Sunday, February 28, 2010

PGM Sabah rampas 5,800 karton rokok

Aris menunjukkan sebahagian bungkusan rokok yang berjaya dirampas dalam dua serbuan berasingan di Putatan, Kota Kinabalu, semalam. - utusan/Junaidi Ladjana.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA KINABALU 28 Feb 2010 - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Sabah merampas sebanyak 5,800 karton rokok seludup bernilai kira-kira RM33,000 dalam dua serbuan di Putatan dekat sini kelmarin.

Komander PGM Kota Kinabalu, Asisten Supritendan Mohd. Aris Jambul berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita dua buah kenderaan yang digunakan untuk membawa rokok berkenaan.

"Serbuan pertama dilakukan di pesisir pantai Pulau Gaya di mana pihak kami telah menemui satu tempat persembunyian atau 'transit' rokok-rokok tersebut sebelum diedarkan kepada pembeli.

"Serbuan kedua pula dilakukan pada pukul 11 malam terhadap dua buah kenderaan yang diletakkan berhampiran Sungai Putatan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, dalam serbuan pertama itu, pihaknya merampas 2,800 karton rokok seludup jenis 'Premium' manakala 3,000 bungkus rokok jenis yang sama dirampas dalam serbuan kedua.

Katanya, tiada tangkapan dibuat dalam serbuan pertama tetapi dalam serbuan kedua, seorang suspek bertindak terjun ke dalam laut untuk melarikan diri," katanya.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati, rokok berkenaan dipercayai diseludup untuk dipasarkan di sekitar bandar raya ini. Dalam pada itu, Mohd. Aris meminta kerjasama orang ramai memberikan maklumat kepada pihak polis mengenai kegiatan jenayah di negeri ini.

Katanya, polis akan melindungi identiti pemberi maklumat dan melakukan siasatan segera terhadap sebarang laporan yang diterima.

"Tanpa sokongan dan kerjasama daripada orang ramai, pihak kami mungkin mengalami sedikit kesukaran bagi membendung jenayah maritim terutamanya penyeludupan dan pengeboman ikan," ujarnya.

Thursday, February 25, 2010

Cubaan seludup 6 pati di Pengerang gagal

JOHOR BAHRU 25 Feb 2010 - Seramai enam pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia yang cuba menyeludup masuk ke negara ini ditahan di pesisir pantai muara Sungai Santi, Pengerang, Kota Tinggi, awal pagi ini.

Kesemua mereka yang berusia antara 17 dan 62 tahun termasuk seorang tekong, ditahan oleh Pasukan Gerakan Marin (PGM) dalam Ops Octopus kira-kira pukul 5 pagi.

Turut dirampas sebuah enjin sangkut dengan 60 kuasa kuda jenis Yamaha dan sebuah bot gentian kaca.

Komander Markas PGM Wilayah 2, Asisten Komisioner Mohd. Khamsani Abd. Rahman berkata, semasa rondaan, pihaknya mengesan bot itu dalam keadaan mencurigakan di perairan Pengerang.

"Sebaik sahaja dihampiri, bot tersebut tiba-tiba memecut laju ke arah pantai. Bagaimanapun mereka dapat ditahan.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mohd. Khamsani berkata, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Pengerang dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1953/1967 kerana tiada dokumen perjalanan sah selain memasuki atau keluar dari Malaysia melalui pangkalan yang tidak diwartakan.

Sementara itu, katanya, PGM Wilayah 2 menahan seramai 83 warga asing mengikut Akta Imigresen 1953/1967 sepanjang dua bulan pertama tahun ini.

Warga asing ditahan palsu 2,000 dokumen (25/2/10)

ALOR SETAR: Sepasang suami isteri warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen selepas dikesan menjadi dalang kepada sindiket pemalsuan lebih 2,000 dokumen perjalanan, termasuk dokumen rasmi kerajaan sejak setahun lalu, di Subang Jaya, Selangor, tengah malam kelmarin.

Penahanan suami isteri dari Aceh berusia antara 30 dan 40-an itu dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah malam, selepas tertangkapnya dua warga Indonesia dipercayai bertindak sebagai orang tengah kepada sindiket itu di Sungai Petani dan Seberang Jaya, Pulau Pinang, Isnin lalu.

Difahamkan, pasangan itu memperoleh pendapatan lumayan dengan memalsukan pelbagai dokumen kerajaan termasuk Mykad, I-Kad, pelekat Pas Kerja Lawatan Sementara (PKLS), My-Pr, lesen memandu dan Pasport Indonesia yang dipercayai dijual kepada pendatang tanpa izin pada harga RM200 hingga RM300 setiap satu.

Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Mohd Zulfikar Ahmad, berkata penahanan orang tengah termasuk seorang wanita warga Aceh itu membongkar kegiatan dilakukan pasangan berkenaan.
Beliau berkata, pasangan yang mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun itu ditahan pegawai Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kedah dibantu anggota dari Putrajaya di sebuah rumah flet di Subang Jaya, Selangor.

“Ketika serbuan, rumah berkenaan berkunci dan peluang ini dipercayai digunakan pasangan berkenaan untuk menyorok pelbagai peralatan memproses dokumen palsu itu.

“Kita percaya mereka menjalankan kegiatan berkenaan sejak setahun lalu dengan memproses sekurang-kurangnya lima dokumen sehari dan mensasarkan pendatang tanpa izin sebagai pelanggan.

“Setiap dokumen palsu dijual kepada orang tengah dengan harga RM200 hingga RM300 sebelum dijual kepada pelanggan dengan harga lebih tinggi mencecah RM600 senaskhah,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, Imigresen merampas enam Pasport Indonesia kosong, masing-masing tujuh Pasport Indonesia berindentiti, I-Kad, Pelekat PKLS serta 16 cop pelbagai jenis agensi kerajaan, kad putih tidak bercip (382), kad bercip (empat) dan kertas pelekat PLKS (85).

Kes di siasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959 (pindaan 2002) kerana memalsukan atau meminda bagi pengendosan atau dokumen dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM30,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun.

atau kedua-duanya sekali.

Katanya, selain itu, pihaknya turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dokumen palsu itu termasuk seunit komputer dan komputer riba serta lima gulung plastik filem.

"Pasangan itu dipercayai menyorokkan semua bahan kes dan peralatan memproses di rumah itu termasuk dalam tong sampah, bilik air, tangki air selain diletakkan dalam peralatan elektrik termasuk mesin basuh dan peti sejuk.

"Malah, kita percaya pasangan berkenaan juga dipercayai menggunakan dokumen pengenalan diri dan pasport palsu," katanya.

Beliau berkata, Seksyen 55D Akta Imigresen 1959 (pindaan 2002) kerana memalsukan atau meminda bagi pengendosan atau dokumen dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM30,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Pasangan itu ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik" katanya.

Wednesday, February 24, 2010

Janda guna pikap seludup minyak (24/2/10)

RANTAU PANJANG: Seorang janda dari Sungai Golok, Thailand, meraih keuntungan RM1,200 sehari sejak dua tahun lalu, hasil kegiatan menyeludup 600 liter petrol dari Malaysia dengan menggunakan sebuah pikap yang diubah suai tangkinya.

Kegiatannya dibongkar Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi pemeriksaan ketika melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (KIK) di sini jam 7.30 malam kelmarin, apabila semakan mendapati ia keluar masuk negara ini setiap hari.

Namun wanita berusia 40-an itu terlepas daripada tindakan undang-undang negara ini, walaupun memiliki dan berada dalam pikap terbabit, kerana kenderaan itu dipandu seorang lelaki berusia 20-an yang diupah pada kadar 30 sen seliter.

Selain pikap Toyota Hilux Vigo milik wanita terbabit, sebuah lagi kereta jenis Honda Civic yang dipandu seorang lelaki turut ditahan selepas dikesan mengubah suai tangki bagi menyeludup 90 liter petrol.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintendan Kamarudin Yusoff, berkata secara keseluruhannya nilai petrol yang dirampas menerusi dua tangkapan itu kira-kira RM700.

“Mereka berulang alik ke beberapa stesen minyak sekitar Pasir Mas, bagi memenuhkan tangki sebelum kembali ke negara asal dan menjualnya pada harga RM3.80 seliter, berbanding harga belian di sini RM1.80 seliter.

“Kenderaan milik wanita terbabit pernah ditahan Disember lalu. Pemantauan mendapati dia memang masuk ke sini untuk mengisi minyak dengan banyak bagi diseludup,” katanya.

Kamarudin berkata, dua kenderaan itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

SSM serbu dua syarikat skim pelaburan haram

KUALA LUMPUR 24 Feb 2010 - Dua syarikat yang disyaki menawarkan skim kepentingan yang tidak didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kepada orang ramai, diserbu SSM di sini semalam.

SSM dalam kenyataan hari ini berkata, melalui siasatan yang dilakukan, syarikat berkenaan iaitu Hadhari Cattle Industry Sdn. Bhd. dan Hadhari Agro Holding Sdn. Bhd. dipercayai mempengaruhi orang awam untuk melabur di dalam satu skim yang dikenali sebagai 'Projek Pembangunan Usahawan'.

"Menurut aduan yang diterima SSM, para pelabur yang telah melabur dalam skim tersebut tidak menerima pulangan yang dijanjikan oleh pihak pengurusan syarikat.

"Ia juga mungkin merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 366 (3) Akta Syarikat 1965 yang melarang sesiapa yang merupakan pegawai atau agen syarikat yang memperoleh apa-apa wang sama ada untuk syarikat, diri sendiri atau orang lain secara menipu atau berjanji palsu dengan niat untuk memperdaya," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, penganjur skim tersebut boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM30,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

"SSM akan mengambil segala langkah untuk membanteras penawaran skim termasuk tindakan penguatkuasaan ke atas penganjur skim tersebut," menurut kenyataan itu lagi.

"Orang ramai diminta menghubungi Seksyen Aduan SSM di talian 03-22995477/ 5450/5451 sekiranya mempunyai maklumat mengenai skim-skim penipuan yang lain," menurut kenyataan itu. — BERNAMA

Kementerian rampas diesel (24/2/10)

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KDPNKK) Putrajaya merampas 7,140 liter diesel subsidi bernilai RM49,652 dalam serbuan di sebuah gudang di Kota Kemuning, Shah Alam dekat sini, kelmarin.

Difahamkan, tiga lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun turut ditahan dalam serbuan jam 4 petang itu hasil maklumat risikan dan intipan selama dua minggu.

Sumber Unit Kawalan Bahan Petroleum dan Tugas-Tugas Khas KPDNKK memberitahu, siasatan awal mendapati gudang terbabit dijadikan lokasi pengumpulan dan simpanan sementara diesel sebelum diagihkan untuk dijual kepada orang ramai.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat sembilan tangki mengandungi 4,940 liter diesel yang dibina khas untuk menyimpan minyak berkenaan.

Bekalan minyak: Penyeludup dua kerakyatan salah guna MyKad

24/02/2010 6:46pm


RANTAU PANJANG 24 Feb. – Memiliki dua kerakyatan dengan dua kad pengenalan menjadi sumber rezeki kepada penyeludup petrol dan diesel untuk mengisi minyak tanpa had di Malaysia dan menjualnya di negara jiran kerana harganya yang lebih tinggi.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9, Supt. Kamaruddin Yusof yang mendedahkan perkara itu berkata, dalam beberapa kes, pihaknya mendapati penyeludup semakin kerap menggunakan taktik itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan pemilik stesen minyak untuk pengisian kenderaan mereka.

"Ini kerana kerajaan mengehadkan pembelian petrol atau diesel hanya 20 liter kepada kenderaan asing tetapi bukan rakyat negara ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kamaruddin berkata, penyeludup itu juga mempunyai buku catatan sendiri untuk merekod jumlah isian minyak sebagai maklumat berapa nilai isian minyak serta keuntungan yang diperolehi. – Bernama

Polis tumpas kumpulan curi jongkong timah di Pelabuhan Johor

24/02/2010 3:42pm

JOHOR BAHRU 24 Feb 2010 – Polis menumpaskan satu kumpulan pencuri jongkong timah bernilai RM1.3 juta dari sebuah gudang simpanan di Pelabuhan Johor, di Pasir Gudang berikutan penahanan enam lelaki di sekitar kawasan berkenaan, di sini, awal bulan ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kesemua mereka ditahan pada 6 Februari lepas ekoran penahanan seorang daripada mereka oleh anggota polis Pelabuhan Johor, pada kira-kira pukul 7 malam sebelum lima yang lain ditahan di kawasan Taman Kota Masai serta Pasir Gudang.

"Sepasukan anggota polis Pelabuhan Johor menahan sebuah lori treler jenis Mitsubishi yang dipandu oleh seorang lelaki yang membawa muatan 850 jongkong logam itu.

"Siasatan lanjut mendapati jongkong tersebut dicuri dari sebuah gudang simpanan kepunyaan Syarikat Pacoroni Toll Pte. Ltd., Singapura, yang melibatkan kerugian RM1.3 juta,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, kesemua lelaki berumur 25 hingga 30 tahun itu direman mulai 7 hingga 17 Februari lepas dengan semakan rekod mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah rogol di Plentong, di sini, dan mencuri kenderaan di Ampang, Selangor. – Bernama

Tuesday, February 23, 2010

Polis tahan lelaki kudung palsukan pasport Indonesia

24/02/2010 11:45am


KUALA LUMPUR 24 Feb 2010 – Polis membongkar satu kegiatan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan dan kad pekerja warga Indonesia serta menahan seorang lelaki dalam serbuan di premis rumah kedai di Jalan Mewah 4, Ampang Mewah di sini malam tadi.

Dalam serbuan hasil maklumat orang ramai kira-kira pukul 10 malam itu, lelaki warga Indonesia yang kudung tangan kiri itu ditahan di sebuah rumah sewa di tingkat empat bangunan tersebut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hassan berkata, sindiket yang dipercayai terbesar di Lembah Klang itu telah beroperasi sejak setahun lepas dengan mengenakan caj yang murah.

"Hasil maklumat orang awam, kita menyerbu rumah berkenaan setelah membuat pemantauan selama empat jam sebelum menahan lelaki berusia 40-an tersebut dalam rumah berkenaan.

"Siasatan awal terhadap lelaki itu mendapati sindiket tersebut mengenakan bayaran sebanyak RM150 bagi setiap pasport dan RM25 untuk satu kad pekerja palsu,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini malam tadi.

Abdul Jalil berkata, siasatan awal juga mendapati sindiket itu mengeluarkan kira-kira empat atau lima pasport setiap hari dan dianggarkan sebanyak 1,500 pasport termasuk kad pekerja berjaya dipalsukan dan diperbaharui oleh sindiket itu. – Bernama

Rahsia bengkel akhirnya terbongkar

Junaidi Mohamed melihat lapan buah motosikal curi yang ditemui setelah polis berjaya menahan dua mekanik di Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PETALING JAYA 23 Feb 2010 - Sambutan luar biasa perniagaan sebuah bengkel motosikal diusahakan tiga sahabat menimbulkan rasa curiga penduduk di Taman Medan di sini.Ini kerana rumah yang dijadikan bengkel itu menawarkan alat-alat ganti motosikal dengan harga amat murah.

Namun segala-galanya terbongkar apabila sebenarnya ketiga-tiga 'mekanik' itu adalah pencuri motosikal.

Kejayaan itu diperoleh setelah sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini membuat serbuan di bengkel tersebut kira-kira pukul 8 malam Sabtu lalu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan itu dilakukan hasil maklumat orang awam melalui laporan polis.

Katanya, hasilnya, seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan yang bertanggungjawab terhadap banyak kehilangan motosikal di taman perumahan itu.

"Siasatan mendapati suspek bersama dua rakannya terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal.

"Motosikal itu kemudian dibuka untuk diambil alat gantinya. Ia akan dijual semula kepada pelanggan dengan harga jauh lebih murah," katanya pada sidang akhbar di IPD Petaling Jaya di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, Arjunaidi berkata, polis turut merampas lapan motosikal jenis Yamaha RXZ dan Honda EX5 yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Beliau berkata, polis juga menemui sejumlah alat ganti dipercayai hasil daripada kegiatan mencuri motosikal.

"Kita percaya ketiga-tiga suspek terbabit menjalankan kegiatan haram itu sejak setahun lalu," ujar beliau

Arjunaidi berkata, polis kini sedang mencari dua rakan suspek yang boleh membantu siasatan berhubung kes itu.

Mereka ialah Mazwan Mazlan (gambar), 20, berasal dari Taman Medan dan Shahrul Md. Yusof, 25, dari Kuala Lumpur.

"Sesiapa mempunyai maklumat atau mengenali kedua-dua suspek boleh menghubungi IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli alat ganti motosikal yang dijual pada harga murah kerana berkemungkinan ia barangan curi.

Thursday, February 18, 2010

Penolong penguasa SPRM dituduh rasuah

Feb 19, 10 1:36pm

Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi ini, terhadap tuduhan meminta dan bersetuju menerima rasuah daripada seorang suspek siasatan kes rasuah, pada Oktober tahun lalu.

M Mohan, 37, yang merupakan Penolong Penguasa SPRM Selangor didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Dia dituduh meminta bagi dirinya suapan RM250,000 daripada A Sinnaiah sebagai dorongan tidak meneruskan siasatan terhadap suspek yang disyaki memberi rasuah kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Tertuduh yang sudah berkhidmat selama 15 tahun turut didakwa mengikut Seksyen 17 (a) akta sama, iaitu bersetuju menerima suapan RM200,000 daripada Sinnaiah untuk tujuan sama.

Mohan didakwa melakukan kesalahan itu antara 11 pagi hingga 1 tengahari pada 22 Oktober 2009 di pejabat SPRM, Tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam.

Hakim Azhariz Teh Azman Teh membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM7,000 dan menetapkan 23 Ogos ini untuk perbicaraan kes itu

Tuesday, February 16, 2010

Jangan pandang ringan penipuan pelaburan

KUALA LUMPUR 16 Feb 2010 - Jangkaan Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengenai peningkatan penipuan menerusi pelaburan tidak harus dipandang ringan kerana ia mungkin membawa kerugian besar kepada individu yang kurang berpengetahuan dan berilmu dalam bidang itu.

Kalangan penganalisis ekonomi berpendapat, langkah awal perlu diambil bagi memastikan penipuan seperti itu tidak berleluasa.

Pakar ekonomi, Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam berkata, pendidikan merupakan jalan terbaik bagi mengatasi kelicikan penipu yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan individu-individu tertentu.

"Saya rasa PNB perlu turun ke kampung-kampung bagi menyedarkan penduduk luar bandar mengenai bentuk pelaburan yang selamat dengan yang terang-terang menipu.

"Perbanyakkan cawangan PNB di kampung-kampung. Ia bukan sahaja akan menggalakkan mereka melabur malah penduduk luar bandar juga boleh membuat rujukan terhadap sebarang bentuk pelaburan yang mereka minati," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman mengenai jangkaan itu yang dibuat berdasarkan peningkatan minat masyarakat khususnya di luar bandar terhadap bidang pelaburan.

Rektor Kolej Yayasan Melaka, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam kesal kerana masyarakat negara ini masih belum belajar daripada kebanyakan kes penipuan yang didedahkan.

Katanya, penipuan seperti itu bukanlah sesuatu yang baru tetapi ia tidak dijadikan pengajaran untuk masyarakat lebih berhati-hati dalam memilih pelaburan.

"Terdapat individu merasakan diri mereka lebih bijak berbanding orang lain yang pernah 'terkena' dan itu membuatkan mereka yakin tidak akan tertipu.

"Malangnya, mereka tidak sedar betapa penipu itu jauh lebih cerdik. Mereka sudah terlebih dahulu membuat kajian tentang bagaimana mahu melepaskan diri daripada mangsa masing-masing juga dari segi perundangan," jelasnya.

Justeru beliau mengingatkan bakal pelabur agar memilih bank atau organisasi yang memang diketahui selamat walaupun ada di antaranya cuma memberi pulangan wang yang sedikit.

"Berhati-hatilah membuat pelaburan terutamanya melalui Internet. Dalam mana-mana pelaburan, tidak boleh ada teori atas angin. Pelaburan itu perlu dipastikan jelas dan barang yang didagangkan juga perlu dipastikan wujud," katanya.

Pensyarah Fakulti Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah pula menjelaskan golongan penipu itu biasanya akan menyenaraikan testimoni daripada individu terawal menyertai pelaburan ditawarkan dengan cara memberi pulangan lumayan dan konsisten kepada mereka.

"Individu berkenaan pula tentunya berasa seronok dan akan memperkenalkan pelaburan itu kepada rakan dan saudara-mara mereka.

"Daripada situ pelaburan itu akan berkembang sehinggalah sampai satu ketika, apabila yang menipu itu mula mendapat keuntungan lumayan, para pelabur akan ditinggalkan tanpa diberi pulangan dijanjikan," katanya.

Sindiket peralat Orang Asli (16/2/10)

Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Sindiket penyeludupan hidupan liar antarabangsa disyaki mengupah Orang Asli di sini, bagi memburu atau memerangkap haiwan liar, termasuk yang diancam kepupusan seperti harimau, bagi memenuhi permintaan tinggi di China.

Ketua Pegawai Eksekutif, Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, Datuk Dr Dionysius Sharma, berkata Orang Asli diperalatkan oleh orang tengah bagi mengumpul hasil hutan kerana mereka mahir mengenai selok-belok hutan di negara ini.

“Permintaan untuk hidupan liar atau hasil hutan negara kini meningkat secara mendadak bagi kegunaan perubatan tradisional China, selaras dengan peningkatan tahap sosioekonomi penduduk negara itu.

“Orang Asli di sini tiada keupayaan untuk menyeludup keluar hidupan liar dan saya yakin mengenai kewujudan sindiket mendalangi operasi ini selain tidak menolak kemungkinan ia dianggotai rakyat tempatan serta warga asing.

“Kes rampasan hidupan liar, pemasangan jerat yang berleluasa di hutan simpanan dan kemasukan pemburu haram dari negara jiran yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini harus dikekang segera bagi melindungi khazanah alam negara,” katanya ketika mengulas kes lelaki suku kaum Semai, Yok Meneh Yok Din, 47, yang cedera diterkam harimau pada 6 Februari lalu. Harimau berkenaan ditemui mati dua hari selepas itu dengan kesan kecederaan lama akibat ditembak, terkena jerat dan tikaman lembing.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Shabrina Md Shariff, berkata Yok Meneh sebenarnya seorang daripada tujuh lelaki yang menjerat harimau berkenaan.

“Kumpulan terbabit menjerat harimau berkenaan dan menembaknya empat kali sebelum menikamnya menggunakan lembing serta sumpit beracun.

“Mereka dijanjikan keuntungan ribuan ringgit oleh orang tengah bagi mendapatkan harimau itu. Mereka juga mengakui pernah membunuh seekor harimau dan seekor harimau akar sebelum ini.

“Malah, ada banyak bukti menunjukkan pemburu haram dari Thailand dan Vietnam sering menceroboh hutan negara bagi memasang jerat,” katanya.

Sekitar 1950-an, dianggarkan terdapat kira-kira 3,000 harimau di hutan negara ini tetapi jumlahnya susut dengan ketara apabila lebih banyak hutan dibersihkan untuk tujuan pertanian.

Sabah&Sarawak: Gerai jual mercun belakang balai polis (16/2/10)

Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my

JUALAN mercun di Pasar Tamu Kota Sentosa menarik perhatian kanak-kanak.


Segelintir peniaga di Kenyalang Park pamer secara terbuka

KUCHING: Semakin diharamkan semakin banyak pula dijual. Mungkin kerana sambutan sesuatu perayaan itu dianggap tidak meriah sekiranya tiada bunyi letupan atau dentuman mercun yang kadang-kadang menimbulkan suasana seperti berada di zon perang.

Tidak kira Tahun Baru Cina atau Aidilfitri, permintaan kepada mercun dan bunga apa pasti meningkat dengan orang ramai masih sanggup membeli ‘bahan letupan kecil’ berkenaan untuk dimainkan bersama keluarga.

Tinjauan Berita Harian di sekitar Kenyalang Park, yang hanya terletak di belakang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan Kota Sentosa, mendapati segelintir peniaga berani menjual mercun secara terbuka kepada pengunjung yang membeli-belah di kawasan berkenaan.

Walaupun jumlah mercun dipamerkan kepada orang ramai tidak banyak, dipercayai penjual sedia menerima tempahan daripada pembeli sebelum barangan berkenaan diambil dari gudang yang dirahsiakan bagi tujuan ‘keselamatan.’

Seperti goreng pisang panas, mercun mendapat sambutan dan pembeli tidak terhad kepada masyarakat Tiong Hua saja kerana ada pembeli Dayak dan Melayu turut membeli mungkin untuk stok dan akan dimain ketika sambutan perayaan masing-masing selepas ini.

MERCUN bom paling laris.

Antara jenis mercun dijual ialah mercun lada, papan merah dan ‘coloured flower’ selain bunga api bersaiz besar yang kerap digunakan ketika majlis perasmian tertentu.

Harga mercun memang mahal, malah jika dibandingkan dengan mercun seludup tahun lalu, harga pada tahun ini lebih mahal dengan sekotak mercun lada yang dulu hanya dijual sekitar RM4 kini mencecah RM10.

Bagi mercun papan merah sepanjang kira-kira dua meter, ia dijual pada harga RM40 dengan harga bunga api gergasi boleh mencecah RM100 mengikut saiz dan jumlah tembakan bunga apinya.

Seorang peniaga mercun berusia awal 20-an, berkata mercun dan bunga api yang dijual adalah stok lama dengan ia dibawa masuk sejak tahun lalu lagi sebelum disimpan di lokasi rahsia dan hanya dikeluarkan ketika musim perayaan.

"Mercun sekarang macam emas kerana harganya tidak pernah turun, malah akan naik setiap kali musim perayaan dengan ia akan menjadi lebih mahal sekiranya pihak berkuasa membuat rampasan.

"Boleh dikatakan semua mercun dan bunga api yang dijual pada setiap hari akan habis dijual dengan keuntungannya memang besar dengan saya turut mendapat komisen daripada taukeh," katanya tanpa menyedari sedang ditemubual oleh pemberita Berita Harian.

Penulis berbual dengan seorang lagi rakannya yang berusia 30-an yang duduk berhampiran gerai kecil sementara yang dibuka di tengah laluan orang ramai, sambil memerhatikan pengunjung lalu lalang.

Difahamkan, aktiviti menjual mercun dan bunga api di dua lokasi berkenaan hanya bermula minggu lalu dengan peniaga lain di kawasan sekitar memaklumkan kegiatan berkenaan akan berhenti selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Sementara itu, peniaga barang kelengkapan rumah yang dikenali sebagai Hong Liam, 46, berkata peniaga berlesen tidak berani membuka gerai sementara di laluan orang ramai kerana pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan tegas.

"Mereka akan lari sekiranya ada pihak berkuasa yang memeriksa mercun dan bunga api berkenaan, selain sanggup meninggalkan meja dan kaki meja yang kemudian akan dituntut individu tertentu.

"Saya percaya ada individu tertentu yang berpakat dengan penjual mercun dan bunga api berkenaan sehingga mereka berani datang ke sini untuk berniaga secara terbuka walaupun mengetahui ada larangan mengenainya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong, berkata larangan bermain mercun sudah lama dikuat kuasa, namun masih ada segelintir orang ramai yang degil.

"Ada segelintir peniaga mengambil risiko menjual mercun secara terbuka di samping menjual bunga api biasa dan mercun pop-pop," katanya.

Monday, February 15, 2010

Mara perketat syarat pinjaman (15/2/10)

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my
Wajibkan peniaga namakan penjamin

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memperketatkan syarat untuk semua pinjaman perniagaan dengan mewajibkan peminjam menamakan sekurang-kurangnya seorang penjamin atau cagaran, termasuk untuk pinjaman serendah RM1,000.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Muhammad, berkata langkah itu bagi memastikan setiap peminjam lebih bertanggungjawab dan menjelaskan ansuran bulanan pinjaman secara sistematik bagi mengelak sebarang gangguan kepada pusingan modal.

Beliau berkata, saranan ini adalah antara strategi yang digariskan Mara untuk memastikan sasaran kutipan sebanyak RM400 juta mencapai matlamatnya sepanjang tahun ini.

"Mulai tahun ini, Mara akan menggunakan sepenuhnya wang hasil kutipan pinjaman di kalangan peminjam untuk menyediakan pinjaman kepada usahawan Bumiputera yang mengemukakan permohonan.

"Jika semuanya berjalan lancar, cadangan yang sudah dipersetujui di peringkat pengurusan Mara ini akan dikuatkuasakan serta merta dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui di sini.

Antara syarat baru pinjaman adalah menamakan penjamin sama ada pegawai kerajaan, swasta atau ahli perniagaan yang berpendapatan sekurang-kurangnya tiga peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman.

Sebelum ini, penjamin tidak diperlukan untuk pinjaman perniagaan antara RM1,000 dan maksimum sebanyak RM500,000.

Ibrahim berkata, sebagai organisasi pembangunan, langkah berkesan perlu dirangka dan dilaksanakan untuk memastikan kumpulan sasar mendapat manfaat secara menyeluruh, bukan hanya menyalurkan bantuan untuk sebahagian saja.

"Wujudnya kira-kira 30 peratus daripada 38,000 peminjam di kalangan usahawan yang disenaraikan sebagai usahawan yang mempunyai tunggakan hutang tidak berbayar (NPL) untuk tempoh lebih enam bulan mendorong Mara merangka syarat memperketatkan syarat pinjaman,' katanya.

Beliau berkata, syarat yang lebih ketat ini diharap menimbulkan kesedaran di kalangan peminjam yang memperoleh RM1.74 juta pinjaman sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dengan membuat bayaran ansuran mengikut jadual.

Ibrahim berkata, antara masalah kutipan pinjaman yang dihadapi Mara, termasuk kurangnya sambutan di kalangan peminjam untuk membuat pembayaran menggunakan urus niaga perbankan, SMS dan internet.

"Tidak semua hasil kutipan pinjaman digunakan sebagai pusingan modal, sebaliknya sebahagian perlu disediakan untuk menjelaskan pinjaman wang kerajaan Persekutuan kepada Mara," katanya.

SPRM jumpa RM2j, Setiausaha Politik Nor Mohamed letak jawatan (15/2/10)

Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my

Hasbie Satar




KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Hasbie Satar, meletakkan jawatannya berkuat kuasa, Ahad lalu.

Kenyataan satu perenggan yang dikeluarkan pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, semalam bagaimanapun tidak menyatakan sebab Hasbie meletak jawatan.

Difahamkan, peletakan jawatan Hasbie mempunyai kaitan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya kerana didakwa memiliki sejumlah besar aset yang tidak dapat diisytiharkan perolehannya, termasuk kereta mewah serta beberapa rumah.

SPRM juga dilaporkan membekukan beberapa aset dan akaun bank miliknya bagi membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Hasbie dikatakan ditahan Khamis lalu selepas serbuan SPRM pada jam 3.30 petang di sebuah unit kediaman di Pangsapuri Sri Molek, Teluk Air Tawar, Pulau Pinang, menemui wang tunai yang diikat mengikut nilai RM5, RM10, RM50 dan RM100 berjumlah kira-kira RM2 juta.

Selain itu, sebuah kenderaan pacuan empat roda didaftar di bawah sebuah syarikat yang beroperasi di Pulau Tikus, Pulau Pinang dan sebuah kereta mewah turut disita.

Friday, February 12, 2010

KPDNKK rampas telefon bimbit

JOHOR BAHRU 12 Feb 2010 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri merampas 133 buah telefon bimbit bernilai RM53,000 kerana menggunakan logo kementerian berkenaan tanpa kebenaran dalam serbuan di sebuah premis di Johor Jaya di sini semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Abd. Hamid Abu Bakar berkata, dalam operasi pukul 11.30 pagi itu, pihaknya merampas kesemua telefon bimbit itu yang diimport dari negara China.

Menurut beliau, siasatan mendapati, syarikat pengeluar telefon bimbit tersebut tidak mendapat kebenaran daripada KPDNKK untuk meletakkan logo kementerian pada kotak telefon bimbit itu.

"Kita percaya mereka mengambil kesempatan dengan meletakkan logo KPDNKK untuk mengaut keuntungan selain mengelirukan pengguna.

"KPDNKK pada masa yang sama masih menyiasat sama ada telefon yang dirampas itu sama ada ia merupakan produk tiruan," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi di sini semalam.

Katanya, pihaknya turut mengambil keterangan ke atas empat pekerja premis tersebut. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Perihal Dagangan 1972.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di Pasar Borong Pandan di sini, KPDNKK merampas 5,000 keping cakera padat video (VCD) serta cakera video digital (DVD) cetak rompak termasuk lucah bernilai RM20,000.

Kata Abdul Hamid, dalam serbuan pukul 5 petang itu, pihaknya turut menemui sebuah lubang rahsia di dalam salah sebuah daripada lima premis itu yang digunakan untuk menyorok cakera optik tersebut.

Beliau berkata, lima pekerja berusia lingkungan 20-an turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987.

Koperasi rugi, 40,000 perdu serai tak laku (12/2/10)

ABDULLAH (kanan) menunjukkan tanaman serai yang telah matang tetapi tidak dituai kerana tiada pembeli.


Pihak janji beli dengan harga tinggi hilangkan diri

KULIM: Sebanyak 40,000 perdu serai yang ditanam ahli Koperasi Peneroka Felda Gunong Bongsu, di sini, yang sudah matang masih tidak dapat dituai kerana tidak mempunyai pasaran.

Setiausaha koperasi itu, Abdullah Abu, berkata ketika mereka memulakan projek itu di tanah terbiar seluas dua hektar pada awal tahun lalu, ada pihak memberi jaminan untuk membeli serai berkenaan dengan harga yang lumayan selepas serai yang ditanam matang.

“Tapi apabila 40,000 rumpun serai itu sedia untuk dituai Oktober tahun lalu, pihak berkenaan menghilangkan diri mengakibatkan kami hilang arah untuk memasarkannya,” katanya.

Abdullah berkata, koperasi cuba mendapatkan bantuan Fama daerah Kulim, tetapi ia hanya mampu membeli sebanyak 100 kilogram serai itu pada 70 harga sen sekilogram.

“Ini agak mengecewakan ahli koperasi kerana harga yang dibeli Fama amat rendah berbanding harga pasaran RM1.80 sekilogram,” katanya.

Abdullah berkata, kini 1,000 kilogram serai belum dituai kerana masih menunggu pembeli.

“Kalau tak dapat jual terpaksalah dicabut saja rumpun-rumpun serai ini untuk memberi laluan kepada projek pertanian lain pula,” katanya. - Bernama

Rahsia kedai kosong di Pandan Jaya terbongkar

Abdul Jalil Hassan menunjukkan minuman keras tanpa cukai dan mercun yang disimpan di tempat rahsia sebuah kedai, di Pandan Jaya, Ampang, malam semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



AMPANG 12 Feb 2010 - Jika dilihat dari luar, tiada apa-apa yang menarik dengan sebuah kedai kosong di Jalan Pandan 3/2, Pandan Jaya ini.

Namun, siapa sangka di sebalik tiada yang menarik itu, sebenarnya tersimpan satu rahsia. ia adalah tempat menjual pelbagai jenis arak dan mercun tanpa cukai dan permit sah.

Malah kedai itu yang sentiasa tertutup, hanya beroperasi dengan menggunakan satu kaunter kecil ala pandu lalu.

Lebih memeranjatkan, kedai tersebut turut dilengkapi tiga kamera litar tertutup (CCTV) untuk tujuan keselamatan.

Bagaimanapun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa dan terbongkar apabila diserbu polis kira-kira pukul 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki warga India berusia 20-an.

Katanya, polis juga merampas 1,656 tin arak, 134 botol arak dan beberapa kotak mercun yang dianggarkan bernilai RM30,000.

"Ketika serbuan, suspek sedang berurus niaga dengan seorang pelanggan di kaunter berkenaan.

"Suspek memiliki pasport sah, bagaimanapun menyalahgunakan dokumen itu untuk melakukan jenayah.

"Hasil siasatan, kegiatan haram itu telah beroperasi sejak dua bulan lalu di sekitar Pandan Jaya," katanya ketika ditemui selepas operasi di sini malam tadi.

Beliau berkata, bagi mengabui kegiatan haram itu, para pelanggan diwajibkan menekan loceng di luar kaunter sebelum pekerja melihat identiti mereka melalui CCTV.

"Setelah dirasakan selamat, barulah urusan jual beli dijalankan," katanya lagi.

Abdul Jalil memberitahu, polis turut membongkar laluan rahsia di sebalik sebuah almari besar yang menghubungkan ke bilik setor simpanan pelbagai jenis arak dan mercun.

"Polis sedang menyiasat dan memburu dalang kegiatan itu dan meminta orang ramai yang memiliki maklumat supaya segera menghubungi pihak berkuasa," katanya.

453 hari guna air curi, suri rumah diarah bayar RM163,862

Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Selepas 453 hari menikmati bekalan air percuma menerusi penyambungan haram daripada pili bomba, seorang suri rumah semalam diperintahkan oleh mahkamah supaya membayar RM163,862.78 kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sebagai ganti rugi.

Mahkamah Tinggi di sini mengeluarkan perintah terhadap Liew Lai Yin, 36, selepas mendapatinya bersalah menggunakan bekalan air Syabas yang dirawat tanpa kebenaran di rumahnya di Kampung baru, Salak Selatan.

Dia juga diperintah membayar kos kehilangan pili bomba sebanyak RM5,000.



Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mary Lim Thiam Suan dalam penghakimannya, berkata defendan didapati bersalah menggunakan air Syabas secara haram apabila membuka pili bomba dan digantikan paip bagi menyalurkan air ke rumahnya secara haram.

"Pili bomba yang dialihkan dan digantikan dengan sebatang paip bersaiz empat inci serta disambungkan ke premis defendan (Liew) untuk membekalkan air tanpa kebenaran plaintif Syabas adalah bukti jelas defendan melakukan kesalahan itu," katanya.

Syabas memfailkan saman terhadap Liew pada 2006 apabila mendapat tahu wanita itu menyambungkan paip secara tidak sah ke premisnya selepas Syabas menamatkan bekalan air ke rumahnya pada 21 April 2004.

Dalam tuntutan itu, Syabas mendakwa Liew membuat penyambungan paip tanpa meter dan mengambil air secara tidak sah, iaitu kesalahan mengikut seksyen 38 Enakmen Perbekalan Air 1997.

Siasatan Syabas pada 28 Julai 2005 mendapati pili bomba dialihkan dan sebatang paip berukuran empat inci digunakan untuk menyambungkan bekalan air ke premis defendan.

Liew dalam pembelaannya, berkata beliau tidak menetap di premis itu ketika insiden berkenaan dan tidak tahu apa yang berlaku terhadap hartanya, namun hakim berkata dia gagal membuktikan ada orang lain yang mungkin melakukan kesalahan itu.

Syabas diwakili peguam Habizan Rahman, manakala Peter Siew mewakili Liew.

Thursday, February 11, 2010

Seludup 38kg syabu RM9 juta guna pembalut teh Cina

KUALA LUMPUR 11 Feb 2010 - Taktik dua lelaki warga Singapura menyeludup keluar 38 kilogram syabu bernilai RM9 juta dengan membungkus dadah itu dengan pembalut teh Cina gagal, apabila mereka ditangkap di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang dekat sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, kedua-dua suspek berusia 35 dan 40 tahun yang bekerja sebagai jurujual telefon bimbit ditahan pada pukul 11.50 malam kelmarin.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas dua beg pakaian milik suspek, polis menemui 18 bungkusan diisytihar sebagai teh Cina tetapi mengandungi dadah syabu dipercayai cuba diseludup ke Manila, Filipina.

Katanya, siasatan lanjut, polis kemudian berjaya menangkap dua lelaki rakyat tempatan berusia 33 dan 48 tahun yang turut terlibat dalam sindiket sama di sekitar LCCT dan sebuah rumah di Cheras.

"Selain syabu, polis juga merampas pelbagai mata wang daripada suspek iaitu RM7,600, 40,050 peso dan 1,400 dolar Singapura.

"Suspek dipercayai dibayar 8,000 dolar Singapura untuk membawa dadah tersebut dan upah itu akan diberi setibanya mereka di Manila," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Warga Afrika miliki 1,778 not RM50 palsu ditahan

IZANY Abdul Ghany menunjukkan wang palsu RM50 yang berjaya dirampas dari warga asing pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 11 Feb 2010 - Mereka yang tamak pasti tidak akan menolak jika ditawarkan pertukaran wang yang memberi keuntungan berlipat ganda.

Namun, seorang ahli perniagaan tidak 'kelabu mata' apabila ditawarkan keuntungan hampir empat kali ganda oleh seorang lelaki warga Afrika yang menawarkan khidmat pertukaran wang ringgit Malaysia (RM) dengan dolar Amerika Syarikat (AS).

Dia yang sangsi dengan tawaran tersebut membuat laporan polis dan ternyata keraguannya berasas apabila siasatan mendapati wang ditawarkan itu sebenarnya palsu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, bertindak atas laporan tersebut, polis menahan seorang lelaki warga Afrika berusia 28 tahun bersama 1,778 keping wang RM50 palsu di Persiaran Hamshire Off Jalan Ampang di sini Isnin lalu.

Beliau berkata, polis sebelum itu menerima laporan daripada seorang ahli perniagaan berusia lingkungan 50-an yang berasa sangsi dengan tawaran lelaki itu.

"Bertindak atas laporan itu, polis kemudiannya mengekori suspek yang memandu kereta Proton Gen.2 berwarna biru yang ketika itu dalam perjalanan menemui mangsa di Ampang.

"Hasil pemeriksaan, polis menjumpai 1,778 keping wang RM50 pelbagai nombor siri yang disyaki palsu dalam sebuah beg hitam di bahagian tempat duduk sebelah pemandu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Izany berkata, suspek yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri mengaku memasuki negara ini menggunakan pas pelajar.

Beliau berkata, suspek dipercayai menjalankan kegiatan tersebut dengan menelefon mangsa terdiri daripada ahli-ahli perniagaan secara rawak.

"Dalam perbualan telefon, dia akan menawarkan khidmat pertukaran wang dengan mangsa mengikut nisbah AS$20,000: RM140,000.

"Suspek kemudian menetapkan waktu perjumpaan untuk transaksi pertukaran wang dan menunjukkan beberapa bungkusan mata wang Malaysia bertujuan meyakinkan mangsa," katanya.

Izany berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari mulai Isnin lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihati orang ramai agar berurusan dengan institusi kewangan berlesen seperti bank dan pengurup wang jika ingin menukar mata wang bagi mengelak daripada ditipu.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai urusan tukaran wang asing yang tidak melalui institusi kewangan berlesen boleh memaklumkan kegiatan haram itu kepada polis dengan menghubungi balai terdekat atau Rakan Cop di talian 03-21159999 atau SMS ke 32728.

PGA tahan lori bawa tong petrol (12/2/10)

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan sebuah lori sarat muatan 89 tong plastik berisi 2,670 liter petrol yang dipercayai hendak diseludup ke negara jiran dekat Wakaf Che Yeh di sini, awal pagi semalam.

Dalam tangkapan jam 12.30 pagi itu, pemandu lori berusia 40-an itu dipercayai baru saja memunggah tong terbabit dari lokasi rahsia di sini, sebelum membawa bahan bakar bernilai RM4,806 menuju ke sempadan.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Rooslan Radzi, berkata anggotanya yang menjalankan rondaan mencegah penyeludupan, terserempak lori terbabit yang didapati dalam keadaan mencurigakan.



"Anggota saya kemudian mengekori lori terbabit dari Bunut Payong ke Pasir Hor sebelum memintas dan menahannya dekat Wakaf Che Yeh untuk pemeriksaan lanjut, katanya. di Rantau Panjang, semalam.

LKIM dedah nelayan buat laporan palsu

PAPAR 11 Feb 2010 - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mendedahkan terdapat nelayan yang membuat laporan polis palsu kononnya enjin sangkut mereka dicuri.

Pengerusinya, Datuk Abdul Rahim Ismail berkata, tindakan segelintir nelayan yang tidak bertanggungjawab itu amat dikesali memandangkan enjin sangkut berkenaan bertujuan memudahkan mereka mencari rezeki di laut.

''Memang ada nelayan sanggup membuat laporan palsu mendakwa enjin sangkut mereka dicuri sedangkan perkara itu adalah tidak benar. Sebaliknya, mereka menjual enjin tersebut.

''LKIM memandang serius kegiatan penjualan peralatan yang disalurkan kerajaan terhadap para nelayan kerana ia menyalahi peraturan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan peralatan nelayan dalam program Bantuan Peningkatan Pendapatan (BPP) 2009 Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di sini hari ini.

Seramai 48 nelayan dari Parlimen Papar menerima bantuan berjumlah hampir RM500,000 membabitkan peralatan dan kelengkapan menangkap ikan yang disumbangkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Persekutuan.

Abdul Rahim berkata, LKIM kini bekerjasama dengan polis bagi memastikan tiada nelayan melakukan perkara tidak bertanggungjawab itu lagi.

Mengenai BPP, beliau memberitahu, antara bantuan yang sedang dinikmati oleh para nelayan di seluruh negara pada masa kini ialah elaun sara hidup RM200 sebulan, e-Petrol, e-Diesel dan beberapa bantuan lain yang disalurkan kerajaan.

Menurutnya, seramai 63,000 nelayan di seluruh negara menerima bantuan elaun sara hidup RM200 sebulan membabitkan peruntukan RM170 juta.

Katanya, sehingga kini, LKIM masih meneruskan pembayaran elaun sara hidup bagi memastikan para nelayan dapat meningkatkan pendapatan mereka yang masih lagi 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

Dalam pada itu, beliau berkata, buat masa ini, LKIM juga sedang memantau aktiviti nelayan yang tidak turun ke laut, tetapi menerima bantuan kerajaan.

''Walaupun dianggarkan tiga hingga lima peratus nelayan seluruh negara tidak aktif ke laut, namun mereka terus menerima bantuan kerajaan, kita tetap memandang serius perkara ini.

''LKIM tidak teragak-agak untuk menyenaraihitamkan nama mereka termasuk membatalkan semua bantuan diterima kerana menyalahgunakan bantuan yang diberikan oleh kerajaan," katanya.

NASIONAL Kastam patah cubaan seludup 50,000 karton rokok putih (12/2/10)

BUTTERWORTH: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) mematahkan cubaan menyeludup 50,000 karton rokok putih berjenama TEX bernilai RM5.9 juta, termasuk cukai selepas menahan sebuah kontena di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini, Ahad lalu.

Pengarah KDRM Pulau Pinang, Datuk Matrang Suhaili, berkata pihaknya melakukan intipan seminggu sebelum membuat serbuan kira-kira jam 2.10 petang selepas menerima maklumat awam.

Pemeriksaan ke atas kontena bersaiz 12 meter panjang dibawa masuk dari Kanada membawa kepada penemuan 1,000 kotak besar di dalamnya mengandungi 50,000 karton rokok putih.



Katanya, seorang penyelia dan dua pemandu jentera sebuah syarikat pengangkutan berumur antara 30-an dan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

Rokok putih itu diikrar sebagai makanan haiwan sebanyak 24 tan bagi mengelakkan cukai kerana makanan haiwan tidak tertakluk kepada sebarang duti, cukai atau larangan

"Rampasan itu adalah yang terbesar di negeri ini pada tahun ini dan kami percaya ia untuk pasaran tempatan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Matrang berkata, siasatan juga mendapati suspek cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan nama sebuah syarikat pengimport makanan haiwan beralamat di Sungai Bakap, Nibong Tebal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 (semakan 1980) iaitu mengimport atau mengeksport barangan tidak berkastam atau larangan.

Sementara itu di KUCHING, KDRM mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok kretek dari negara jiran bernilai RM1.6 juta termasuk cukai, dalam serbuan di sebuah gudang di Pelabuhan Senari, Jumaat lalu.

Pengarah KDRM Sarawak, Datuk Rusmani Abdul Sukur, berkata ia rampasan terbesar KDRM Sarawak setakat ini.

Katanya, penyeludup cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mengisytiharkan kontena sepanjang tujuh meter yang digunakan sebagai mengandungi kacang soya.

Tiada tangkapan dibuat ketika serbuan, tetapi hasil siasatan awal pihak kami sudah mengenalpasti ejen diberi kuasa untuk membawa masuk kontena itu ke negeri ini," katanya di Ibu Pejabat KDRM, di sini, semalam.

Felda, Orang Asli sasaran ajaran sesat

KUANTAN 11 Feb. - Kumpulan ajaran sesat di negeri ini dikesan menjadikan kawasan luar bandar termasuk tanah rancangan Felda dan perkampungan Orang Asli sebagai sasaran untuk menyebarkan dakyah mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz berkata, bagaimanapun, penyebaran ajaran tersebut terutama di dua kawasan terbabit masih terkawal dan tidak membimbangkan.

Tegas beliau, kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan ajaran songsang itu menerusi tindakan yang dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

''Kumpulan ajaran songsang ini telah menukar modus operandi mereka daripada kawasan bandar dan luar bandar kepada tanah rancangan Felda dan perkampungan Orang Asli.

''Bagaimanapun, JAIP berjaya mengesan pergerakan mereka dan sehingga kini mereka tidak aktif," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rela dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Bersama Masyarakat Air Putih di sini kelmarin.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan sebanyak 42 kumpulan ajaran sesat diketuai individu tertentu dikesan sedang bergerak aktif di negeri ini.

Menurut Mohamad Sahfri, kebanyakan kumpulan ajaran sesat yang bergiat di Pahang berasal dari negeri jiran.

Katanya, kumpulan ini memilih tanah rancangan Felda dan perkampungan Orang Asli kerana beranggapan kawasan berkenaan tersorok dan terpinggir.

''JAIP tetap akan melakukan pemantauan di mana sahaja dan tidak teragak-agak mengambil tindakan sekiranya mempunyai bukti kukuh," ujarnya.

NASIONAL Lelaki ajaran sesat dakwa miliki ijazah perubatan (12/2/10)

Oleh Samadi Ahmad
bhnews@bharian.com.my
Khidmat rawatan alternatif dihebah menerusi internet

PUTRAJAYA: Lelaki yang ditahan kerana terbabit dalam ajaran sesat di Putrajaya kelmarin mendakwa memiliki ijazah perubatan dan menyiarkan perkhidmatan rawatan alternatif yang menjanjikan penyembuhan serta-merta menerusi internet.

Perkhidmatan yang disiarkan dalam laman webnya turut memaparkan pelbagai penyakit yang didakwa boleh diubati seperti migrain, kanser payu dara, lumpuh dan terkena sihir.

Tinjauan laman web itu mendapati dia turut menawarkan 'ilmu pembuka hijab' dan mendakwa berhasrat melahirkan 3,000 hingga 15,000 orang yang mampu melihat rahsia ghaib dalam tempoh lima tahun.

Antara kelebihan yang disenaraikan mempelajari ilmu berkenaan ialah dapat mengucap syahadah ketika nazak, melihat iblis, syaitan serta jin, dapat memantau siapa yang mengganggu ibu bapa atau keluarga dari jauh dan mengetahui punca sakit melalui akhbar atau berita dengan serta-merta.

Akhbar semalam melaporkan Jawi membongkar kegiatan Ajaran Sesat Abdul Rejab Ahmad ketika serbuan di sebuah apartmen di Presint 17, Putrajaya yang berselindung di sebalik rawatan alternatif dan menahan seorang lelaki serta 10 yang lain, termasuk isterinya.

Ketua kumpulan itu bersama isterinya serta sembilan orang lain dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya atas tuduhan melakukan kesalahan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Tertuduh, Abdul Rejab Ahmad, 50, didakwa mengikut Seksyen 5 dan Seksyen 6 akta berkenaan kerana kesalahan mengembangkan doktrin agama palsu dan membuat dakwaan palsu.

Sementara itu, seorang penduduk berkata beliau terkejut dengan serbuan itu kerana selama ini hanya mengetahui hanya ada perkhidmatan bomoh di kawasan kediamannya.

Beliau yang enggan dikenali mengakui pernah terserempak orang luar datang mencari unit apartmen yang terletak di tingkat dua di sebuah blok di situ untuk mendapatkan khidmat rawatan alternatif daripada lelaki terbabit.

"Saya terkejut apabila mendengar bunyi bising ketika serbuan dan hanya tahu ada kegiatan ajaran sesat apabila membaca akhbar hari ini (semalam)," katanya.

Apartmen kakitangan kerajaan itu baru diduduki empat bulan lalu, manakala lelaki berkenaan bersama keluarganya menduduki satu unit di situ dua bulan lalu.

Beliau mendakwa bomoh berkenaan biasanya memulakan rawatan selepas jam 10 malam dan pernah mendengar suara lelaki melaung-laung nama Allah dengan kuat selain mantera yang tidak dapat difahaminya.

"Kadang-kadang jeritan itu memang mengganggu kami terutama anak-anak kerana dilakukan sehingga lewat malam sehingga jam 1 atau 2 pagi," katanya.

Sentral: Pegawai MPAJ menyamar serbu rumah urut (12/2/10)

Oleh Halina Mohd Noor
Kegiatan mencurigakan berselindung di sebalik premis sentiasa bertutup

AMPANG: Tindakan kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melakukan penyamaran sebagai pelanggan di sebuah rumah urut di Pandan Indah, akhirnya berhasil memberikan jawapan berhubung aktiviti mencurigakan yang dilakukan premis yang bertutup selama ini.

Susulan itu, rumah urut yang beroperasi di Pusat Komersial Pandan Indah itu bukan saja diserbu MPAJ baru-baru ini, malah turut disita selepas didapati menjalankan perniagaan secara haram kerana tidak memiliki lesen perniagaan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan itu bagi tahun ini.



Operasi diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa MPAJ, Rosli Jaafar, bersama tujuh anggota penguat kuasanya turut menemui dua tukang urut warga Thailand.

Rosli berkata, tindakan penyamaran dilakukan pihaknya selepas menerima maklumat orang awam yang mendakwa ada aktiviti tidak bermoral dijalankan premis berkenaan kerana mendapati pintu depan premis itu sentiasa bertutup rapat tetapi ramai pengunjung menuju ke pintu belakangnya.

Beliau berkata, hasil siasatan itu, pihaknya mendapati rumah urut terbabit hanya membenarkan pelanggan biasa atau dikenali saja masuk menerusi pintu belakang untuk mendapatkan khidmat urut termasuk khidmat seks yang ditawarkan wanita terbabit.

Pintu premis itu sentiasa bertutup seolah tiada apa yang berlaku tetapi sebenarnya menjalankan perniagaan urut dan khidmat seks yang mendapat sambutan di kalangan pelanggan.

Ketika kakitangan MPAJ menyamar sebagai pelanggan untuk masuk ke rumah urut itu, mereka terkejut apabila pemilik premis itu meletakkan beberapa anjing mengawasi premis berkenaan, sekali gus dapat memberi amaran awal menerusi salakannya jika premis itu dikunjungi individu tidak dikenali termasuk anggota penguat kuasa, katanya.

Rosli berkata, pemilik premis itu dikenakan kompaun mengikut Seksyen 70(11), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana melakukan pengubahsuaian dalaman tanpa kelulusan daripada pihak majlis untuk melakukan kegiatan tidak bermoral itu.

Beliau berkata, MPAJ akan meneruskan operasi mengesan kegiatan tidak bermoral seperti itu dan mengalu-alukan maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan berkenaan bagi memastikan kawasan Ampang Jaya bersih dan bebas daripada gejala sosial yang memberi imej negatif kepada MPAJ.

Dua dituduh rasuah Pegawai Hutan Selangor

SHAH ALAM: Dua orang awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan memberi rasuah kepada Pegawai Hutan Selangor supaya tidak menyita jentera yang digunakan untuk pembalakan.

Chin Boon Leong dan Hor Kin Onn, kedua-duanya berusia 42 tahun, didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka dituduh memberi rasuah membabitkan nilai suapan RM2,000 kepada Penolong Pengarah Operasi dan Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan sebagai dorongan untuk tidak menyita sebuah lori, sebuah jentolak dan sebuah jengkaut yang digunakan untuk kerja di kawasan Simpanan Melayu Bukit Tamu, Batang Kali di Hulu Selangor.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Hassan Cafe Sdn Bhd di The Street Mall, Cyberjaya, kira-kira jam 12.05 tengahari pada 2 Februari lalu.

9 diberkas curi pasir

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my



Sekumpulan lelaki yang ditahan kerana kesalahan mencuri pasir semasa Ops Curi Pasir di Taman Teknologi Kajang, Selangor, semalam. – Utusan/Mohd. Farizwan Hasbullah

--------------------------------------------------------------------------------



KAJANG 11 Feb. – Penangkapan beberapa individu termasuk pegawai tinggi kerajaan yang terlibat dalam kegiatan curi pasir baru-baru ini dilihat tidak menggerunkan mereka yang ingin mengaut keuntungan besar dalam aktiviti haram itu.

Ini terbukti apabila kegiatan curi pasir masih berterusan. Kali ini, Sungai Reko terletak di Bandar Teknologi Kajang di sini menjadi sasaran sindiket haram tersebut.

Aktiviti itu bagaimanapun terbongkar dengan penangkapan sembilan lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun dalam satu serbuan hari ini.

Serbuan itu dilakukan oleh 15 pegawai dari Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat serta Polis Daerah Kajang.

Pegawai Daerah Hulu Langat, Zainal Abidin Aala berkata, kesemua suspek terdiri daripada empat pemandu lori dan lima pekerja sindiket curi pasir terlibat.

Kesemua mereka ditahan pukul 10.30 pagi ini ketika leka menjalankan kerja-kerja mengorek dan memunggah pasir dari sungai untuk dijual kepada pembeli di sekitar Selangor.

Katanya, siasatan awal mendapati, kegiatan mengorek pasir dijalankan di atas tanah persendirian tanpa permit yang sepatutnya dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat.

Seorang lagi pengarah syarikat Island Red Cafe didakwa

11/02/2010 1:36pm


KUALA LUMPUR 11 Feb. – Seorang lagi pengarah Syarikat Island Red Cafe Franchise Sdn. Bhd. didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang di sini, hari ini kerana tiga tuduhan menipu dan memperdayakan pelabur membabitkan RM16 juta.

Ong Tong Swan, 33, yang mengaku tidak bersalah, didakwa melakukan tiga kesalahan itu di syarikat tersebut di 5M, Jalan Pandan Indah, di sini antara 1 Jan 2008 dan 28 Februari 2009.

Dalam pertuduhan pertama, dia didakwa bersubahat dengan seorang lagi pengarah syarikat itu, Teow Wooi Huat, untuk menipu dan memperdayakan 93 orang untuk membuat pelaburan dalam program “Island Red Cafe” di mana pelabur itu telah membayar sebanyak RM1,040,400 kepada syarikat tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 366(3) Akta Syarikat 1965, dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM30,000 atau tujuh tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Tong Swan didakwa sengaja melanggar peruntukan Seksyen 15(1)(d) Akta Syarikat 1965, iaitu mempelawa orang awam untuk mendepositkan wang berjumlah RM15,061,800 ke dalam akaun syarikat itu bagi tujuan memasuki program ”Island Red Cafe” untuk tempoh lima tahun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 27(8) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum denda sehingga RM250,000 atau penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa menawarkan kepada orang awam untuk membeli saham syarikat tersebut melalui satu program yang dikenali sebagai ”Program Island Red Cafe”, walhal sewaktu tawaran itu dibuat ia bukanlah perniagaan biasa yang menjalankan perniagaan jual beli saham.

Jika sabit kesalahan yang dilakukan mengikut Seksyen 363(5) akta yang sama, mereka boleh didenda sehingga RM250,000 atau penjara sehingga 10 tahun.

Hakim Azwarinda Affandi membenarkan Tong Swan diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 9 Mac depan untuk sebutan.

Sementara itu pada 9 Februari lalu, Teow Wooi Huat dan anaknya, Teow Chee Chow, 21, juga pengarah syarikat, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang kerana tiga kesalahan yang sama. – Bernama

Rakyat asing ditahan edar wang palsu

KUALA LUMPUR: Kegiatan licik seorang warga asing dalam sindiket wang palsu tumpas selepas ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur di Persiaran Hamshire off Jalan Ampang, jam 12.30 pagi, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany, berkata penangkapan warga Afrika berkenaan adalah susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan lelaki tempatan yang berumur lingkungan 50-an yang ditawarkan khidmat pertukaran wang oleh suspek.

Beliau berkata polis kemudiannya mengekori sebuah kereta Gen-2 warna biru yang menuju ke Ampang dan menahan kereta suspek dan hasil pemeriksaan telah menjumpai 1,778 keping wang dominasi RM50 pelbagai nombor siri yang disyaki palsu dalam sebuah beg hitam di bahagian tempat duduk sebelah pemandu.



Izany berkata suspek yang tinggal di Ampang dan mengaku memasuki negara ini menggunakan pas pelajar, akan disiasat memandangkan tidak terdapat dokumen pengenalan diri suspek ketika ditahan.

"Kami akan bekerjasama dengan pihak imigresen bagi mengetahui identiti sebenar warga asing tersebut dan sama ada suspek memasuki negara ini secara sah atau tidak.

"Suspek juga dipercayai menjalankan kegiatan ini dengan menelefon mangsa secara rawak dan menawarkan khidmat pertukaran wang mengikut nisbah dolar Singapura SD20,000:RM140,000 dan akan menetapkan waktu perjumpaan untuk transaksi pertukaran wang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kes akan disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Beliau menasihati orang ramai agar melakukan pertukaran wang di institusi wang yang berlesen seperti bank dan pengurup wang berlesen untuk mengelakkan taktik sindiket penipuan wang palsu ini dan menghubungi talian Rakan Cop 03-21159999 atau SMS ke 32728 jika mempunyai maklumat institusi pertukaran wang tidak berlesen. - Bernama

Wednesday, February 10, 2010

JAIS kesan 4 kes salah guna perkataan halal di Sarawak

KUCHING 10 Feb. - Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) mengesan empat kes membabitkan penyalahgunaan perkataan halal bagi melariskan perniagaan di negeri ini sejak tiga tahun lalu sehingga sekarang.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, antara cara yang mereka gunakan adalah mempamerkan logo halal yang bukan dikeluarkan oleh JAIS.

Selain itu, katanya, ada juga yang memiliki sijil halal dikeluarkan kerajaan, tetapi menghidangkan makanan yang tidak halal atau dijual bercampur dengan makanan tidak halal.

''Setakat ini, kita kesan empat kes di negeri ini sejak tiga tahun lalu dan pesalah sudah dikenakan kompaun.

''Empat kes itu membabitkan restoran dan sebuah premis perniagaan menjual daging serta ayam," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di sini hari ini.

Daud berkata, logo halal yang dikeluarkan oleh JAIS adalah berwarna hijau dan menggunakan tulisan jawi, malah ia seragam di seluruh negeri.

Mengulas mengenai penggunaan sijil halal palsu pula, Daud yang juga Pengerusi Lembaga Baitulmal dan Waqaf berkata, setakat ini, tiada kes penggunaan sijil halal palsu dikesan di negeri ini.

Katanya lagi, beliau belum menerima atau ternampak pemilik premis makanan, premis penyimpanan makanan sejuk beku dan pusat penyembelihan yang menggunakan sijil halal palsu.

''Kalau didapati mereka yang menggunakan sijil halal palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972," tegasnya.

Pada masa yang sama, Daud mengingatkan pengguna Islam di negeri ini supaya berwaspada dengan penggunaan logo halal yang dipamerkan untuk produk import kerana ada sesetengah produk tidak mendapat pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut beliau, bukan semua produk import tidak halal, namun ada sesetengah daripadanya tidak memenuhi standard yang ditetapkan Jakim.

''Sehubungan itu, pengguna Islam di negeri ini perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati.

''Jika ada sebarang kemusykilan, sila hubungi pejabat JAIS atau Jakim bagi menentukan sama ada sesuatu produk itu halal atau sebaliknya," katanya.

Pada Selasa lalu, Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan memberitahu, sijil halal palsu boleh dibeli dengan harga antara RM800 dan RM1,000 setiap satu daripada dua syarikat.

Cubaan seludup bahan api gagal

Oleh IRDINA ILLYIAS
utusansabah@utusan.com.my

LAHAD DATU 10 Feb. - Pasukan Gerakan Marin (PGM) di sini berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar sejumlah 9,600 liter diesel dan petrol bernilai kira-kira RM16,500 dalam dua tangkapan di perairan Bohaydulang semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Lahad Datu, Asisten Supritendan Rusdin Banin berkata, turut dirampas dalam 'Operasi Tayang' itu adalah 10 tong gas dan dua bot yang digunakan untuk menyeludup keluar barang kawalan berkenaan.

Katanya, tangkapan pertama dibuat kira-kira pukul 1.10 pagi melibatkan sejumlah 4,000 liter diesel dan 1,000 liter petrol.

"Dua lelaki termasuk juragan bot masing-masing berusia 28 tahun ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri dan cuba menyeludup keluar barang kawalan itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Rusdin berkata, tangkapan kedua pula dilakukan kira-kira pukul 1.35 pagi, tidak jauh dari kawasan tangkapan pertama membabitkan sebuah lagi bot panjang.

Katanya, dalam tangkapan itu, PGM merampas sejumlah 3,800 liter diesel, 800 liter petrol dan 10 tong gas yang cuba diseludup keluar dari negara ini.

Menurutnya, dua lelaki termasuk juragan bot masing-masing berusia 27 dan 35 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau menambah, semua lelaki yang ditahan dan barang rampasan dihantar ke pangkalan PGM di sini dan kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, kedua-dua operasi itu dilakukan oleh sepasukan lima anggota PGM diketuai oleh Inspektor Ahmad Puad Othman.

Taktik simpan rokok dalam setor di hutan tumpas

KUALA TERENGGANU 10 Feb 2010 - Pemantauan serius oleh Kastam Diraja Malaysia (KDRM) terhadap kegiatan penyeludupan rokok haram menyebabkan aktiviti penyeludupan barangan larangan itu kini semakin tergugat.

Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, segelintir daripada mereka menggunakan taktik baru termasuk menyimpan barangan seludup dalam setor yang dibina di hutan sebelum diedarkan dengan kenderaan kecil.

Terbaru, KDRM Terengganu mematahkan cubaan menyeludup masuk 790 karton rokok kretek pelbagai jenama bernilai RM76,493.42 termasuk cukai RM58,555.02 pada Sabtu lalu.

Menurut Pengarah KDRM negeri, Datuk Azis Yacub, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru, Bandar Lama, Gua Musang, Kelantan pada pukul 8 malam itu, seorang lelaki berusia 33 tahun yang merupakan penghuni rumah tersebut turut ditahan.

Katanya, ini merupakan kes pertama pada tahun ini membabitkan pemantauan jabatannya sehingga ke negeri lain dalam usaha membanteras penyeludupan barangan haram itu.

"Kita telah membuat intipan dan mendapati sindiket ini memilih untuk menyimpan rokok tersebut di sebuah rumah untuk tempoh tertentu sebelum diedar secara berperingkat-peringkat dalam kuantiti sedikit bagi mengelak daripada dikesan.

"Dalam bulan ini saja, KDRM berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup barangan kawalan menggunakan taktik yang sama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Setia Mesra dan Perasmian Pejabat Penguatkuasaan di Panji Alam di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, sebanyak 15 buah kenderaan daripada pelbagai jenis yang dilucutkan hak kastam telah diserahkan kepada empat buah sekolah dan dua buah institut pendidikan untuk kegunaan rasmi mereka.

Mengulas lanjut, selain penyeludupan rokok tanpa permit, Azis turut memaklumkan tentang penahanan seorang lelaki berusia 50 tahun di Taman Fikri, Kemaman semalam kerana menjual arak tanpa lesen.

Katanya, sebanyak 38 botol arak pelbagai jenis bernilai RM400 turut dirampas manakala lelaki tersebut dikenakan kompaun sebanyak RM752.

MUTAKHIR 6 penjawat awam Pahang dihadap ke mahkamah kerana rasuah (10/2/10)

KUANTAN: Enam penjawat awam, secara berasingan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menerima rasuah membabitkan kes pengeluaran pasir dan bahan batuan.

Semua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.

Muhammad Nur Irwan Ramly, 31, Penolong Pegawai Tanah di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuantan didakwa menerima RM1,500 daripada Mat Seman Yusoff melalui Azhar Ismail sebagai dorongan untuk melindungi kegiatan pengeluaran bahan batuan secara tidak sah di Kuari Batu Panching di Restoran TB Corner Ikan Bakar, Tanjung Lumpur di sini pada jam 9.55 malam, 13 Julai tahun lalu.



Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan 15 Mac bagi sebutan semula kes itu.

Pekerja Rendah Awam di PTG Kuantan, Azmi Othman, 40, pula didakwa menerima RM500 daripada Mat Seman melalui Azhar sebagai dorongan tidak mengganggu operasi pengeluaran pasir di Kampung Pasir Kemudi, Jalan Sungai Lembing, di sini di Restoran Zuzana Indera Mahkota di sini pada jam 6.15 petang, 25 Jun tahun lalu.

Azmi juga didakwa menerima RM850 daripada Mat Seman melalui Azhar sebagai balasan tidak mengganggu operasi pengeluaran bahan batuan secara tidak sah di lombong kuari Batu Panching di Restoran Ana Ikan Bakar Petai di sini pada 7 malam, 8 Julai tahun lalu.

Hakim Mohd Fadir Harun menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan 26 April sebagai tarikh bicara.

Pekerja Rendah Awam di PTG Kuantan, Zakaria Mohamad, 49, pula menghadapi dua pertuduhan menerima masing-masing RM300 dan RM500 daripada Mat Seman melalui Azhar sebagai dorongan tidak mengganggu operasi pengeluaran pasir di Kampung Pasir Kemudi, Jalan Sungai Lembing, Kuantan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Zuzana di sini pada jam 11.30 pagi, 23 Jun 2009 dan di Restoran Bukit Bay Route, Kuantan jam 1.45 petang, keesokkan harinya.

Hakim Habibah Mohamed Yusof menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan 25 Februari sebagai tarikh sebutan semula.

Sementara itu, seorang anggota polis trafik Ab Malek Sulaiman, 42, dari cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Pahang menghadapi tiga pertuduhan menerima RM500 daripada Teoh Ting Keong sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap lori-lori mengangkut pasir Teoh, di mana tuduhan pertama dia didakwa melakukan kesalahan itu di kafe Hotel Seri Malaysia Kuantan pada 5 November 2009 jam 5.44 petang.

Dia turut didakwa menerima RM500 daripada Teoh bagi tujuan yang sama di kafe Hotel Megaview Kuantan jam 3.39 petang, 12 Disember tahun lalu dan menerima RM500 daripada Teoh melalui Lans Kpl Irwan Ishak di kafe Hotel Seri Malaysia di sini jam 12.30 tengah hari, 19 Januari lalu.

Hakim Irwan Suaibon menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan 3 Mac untuk sebutan semula kes.

Rakan setugas Ab Malek, Mahir Epandi Ahmad, 49, pula menghadapi dua pertuduhan menerima masing-masing RM500 daripada Teoh di kafe Hotel Seri Malaysia di sini jam 5.16 petang, 10 Julai tahun lepas dan pada 11.20 pagi, 6 Ogos 2009 di tempat yang sama sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap lori-lori mengangkut pasir Teoh.

Hakim Siti Aminah Ghazali mengenakan jaminan RMRM3,000 dengan seorang penjamin dan 1 Mac untuk sebutan semula kes.

Penolong Pegawai Tanah Rozlan Md Amin, 56, dari PTG Kuantan pula didakwa menerima RM1,500 daripada Mat Seman melalui Ibrahim Othman sebagai dorongan untuk melindungi kegiatan pengeluaran bahan batuan di lombong kuari Batu Panching.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik nombor 105 Hotel MS Garden Kuantan pada 2.20 petang, 1 Julai tahun lalu.

Hakim Hassan Abdul Ghani membenarkan dia diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh bicara dari 16 hingga 30 April.

Sementara itu, Rozlan turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Temerloh hari ini kerana didakwa menerima RM1,000 daripada Mat Seman bagi tujuan yang sama di Restoran McDonald's, Mentakab pada jam 5 petang, 19 Januari lalu.

Hakim Azuar Che Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan mengarahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan untuk dibicarakan serentak dengan kes pertama.

Keenam-enam mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh membayar ikat jamin masing-masing. - Bernama

Tuesday, February 9, 2010

Polis tahan 7 lelaki terbabit kegiatan Along palsu (10/2/10)

IPOH: Polis menahan tujuh lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan Along palsu yang menipu orang ramai yang ingin mendapatkan pinjaman kewangan.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata lelaki berumur antara 19 dan 48 tahun termasuk ketua sindiket itu ditahan dalam operasi sejak Oktober lalu hingga minggu lalu di Kampar, Ipoh, Kuala Kangsar serta Tangkak dan Batu Pahat di Johor.

"Polis turut merampas wang tunai RM13,000 yang dipercayai hasil penipuan mereka," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perbarisan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.



Zulkifli berkata, empat yang ditahan itu berasal dari Tangkak, dua dari Batu Pahat dan seorang dari Kuala Kangsar.

“Sindiket penipuan itu dipercayai bergerak aktif sejak Mei tahun lepas dengan menampal pelekat mempromosi khidmat memberi pinjaman wang kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Zulkifli berkata, mangsa yang menghubungi Along itu akan diminta mendepositkan kira-kira 10 peratus daripada jumlah pinjaman ke dalam akaun bank yang diberikan sebagai alasan potongan kadar bunga atau wang memproses.

"Apabila mangsa mengikut arahan dengan mendepositkan wang ke dalam akaun bank yang diberi, anggota sindiket terbabit akan menghilangkan diri," katanya.

Zulkifli berkata, polis menerima aduan dari 100 mangsa penipuan kumpulan itu sejak tahun lalu.

Polis kini mengesan seorang lelaki Sim Zeng Soon@Ah Soon, 23, beralamat terakhir di No 1082 Taman Tangkak Jaya, Johor bagi membantu siasatan kes itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu boleh menghubungi Asisten Superintendan Ng Swie Chait di nombor telefon 05-5452252 atau 012-3121632, katanya. - Bernama

Dua beranak mengaku tidak bersalah tipu pelabur RM21j

KUALA LUMPUR 9 Feb 2010 - Dua beranak yang merupakan pengarah syarikat Island Red Cafe Franchise Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini, atas tiga tuduhan melanggar Akta Syarikat 1965 melibatkan kerugian lebih RM21 juta.

Teow Wooi Huat, 44, selaku pengarah eksekutif syarikat tersebut dan anak lelakinya, Teow Chee Chow, 21, sebagai pengarah syarikat masing-masing menghadapi tiga tuduhan yang sama.

Mereka didakwa dengan niat menipu telah memperdayakan 93 individu untuk membuat pelaburan dalam program 'Island Red Cafe' yang menyebabkan wang sejumlah RM1,040,400 dibayar kepada syarikat tersebut.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 366(3) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Bagi tuduhan kedua, mereka didakwa telah sengaja melanggar peruntukan Seksyen 15(1)(d) akta tersebut iaitu mempelawa orang awam untuk mendepositkan wang berjumlah RM21,320,100 ke dalam akaun syarikat itu bagi tujuan memasuki program 'Island Red Cafe' untuk tempoh lima tahun.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 27(8) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27(8) akta tersebut.

Bagi tuduhan ketiga di bawah Seksyen 363(5) akta sama, mereka didakwa telah menawarkan kepada orang awam untuk membeli saham syarikat melalui program yang dikenali sebagai 'Program Island Red Cafe'.

Walhal sewaktu tawaran itu dibuat ia bukanlah perniagaan biasa yang menjalankan perniagaan jual-beli saham seperti yang dilarang di bawah Seksyen 363(3) akta tersebut.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di antara 1 Januari 2008 dan 28 Februari 2009 di syarikat tersebut yang beralamat di 5M, Jalan Pandan Indah 1/23B, Pandan Indah di sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif SSM sendiri, Datuk Azmi Ariffin.

Azmi menawarkan jaminan sebanyak RM250,000 terhadap Wooi Huat dengan dua penjamin.

Bagaimanapun, setelah Hakim Noradidah Ahmad mempertimbangkan rayuan tertuduh, beliau menetapkan jaminan RM100,000 dengan dua penjamin.

Sementara itu, bagi Chee Chow yang didakwa bersubahat bersama bapanya dibenarkan ikat jamin RM80,000 dengan dua penjamin.

Ketika rayuan, Chee Chow mendakwa dia masih menuntut di sebuah kolej swasta tempatan dan tidak tahu mengenai pengurusan syarikat yang dikendalikan bapanya itu.

Noradidah turut mengingatkan kedua-dua tertuduh, sekiranya mereka gagal menjelaskan jaminan tersebut hari ini, mereka bakal ditempatkan di Penjara Sungai Buloh.

Beliau menetapkan 9 Mac ini sebutan semula kes bagi memberi peluang kepada tertuduh melantik peguam bela.

Ketua PKPM, dua rakan menipu dihukum penjara

KUALA LUMPUR 9 Feb 2010 - Angkara terbukti melakukan konspirasi menipu orang awam, Ketua Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM), Nor Azami Ahmad Ghazali bersama dua bekas anggota lembaga amanah pasukan itu dihukum penjara antara 12 dan 18 bulan.

Nor Azami, 43, bersama bekas Pengarah Sumber Manusia Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Abdul Rahman Baba, 63; dan ahli perniagaan, Tengku Hamid Tengku Ismail, 77, menerima hukuman masing-masing setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Mohd. Nasir Nordin memutuskan demikian setelah mendapati Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh selepas mendengar keterangan daripada 27 saksi.

Beliau memerintahkan Nor Azami dan Abdul Rahman masing-masing dihukum penjara 18 bulan, manakala Tengku Hamid dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.

Hukuman tersebut adalah bagi kesalahan terlibat dalam konspirasi menipu orang awam agar mempercayai mereka bertindak mengambil ahli bagi pertubuhan berdaftar, Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM).

Sedangkan sebenarnya ia dilakukan untuk pertubuhan lain yang akan ditubuhkan.

Mereka didapati melakukan kesalahan itu antara 19 September 2002 dan 21 Jun 2003 di premis No. 07-1926, Jalan Besar Taman Bukit Angkasa, Pantai Hill Park di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 120b(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Di samping itu, Abdul Rahman dan Tengku Hamid dihukum penjara enam bulan setelah disabitkan atas kesalahan memalsukan dokumen iaitu surat pasukan PTCM.

Mereka didapati melakukan kesalahan itu pada 17 Oktober 2002 di Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar, Aras 3 Blok C5 Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Atas permohonan ketiga-tiga tertuduh, hukuman itu yang berkuat kuasa hari ini bagaimanapun berjaya ditangguhkan pelaksanaannya.

Ini bagi membolehkan mereka mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi setelah tidak berpuas hati dengan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan.

Cubaan rompak ATM bank gagal

SITIAWAN 9 Feb. - Cubaan sekumpulan penjenayah untuk melarikan wang tunai daripada beberapa buah mesin pengeluar automatik (ATM) di sebuah bank di Kampung Koh di sini, gagal selepas alat penggera bank itu berbunyi, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, kejadian itu dikesan berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi semalam.

"Pada mulanya, polis yang bergegas ke kawasan kejadian mendapati tiada sebarang kejadian mencurigakan berlaku di bank tersebut.

"Bagaimanapun, pada pukul 8.30 pagi semalam, pegawai bank yang ingin memulakan tugasnya mendapati pintu premis itu terkunci dari dalam.

"Beliau kemudian menuju ke pintu belakang dan terkejut apabila mendapati pintu belakang bank berkenaan tidak berkunci kerana sudah diumpil," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, penjenayah berkenaan memasuki bank terbabit melalui pintu belakang yang diumpil dan cuba memecahkan ATM tetapi tidak berjaya.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan, polis turut mengesan beberapa kesan tompokan darah dalam bank berkenaan dipercayai kesan luka yang dialami penjenayah ketika memecah mesin ATM.

Menurut Mohd. Jamil, walaupun bank itu memiliki kamera litar tertutup (CCTV), namun ia sukar untuk merakamkan wajah penjenayah itu kerana keadaan sekeliling di tempat kejadian ketika itu gelap.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pengusaha bank, kedai emas dan pajak gadai di daerah ini supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan terutamanya menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Sindiket palsu kad diesel tumpas

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my



Roslee Chik (kiri) menunjukkan kad diesel bersubsidi yang dipercayai palsu digunakan oleh sindiket pengklonan selepas tertangkapnya tiga lelaki tempatan di sebuah stesen minyak di Mergong, Kedah pada sidang akhbar mengenai rampasan pelbagai jenis kad kredit palsu di IPK Pulau Pinang, semalam. -BERNAMA

--------------------------------------------------------------------------------



PULAU PINANG 9 Feb. - Penangkapan tiga lelaki tempatan di sebuah stesen minyak di Mergong, Kedah pada Jumaat lalu berjaya membongkar satu sindiket pengklonan kad diesel bersubsidi milik syarikat RapidPenang Sdn. Bhd. (RapidPenang).

Dalam tempoh tiga bulan, syarikat itu mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM900,000 akibat tindakan sindiket itu yang memalsukan kad diesel subsidi miliknya untuk kegunaan sendiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, kesemua suspek yang berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu ditahan ketika sibuk menjalankan 'operasi' mengklonkan kad diesel bersubsidi milik syarikat pengangkutan itu berdekatan sebuah stesen minyak kira-kira pukul 11.30 malam.

"Kita menjalankan siasatan setelah menerima laporan daripada RapidPenang bahawa mereka kerugian sebanyak RM900,000 dalam tempoh Julai hingga Oktober tahun lalu angkara pihak tertentu yang memalsukan akaun milik syarikat.

"Kita percaya sindiket ini mendapat bantuan pekerja di stesen minyak di sekitar negeri ini yang membekalkan diesel subsidi kepada RapidPenang bagi menjayakan taktik kotor mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Menurut Roslee, hasil siasatan polis, pekerja di stesen minyak tersebut akan membekalkan data akaun asal kepada sindiket ini yang kemudiannya dipindahkan ke komputer riba milik mereka yang mempunyai sistem untuk mengklon data.

Katanya, data itu kemudiannya dipindahkan ke dalam kad minyak syarikat pengusaha minyak lain untuk kemudahan suspek.

"Diesel subsidi itu kemudian dijual kepada pihak ketiga pada harga yang lebih tinggi," katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas 32 keping kad minyak milik pelbagai jenis pengusaha minyak diesel, mesin pengesan data, komputer riba dan alat pengimbas kad ketika menahan kesemua suspek.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengesan pekerja stesen minyak yang bersubahat dengan sindiket berkenaan dan mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan suspek.

Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 11 Februari ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu, katanya.

Bank Negara serbu STG

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia mula menyiasat Semangat Teknologi Gagah Sdn Bhd (STG) dan syarikat yang berkaitan dengannya kerana disyaki menjalankan kegiatan mengambil deposit secara haram.

"Serbuan terhadap STG dan syarikat yang berkaitan dengannya dibuat pada 4 Februari lalu di premis syarikat di Kuala Lumpur and Selangor, berikutan aduan yang diterima daripada orang ramai," menurut bank pusat itu dalam satu kenyataan.

Syarikat disyaki menjalankan kegiatan pengambilan deposit secara haram yang melanggar subseksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) dan subseksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).



Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dengan skim pengambilan deposit dan skim pelaburan yang ditawarkan melalui pelbagai saluran seperti Internet, panggilan telefon, atau seminar anjuran individu atau syarikat yang tidak diberikan lesen, diluluskan atau dibenarkan oleh Bank Negara.

Orang ramai boleh merujuk kepada senarai institusi berlesen yang dibenarkan untuk mengambil deposit di laman web Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my).

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Bank Negara Malaysia di pusat perhubungan di BNMTELELINK (Pusat Perhubungan Pelanggan) di 1-300-88-5465 atau e-mel bnmtelelink@bnm.gov.my. - Bernama

Monday, February 8, 2010

Peranan Wan Azizah dipersoal

KUALA LUMPUR 8 Feb 2010 - Peranan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mula dipersoalkan kerana masih belum membuat sebarang penjelasan berhubung dakwaan pemilikan saham Azmin Ali dan isterinya, Shamsida Taharin yang dikatakan mencecah RM8 juta.

Bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak berkata, perkara itu tidak boleh dianggap sebagai isu peribadi kerana Azmin pada masa ini adalah Naib Presiden parti itu.

Tambahan pula katanya, pemberian saham berkenaan dikatakan berlaku ketika Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar memegang portfolio Menteri Kewangan.

"Wan Azizah kena jelaskan isu ini, adakah dia tidak terfikir kenapa Azmin dan Shamsida diberi keistimewaan sedemikian rupa dan rakyat pula mahu tahu sama ada dakwaan berkenaan benar atau tidak.

"Jika tiada penjelasan semua orang akan tertanya-tanya dan ia akan menjejaskan imej parti, pada saya apa guna memegang jawatan presiden jika tidak mampu mempertahankan parti sendiri" katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada November tahun lalu, Pengerusi Yayasan Belia India Malaysia, S.A Vigneswaran mendedahkan beliau memiliki dokumen berkaitan pembelian saham berkenaan.

Ekoran pendedahan itu, Anuar Shaari yang merupakan bekas setiausaha sulit Anwar telah menyerahkan kesemua dokumen berkaitan serta memberikan keterangan kepada polis yang kemudiannya dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Anuar juga menamakan beberapa individu yang didakwa terlibat dalam pemilikan saham itu termasuk Anwar, kerana dokumen-dokumen bertarikh 1992 hingga 1994 tersebut berlaku ketika Ketua Pembangkang itu memegang portfolio Menteri Kewangan.

Sementara itu, Saidatul Badru turut mempersoalkan adakah Wan Azizah takut untuk membuat penjelasan kerana isu itu membabitkan Anwar yang juga suaminya.

Katanya, jika status hubungan suami isteri mahu diambil kira maka Wan Azizah sepatutnya membuat penjelasan bagi membersihkan imej suami sekiranya mereka berada di pihak yang benar.

Tegasnya, jika tidak mahu menegakkan kebenaran maka adalah lebih baik sekiranya Wan Azizah mengundurkan dirinya daripada jawatan itu bagi memberi laluan kepada pemimpin yang lebih layak.

"Kalau ada perkara yang mahu diselindungi, lebih baik berhenti dan duduk di rumah sahaja sebagai isteri.

"Tiada gunanya berada menjadi presiden parti jika sekadar menjadi 'perhiasan' struktur kepimpinan, pada saya adalah lebih baik dia menjadi 'perhiasan' rumah tangganya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyifatkan Wan Azizah sebagai seseorang yang telah gagal memanfaatkan peluang untuk membuktikan keupayaan kaum wanita di negara ini.

Lebih malang lagi katanya, peluang itu gagal dimanfaatkan sewaktu dia diberi kepercayaan untuk mengetuai sebuah parti politik kerana ia adalah satu pencapaian yang tidak pernah dilakar oleh mana-mana wanita di negara ini.

Sorok gula belakang botol arak tumpas (8/2/10)

SEORANG anggota penguat kuasa memeriksa gula yang disorok oleh peniaga di salah sebuah kedai runcit di Kinarut, Kota Kinabalu, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA KINABALU 8 Feb 2010 - Helah beberapa peniaga menyorok gula di belakang botol arak dan tin biskut terbongkar apabila diserbu pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam operasi semalam.

Pengarah KPDNKK negeri, Jaafar Walad berkata, kebanyakan peniaga berkenaan berbuat demikian kerana ingin mengaut keuntungan lebih, ekoran khabar angin menyatakan akan berlaku kenaikan harga bahan keperluan itu.

"Apabila pihak kami melakukan samaran membeli gula di premis itu, peniaga berkenaan menyatakan ia tiada, tetapi ketika serbuan kita menemui berkarung-karung bahan tersebut di premis mereka.

"Kebanyakan peniaga menggunakan modus operandi yang sama iaitu menyorok gula di sebalik bungkusan botol arak dan tin biskut," katanya di sini semalam.

Jaafar berkata, peniaga tersebut akan didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyorok barang kawalan iaitu gula.

Beliau menambah, dalam operasi di Papar dan beberapa kawasan sekitar pusat bandar, kira-kira 1.5 tan dianggarkan bernilai RM2,693 dirampas daripada peniaga tidak bertanggungjawab itu.

"Di Papar sebanyak 720 kilogram bekalan gula dirampas di dua premis, diikuti Inanam 324 kg dan Menggatal sebanyak 278 kg.

"Semalam kami berjaya merampas sebanyak 200 kg gula di dua premis di Kinarut dan Kolombong," katanya.

Beliau berkata, peniaga dinasihatkan supaya mengutamakan kepentingan pengguna dan tidak cepat terpengaruh dengan khabar angin bagi mengaut keuntungan yang lebih besar.

"Proses samaran akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengesan peniaga yang tidak bertanggungjawab itu," ujarnya.

38 warga asing ditahan disyaki terbabit aktiviti perdagangan manusia (8/2/10)

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan seorang lelaki warga Singapura dan 37 warga asing lain, termasuk dua kanak-kanak daripada Filipina dan Vietnam, dua hari lalu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perdagangan manusia.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata anggota polis telah menyerbu sebuah rumah di Taman Universiti, Skudai, yang menempatkan kesemua warga asing itu.

"Warga Singapura yang ditahan itu telah ditahan reman lima hari untuk siasatan, manakala semua 37 warga asing lain negara termasuk dua kanak-kanak itu telah dihantar ke rumah perlindungan di Kuala Lumpur.



"Polis masih lagi menyiasat peranan yang dimainkan oleh warga Singapura itu," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melakukan rondaan jalan kaki bersama pegawai kanan polis Johor di sekitar Jalan Meldrum, di sini hari ini.

"Warga asing itu mahu di bawa ke sebuah negara lain," katanya sambil menambah polis Johor tidak akan membenarkan negeri ini dijadikan pusat transit oleh mana-mana pihak yang terlibat di dalam aktiviti jenayah perdagangan manusia.

Beliau berkata siasatan awal polis menunjukkan kesemua warga Filipina dan Vietnam terbabit memiliki passport dan telah memasuki negara ini menggunakan pintu masuk negara yang sah.

Polis Johor katanya akan menyiasat kes berkenaan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

Sementara itu, Mohd Mokhtar turut mengumumkan kejayaan polis menumpaskan kumpulan samun berikutan tertangkapnya empat lelaki berusia lingkungan 26 hingga 37 tahun di Kampung Majidee, Johor Baharu Jumaat lalu.

"Dengan tertangkapnya lelaki terbabit yang kini direman sehingga 12 Februari depan," katanya polis berkeyakinan ia telah menyelesaikan 28 kes samun di kawasan-kawasan taman di Johor Baharu.

Mohd Mokhtar berkata polis merampas empat bilah parang, satu set telefon bimbit dan satu beg sandar daripada suspek yang turut disahkan positif penagih dadah. - Bernama

Seludup pasir: 3 penjawat awam didakwa rasuah (8/2/10)

JOHOR BAHRU: Tiga penjawat awam, secara berasingan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menerima rasuah, masing-masing sebanyak RM2,000, RM4,000 dan RM1,900, membabitkan kes penyeludupan pasir.

Pegawai Kastam Suhaimi Abdul Wahab, 36, Abdul Ghani Hitam, 37, dari Jabatan Tanah dan Galian Johor dan Md Noor Md Yatim, 54, dari Cawangan Khidmat Sokongan Marin di Tanjung Surat, Kota Tinggi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.

Suhaimi dari cawangan eksport Jabatan Kastam di Kompleks Sultan Abu Bakar di Gelang Patah, didakwa menerima RM2,000 daripada Sendry Ugi, 34, di sebuah bilik di Hotel Grand Blue Wave di sini pada jam 5.20 petang, 28 Mei tahun lalu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lima buah lori yang menyeludup pasir ke Singapura.

Abdul Ghani, dari Jabatan Tanah dan Galian Kota Tinggi didakwa menerima RM500 dikatakan bagi pihak Ali Hafiz Naimat, 26, daripada Zacharias Kho di sebuah bilik di hotel yang sama pada jam 8.45 petang, 10 September tahun lalu sebagai balasan bagi mempercepatkan pemprosesan permohonan Lesen Pendudukan Sementara sebidang tanah di Sungai Lebam in Pengerang, Kota Tinggi.

Tanah itu dikatakan digunakan untuk kegiatan menggali pasir.

Hakim Muhammad Jamil Hussin menetapkan jaminan RM5,000 dan seorang penjamin bagi kedua-dua tertuduh dan 8 Mac bagi sebutan semula kes itu.

Di Mahkamah Sesyen lain, Abdul Ghani menghadapi dua lagi tuduhan iaitu menerima suapan berjumlah RM1,400 daripada Kho untuk tujuan yang sama di SDS Cake House Sdn Bhd, Kota Tinggi pada 23 Jun, 2009 dan di Hotel Grand Blue Wave pada 15 Oktober tahun lalu.

Md Noor pula didakwa menerima rasuah sebanyak RM2,000 daripada Wong Yun Fui, 32, di hotel yang sama 6.40 petang, 9 September lalu, sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas kapal yang membawa pasir yang digunakan oleh Ong Chee Boon, 40.

Dia juga didakwa menerima rasuah sebanyak RM2,000 lagi daripada Wong di Maybank Berhad di Taman Tiram Baru, Ulu Tiram, jam 8.30 malam, 18 Januari tahun ini bagi tujuan yang sama.

Hakim Aliman Musri menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 untuk Abdul Ghani dan menetapkan 8 Mac bagi sebutan semula kes manakala ikat jamin RM8,000 bagi Md Noor dan menetapkan 26 April bagi sebutan semula kes.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh membayar ikat jamin masing-masing. - Bernama

Sunday, February 7, 2010

Stesen minyak langgar arahan jual minyak subsidi lebih kuota disita

ALOR SETAR 7 Feb 2010 - Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya, menyita sebuah stesen minyak di Changlun semalam, kerana menjual minyak bersubsidi melebihi kuota kepada kenderaan asing.

Sepasukan tujuh pegawai dari ibu pejabat KPDNKK di Putrajaya menyerbu stesen minyak di Jalan Changlun-Sintok 8.30 pagi semalam dan menyita 21,390 liter petrol dan 15,260 liter diesel, kesemuanya bernilai kira-kira RM64,000.

Jurucakap KPDNKK Putrajaya yang dihubungi hari ini berkata, pengusaha stesen tersebut disyaki menjual minyak bersubsidi melebihi 20 liter kepada kenderaan asing berikutan larangan kerajaan berhubung perkara itu bagi stesen minyak yang terletak dalam lingkungan 50 kilometer dari pintu sempadan negara pada 16 Disember lepas.

"Kami mendapati jualan harian stesen tersebut sangat tinggi sejak larangan itu dikuatkuasakan dan mengesyaki sesuatu lalu membuat intipan untuk mendapatkan bukti sebelum membuat serbuan.

"Hasil serbuan itu kami mendapati satu pam dibina di bahagian belakang bangunan dan satu hos panjang yang dipercayai digunakan bagi mengisi minyak ke dalam kenderaan," katanya.

Beliau berkata, hos tersebut disambungkan kepada pam tetapi penghujungnya diletakkan di dalam longkang dipercayai untuk mengaburi orang ramai.

Katanya, siasatan awal mendapati pengusaha stesen itu menjual petrol dan diesel dalam kuantiti yang banyak kepada pemilik kenderaan asing dan merupakan stesen pertama di Kedah disita KPDNKK atas kesalahan itu.

Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Kesalahan membabitkan individu boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM250,000, katanya. - BERNAMA

Saturday, February 6, 2010

3 beranak, pasangan kekasih ditahan bersama 13 guni daun ketum

BESUT 6 Feb 2010 - Polis menahan lima individu iaitu tiga beranak dan pasangan kekasih bersama 13 guni daun ketum dalam satu serbuan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria berkata, pasangan kekasih itu dipercayai bertindak sebagai pembekal daun ketum yang dibawa masuk dari luar negeri ini.

Katanya, pembeli yang terdiri daripada tiga beranak itu merupakan pasangan suami isteri beserta seorang anak lelaki mereka dari Kampung Kolam, dekat sini sebelum ini pernah ditahan kerana kesalahan yang sama.

Ketika serbuan, kira-kira pukul 10.30 malam semalam, kesemua suspek sedang berurusan di sebuah rumah manakala daun ketum dipercayai baru dipunggah dari kenderaan.

Bercakap pada sidang akhbar di IPD Besut di sini semalam, Kamarudin berkata, kesemua daun ketum bernilai kira-kira RM3,200 itu dipercayai untuk diproses sebelum dijual di pasaran tempatan.

"Rampasan ini merupakan yang terbesar dalam tempoh tiga tahun dan polis akan meneruskan gerakan membanteras kegiatan penjualan daun ketum," katanya.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama tiga hari dan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun.

KPDNKK Sabah rampas 1.52 tan gula disorok (6/2/10)

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah merampas 1.52 tan gula yang dipercayai disorok enam peniaga dalam operasi bersepadu awal bulan ini sehingga semalam, sekali gus membuktikan wujud kegiatan menyorok bekalan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarahnya, Jaafar Walad, berkata rampasan terbesar adalah 720 kilogram (kg) gula di dua premis di sini, kelmarin dan diikuti 324 kg di Inanam, Kota Kinabalu, 278 kg (Menggatal, Kota Kinabalu) serta masing-masing 100 kg di Sabindo, Lok Kawi, dan Kolombong, Kota Kinabalu.

Katanya, pihaknya akan menyerahkan kes itu kepada Timbalan Pendakwa Raya Persekutuan untuk difailkan di mahkamah.



Beliau berkata, peniaga terbabit dipercayai menyorok bekalan untuk memastikan harga gula naik dan mereka akan memperoleh pulangan lumayan.

"Kita yakin kegiatan menyorok bekalan gula untuk memastikan harga barang kawalan harga itu dinaikkan oleh kerajaan dan menikmati keuntungan segera," katanya selepas operasi pemeriksaan premis kedai runcit dan pasar raya oleh pegawai dan kakitangan KPDNKK, di sini dan Kolombong, semalam.

Dalam operasi tiga jam itu, KPDNKK Sabah merampas 200 kg gula masing-masing 100 kg di Sabindo dan Kolombong.

Jaafar berkata, pegawai kementerian menyamar sebagai orang awam untuk bertanya sama ada kedai runcit atau pasar raya menjual gula.