2.30 petang. Katanya, sebaik suspek membuka pintu pagar rumahnya, anggota UPP terus menahan lelaki terbabit sebelum mengarahkan dia membuka keretanya.

“Hasil siasatan menemui bungkusan plastik hitam di dalam but dan bahagian dalam kereta terbabit yang mengandungi rokok. Siasatan lanjut mendapati, rokok itu dipercayai tidak dibayar cukai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan dipercayai diseludup masuk ke negara ini secara haram,” katanya di sini.

Mohd Jasri berkata, lelaki itu dipercayai ahli sindiket penyeludupan rokok yang membawa masuk barangan terbabit melalui feri pelancong dari Indonesia melalui perairan Johor, Perak dan Melaka.

Katanya, modus operandi lelaki itu ialah dengan mengambil bekalan daripada sindiket berkenaan di sekitar negeri ini sebelum dibawa balik ke rumahnya dan mengedarkan barangan itu pada waktu malam untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
Beliau berkata, suspek dikatakan menyimpan barangan di rumahnya sementara waktu sebelum mengedarnya kepada peniaga runcit dan pasaran gelap.

“Kita mengesyaki lelaki itu sudah terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok sejak lima bulan lalu berikutan harga pasaran rokok yang semakin meningkat. Ini adalah kes tangkapan pertama sejak harga rokok naik berkuatkuasa Isnin lalu,” katanya.

Mohd Jasri berkata, sindiket itu dipercayai membeli satu karton rokok pada harga RM25 dan dipercayai menjualnya pada harga lebih tinggi.

Difahamkan, harga pasaran runcit boleh mencecah RM50 bagi satu karton dan suspek mampu memperoleh keuntungan sehingga RM28,000, jika berjaya menyeludup rokok berkenaan.

“Cukai kastam bagi semua jumlah rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM32,081.28. Suspek dan kereta terbabit serta semua barangan rampasan itu kemudian diserahkan kepada KDRM untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang bagi kesalahan pertama

Pusat Rawatan Keraton hadapi tuduhan

JOHOR BAHRU 7 Okt. 2010 - Pemilik Pusat Rawatan Keraton yang melakukan rawatan 'pembedahan' secara tradisional atau batin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menjalankan operasi pusat jagaan kesihatan swasta tanpa lesen, Jun lalu.

Johari Mansor, 52, dan Rusnani Rahaman, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Norazlan Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menjalankan operasi pusat jagaan ambulatori swasta tanpa lesen mengikut perenggan 3(c) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di No. 34, Jalan Padi Emas 32, Bandar Baru Uda di sini kira-kira pukul 6.30 petang, 9 Jun lalu.

Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Subseksyen 5(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 5(1)(b)(i) akta sama.

Jika sabit kesalahan, pusat rawatan berkenaan boleh didenda maksimum RM500,000 dan pemiliknya boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

Norazlan menetapkan 29 November ini untuk perbicaraan kes tersebut.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amira Suriati Zainal manakala tertuduh diwakili peguam bela, Zamri Idrus.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, pusat rawatan berkenaan diserbu pihak kementerian pada 6 Jun lalu kerana didakwa melakukan rawatan 'pembedahan' secara tradisional atau batin.

Beliau berkata, hasil serbuan yang dijalankan Unit Kawalan Amalan Perubatan Swasta (UKAPS) Johor dan Selangor, pihaknya merampas beberapa perkakas dan peralatan yang dipercayai digunakan dalam pembedahan batin tersebut.

Mohd. Ismail mengingatkan semua pusat rawatan swasta yang menawarkan rawatan perubatan supaya mendapatkan lesen daripada Kementerian Kesihatan sebelum memulakan operasi seperti yang diperuntukkan di bawah akta tersebut

4 didakwa terima pelaburan RM2j

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 7 Okt. 2010 – Empat ahli lembaga Koperasi Pelaburan Hartanah Berhad (KPHB) termasuk seorang yang bergelar Datuk hari ini mengaku tidak bersalah atas pelbagai pertuduhan termasuk menerima pinjaman pelaburan berjumlah RM2 juta dalam satu aktiviti bercirikan skim cepat kaya, dua tahun lalu.

Datuk Nabil Abdul Kadir, 47; Saiful Bakhri Abdullah, 28; Md. Sarip Salleh, 49, dan Lee Wei Onn, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa kepada mereka di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rozana Ali Yusoff.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menerima pinjaman daripada bakal ahli sebanyak RM500,000 setiap seorang sedangkan KPHB masih belum didaftarkan secara sah.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut antara 22 Mac dan 9 Jun 2008 di Tingkat Ground 1 dan 2, Blok A, Setiawangsa Business Suites, Jalan Setiawangsa 11, Taman Setiawangsa di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 10A(1) Akta Koperasi 1993 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikemukakan pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Kamarulzaman Mohamad Buhari manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Noor Mahmood.

Kesemua tertuduh juga didakwa atas tuduhan kedua iaitu telah menguruskan kewangan koperasi tersebut secara tidak berhemah dan tekun di tempat yang sama dari 13 Ogos 2008 hingga Mac 2009.

Mereka didakwa telah menjanjikan pembayaran balik dividen sebanyak 15 peratus bagi kutipan pelaburan Units@Neocyber dan 16 peratus bagi Gold Members sedangkan KPHB tidak mempunyai sebarang aktiviti yang mampu menjana pendapatan.

Bagi kesalahan ini, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 45(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM200,000.

Nabil dan Saiful Bakhri mempunyai satu pertuduhan tambahan iaitu didakwa telah tidak mengisytiharkan kepentingan mereka di dalam syarikat CFIS Sdn. Bhd. yang mana mereka memegang jawatan pengarah di Mesyuarat Lembaga KPHB yang diadakan pada 14 Jun 2008 di tempat yang sama.

Dakwaan bagi kesalahan ini dibuat mengikut Seksyen 44B(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Nabil turut mempunyai satu lagi tuduhan tambahan iaitu menerima elaun berjumlah RM441,030 bagi tempoh 16 bulan ketika menguruskan kewangan koperasi terbabit sedangkan KPHB masih belum mempunyai sebarang aktiviti yang mampu menjana pendapatan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45(1) akta serupa yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM200,000 jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM40,000 terhadap Nabil dan Saiful Bakhri setiap seorang manakala Md. Sarip dan Wei Onn masing-masing dibenarkan ikat jamin RM20,000.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 November ini

Polis berkas suspek larikan wang TUDM

KUALA LUMPUR 7 Okt. 2010 - Setelah empat tahun usaha menjejakinya gagal, polis akhirnya memberkas seorang pengurup wang warga Singapura yang dikehendaki kerana terlibat dalam penipuan wang berjumlah lebih RM200,000 milik Tentera Udara Malaysia (TUDM).

Wang terbabit merupakan baki wang yang digunakan oleh TUDM semasa latihan Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.

Suspek berusia 37 tahun yang mengusahakan perniagaan pertukaran mata wang asing di negara ini sejak beberapa tahun lalu dikehendaki polis setelah terlibat menipu wang berjumlah RM211,717.

Kes itu berlaku setelah seorang pegawai TUDM berpangkat Leftenan Kolonel menukar wang terbabit di kedai suspek dan sejak itu pengurup wang berkenaan menghilangkan diri manakala pegawai terlibat difahamkan sudah dikenakan tindakan buang kerja.

Namun, suspek yang bijak menyembunyikan diri berjaya dikesan dan ditangkap apabila seorang lagi lelaki mendakwa menjadi mangsa pengurup wang sama membuat laporan polis pada 13 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, bertindak atas laporan tersebut polis telah menjalankan siasatan dan akhirnya berjaya memberkas suspek di lobi sebuah hotel di Jalan Semantan di sini pada pukul 11.45 pagi ini.

"Suspek memang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes penipuan wang TUDM pada 2007 namun gagal dikesan kerana dia bijak menyembunyikan diri.

"Polis mendapat maklumat terbaru mengenai suspek apabila seorang lagi mangsa tampil membuat laporan (13 Ogos) mendakwa turut ditipu semasa berurusan di kedai pengurup wang milik suspek di Jalan Semantan, Bukit Damansara, Peninsular Residence All Suite Hotel di sini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Izany, dalam laporannya, mangsa mendakwa dia kerugian RM25,000 setelah menyerahkan wang tersebut kepada suspek untuk ditukarkan kepada mata wang pound sterling pada pukul 3 petang di kedainya

Wednesday, October 6, 2010

2 rasuah pegawai imigresen ditahan

2010/10/07
SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, semalam menahan dua individu iaitu pegawai eksekutif dan pekerja sebuah syarikat operator feri Port Dickson-Dumai berhubung dakwaan memberi rasuah kepada dua pegawai imigresen yang ditahan minggu lalu.

Sumber berkata, kedua-dua lelaki berusia 35 dan 45 tahun itu ditahan di sekitar bandar Port Dickson, dekat sini, kira-kira jam 2 petang. “Hasil soal siasat terhadap pegawai imigresen yang ditahan sebelum ini mendapati pegawai eksekutif dan pekerja syarikat feri itu turut terbabit dalam kegiatan rasuah yang berlaku di Jeti Port Dickson. “Kedua-dua mereka didapati membayar RM20,000 seminggu kepada pegawai imigresen terbabit sejak 2008 bagi melepaskan pendatang asing tanpa izin yang menaiki feri mereka untuk keluar dan masuk ke negara ini melalui pintu sempadan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Hishammuddin Hashim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Rabu lalu, dua pegawai imigresen terbabit yang bertanggungjawab menyelia operasi di Jeti Port Dickson ditahan di bandar berkenaan.

Mereka ditahan bersama seorang awam yang bertindak sebagai orang tengah kerana terbabit dalam kegiatan rasuah bagi melepaskan pendatang asing tanpa izin keluar dan masuk ke negara ini.
Kedua-dua pegawai terbabit akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.

Tuesday, October 5, 2010

Lelaki Peru guna kaki panjang untuk mencuri beg pelancong asing berjaya diberkas

KUALA LUMPUR 5 Okt. 2010 - Seorang lelaki warga Peru berusia 50 tahun menggunakan kemahiran kakinya yang panjang untuk menarik beg pelancong sebelum melarikannya.

Suspek yang dikehendaki polis kerana dipercayai sering mencuri barangan pelancong asing di ibu negara akhirnya berjaya diberkas, semalam.

Jurucakap polis berkata, suspek yang terkenal dengan nama jolokan 'toyol' itu ditahan selepas cuba mencuri sebuah beg milik pelancong warga Indonesia di sebuah restoran di pusat beli belah di Bukit Bintang di sini.

"Ketika pelancong berkenaan sedang menunggu makanan yang dipesan di restoran itu, mangsa berusia 42 tahun terkejut apabila beg pakaian miliknya diletakkan di bawah meja tiba-tiba hilang.

"Mangsa turut panik kerana beg itu mengandungi wang tunai dolar Amerika Syarikat berjumlah AS$3,000 (RM9,300) serta lima pasport milik keluarganya.

"Ketika mangsa bangun dan memeriksa keadaan sekelilingnya, dia ternampak suspek yang turut berada di meja makan berhampiran memegang beg miliknya," katanya di sini hari ini.

Jurucakap itu menambah, mangsa kemudian mendapatkan bantuan pengawal keselamatan untuk memeriksa beg yang dipegang suspek.

Jelasnya, seorang pekerja restoran turut mendakwa pernah melihat suspek tersebut menarik beg mangsa dengan menggunakan kakinya sebelum itu.

"Suspek kemudian ditahan oleh sekumpulan pengawal keselamatan selepas dia kelihatan cuba melarikan diri setelah menyedari mangsa mula mengesyaki dirinya.

"Dengan bantuan anggota polis peronda, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut. Suspek kemudian mengaku terlibat dengan berpuluh-puluh kecurian," ujarnya.

Suspek kini ditahan reman selama 14 hari bagi siasatan lanjut mengenai jenayah yang dilakukannya.

Difahamkan suspek sebelum ini pernah menggunakan kakinya untuk menarik dan melarikan sebuah beg tangan seorang pelancong wanita warga Britain berusia 46 tahun yang diletakkan di bawah meja di sebuah kafe siber di Jalan Imbi.

Berikutan itu wanita tersebut kehilangan wang tunai sebanyak RM6,000.

Seorang pelancong dari Belanda berusia 29 tahun pula menjadi mangsa apabila beg miliknya dilarikan ketika sedang membeli belah di Bukit Bintang.

Rasuah penguat kuasa, empat warga asing ditahan

KUALA LUMPUR 5 Okt. 2010 - Gara-gara cuba merasuah beberapa pegawai penguat kuasa sebuah majlis perbandaran untuk membebaskan pekerja mereka yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tiga majikan warga Pakistan dan seorang rakyat Bangladesh ditahan dalam tiga kes berasingan, Jumaat lalu.

Keempat-empat suspek menawarkan wang suapan itu yang kesemuanya berjumlah RM6,500 untuk membebaskan 13 pekerja masing-masing.

Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mustafar Ali berkata, kesemua mereka berusia 24 hingga 48 tahun itu ditahan sebaik sahaja menawarkan wang suapan kepada pegawai penguat kuasa terbabit di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, kira-kira pukul 10 pagi.

Beliau berkata, dalam kes pertama, dua suspek menawarkan RM2,500 kepada pegawai penguat kuasa terbabit untuk membebaskan lima pekerjanya.

Katanya, ia diikuti seorang suspek yang menawarkan RM1,000 untuk membebaskan dua pekerja

"Seorang lagi suspek yang mendakwa dirinya pelajar sebuah kolej menawarkan RM3,000 kepada pegawai penguat kuasa terbabit bagi membebaskan enam pekerjanya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Mustafa, kesemua suspek kini ditahan reman seminggu dari tarikh tangkapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17, Akta SPRM 2009

Produk bernilai RM3j dirampas

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyerbu 30 premis dan merampas produk penjagaan mata bernilai hampir RM3 juta keluaran sebuah syarikat terkenal di negara ini sejak Ogos lalu yang dikesan menipu pelanggan.

Produk penjagaan mata dalam bentuk toner dan penutup mata itu memang terkenal kerana kerap diiklankan dalam media cetak dan elektronik oleh syarikat pengeluarnya.

Namun, syarikat terbabit dipercayai menipu pelanggan apabila produk yang dijual pada harga ratusan ringgit itu gagal memberi kesan positif seperti yang diinginkan pengguna.

Sumber dari Bahagian Penguat Kuasa Farmasi kementerian itu memberitahu, bimbang orang ramai terus menjadi mangsa penipuan syarikat terbabit, pihaknya sejak Ogos lalu bertindak melancarkan 'Ops Mata' bagi mengesan dan merampas penjualan produk tersebut.

"Kita mengambil tindakan menyerbu rangkaian syarikat yang menjual produk ini di seluruh negara selepas beberapa mangsa membuat aduan mereka berasa tertipu.

"Ramai pengguna tertarik hati untuk membeli produk ini selepas percaya ia boleh memulihkan mata mereka yang bermasalah, namun kesannya langsung tiada selepas digunakan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, dalam operasi terbaru, pihaknya telah menyerbu lima premis menjual produk tersebut yang terletak di Bandar Baru Bangi, Shah Alam dan Keramat dekat sini.

Beliau berkata, turut diserbu, sebuah premis terletak di pusat beli-belah terkenal di Shah Alam yang dijadikan lokasi untuk memasarkan produk berkenaan.

Katanya, hasil serbuan serentak itu, pihaknya berjaya merampas lebih 10,000 jenis produk keluaran syarikat tersebut dianggarkan bernilai RM1.4 juta.

Selain Lembah Klang, kata sumber, serbuan turut dilakukan ke atas puluhan premis lain di Kelantan, Kedah, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Sabah.

Sementara itu, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Eisah A. Rahman menasihatkan pengguna supaya tidak mempercayai kaedah rawatan dan keistimewaan produk terbabit seperti diiklankan.

Menurutnya, rangkaian produk itu dianggap tidak lebih sebagai produk kosmetik dan tidak boleh digunakan untuk penjagaan mata.

"Produk kosmetik dalam konteks ini semata-mata untuk digunakan di bahagian muka dan sekitar bahagian luar mata untuk tujuan estetika.

"Ia tidak sama sekali boleh digunakan ke dalam biji mata sebagai ubat titis atau sebagai ubat semburan," katanya.

Menurutnya, dakwaan bahawa produk keluaran syarikat tersebut boleh merawat mata adalah tidak berasas kerana tiada bukti saintifik pernah dilakukan untuk membuktikan keberkesanannya.

Eisah berkata, pihak kementerian turut memandang serius kewujudan beberapa syarikat lain yang mengeluarkan produk kosmetik untuk mata yang juga menggunakan teknik promosi yang mengelirukan pengguna.

"Di sini, saya nasihatkan orang ramai yang mempunyai masalah kesihatan mata agar tidak membazirkan wang membeli produk terbabit kerana perbuatan itu bukan sahaja membazirkan wang ringgit tetapi boleh mengundang bahaya kepada kesihatan," ujarnya

15 tahun kaut duit sogok

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my
2010/10/06
Sindiket tawar pegawai imigresen 'gaji' lumayan RM3,000 sehari

KUALA LUMPUR: Sindiket pemalsuan dokumen untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang asing tanpa izin dipercayai beroperasi lebih 15 tahun di Jeti Penumpang Pulau Ketam, Pelabuhan Klang dengan menawarkan habuan antara RM500 hingga RM3,000 sehari kepada setiap anggota dan pegawai imigresen yang bersubahat. Sindiket dikatakan masih mampu beroperasi dan mengaut wang daripada pendatang tanpa izin walaupun anggota dan pegawai imigresen bertukar ganti kerana mereka ditawarkan ‘gaji’ lumayan oleh sindiket berkenaan. Menurut sumber, lebih tiga sindiket beroperasi di pintu keluar masuk negara itu menggunakan modus operandi hampir sama untuk ‘memikat’ kakitangan imigresen supaya bekerjasama dengan mereka dengan upah bulanan minimum RM30,000 sebulan.

“Oleh itu, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila kakitangan imigresen yang baru memulakan tugas di jeti berkenaan pada 2009 berjaya dipikat dan menjadi sebahagian anggota sindiket berkenaan. Semuanya kerana habuan lumayan,” kata sumber berkenaan.

Bagaimanapun, jumlah yang diperoleh setiap kakitangan imigresen berbeza setiap hari kerana ia dikira mengikut bilangan pendatang asing tanpa izin yang dibawa keluar atau masuk menerusi jeti berkenaan.

Setakat ini, tujuh kakitangan imigresen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk dua pegawai ketika melakukan transaksi wang tunai sebanyak RM26,000 dengan sindiket membawa keluar masuk pendatang asing tanpa izin, di Jeti Port Dickson, Negeri Sembilan.
Daripada jumlah itu, enam anggota imigresen yang bertugas di Jeti Pelabuhan Pulau Ketam, termasuk seorang ditahan dan SPRM menemui wang tunai RM30,000 di rumahnya dan dua lagi pegawai di Jeti Port Dickson yang semuanya disyaki terbabit rasuah membabitkan sindiket berkenaan.

Selain kakitangan imigresen, lapan orang awam yang berperanan sebagai orang tengah atau ‘runner’ ditahan.

Berita Harian pada 27 Ogos lalu mendedahkan ada anggota dan pegawai imigresen di Jeti Penumpang Pulau Ketam menerima sogokan sehingga RM60,000 sebulan, menyebabkan pintu masuk negara mudah dibolosi pendatang tanpa izin Indonesia.

Peguam tidak hadir 10 kali perbicaraan kesnya

2010/10/05
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes peguam yang menghadapi pertuduhan pecah amanah membabitkan cek RM120,000 yang tertangguh kerana ketidakhadirannya sebanyak 10 kali, akan diteruskan tanpa kehadirannya.

Hakim Mahkamah Sesyen Azizah Mahamud menetapkan 4 November ini sebagai tarikh akhir perbicaraan kes itu. Beliau berkata mahkamah akan memulakan perbicaraan kes itu walaupun tanpa kehadiran tertuduh Md Madzhar Mohd Sapuan mengikut Seksyen 264 Kanun Prosedur Jenayah. Azizah berkata tertuduh tidak hadir sebanyak 10 kali pada tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan dengan setiap kali perbicaraan, dia akan mengemukakan sijil sakit kepada mahkamah.

"Ini tarikh akhir dari mahkamah. Mahkamah akan meneruskan perbicaraan kes walaupun tanpa kehadiran tertuduh. Kes ini kes tahun 2005 lagi, saya tidak mahu ianya ditangguhkan lagi. Kamu beritahu anak guam kamu supaya hadir pada tarikh akan datang," Azizah memberitahu peguam Dr Mohd Radzuan Ibrahim yang mewakili Md Madzar.

Md Madzar, 48, yang digantung daripada menjalankan amalan guamannya sejak 1999, tidak hadir pada perbicaraan yang telah ditetapkan bermula pada 3 Disember 2007 atas alasan sakit.

Terdahulu Mohd Radzuan menyerahkan sijil cuti sakit dari Cheras Medical Centre yang menyatakan anak guamnya telah dimasukkan ke hospital itu sejak semalam kerana menghidapi ''upper respiratory tract infection'' dan diberikan cuti sakit bermula 4 hingga 6 Okt dan dinasihatkan berehat di rumah selama seminggu.
Beliau berkata anak guamnya itu tidak mempunyai niat untuk menangguhkan perbicaraan kes tersebut yang ditetapkan bermula semalam hingga Jumaat ini.

Mohd Radzuan juga memberitahu mahkamah bahawa beliau kemungkinan akan menarik diri daripada mewakili anak guamnya sekiranya mahkamah meneruskan perbicaraan kes tanpa anak guamnya.

Timbalan Pendakwa Raya Suhaizah Zakaria yang mewakili pihak pendakwaan berkata saksi pendakwaan bersedia dengan perbicaraan kes itu.

Pada 6 Januari 2005, Md Madzhar, didakwa pecah amanah sekeping cek Bumiputra Commerce berjumlah RM120,000, berhubung pembelian sebuah rumah semasa menjadi agen kepada seorang doktor Abdul Rahman Samion, yang merupakan saudaranya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Suite FGH, Level 17 Bangunan Angkasaraya Jalan Ampang di sini di antara 28 Nov 2000 dan 19 Disember 2000.

Pada 12 Ogos 2008, Md Madzar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Baharu terhadap pertuduhan pecah amanah cek dan wang tunai berjumlah RM158,000

Bekas pengarah syarikat dipenjara, denda RM2 juta

2010/10/05
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat pembinaan, Pancaran Ikrab Berhad dipenjara dua hari dan didenda RM2 juta oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menipu pembelian sekuriti saham membabitkan RM15.5 juta.

Hakim S. M Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas mengambil kira pengakuan Ngu Tieng Ung, 43, yang menukar pengakuan kepada bersalah hari ini. Bagaimanapun, Komathy memerintahkan Ngu menjalani hukuman penjara secara serentak bermula hari ini dan beliau juga membenarkan hukuman denda itu dibayar secara ansuran selama 12 bulan bermula 5 November. Ngu yang kelihatan sugul, menangis sejurus Komathy menyampaikan keputusan itu sehingga beliau terpaksa berhenti seketika dan bertanya: "Adakah awak ok...adakah awak gembira atau sedih..?

Peguam Ng Aik Guan yang kemudian menenangkan anak guamnya itu berkata: "Beliau sedikit emosi".

Komathy juga mengarahkan jika Ngu gagal membayar sebelum atau pada tarikh yang ditetapkan Ngu boleh dipenjara 30 hari.

Mengikut pertuduhan pertama, Ngu dipenjara sehari dan didenda RM1 juta selepas mengaku bersalah menipu dengan memindahkan RM11 juta dari akaun bank syarikat Pancaran Ikrab di Malayan Banking Berhad, ke akaun bank Amsteel Securities (M) Sdn Bhd di Hong Leong Bank.
Perpindahan wang itu bertujuan membiayai pembelian tiga juta unit saham Pancaran Ikrab melalui akaun Task Avenue Sdn Bhd, yang mana Ngu tahu wang tersebut bukan dimaksudkan untuk digunakan bagi tujuan pembelian saham itu.

Ngu didakwa melakukan kesalahan itu antara 7 Oktober dan 13 Oktober 1997, di Pancaran Ikrab Berhad di Tingkat 27, UBN Tower, 10 Jalan P Ramlee di sini.

Ngu juga dikenakan hukuman yang sama bagi pertuduhan kedua selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan yang sama, melibatkan 1.25 juta unit saham syarikat itu, bernilai RM4.5 juta di tempat yang sama, antara 7 Oktober dan 20 Oktober 1997.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 87A (b) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (Akta 280) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 91 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Monday, October 4, 2010

Tiga koperasi, 12 pegawai babit skim cepat kaya didakwa

2010/10/05
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan mendakwa tiga koperasi dan 12 pegawainya di mahkamah dalam jangka masa terdekat kerana terbabit dalam aktiviti pelaburan bercirikan skim cepat kaya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SKM sejak 2008 sudah mengenal pasti 14 koperasi terbabit dalam aktiviti seumpama itu termasuk Koperasi Dinamik Malaysia (KOPEDIK) yang didakwa di mahkamah pada 28 Januari lalu. Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti dilakukan semua koperasi itu termasuk menjalankan aktiviti pelaburan terhadap perniagaan yang tidak wujud seperti industri cacing, lintah, rumpai laut dan emas. “Mereka kutip duit pelanggan supaya melabur dalam perniagaan dijalankan tetapi ia tidak wujud. Contohnya, bagi perniagaan rumpai laut, pelanggan ditunjukkan kawasan laut kononnya milik mereka sedangkan ia tidak ada,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri anjuran SKM di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini semalam.

Ismail Sabri berkata, tindakan menggantung operasi koperasi akan diambil sebaik saja SKM menerima laporan penyelewengan atau penipuan yang dilakukan, sebelum tindakan membatal dan mendakwa ahli lembaga pengarah diambil.

“Jika siasatan mendapati koperasi berkenaan bersih daripada penyelewengan, penggantungan itu akan ditarik semula dan mereka bebas menjalankan aktiviti seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, SKM sudah mengambil alih 15 koperasi untuk memulihkan pengurusan dan aktiviti mereka yang berdepan pelbagai masalah.
Bagaimanapun, katanya, semua koperasi berkenaan tidak terbabit dalam sebarang kesalahan, sebaliknya menghadapi masalah pengurusan dan kewangan

Sunday, October 3, 2010

Rasuah: Majistret dihukum denda, penjara

Okt 3, 10 5:37pm

Kongsi 23Seorang majistret dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan berkaitan rasuah.

Mohd Firdaus Ramlan, 28, baru bertugas selama dua tahun sebagai majistret di Mahkamah Kuala Krai dan Machang.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memperoleh rasuah berupa wang tunai RM3,000 daripada Md Shani Ishak di sebuah stesen minyak Esso, Machang, kira-kira pukul 10.30 malam, 11 Oktober tahun lalu.

Wang suapan itu dikatakan diperoleh sebagai dorongan baginya melepaskan lelaki berkenaan daripada kesalahan jenayah yang dilakukan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Bagi tuduhan kedua, Mohd Firdaus didakwa meminta rasuah RM5,000 daripada Md Shani di Bilik Majistret, Mahkamah Majistret Kuala Krai di sini, pada 6 Oktober tahun lalu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang juga boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa, dan Mohd Firdaus diwakili peguam Datuk Shukri Mohammed.

Bagi tuduhan pertama Mohd Firdaus dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM15,000, dan jika tidak dibayar denda, beliau boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan, manakala bagi pertuduhan kedua beliau dikenakan hukuman penjara tiga tahun, denda RM25,000, dan jika denda tidak dibayar beliau boleh dihukum penjara 18 bulan.

Hakim Sabariah Othman mengarahkan agar perintah penjara ditangguhkan sehingga Mahkamah Rayuan mendengar dan memutuskan rayuan.

Hukuman denda pula ditangguh tiga bulan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin

2 ditahan suap RM33,600 seminggu

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
pengarang@utusan.com.my

SEREMBAN 3 Okt. - Dua lagi pegawai Imigresen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai 'menyeludup' pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini yang dikatakan meraih pendapatan sehingga RM33,600 seminggu.

Pegawai yang bertugas di jeti Port Dickson, dekat sini itu dikatakan mengenakan bayaran RM5,600 bagi setiap feri membawa PATI sejak empat tahun lalu. Dalam seminggu, enam feri yang setiap satu mengangkut kira-kira 70 PATI dari Dumai, Indonesia akan berlabuh di jeti Port Dickson.

Dalam tangkapan Rabu lalu itu, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM26,000 di pejabat salah seorang pegawai terbabit.

Kelmarin, seorang pegawai Imigresen turut ditahan kerana menjadi dalang sindiket 'menyeludup' PATI melalui jeti Pulau Ketam, Selangor.

Jurucakap SPRM negeri berkata, dua pegawai yang berusia 40-an dan 50-an itu diberkas bersama-sama seorang lelaki, kira-kira pukul 7 petang di jeti berkenaan, Rabu lalu.

Difahamkan, lelaki yang ditahan itu menjadi perantara dengan tekong feri Indonesia untuk membawa masuk PATI dari negara tersebut.

Menurut jurucakap SPRM itu, hasil intipan SPRM mendapati kedua-dua pegawai itu telah melakukan kegiatan tersebut sejak empat tahun lalu.

"Mereka (pegawai) menerima rasuah RM5,600 bagi setiap feri yang membawa 70 PATI dari Dumai, Indonesia yang ingin masuk ke negara ini," katanya di sini hari ini.

Jurucakap itu menambah, dua pegawai Imigresen itu mengutip wang rasuah daripada tekong dan jika gagal membayar wang tersebut, tekong tidak akan dibenarkan menurunkan PATI.

Katanya, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.

Pihak SPRM turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada terdapat pengawai Imigresen mahupun kakitangan agensi lain turut terlibat sama dalam kegiatan tersebut, jelasnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi hari ini mengesahkan kes berkenaan.

Kelmarin, SPRM menahan seorang pegawai Imigresen dan tujuh individu kerana dipercayai terlibat menyeludup masuk PATI melalui jeti Pulau Ketam setelah menerima suapan dikenali sebagai 'wang tunjuk' dari kapten kapal.

Dalam serbuan itu, SPRM turut menemui wang tunai kira-kira RM30,000 di rumah pegawai Imigresen tersebut, manakala RM70,000 lagi dijumpai di pejabat salah seorang perantara yang ditahan

Friday, October 1, 2010

Notis awam peringatan terhadap tawaran Along ditampal di mahkamah

2010/10/01
KUALA LUMPUR: Pengarah Mahkamah Kuala Lumpur, Azizah Mahamud hari ini mengesahkan bahawa satu notis awam mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran peminjam wang tidak berlesen bagi tujuan bayaran ikat jamin di tampal di setiap lokasi mahkamah.

Azizah berkata, penampalan notis berkenaan bertujuan memberi kesedaran dan maklumat kepada pihak-pihak terbabit dalam kes jenayah bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa peminjam wang tidak berlesen seperti Along. "Notis itu mula ditampal di semua lokasi mahkamah sejak minggu lepas, dan notis sama turut diarahkan ditampal di seluruh mahkamah di Malaysia," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini. Mengikut surat pekeliling bertarikh 25 Ogos 2010 yang dikeluarkan oleh Pendaftar, Mahkamah Tinggi Malaya, Istana Kehakiman Putrajaya (nama pendaftar tidak dibenar letak) arahan untuk meletakkan notis awam di papan notis mahkamah untuk berhati-hati dengan tawaran peminjam wang tidak berlesen dan kegiatan "mencari pelanggan" harus ditampal di kesemua papan notis mahkamah bagi mengelakkan orang awam terpedaya dengan tawaran itu.

Antara perkara yang terkandung dalam notis awam itu adalah orang ramai diingatkan bahawa aktiviti peminjaman wang tidak berlesen adalah satu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan mana-mana Along bagi tujuan mendapatkan wang jaminan atau meminta mana-mana Along menjadi penjamin.

Azizah berkata, pihak mahkamah sudah mengesan beberapa kegiatan "mencari pelanggan" oleh individu-individu tidak bertanggungjawab menawarkan kepada orang ramai khidmat untuk menyelesaikan kes-kes di mahkamah dengan bayaran tertentu.
Notis itu memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati sekiranya menerima sebarang tawaran seumpamanya kerana pihak mahkamah tidak pernah melantik mana-mana ejen atau orang perseorangan untuk menyelesaikan mana-mana kes bagi pihak mahkamah.

Azizah meminta orang ramai melaporkan segera kepada pihak mahkamah atau polis sekiranya ditawarkan perkhidmatan sedemikian. - BERNAMA