Wednesday, June 23, 2010

Pengurusan kes taksiran royalti Annuar Zain 13 Julai

KUALA LUMPUR 23 Jun 2010 - Mahkamah Tinggi di sini akan menetapkan tarikh perbicaraan bagi taksiran royalti penyanyi, Annuar Zain (gambar) pada 13 Julai ini.

Syarikat rakaman Syncrosound Records Label Music Sdn. Bhd. (Syncrosound) pada tarikh tersebut juga perlu memaklumkan mahkamah berapa ramai saksi yang akan dipanggil bagi menentukan jumlah taksiran royalti yang perlu dibayar pada adik penyanyi, Ziana Zain itu.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Nazri Yahya ketika pengurusan kes itu hari ini.

Peguam Aizul Rohan Anuar hadir mewakili penyanyi tersebut namun tiada wakil peguam hadir bagi pihak syarikat rakaman itu.

Aizul Rohan ketika ditemui selepas prosiding memaklumkan, pihaknya akan memanggil tiga orang saksi termasuk Annuar sendiri dan wakil daripada sebuah syarikat pengedaran album.

Pada 14 Mei lalu, Annuar atau nama sebenarnya, Shahrul Annuar Zain, 40, berjaya dalam kes tuntutan saman balas bagi menuntut bayaran royalti daripada Syncrosound.

Jumlah bayaran royalti tersebut masih belum ditentukan kerana nilainya perlu ditaksirkan terlebih dahulu.

Pada tarikh tersebut juga, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Dr. Prasad Sandosham Abraham turut memerintahkan Syncrosound membayar kos dan faedah sebanyak lapan peratus ke atas jumlah royalti setahun bermula Jun 2006 kepada Annuar.

Penyanyi itu memfailkan tuntutan balas dan pembelaan pada 20 Jun 2006 setelah beliau disaman oleh Syncrosound pada 21 April tahun yang sama.

Syncrosound dalam samannya, mendakwa penyanyi itu memungkiri perjanjian apabila menamatkan kontrak tanpa merakamkan tiga buah album lagi dengan syarikat tersebut.

Bagaimanapun, pada 27 Disember 2007, Penolong Kanan Pendaftar, Siti Aishah Ab. Rashid telah membatalkan tuntutan Syncrosound tersebut.

Dalam tuntutan balasnya, Pemenang Artis Lelaki Terbaik pada Anugerah Planet Muzik (APM) 2008 itu mendakwa, beliau dan Syncrosound seharusnya merakam dan mengeluarkan sebuah album sahaja tetapi syarikat itu telah melibatkannya dalam lebih daripada dua buah album.

Namun begitu, dakwanya, syarikat itu tidak pernah memberikan sebarang butiran atau penyata mengenai penjualan album-album tersebut seperti yang dikehendaki dalam perjanjian.

Pelakon utama filem Bintang Hati itu juga menyatakan sejak 23 Februari 2001, dia hanya menerima pembayaran royalti hasil penjualan kesemua albumnya dengan Syncrosound sebanyak RM2,000 sahaja.

2.6 tan beras, pelbagai jenis kosmetik tiruan, dadah dirampas

RANTAU PANJANG 23 Jun 2010 - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 merampas 50 botol kecil heroin, 2.6 tan beras dan pelbagai jenis kosmetik tiruan yang cuba diseludup masuk ke negara ini di dua tempat berasingan di sini serta Tumpat, awal pagi ini.

Pegawai Pemerintah Batalion itu, Supritendan Kamaruddin Yusoff berkata, kedua-dua rampasan itu dibuat hasil maklumat orang ramai serta intipan yang dilakukan.

Beliau berkata, dalam rampasan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 30-an di Pangkalan Haram Azizah di sini ketika cuba membawa masuk barangan larangan tersebut.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, beberapa anggota kita telah membuat intipan di kawasan berkenaan bermula daripada pukul 11 malam.

"Lelaki itu ditahan sebaik sahaja dia melintasi Sungai Golok untuk masuk ke negara ini dan hasil pemeriksaan dilakukan ke atas lelaki itu, kita menemui 50 botol kecil, dipercayai mengandungi heroin tulen.

"Harga setiap botol kira-kira RM1,000 tetapi ia akan berlipat kali ganda jika dijual di kawasan yang lebih jauh dari bandar ini seperti di Kota Bharu ia mungkin bernilai RM1,500.

"Ini merupakan rampasan dadah terbesar pada tahun ini yang dilakukan PGA," katanya pada sidang akhbar di Markas PGA di sini hari ini.

Kamaruddin berkata, lelaki terbabit juga positif dadah jenis ganja dan dia akan didakwa mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Katanya, kesemua dadah tersebut telah diserahkan kepada bahagian narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, katanya, pihaknya merampas 26 guni beras yang setiap satunya seberat 100 kilogram dan produk kecantikan tiruan di sebuah rumah di Simpangan, Tumpat, selepas membuat intipan bermula dari pukul 2 pagi sehingga 8 pagi ini.

"Kita terpaksa menunggu masa hampir lapan jam sebelum serbuan dan hasilnya kita menjumpai beras serta pelbagai jenis kosmetik yang keseluruhannya bernilai RM27,800 di bawah sebuah rumah yang dipercayai menjadi tempat pengumpulan.

"Bagaimanapun tidak ada sebarang tangkapan dilakukan kerana pemilik rumah itu mendakwa tidak mengetahui barangan tersebut diletakkan di bawah rumahnya," katanya.

Bekas Pegawai Penguasa Petronas dituduh rasuah

KUALA TERENGGANU 23 Jun 2010 – Seorang bekas Pegawai Penguasa Depot Petronas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperoleh suapan berjumlah RM3,500 sebagai dorongan supaya tidak melaporkan ‘compact valve’ (kepala gas) yang dikatakan telah bocor.

Jasmi Mohd. Jemadi, 43, yang sebelum ini bertugas di Depot Petronas Berhad Cawangan Melaka itu, didakwa memperoleh suapan RM1,500 dan RM2,000 agar tidak melaporkan kepada Ibu Pejabat Petronas Dagangan Berhad mengenai ‘compact valve’ yang dibekalkan oleh Syarikat Dual Metal Sdn. Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Pusat Niaga Paka, Dungun pada 7 dan 24 Februari 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 9(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Hakim M. Bakri Abd. Majid membenarkan Jasmi diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Julai ini sebutan kes untuk melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Ahmad Nizan Wan Omar.

Tuesday, June 22, 2010

Utara: Wang Palsu

Oleh D J Dolasoh
bhnews@bharian.com.my
2010/06/23


WANG palsu yang dikatakan beredar dalam urus niaga di Hulu Perak.Komuniti Hulu Perak berdepan kerugian wang palsu beredar dalam urus niaga

LENGGONG: Komuniti perniagaan di daerah Hulu Perak dan Kuala Kangsar kini berdepan kerugian berikutan penggunaan berleluasa wang kertas palsu dalam urusan jual beli di dua daerah terbabit sejak beberapa bulan lalu. Kebimbangan itu terutama disuarakan oleh peniaga pasar malam dan pekan sehari, selain peniaga kedai runcit serta pengusaha stesen minyak. Peniaga mendakwa, wang palsu yang sering diberikan pelanggan ketika urusan jual beli membabitkan nilai RM100, RM50 dan RM10.

Katanya, wang palsu terbabit amat sukar dibezakan dengan wang tulen kerana hampir semua cirinya adalah sama.

Beberapa peniaga pasar malam dan pekan sehari di Lenggong, Grik, Kati dan Sauk di Kuala Kangsar termasuk penjual ikan, kuih, sayuran dan peniaga ayam pernah menjadi mangsa menerima wang palsu berkenaan.

Seorang penjual ikan di Pekan Sehari Lenggong, Mohd Sharizal Zaimanan, 28, berkata dia menerima dua keping wang kertas palsu minggu lalu bernilai RM50 dan RM10 ketika berniaga di Lenggong.
Katanya, dia menerima wang kertas palsu bernilai RM50 ketika berniaga di Pasar Malam Sauk, Kuala Kangsar minggu lalu dan kelmarin di Pekan Sehari Lenggong bernilai RM10.

“Saya perasan wang kertas bernilai RM50 itu palsu ketika mengeluarkannya daripada poket seluar yang secara tidak sengaja dimasukkan ke dalam mesin basuh.

“Sebaik wang itu dikeluarkan, saya dapati ia terbelah dua lapis, sedangkan beberapa keping wang kertas yang lain tidak terjejas,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Peniaga apam balik, Mohd Hamdan Azlah, 45, berkata dia turut menerima wang kertas palsu bernilai RM50 dan RM10 sejak seminggu lalu ketika berniaga di Pekan Sehari Kati, Kuala Kangsar dan Pekan Sehari Lenggong, di sini.

Katanya, dia mengetahui dua wang itu palsu ketika mengiranya di rumah dan selepas mengamatinya ada sedikit kelainan pada wang terbabit kerana ukuran panjangnya kurang setengah sentimeter berbanding wang tulen lain.

Sementara itu, Ketua Kampung Lenggong, Mohd Razli Ahmad berkata, dia banyak menerima aduan daripada peniaga di sekitar Lenggong sejak sebulan lalu yang mendakwa menerima wang palsu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Grik, Superintendan Mahad Nor Abdullah berkata, pihaknya memandang serius kegiatan penipuan pihak tertentu yang menggunakan wang palsu itu dan akan menyiasat secara terperinci.

Katanya, setakat ini belum ada laporan diterima oleh Polis Daerah Grik sama ada daripada peniaga atau mangsa dan berharap supaya mereka segera membuat laporan, termasuk melalui Rakan Cop

Bookie: Pelajar asing Universiti Sains Malaysia terlibat

PULAU PINANG 22 Jun 2010 - Universiti Sains Malaysia (USM) mengesahkan seorang lelaki Nigeria yang ditahan polis kerana terlibat dalam sindiket penipuan di Internet Jumaat lalu merupakan pelajar kursus jangka pendek di pusat pengajian tinggi berkenaan.

Timbalan Pendaftar USM, Mohamad Abdullah berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap perkara itu dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi memastikan tiada lagi mana-mana pelajar universiti itu terlibat.

Menurutnya, pihak universiti kini melakukan pemantauan berterusan berhubung laporan berkenaan dan sedang berusaha mengumpul dan mendapatkan maklumat lengkap mengenai perkara itu.

"USM tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada sekiranya terdapat mana-mana pelajar kami terlibat dalam jenayah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik menyeru semua pihak supaya lebih berhati-hati dengan sindiket licik dan meminta mereka yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Katanya, antara nombor akaun sering digunakan sindiket itu ialah 0733-0022708-4, 0733-0022691-52-3, 0733-0024037-52-5 (CIMB) dan 1570 5472 2986 (Maybank).

3 ditahan jual diesel haram

Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my
2010/06/23
PELABUHAN KLANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan tiga lelaki dan merampas 13,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM23,400 yang dipercayai dijual secara haram, dalam satu serbuan di Pandamaran, di sini, malam kelmarin.

Ketiga-tiga mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota risik PGA yang diketuai Cif Inspektor Che Samsuddin Che Yusoff, di sebuah rumah kedai tiga tingkat di Lorong Selat Selatan 2, Jalan Kem Off Jalan Telok Gong dalam serbuan kira-kira jam 9.30 malam. Pegawai Pemerintah Batalion Kelima PGA, Simpang Renggam, Superintendan Md Rusli Mat Junus, berkata ketika serbuan, pihaknya mendapati ada sebuah lori tangki bernombor pendaftaran NW 7219 di belakang bangunan itu dengan pekerja sedang memindahkan minyak diesel. Berikutan itu, katanya, pasukan PGA terus menahan pemandu lori berkenaan sebelum menahan dua orang lagi di dalam stor ketika membantu melakukan pemindahan minyak.

“Kami masih menahan ketiga-tiga lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30 tahun itu bagi membantu siasatan selepas mereka gagal menunjukkan dokumen pemilikan minyak diesel.

“Berdasarkan siasatan awal, mereka dipercayai membekalkan minyak berkenaan kepada pembekal di sekitar Pandamaran,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut dirampas ialah sebuah lori tangki, hos yang digunakan untuk memindahkan minyak berkenaan ke dalam lori itu dan sebuah pam

Rasuah: Lelaki, 'konsultan' SPRM ditahan

KUALA LUMPUR 22 Jun 2010 - Seorang lelaki ditahan di Raub, Pahang semalam kerana dipercayai bersubahat dengan seorang konsultan palsu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lelaki berusia 31 tahun itu disyaki bersubahat dengan 'konsultan' terbabit yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang Datuk daripada SPRM untuk meminta RM10,000 daripada seorang anggota polis kononnya untuk menutup kes anggota polis itu yang disiasat oleh SPRM,

Bahagian Komunikasi Korporat SPRM dalam kenyataan di sini hari ini memberitahu, lelaki itu ditahan di Raub kira-kira pukul 4.45 petang.

Menurut kenyataan itu, 'konsultan' yang mendakwa dari ibu pejabat SPRM di Putrajaya bersama-sama lelaki terbabit meminta rasuah berjumlah RM10,000 daripada seorang anggota polis sebagai ganjaran menutup kes yang dikatakan dalam siasatan suruhanjaya berkenaan.

"Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009," kata kenyataan itu.

Pada hari sama, kata kenyataan itu, SPRM turut menahan seorang buruh warga Vietnam di Padang Besar, Perlis kerana cuba merasuah anggota polis dalam satu sekatan jalan raya.

Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan polis pada pukul 12.30 tengah hari kerana tidak memiliki pasport.

"Suspek yang ingin melepaskan diri bertindak menawarkan sejumlah wang kepada anggota polis yang memeriksa sebagai balasan untuk tidak dikenakan tindakan," katanya.

Buruh terbabit kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.

Tambah kenyataan itu, suspek dibebaskan dengan jaminan RM5,000 oleh seorang penjamin sehingga 20 Julai depan.

Peniaga bersalah 3 tuduhan urus wang haram RM1.34j

Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my
2010/06/23
Pengurus Danafutures urus pelaburan RM65j tanpa lesen

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan yang menguruskan pelaburan bernilai RM65 juta melalui internet didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tiga tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM1.34 juta dan menjadi pengurus dana wang tanpa lesen pengurus kumpulan wang, tiga tahun lalu. Hakim SM Komathy Suppiah berkata, selepas meneliti keterangan saksi dan bukti dikemukakan, mahkamah mendapati pembelaan tertuduh, Phazaluddin Abu, hanyalah penafian semata-mata dan bercanggah dengan fakta kes itu. Katanya, pembelaan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan apabila menafikan Danafutures Website adalah dimiliki, dikawal dan diuruskan oleh tertuduh.

Beliau berkata, tertuduh dalam pembelaannya mendakwa laman web itu dimiliki dan dikawal oleh seorang individu dikenali sebagai Maidin dan menafikan wang diperoleh dalam akaun banknya adalah hasil pengubahan wang haram dari pelaburan dalam skim itu.

“Jika Maidin bukanlah rekaan, adalah pelik kerana tertuduh sendiri tidak tahu nama penuhnya, malah tidak mempunyai sebarang dokumen pejabat yang menunjukkan Maidin adalah pelanggannya dan lebih aneh tiada seorang saksi pendakwaan pun mengenalinya.

“Keterangan tertuduh yang tidak selari melemahkan kes pembelaan kerana pada mulanya, tertuduh mendakwa dia menguruskan Danafuture Website selepas ditawarkan oleh Maidin dan kemudian menyatakan Maidin yang menguruskan operasinya.
“Tiada penjelasan dibuat tertuduh berhubung dengan percanggahan yang serius dalam keterangannya itu,” katanya.

Komathy berkata, dalam kes itu Maidin adalah saksi penting yang perlu dipanggil pembelaan dan mahkamah berpendapat bukanlah beban yang harus dipikul pendakwaan untuk memanggilnya.

Phazaluddin dituduh mengemukakan dirinya sebagai pengurus dana wang melalui laman web internet www.danafuture.com tanpa memegang lesen pengurus kumpulan wang mengikut Akta Perindustrian Sekuriti 1983 di Affiliate Shoppers Network, No 14, tingkat 1, Jalan Opera C, U2/C, TTDI Jaya, Shah Alam di sini, antara 3 Jan dan 22 Jun 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15A(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM1 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi tiga tuduhan membabitkan pengubahan wang haram, Phazaluddin dituduh menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1,339,324 melalui Affiliate Shoppers Network antara Januari dan Mac 2007.

Bagi setiap tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya. Hukuman akan diputuskan 7 Julai

APMM tahan 2 kapal tangki pindah minyak secara haram

2010/06/22
JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan dua kapal tangki asing yang disyaki melakukan pemindahan sebanyak 100,000 liter minyak secara haram di perairan Pengerang, dekat Kota Tinggi, semalam.

APMM juga menahan 14 krew kapal terdiri daripada sembilan warga Indonesia dan lima warga Thailand di atas kapal MT Vanda, yang berdaftar di San Lorenzo, Honduras dan MT Mimosa di La Paz, Bolivia. Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Abdul Hadib Abd Wahab, berkata anggota APMM dalam kapal KM Tegas mengesan dua kapal dalam keadaan mencurigakan itu berhimpit antara satu sama lain, pada kedudukan 2.3 batu nautika Tanjung Stapa, kira-kira jam 9.25 pagi. "Pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran atau permit dari Ketua Pengarah Jabatan Laut untuk melaksanakan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal di perairan itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Hadib berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, bekalan minyak itu sedang dipindahkan dari MT Vanda ke MT Mimosa.

"Kapten dan ketua jurutera bersama dokumen kedua-dua kapal dibawa ke ibu pejabat APMM Wilayah Selatan untuk siasatan mengikut Seksyen 491B(1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952," katanya. - BERNAMA

Monday, June 21, 2010

Sentral: Helah kutip derma

Oleh Md Fuzi Abd Lateh

2010/06/22


SEORANG lelaki Arab yang mendakwa dari jemaah tabligh memungut derma di beberapa masjid sekitar Rawang.Sekumpulan lelaki asing jaja nama anak yatim raih simpati jemaah masjid

RAWANG: Sekumpulan lelaki berjubah putih menjadikan beberapa masjid di kawasan ini sebagai ‘lubuk rezeki’ mereka bagi memungut derma dengan mendakwa untuk anak yatim di luar negara.

Tinjauan Sentral di Masjid Nurul Iman dekat sini mendapati kumpulan ini tanpa berasa malu terus meraih simpati orang ramai selepas selesai solat untuk menderma. Ahli jawatankuasa (AJK) masjid itu, Hazimal Atan, 62, berkata perbuatan kumpulan terbabit sebenarnya tidak direstui AJK masjid kerana kutipan itu tidak mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). “Mereka turut meminta supaya kami membuat pengumuman kepada jemaah mengenai kutipan derma dilakukan tetapi kami tidak benarkan kerana ketiadaan surat daripada JAIS.

“Jika JAIS benarkan kami tidak ada masalah tetapi kegiatan mereka memang tiada kelulusan daripada mana-mana jabatan agama Islam,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan dipercayai daripada jemaah tabligh yang berpusat di Bandar Seri Petaling yang mula aktif mengutip derma di kawasan itu sejak dua minggu lalu.

Hazimal berkata, kumpulan itu sanggup menggunakan nama jemaah tabligh untuk mengutip derma dengan mendakwa wang berkenaan akan diserahkan kepada madrasah anak yatim yang berpusat di luar negara seperti Karachi, Pakistan.
Sementara itu, Timbalan Nazir Masjid Nurul Iman, Mad Nor Shahadan, 55, berkata kegiatan mereka sukar dibendung kerana sikap pemurah rakyat negara ini.

Namun, beliau tetap meminta orang awam supaya berhati-hati dan meneliti terlebih dulu latar belakang kumpulan yang mengutip derma berkenaan.

“Kita akan menyokong jika aktiviti mengutip derma ini mendapat kebenaran JAIS, tetapi yang kita bimbang ialah kumpulan yang sengaja menggunakan nama anak yatim semata-mata untuk kepentingan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai cara digunakan oleh kumpulan terbabit yang kononnya baru tiba dari luar negara dan tidak faham bahasa Melayu, tetapi hakikatnya mereka sudah lama di negara ini.

Seorang penduduk, Nasir Hambali, 26, berkata tindakan kumpulan berkenaan perlu dibendung sepenuhnya oleh JAIS demi menjaga maruah rumah kebajikan seperti rumah anak yatim.

Katanya, penduduk perlu berwaspada dengan tindakan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu dengan membuat laporan kepada pihakberwajib dengan segera

Sindiket tipu 111 wanita tumpas

2010/06/22
GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket penipuan internet yang memperdayakan 111 wanita tempatan termasuk seorang warga emas berusia 73 tahun membabitkan kerugian RM1.5 juta, selepas menahan 14 orang termasuk 11 warga Nigeria, Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata sindiket yang dipercayai beroperasi sejak dua tahun lalu, itu turut dianggotai tiga wanita tempatan yang menyamar sebagai pegawai kastam. Katanya, kesemua suspek berusia antara 25 dan 38 tahun itu termasuk seorang pelajar sebuah universiti tempatan, ditahan di beberapa lokasi berasingan di sekitar Bukit Mertajam, Butterworth dan Georgetown di sini. Beliau berkata, susulan penahanan ahli sindiket itu, polis merampas 36 telefon bimbit, komputer riba (enam), pemacu cakera keras (dua), wang tunai RM849 dan sejumlah mata wang asing iaitu Nigeria naira 1,930, AS$1,546 dan euro 1,000.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu menyamar sebagai warga Britain dan menjerat wanita tempatan menggunakan laman sembang di internet dengan berpura-pura bercinta serta ingin mengahwini mereka, selain menawarkan pelaburan lumayan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Tun Hisan menjelaskan, mangsa yang masih bujang, kebanyakannya golongan profesional termasuk guru, peguam dan jurutera terpedaya dengan kata cinta sebelum ditawarkan pelbagai hadiah termasuk wang tunai.

Katanya, sindiket itu kemudian memberitahu mangsa barangan tidak dapat diserahkan dan perlu membayar duti kepada kastam atau mendakwa barangan sudah tiba di lapangan terbang, tetapi ditahan kerana membawa wang melebihi had serta memerlukan wang sebagai jaminan.
“Mangsa kemudian dihubungi ahli sindiket yang menyamar pegawai kastam dan meminta mereka memasukkan bayaran antara RM5,000 hingga RM130,000 ke dalam akaun bank.

“Selepas menerima wang itu, suspek menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi mangsa,” katanya.

Beliau berkata, akaun bank digunakan sindiket itu adalah akaun CIMB bernombor 07330022708-4, 0733-0022691-52-3, 0733-0024037-52-5 dan 07330049081522 serta 1570 5472 2986 (Maybank).

Katanya, siasatan mendapati akaun digunakan milik rakyat tempatan dan sindiket itu dipercayai membayar RM300 untuk menggunakan akaun bank terbabit

Dua cuba seludup petrol nyaris rentung

2010/06/22


ANGGOTA bomba memeriksa kereta dinaiki penyeludup minyak terbakar dalam kejadian di Kampung Gutong, Bunut Susu, semalam.PASIR MAS: Tindakan dua penyeludup melontar tong berisi petrol yang dibakar ke arah Pasukan Gerakan Am (PGA) yang cuba memintas kenderaan, mengundang padah apabila api itu menyambar bahan bakar yang sedang diseludup mereka sebelum kereta dinaiki turut terbakar dan meletup.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang di Kampung Guntung dekat Bunut Susu itu, api pada tong terbabit dipercayai turut menyambar muatan dalam kereta itu menyebabkan dua penyeludup berkenaan terpaksa terjun menyelamatkan diri. Sejurus kemudian, kereta Proton Iswara Aeroback yang dinaiki mereka yang dipercayai membawa kira-kira 30 tong berisi petrol untuk diseludup ke negara jiran, terbabas dan merempuh pagar sebuah rumah penduduk sebelum meletup. Kejadian itu berlaku ketika penyeludup terbabit cuba melarikan diri sejurus menyedari diekori anggota Batalion 9 PGA dari Chabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Deputi Superintendan Mohamad Latiff, mengesahkan menerima laporan berhubung mengenai kejadian itu daripada anggotanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang memburu dua suspek penyeludup terbabit yang melarikan diri dalam kejadian itu apabila terjun sebelum kereta terbabit terbabas dan meletup.

"Kejadian yang berlaku ini menunjukkan penyeludup sanggup melakukan apa saja untuk melarikan diri dan kemungkinan mereka membakar tong minyak tetapi merebak menyebabkan kereta yang dinaiki terbakar.
"Kereta ini sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Kita juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil menghubungi polis," katanya.

Penduduk, Ibrahim Mohamad, 64, berkata kejadian disedari apabila terdengar letupan kuat beberapa kali sejurus kereta berkenaan merempuh pagar rumah adiknya.

"Mujur adik saya tiada di rumah kerana keluar bekerja. Saya yang terdengar letupan itu terus bergegas ke tempat kejadian dan mendapati api semakin marak.

"Saya meminta bantuan adik, Tajuddin, 57, menghubungi bomba kerana bimbang ia merebak ke arah rumah," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.