Tuesday, April 27, 2010

Marin tahan lelaki seludup rokok

KUALA TERENGGANU 27 April 2010 - Pasukan Gerakan Marin Wilayah 3 menahan seorang lelaki dan merampas rokok seludup bernilai RM70,000 termasuk kompaun, dalam serbuan di Pasar Borong Wakaf Mempelam di sini hari ini.

Ketua Bahagian Risik dan Operasi pasukan itu, DSP Mohd. Hassan Hashim berkata, lelaki tempatan, berumur 38 tahun itu merupakan pengedar rokok seludup yang aktif di kawasan berkenaan.

"Lelaki ini pernah ditahan kerana kes yang sama pada 2008 dan dikenakan denda RM30,000," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Hassan berkata, pihaknya telah mengikuti aktiviti lelaki tersebut sejak seminggu lepas sebelum menahannya kira-kira pukul 8.30 pagi ketika lelaki itu mengedar rokok kepada pelanggan di pasar borong itu.

Beliau berkata, sebuah kereta Nissan Sentra 1.6 VTC bernilai RM15,000 yang digunakan lelaki berkenaan juga turut dirampas.

Mohd. Hassan berkata, lelaki tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk tindakan selanjutnya. - BERNAMA

Thursday, April 22, 2010

Pahang rugi RM1 juta akibat pembalakan haram

22/04/2010 5:33pm


TEMERLOH 22 April - Pahang mengalami kerugian kira-kira RM1 juta ekoran aktiviti pembalakan haram dan pencerobohan tanah kerajaan sepanjang tahun lalu.

Pengarah Perhutanan negeri, Datuk Mohd. Paiz Kamaruzaman berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak tiga kes pembalakan haram dan pencerobohan tanah kerajaan didakwa di mahkamah. - Utusan

Wednesday, April 21, 2010

Tiga ditahan curi minyak masak RM600,000

JOHOR BAHRU 21 April - Tiga lelaki termasuk seorang pengawal keselamatan sebuah syarikat ditahan kerana melarikan empat buah kontena berisi 2,038 tong minyak masak dan 98 tong minyak mentah untuk membuat sabun bernilai RM600,000.

Kesemua mereka ditahan selepas dipercayai bertanggungjawab melarikan kesemua barangan itu di sebuah syarikat logistik di Pasir Gudang, dekat sini Isnin lalu.

Dalam dua kejadian pada pukul 1.30 pagi dan 2.45 pagi, dua lelaki bertindak melarikan empat buah kontena tersebut dari syarikat terbabit.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Mohd. Roslan Zainuddin berkata, dua buah kontena itu berisi minyak masak CP8 manakala bakinya minyak mentah.

Katanya, polis yang menjalankan siasatan menemui sebuah treler dengan dua buah kontena kosong di Ulu Tiram serta sebuah lagi treler berserta dua lagi kontena di Taman Molek, pada pukul 12.45 tengah hari pada keesokannya.

"Bertindak atas maklumat, polis telah menahan pemandu treler dan pengawal keselamatan pada Rabu. Kedua-duanya bertugas pada hari kejadian.

"Pada Khamis, kami menahan seorang lagi lelaki di Taman Kota Puteri, Masai pukul 2 petang," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Mohd. Roslan berkata, hasil maklumat, polis menemui semula kesemua minyak masak itu di sebuah gudang pemborong baja kimia di Masai, di sini.

Beliau berkata, kesemua empat kontena itu adalah untuk tujuan eksport.

Tambahnya, siasatan awal ke atas ketiga-tiga suspek mendapati kesemua mereka tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tujuh tahun, denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan," katanya

Monday, April 19, 2010

Peniaga hadapi tujuh tuduhan rasuah

19/04/2010 2:36pm


BUTTERWORTH 19 April 2010 - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tujuh pertuduhan rasuah membabitkan suapan berjumlah RM10,000, dua tahun lepas.

Riduwan Ramli, 48, dituduh melakukan kesalahan itu antara 2 April dan 9 April 2008 di Taman Alma Jaya, Bukit Mertajam sebagai dorongan untuk membantu beberapa individu menyelesaikan kes anak mereka yang ditangkap polis kerana kesalahan mencuri motosikal.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, Riduwan didakwa meminta suapan sebanyak RM1,500, masing-masing daripada empat individu pada pukul 10.30 malam, 2 April 2008.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, dia didakwa menerima suapan sebanyak RM800 setiap seorang daripada dua individu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan ketujuh, Riduwan didakwa menerima suapan sebanyak RM2,400 daripada seorang individu antara pukul 10.45 malam hingga 11.15 malam, 9 April 2008 di tempat yang sama.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dan menetapkan 4 Oktober ini untuk perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Penolong Pendakwa Raya Mohd Nur Lokman Samingan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Sunday, April 18, 2010

2 pengarah Steven's Tea Garden didenda

KUALA LUMPUR 16 April 2010 - "Kamu mungkin boleh pegang jawatan pengarah untuk 10 syarikat tapi kamu jangan jadi pengarah atas nama sahaja. (Jadi pengarah) banyak tanggungjawab, kamu kena tahu Akta Syarikat.

"Kena pastikan minit mesyuarat, bermesyuarat setahun sekali dan audit kewangan. Pengetahuan itu perlu ada, jangan mudah percaya orang lain kalau mereka kata tidak payah buat apa-apa."

Demikian nasihat seorang hakim Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pengarah syarikat perniagaan restoran, Steven's Tea Garden Corp. Sdn. Bhd., Yap Yee Teng, 39, dan Ng Yau Meng, 35, yang mengaku bersalah atas tiga tuduhan di bawah Akta Syarikat 1965.

Hakim Rozana Ali Yusoff yang menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM3,700 bagi setiap tertuduh menegaskan, tanpa sebarang pengetahuan, seseorang pengarah itu tidak akan tahu tugas dan tanggungjawab mereka.

"Menjadi pengarah syarikat adalah satu tugas yang berat dan saya harap hukuman ini akan menjadi pengajaran kepada kamu," katanya.

Yee Teng dan Yau Meng yang didakwa secara berasingan mengaku salah atas ketiga-tiga tuduhan yang dilakukan di pejabat syarikat di alamat No.307, Tingkat 1, Jalan Mahkota, Taman Maluri, Cheras di sini.

Bagi tuduhan pertama, mereka didakwa gagal membentangkan Penyata Untung Rugi syarikat yang pertama dalam mesyuarat agung tahunan dalam tempoh 18 bulan dari tarikh syarikat itu diperbadankan pada 1 April 2008.

Mereka juga didakwa gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan yang pertama dalam tempoh yang sama dan gagal menyerah simpan Penyata Tahunan yang pertama dalam tempoh sebulan dari tarikh mesyuarat itu sepatutnya diadakan.

Bagi tuduhan pertama, mereka didakwa di bawah Seksyen 169(1) Akta Syarikat 1965 manakala bagi tuduhan kedua dan ketiga mereka didakwa mengikut Seksyen 143(1) dan Seksyen 165(4) masing-masing dibaca bersama Seksyen 370 akta tersebut.

Setiap pertuduhan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 171(1), Seksyen 143(4)(a) dan Seksyen 165(7) akta yang sama.

Yee Teng dan Yau Meng masing-masing didenda RM3,000 bagi tuduhan pertama dan denda RM500 serta RM200 bagi dua tuduhan lain.

Terdahulu, Yee Teng ketika merayu hukuman diringankan menyatakan, dia kini tidak bekerja setelah syarikat itu ditutup kerana disita oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

"Disebabkan reputasi tersebut, saya kini sukar mendapat pekerjaan. Saya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini pada masa hadapan," kata duda seorang anak itu sambil menitiskan air mata.

Yau Meng pula memohon jumlah denda dikurangkan kerana dia kini bekerja dengan bapanya dengan gaji RM2,000 sebulan.

Sementara itu, Rozana turut menetapkan 20 Mei ini untuk sebutan semula dua pertuduhan terhadap Steven's Tea Garden setelah Yee Teng yang mewakili syarikat itu mengaku tidak bersalah.

Bagi dua pertuduhan tersebut, syarikat itu didakwa gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan dalam tempoh 18 bulan dari tarikh diperbadankan dan gagal menyerah simpan Penyata Tahunan dalam tempoh sebulan dari tempoh mesyuarat itu sepatutnya diadakan.

Di sebuah lagi Mahkamah Sesyen, kedua-dua mereka menghadapi tiga tuduhan hampir sama bagi sebuah lagi syarikat iaitu Semangat Teknologi Gagah Sdn. Bhd. di alamat yang sama.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Hakim S. M. Komathy Suppiah menetapkan 29 April ini untuk sebutan semula setelah Yee Teng dan Yau Meng selaku pengarah syarikat itu menyatakan mereka akan mengemukakan surat representasi kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pendakwaan dikendalikan oleh dua pegawai pendakwa daripada SSM, Mohamad Azies Han Mohd. Fadzil dan Faizah Ahmad.

Penyamar kastam tipu peniaga

Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my
2010/04/19


SAPINAH menunjukkan tempat rokok dan wang tunai di kedai runcitnya dirampas di Felda Lubuk Merbau, semalam.Mangsa dakwa tiga lelaki pakai jaket gelap rampas pelbagai barang, wang

SIK: Tujuh peniaga kecil di sekitar daerah ini, Padang Terap dan Sungai Petani menjadi mangsa sekumpulan empat lelaki yang menyamar sebagai anggota penguat kuasa Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang merampas pelbagai barangan dan wang tunai membabitkan kerugian ribuan ringgit.

Kumpulan empat lelaki terbabit dipercayai berusia 40-an hingga 50-an memakai pakaian kastam, termasuk mempunyai kad kuasanya dikatakan menyasarkan peniaga runcit di kawasan kampung kerana mudah diperdaya. Mereka dikatakan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria berwarna hitam dan memasuki kedai runcit penduduk kononnya untuk melakukan pemeriksaan dan merampas barangan yang didakwa haram selain meminta wang sebagai balasan tidak dikenakan tindakan undang-undang. Seorang peniaga di Kampung Kura, Sik, Boon Liam, 60, berkata, dia didatangi tiga lelaki berjaket gelap, manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta kira-kira jam 4 petang 11 April lalu yang mendakwa mereka adalah anggota penguat kuasa KDRM.

"Seorang daripada lelaki itu menunjukkan sekeping kad sekali imbas saja dan memperkenalkan diri anggota kastam untuk memeriksa barangan tidak bercukai. Mereka mendakwa saya ada menyimpan minuman keras haram dan merampasnya serta menakut-nakutkan saya mengenai tindakan dan denda yang boleh dikenakan.

"Mereka meminta wang RM600 tetapi saya hanya mampu memberi RM200. Mereka merampas minuman keras bersama wang itu dan pergi begitu saja," katanya ketika ditemui di sini.

Seorang lagi peniaga dari Kampung Sungai Siput, Felda Lubuk Merbau, Sapinah Dahman, 50, berkata, dia didatangi tiga lelaki mendakwa anggota kastam pada pada hari sama yang merampas beberapa karton rokok bersama wang tunai yang semuanya bernilai kira-kira RM2,000.
Sementara itu, Pengarah KDRM Kedah, Saadon Mohd Dros, ketika dihubungi semalam berkata, kastam sentiasa menjalankan operasi intipan dan penguatkuasaan terhadap mereka yang menyimpan, menjual, membekal atau memiliki barangan tidak bercukai tetapi tidak pernah mengenakan bayaran untuk berkompromi dengan pesalah

64 orang ditangkap jual minyak di sempadan

KUALA LUMPUR 15 April 2010 - Seramai 64 orang ditangkap setakat ini kerana melanggar larangan jualan minyak di kawasan sempadan melibatkan nilai RM313,696.57.

Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 18 individu ditahan di Perlis, 38 di Kedah dan lapan lagi di Kelantan.

"Pecahan ialah 62,700 liter diesel dengan nilai RM205,518.30 dan 27,875.04 liter petrol dengan nilai RM108,178.27 telah disita daripada jumlah tangkapan ini," katanya ketika menjawab soalan Datuk Abu Bakar Taib (BN-Langkawi) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Abu Bakar bertanyakan mengenai kes penyeludupan minyak bersubsidi ke negara jiran serta jumlah tangkapan yang dilakukan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Kerajaan telah menguatkuasakan peraturan dengan mengehadkan penjualan petrol dan diesel hanya 20 liter kepada kenderaan asing di stesen minyak dalam radius 50 kilometer dari sempadan sejak 16 Disember 2009.

Menurut Ismail Sabri, berdasarkan peraturan tersebut, kini terdapat penurunan kira-kira 25 peratus daripada jumlah kenderaan asing yang masuk ke negara ini bertujuan mengisi minyak di sempadan negara.

Beliau berkata, kementerian memang menyedari aktiviti penyeludupan minyak ke negara jiran berlaku di sempadan negara kerana perbezaan harga di kalangan negara ASEAN.

"Justeru, beberapa tindakan telah diambil kementerian antaranya dengan meningkatkan penguatkuasaan di sempadan melalui penempatan pegawai di beberapa Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ)," katanya.

Tambahnya, tempat-tempat berkenaan termasuk Bukit Bunga, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur di Kelantan, Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung di Kedah, Gerik di Perak serta Kuala Perlis, Wang Kelian dan Padang Besar di Perlis.

Dalam pada itu, beliau berkata, pegawainya turut ditempatkan di Pusat CIQ Johor Bharu dan Tebedu, Sarawak bagi memantau aktiviti tersebut di sempadan Malaysia-Singapura serta Malaysia-Indonesia.

"Kementerian juga mengambil tindakan undang-undang mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan kuasa lebih berkesan dari segi penguatkuasaan di kawasan sempadan termasuk kuasa memberhentikan kenderaan dan memeriksa kapal," katanya.

Mengenai sama ada subsidi petrol kepada nelayan akan dimansuhkan, Ismail Sabri berkata, perkara itu belum diputuskan kerana kajian terhadap isu berkenaan masih dijalankan.

Friday, April 9, 2010

Perunding kena 3 tahun, sebatan kes wang haram

Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my
2010/04/10
Mengaku salah pecah amanah RM3 juta, guna dokumen palsu

KUALA LUMPUR: Seorang perunding bebas dihukum penjara tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas menukar pengakuannya kepada bersalah atas dua tuduhan pecah amanah RM3 juta, menggunakan dokumen palsu dan 11 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 juta, dua tahun lalu.

Hakim Rozana Ali Yusoff menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan bagi setiap tuduhan pecah amanah; penjara setahun untuk kesalahan menggunakan dokumen palsu serta bagi setiap 11 tuduhan pengubahan wang haram terhadap Md Sukor Razali, 45. Rozana memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan secara serentak, bermula semalam.

Bagi dua tuduhan pecah amanah, Md Sukor sebagai perunding bebas Syarikat Oberthur Card Syatems (M) Sdn Bhd dituduh melakukan pecah amanah tujuh cek Maybank Berhad dan dua cek Public Bank Berhad berjumlah RM3,025,299.84.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Al Rajhi Bank Cawangan Utama, Wisma Selangor Dredging, Jalan Ampang di sini, antara 7 dan 24 Mac 2008 serta antara 27 dan 28 Mac 2008.

Md Sukor juga menghadapi tuduhan menggunakan dokumen palsu untuk membuka akaun semasa syarikat itu di tempat sama, 26 Februari 2008.

Tertuduh turut menghadapi 11 tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM2,282,017.64 di tempat sama, antara 13 Mac dan 27 Mei 2008.

Terdahulu, peguam Azman Zakaria yang mewakili tertuduh, merayu agar hukuman dikurangkan kerana anak guam sudah berusia 45 tahun dan mempunyai tanggungan empat anak yang masih bersekolah, berusia antara lapan hingga 16 tahun, manakala isterinya tidak bekerja.

Katanya, tertuduh sudah menyesali perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu

Dua pengarah syarikat diarah bayar RM848 juta

09/04/2010 6:33pm

SHAH ALAM 9 April 2010 - Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini hari ini memerintahkan dua pengarah syarikat membayar ganti rugi sebanyak RM848 juta kepada sebuah syarikat pengeluar kayu yang kehilangan projek bekalan mentah pokok akasia berikutan penipuan dan konspirasi yang dilakukan oleh kedua-dua mereka.

Hakim Datuk Zaleha Yusuf memerintahkan demikian terhadap defendan-defendan, Hamid Man dan Abu Bakar Rahmat selepas beliau membenarkan tuntutan Kaohsiung Timber Products Sdn. Bhd. melalui saman dalam kamar yang difailkan oleh plaintif.

Kaohsiung Timber Products menyaman kedua-dua mereka bagi menuntut ganti rugi kerana mereka didakwa telah mempengaruhi Jabatan Perhutanan Pahang dengan menggunakan maklumat palsu dan berunsur fitnah. - Utusan

Wednesday, April 7, 2010

Melaka & Negeri Sembilan: Pencuri pasir rakus

Oleh Mohd Amin Jalil
bhnews@bharian.com.my
2010/04/08
Pihak terbabit terus korek tebing sungai walaupun pernah didenda

NILAI: Penduduk Kampung Jijan dekat sini, semakin hilang sabar apabila kegiatan mencuri pasir di Sungai Jijan di kampung itu terus berleluasa walaupun tindakan menghalang pihak terbabit dilakukan, termasuk oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Kegiatan dipercayai berlarutan sejak lebih tiga bulan lalu bukan saja boleh mencemarkan sungai itu, malah mengundang bahaya kepada penduduk terutama yang tinggal berhampiran tebing sungai. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jijan, Sukor Jemaun, 43, berkata penduduk bimbang berikutan kegiatan mencuri pasir semakin rakus kerana tidak menghiraukan keselamatan penduduk di situ.

Katanya, terdapat tiga lokasi kerja pengorekan pasir di sungai itu iaitu di hulu, tengah dan hilir sungai.

"Kami beberapa kali menyuarakan bantahan kepada pihak terbabit, malah saya dimaklumkan PTG ada mengambil tindakan dengan mengenakan kompaun RM10,000 terhadap pihak terbabit, tetapi mereka masih meneruskan kegiatan itu.

"Penduduk kampung yang tinggal berhampiran tebing sungai pula semakin bimbang dengan keselamatan mereka kerana kerja pengorekan pasir menyebabkan sungai semakin lebar, selain kegiatan itu turut menjadi punca runtuhan di tebing sungai," katanya.

Sukor berkata, jalan kampung menjadi rosak kerana kenderaan berat seperti lori pasir berulang alik memasuki kampung itu.

Katanya, tindakan pihak berkenaan meneruskan kegiatan mengambil pasir itu seolah mencabar arahan pihak berkuasa yang meminta mereka menghentikan kegiatan itu.

"Tindakan pihak yang mencuri pasir ini perlu dihentikan segera kerana ia bukan saja menjejaskan keselamatan penduduk, malah menjejaskan imej kampung ini," katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan lebih tegas seperti merampas peralatan digunakan untuk mengelak kegiatan itu terus berleluasa.

Seorang penduduk, Osman Said, 42, berkata penduduk kampung kini bimbang dengan keselamatan mereka kerana kerja pengorekan pasir itu menyebabkan runtuhan tebing sungai, manakala kegiatan penternakan lembu yang dijalankan penduduk di tebing itu juga turut terjejas.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa JKKK kampung itu berkata, pihaknya hairan syarikat yang dipercayai beralamat di Johor itu dilihat kebal daripada undang-undang kerana langsung tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa supaya memberhentikan kegiatan pengorekan pasir secara haram itu.

Dia berharap pihak berkuasa dapat membantu mengambil tindakan sewajarnya supaya aktiviti mencuri pasir itu dihentikan serta merta demi kepentingan dan keselamatan penduduk kampung.

"Kami menjadi keliru kerana syarikat berkenaan terus menjalankan aktiviti itu seolah-olah mereka kebal daripada undang-undang walaupun pernah diberikan amaran dan dikenakan kompaun," katanya.

Sementara itu, jurucakap PTG daerah, ketika dihubungi berkata pihaknya membuat pemantauan terhadap kegiatan itu dan sedang meneliti tindakan sewajarnya terhadap pihak terbabit.

Beliau memberi jaminan siasatan masih dijalankan dan tindakan sewajarnya terhadap pihak terbabit akan diambil dalam tempoh terdekat.

Tuesday, April 6, 2010

Wanita disyaki jual besi curi ditahan

RANAU 6 April 2010 - Seorang wanita berusia 38 tahun ditahan polis kerana disyaki terlibat membeli dan menjual besi curi bernilai RM200,000 di sebuah kedai barangan terpakai di sini semalam.

Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Suhaimi Hashim berkata, polis percaya besi yang dijual itu dicuri dari tapak pembinaan di persimpangan Narambai pada Jumaat lalu.

"Polis sedang memburu suami wanita berkenaan berusia lingkungan 40-an yang kini dipercayai berada di Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Suhaimi berkata, maklumat daripada suami wanita berkenaan penting bagi membantu polis mengesan suspek yang mencuri besi dari tapak pembinaan itu.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai mengunakan sebuah van untuk mengangkat besi-besi berkenaan, sebelum dijual kepada suami wanita berkenaan.

Beliau menambah, pasangan itu akan disiasat di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana membeli barang curi.

Sementara itu, Suhaimi menasihatkan peniaga di sini supaya berhati-hati ketika membeli barangan terpakai kerana dikhuatiri barang curi.

"Memiliki barangan curi merupakan satu kesalahan dan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mereka yang memiliki dan menyimpan barangan berkenaan," katanya.

Sunday, April 4, 2010

Pengarah syarikat dipenjara enam tahun, tiga sebatan

2010/04/05
KUALA LUMPUR: Pengarah syarikat di penjara enam tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas tuduhan menipu Bangkok Bank untuk mendapatkan cek bernilai RM4.6 juta dan 50 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM3.6 juta lima tahun lalu.

Tembakau disorok di bahagian enjin kereta

Mohd. Noor Idris (dua kiri) bersama Komander UPP Bukit Kayu Hitam, Mohd. Zunaidi Abdullah (kiri) melihat tembakau kering dalam bonet hadapan bahagian enjin kereta yang ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUBANG PASU 4 April 2010 - Helah seorang lelaki untuk menyeludup sejumlah tembakau dengan menyorokkan barangan itu di bahagian enjin kereta tidak berhasil apabila berjaya dikesan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah.

Akibatnya lelaki berusia 51 tahun itu ditahan pasukan tersebut pada pukul 11.20 pagi di Kilometer 4.6 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran pekan Changlun di sini hari ini.

Komander UPP negeri, Mohd. Noor Idris berkata, hasil pemeriksaan menemui bungkusan tembakau di bahagian enjin kereta jenis Mercedes-Benz itu selain beberapa bahagian lain di kereta terbabit.

Katanya, empat bungkus tembakau ditemui di bahagian enjin serta masing-masing dua bungkus di bawah tempat duduk penumpang belakang dan tempat menyimpan tayar di belakang kereta.

"Kesemua lapan bungkus tembakau seberat kira-kira 40 kilogram tersebut dianggarkan bernilai RM2,000 termasuk cukai yang cuba dielakkan.

"Ia dipercayai cuba dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran sekitar negeri ini yang boleh dijual pada harga lebih tinggi," katanya di pejabat UPP Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Mohd. Noor berkata, ketika ditahan, lelaki rakyat tempatan itu cuba melepaskan diri daripada pemeriksaan dengan mendakwa merupakan seorang anggota keselamatan.

Katanya, siasatan awal percaya suspek yang pernah mempunyai kes kerana menyeludup cakera padat video (VCD) tahun lalu meminjam kereta berkenaan bagi memudahkan kegiatannya.

"Kami percaya suspek telah diupah untuk menyeludup tembakau itu ke negara ini," katanya.

Mohd. Noor memberitahu, lelaki itu kini ditahan di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu mengangkut barang larangan tanpa permit.

Sabit kesalahan, katanya, dia boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Nipah selindung pembalakan haram

Pasukan Gerakan Marin melakukan tinjauan di laluan yang digunakan untuk aktiviti pembalakan haram yang masih baru di Sarikei, baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------

PEMBALAKAN haram sering dikaitkan dengan aktiviti menebang pokok di kawasan tanah rizab kerajaan terutama di kawasan bukit bukau yang banyak terdapat kayu berkualiti tinggi.

Di Sarawak, keadaan sedikit berbeza apabila tanah kerajaan yang terletak berhampiran sungai turut menjadi tumpuan pembalak-pembalak haram mencuri harta kerajaan yang bernilai jutaan ringgit itu.

Mereka memanipulasi lokasi sungai yang terletak jauh di pedalaman serta keadaan persekitarannya yang merimbun dengan tumbuh-tumbuhan untuk 'menyorok' kegiatan itu daripada dikesan pihak berkuasa.

Terbaru, kegiatan mencuri balak dengan menjadikan pokok nipah sebagai alat untuk mengaburi kegiatan haram mereka berjaya dibongkar Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 5 di bahagian Sarikei.

Denda jualan langsung haram RM5 juta?

BERA 4 April - Pihak yang menjalankan aktiviti jualan langsung secara haram bakal dikenakan denda lebih berat sehingga RM5 juta apabila Akta Jualan Langsung 1967 dipinda tidak lama lagi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan pindaan tersebut mendapat kelulusan Peguam Negara untuk dibentangkan kepada Kabinet minggu depan.

"Selepas mendapat kelulusan Kabinet, kita akan bentang di Parlimen pada sesi pembentangan kali ini," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah-mesra bersama 200 ahli jawatankuasa Persatuan Gabungan Wanita Felda Parlimen Bera di Pejabat UMNO Bahagian Bera di sini hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan, menerusi pindaan akta itu, individu yang terbabit dengan kegiatan jualan langsung secara haram seperti gores dan menang, skim piramid dan perniagaan bertingkat (MLM) boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta.

Menurut beliau, bagi syarikat yang didapati bersalah kerana terbabit dengan kegiatan seumpama itu, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta.

Katanya, akta jualan langsung sedia ada memperuntukkan hukuman denda lebih ringan iaitu RM250,000 kepada pesalah individu manakala syarikat dikenakan denda RM500,000.

Pindaan itu juga jelas beliau, bertujuan memberi definisi yang lebih tepat kepada aktiviti jualan langsung yang meliputi MLM dan skim piramid.

"Pada masa ini, definisi jualan langsung terlalu kabur. Ia tidak menjelaskan perbezaan antara skim piramid dengan MLM," katanya.

Setakat ini, Ismail Sabri berkata, kegiatan penipuan dalam jualan langsung dianggap tidak terlalu serius tetapi ia terus berlaku terutama membabitkan suri rumah dan golongan miskin di luar bandar.

"Pindaan ini bertujuan melindungi pengguna daripada terus menjadi mangsa pihak yang cuba mengaut keuntungan besar menerusi penipuan," tegasnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, kerajaan tidak pernah mengeluarkan lesen peraduan gores dan menang kepada mana-mana peniaga.

"Oleh itu, orang ramai yang didatangi pihak yang menawarkan peraduan gores dan menang diminta melaporkan kegiatan itu kepada pihak berkuasa," katanya.

Menurut beliau, pihaknya dengan kerjasama polis dan Kementerian Kewangan telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani kegiatan jualan langsung secara gores dan menang tersebut.

Orang ramai boleh terus menghubungi talian hotline 1-300-888-25 untuk melaporkan kegiatan jualan langsung haram kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Friday, April 2, 2010

Empat lelaki curi besi ditahan

JEMPOL 2 April 2010 - Empat lelaki ditahan ketika sedang mencuri penghadang jambatan di Sungai Jelai di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supritendan Mohd. Sabri Mohamad berkata, mereka ditahan kira-kira pukul 1.40 pagi.

"Kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 32 itu ditahan oleh pihak polis dalam keadaan mencurigakan di Jambatan Batu Felcra, Sungai Raya Jelai.

"Hasil pemeriksaan kami turut menemui tong gas, sulur getah dan pemotong besi yang di percayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan," katanya ketika pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Sabri juga memberitahu, setakat ini tiada sebarang rekod jenayah melibatkan kesemua suspek berkenaan.

Tambah beliau, kesemua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Jempol (IPD) untuk disoal siasat.

Katanya, kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri.

Thursday, April 1, 2010

Menteri beri keterangan rasuah

Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my
2010/04/02
Ahli politik bantu siasatan kes ubah wang haram bekas Setiausaha Politik

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil keterangan daripada seorang menteri Selasa lalu bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Setiausaha Politiknya.

Pengarah Siasatan SPRM, Mustafar Ali, ketika mengesahkan perkara itu berkata, keterangan menteri berkenaan diambil di pejabatnya di sini selama kira-kira dua jam bermula 3.30 petang. “Siasatan kes itu masih dijalankan dan kita berharap ia akan dapat diselesaikan segera,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Pada 11 Februari lalu, seorang Setiausaha Politik menteri Kabinet ditahan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram. Beliau ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.
Lelaki yang dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM50,000 pada 14 Februari lalu didakwa memiliki sejumlah besar aset yang tidak diisytiharkan perolehannya, termasuk kereta mewah serta beberapa rumah.

Dalam perkembangan lain, Mustafar berkata, seramai 144 orang ditangkap sejak Januari hingga kelmarin berhubung pelbagai kes rasuah termasuk membabitkan dua ahli politik.
Daripada jumlah itu, katanya, 65 adalah kakitangan kerajaan peringkat sokongan, manakala 11 pengurusan dan profesional, 54 orang awam dan 12 kakitangan swasta.

Katanya, jumlah itu adalah peningkatan 25 orang berbanding 119 tangkapan yang dilakukan dalam tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, dalam tempoh sama juga, sebanyak 46 kes sudah dihadapkan ke mahkamah dengan pelbagai pertuduhan rasuah.

Mengulas mengenai 10 penguat kuasa dari tiga agensi kerajaan yang ditahan SPRM di Terengganu pada Selasa lalu, beliau berkata, kertas siasatan kes berkenaan akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwaraya minggu depan.

Beliau berkata, semua mereka yang berusia antara 32 tahun hingga 55 tahun itu sudah dibebaskan pada hari yang sama dengan jaminan SPRM sebanyak RM3,000 selepas keterangan diambil.

Katanya, mereka yang terdiri daripada kakitangan kerajaan kumpulan sokongan didakwa mendapatkan rasuah untuk memberi perlindungan kepada sebuah syarikat menjual keluli antara RM500 hingga RM5,000 supaya tiada tindakan dikenakan terhadap syarikat itu.

Beliau berkata, tujuh daripada mereka ditahan di pejabat SPRM di Kemaman, Terengganu manakala tiga lagi ditahan di Kuala Terengganu antara jam 11 pagi hingga 1.30 petang

Bekas Eksekutif Bank Negara diperintah bela diri tuduhan rasuah

2010/04/01
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang bekas eksekutif Bank Negara membela diri berhubung lima pertuduhan rasuah berjumlah RM26,985.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mahathir Shahabudin, 54, daripada Unit Pembersihan, Jabatan Harta dan Perkhidmatan.

Mohamad Sakeri berkata beberapa saksi telah mengesahkan bahawa mereka telah memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun Mahathir setelah dimintanya. "Saksi pertama (Anuar Paharudin) memberi keterangan bahawa dia telah mendapat tender pada 2005 dan tertuduh telah meminta 10 peratus daripada nilai kontrak bagi setiap bulan.

"Saksi pertama juga berkata dia telah menerima SMS bahawa tertuduh memerlukan RM800 dan dia telah memasukkan duit itu ke dalam akaunnya.

"Saksi kelapan (M Azhar Ibrahim) berkata dia telah membuat pembayaran menggunakan dua keping cek kepada Mahathir kerana tertuduh telah memberitahunya jika tidak, pembayaran kontrak dari Bank Negara akan ditahan," katanya.

Mahathir didakwa melakukan kesalahan itu berhubung pemberian kontrak kepada dua syarikat yang terlibat dalam pembersihan sampah dan mencuci permaidani di bank pusat berkenaan.

Bagi kesalahan pertama dia didakwa menerima rasuah RM300 melalui akaun simpanannya daripada pengarah Syarikat First Choices Services, Anuar Paharudin, sebagai upah mengekalkan kerja kontrak pelupusan sampah yang dilakukan oleh syarikat itu untuk Bank Negara.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 1, Menara Maybank, Jalan Tun Perak pada jam 2.06 petang 18 November 2005.

Mahathir juga didakwa menerima RM300 melalui akaunnya daripada Anuar pada 4.47 petang di tempat yang sama pada 2 Disember tahun yang sama.

Untuk pertuduhan ketiga, Mahathir di lokasi yang sama didakwa menerima imbuhan RM800 lagi daripada Anuar bagi tujuan yang sama kira-kira 1 petang, 20 Oktober 2005.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima di tempat yang sama, Mahathir menerima dua keping cek masing-masing bernilai RM8,575 dan RM17,010 pada 30 Disember 1995 dan 16 Februari 2006 daripada pengarah Syarikat Indramuz Sdn Bhd, M Azhar Ibrahim.

Dia didakwa menerima suapan itu sebagai upah untuk memanggil syarikat berkenaan menjalankan kerja-kerja pencucian permaidani di bank berkenaan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 2008, pihak pendakwaan telah memanggil 12 orang saksi.

Mohamad Sakeri menetapkan 8 dan 12 April untuk sambung bicara.

Mahathir diwakili oleh peguam Vasudevan Appu manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah menjalankan pendakwaan. - Bernama