Saturday, January 30, 2010

Tempah besi buruk RM840,000 dapat arang, tanah

KUALA LUMPUR 30 Jan 2010 – Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian apabila hanya menerima arang dan tanah selepas dia menempah sejumlah besi buruk yang bernilai hampir RM840,000 dari Manila, Filipina baru-baru ini.

Lelaki itu yang menjalankan perniagaan memproses besi buruk di Sungai Besi, datang ke Manila pada 8 Januari lalu untuk membeli besi buruk seberat kira-kira 151,000 kilogram.

Setelah membayar RM837,500 untuk pembelian itu, penghantaran tempahan tersebut yang menggunakan lapan buah kontena, sepatutnya tiba di Pelabuhan Klang kelmarin.

Mangsa dikatakan hanya menyedari dirinya tertipu semalam apabila mendapati dua daripada kontena yang tiba itu bukan berisi besi buruk, sebaliknya penuh dengan muatan arang dan tanah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu.

Menurutnya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan semalam dan polis membuka siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

RM56,000 benih kerang cuba diseludup dirampas (30/1/10)

Oleh Rashidi Karim
Sepasang suami isteri, remaja antara lima ditahan APMM

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima penyeludup, termasuk sepasang suami isteri dan seorang remaja kerana disyaki cuba menyeludup benih kerang bernilai hampir RM56,000 dan diesel menerusi laluan laut dalam dua kejadian berasingan di perairan Kuala Perlis, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 10.40 malam, tiga lelaki, termasuk seorang remaja lelaki warga Thailand ditahan bersama 93 guni benih kerang seberat kira-kira 4,000 kilogram (kg) yang disorok dalam sebuah bot nelayan dipercayai dipunggah dari pengkalan haram, satu batu nautika dari pantai Kuala Perlis.



Sejam selepas itu, sepasang suami isteri warga Thailand berusia 54 dan 62 tahun ditahan anggota penguat kuasa sama di lokasi berdekatan ketika cuba menyeludup diesel dan minyak masak yang disorok di bawah timbunan sampah dan barangan kitar semula menggunakan bot.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 1 Langkawi, Kapten Abdul Rahim Abdullah, berkata tiga awak-awak di dalam bot terbabit, termasuk seorang remaja ditahan kerana disyaki cuba menyeludup benih kerang bernilai RM55,800 yang dibawa dari Selangor.

“Dua suspek berusia 28 dan 42 tahun berkenaan adalah warga tempatan manakala remaja berusia 17 tahun pula dari negara jiran kini ditahan untuk siasatan.

“Sebelum itu, suspek cuba melanggar bot laju Kilat 5 dinaiki anggota APMM ketika cuba melarikan diri sebelum ditahan bot Kilat 6 yang berpangkalan di Langkawi, kira-kira 500 meter menghampiri perairan negara jiran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM di Kuala Perlis, semalam.

Friday, January 29, 2010

Lelaki menyamar ditahan

ALOR SETAR 29 Jan 2010 – Berbekalkan kata-kata konon dirinya berketurunan kerabat Diraja Kedah, seorang lelaki berjaya memperdaya mangsa hingga mengakibatkan kerugian puluhan ribu ringgit.

Malah suspek turut bijak dalam sandiwaranya dengan mendakwa kononnya dia boleh menawarkan projek mewah kepada mangsa berdasarkan status dirinya itu.

Bagaimanapun, suspek yang merupakan orang yang amat dikehendaki polis kerana melakukan penipuan itu sejak tahun lalu, akhirnya diberkas di sebuah rumah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab ketika mengesahkan perkara itu berkata, suspek yang berusia 30-an dikehendaki polis kerana menipu orang ramai.

“Kami menerima beberapa laporan mengenai suspek yang menyamar sebagai anak kerabat Diraja Kedah,” ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.

3 didakwa kes seludup pasir (29/1/10)

Oleh Mohd Zin Ali
mdzin@nstp.com.my




JOHOR BAHRU: Dua pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Johor dan seorang kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor dihadapkan secara berasingan di Mahkamah Sesyen, di sini semalam, kerana didakwa menerima suapan berhubung kes penyeludupan pasir ke Singapura tahun lalu.



Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh terbabit, Syahrol Md Zain, 31; Kamarudin Ismail, 49; kedua-duanya pegawai KDRM Johor dan Johari Ahmad, 41; kakitangan PTG Johor yang didakwa di kamar berasingan tidak mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Hakim Muhammad Jamil Hussin memerintahkan Syahrol yang menghadapi dua pertuduhan dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan kes akan disebut semula pada 9 Mac depan.

Syahrol yang Pembantu Penguasa Kastam (W17) didakwa menerima suapan sebanyak RM2,400 daripada Sendry Ugi, 34, supaya tidak mengambil tindakan ke atas tiga lori yang menyeludup pasir ke Singapura di Bilik 1252, Hotel The Zon, di sini pada jam 1.15 tengah hari, 10 Julai tahun lalu.

Beliau juga didakwa menerima suapan sebanyak RM3,200 daripada Sendry supaya tidak mengambil tindakan ke atas empat lori yang menyeludup pasir ke Singapura di Bar Trevi Lounge, Hotel Grand Blue Wave, di sini pada jam 7.37 malam, 5 Ogos tahun lalu.

Dalam perbicaraan berasingan, Hakim Salawati Djambari juga memerintahkan Kamarudin yang dikenakan tiga pertuduhan membayar wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan kes akan dibicarakan pada 10 hingga 12 Mei 2011.

Kamarudin yang juga Penguasa Kastam yang bertugas di Bahagian Perkhidmatan Teknik Menara Kastam didakwa menerima rasuah sebanyak RM500 daripada Zacharias Kho sebagai dorongan untuk mempercepat dan mempermudahkan permohonan penjenisan barangan yang dikemukakan kepada Bahagian Perkhidmatan KDRM Johor di Bindu Curry House, Jalan Abdul Samad, kira-kira jam 6 petang, 23 Julai tahun lalu.

Pada satu lagi perbicaraan, Hakim Aliman Musri pula memerintahkan Johari yang juga pekerja awam gred R1 di PTG Johor yang menghadapi satu pertuduhan diikat jamin RM6,000 dan menetapkan perbicaraan pada 26 Mac ini.

Beliau menghadapi pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM800 daripada Sendry Ugi sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas empat lori yang menyeludup pasir di Bilik 1005, Hotel Grand Blue Wave, di sini pada jam 4.09 petang, 6 Ogos tahun lalu.

Anasir jahat guna dokumen palsu mohon VOA, visa pelajar (29/1/10)

KUALA LUMPUR: Pengeluaran visa waktu ketibaan (VOA) dan visa pelajar yang tidak dikawal, khususnya kepada warga Afrika dan Asia Barat, dipercayai antara punca negara ini mudah ‘ditembusi’ rakyat asing, termasuk anasir jahat.



Difahamkan, ada antara mereka sanggup mengambil risiko menggunakan dokumen perjalanan palsu ketika memohon VOA semata-mata untuk memudahkan mereka keluar masuk negara ini, selain menyembunyikan tujuan sebenar kunjungan mereka.

Sumber memberitahu Berita Harian, dalam proses permohonan kedua-dua visa itu, memang sukar untuk dipastikan sama ada ia dimohon oleh pelancong dan pelajar yang sah, atau sekadar mengaburi identiti sebenar untuk kegiatan haram mereka.

“Ini yang menjadi masalah, sebab tiada kawalan terhadap pengeluaran kedua-dua visa itu, selain kelemahan dari segi pemantauan. Kita memang tidak tahu dalam ramai-ramai yang memohon itu, siapa sebenarnya pelancong dan pelajar sah.

“Kita percaya kesempatan ini yang digunakan rangkaian pengganas antarabangsa untuk keluar masuk Malaysia,” kata sumber itu.

Pada 21 Januari lalu, 42 lelaki dipercayai suspek pengganas ditahan di dua rumah di Kampung Sungai Chincin, Gombak dalam serbuan Pasukan Khas (Operasi/Antipengganas) Bukit Aman hasil maklumat risikan.

Bagaimanapun, 32 daripadanya dibebaskan tanpa syarat selepas disoal siasat, manakala 10 lagi, termasuk seorang rakyat tempatan ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut sumber, kumpulan terbabit dipercayai menyalahgunakan visa masing-masing untuk memasuki negara ini secara sah, sekali gus memastikan pergerakan mereka tidak menimbulkan syak kepada pihak berkuasa.

“Kita percaya mereka sengaja memilih kampung itu kerana lokasinya agak terpencil, selain mempunyai komuniti Arab dan Afrika di situ. Ini satu kelebihan kepada mereka untuk melindungi kegiatan pengganas yang dilakukan,” katanya.

Sumber berkata, tidak semua suspek pengganas atau penjenayah antarabangsa boleh dikesan atau ditahan.

“Biasanya, Interpol akan memaklumkan kepada kita jika ada senarai individu dikehendaki mereka untuk pelbagai kes jenayah, termasuk kegiatan pengganas. Ia selalunya dimaklumkan kepada Interpol Malaysia di Bukit Aman.

“Namun, bagaimana kita mahu mengesan penjenayah atau pengganas jika mereka memalsukan identiti dan mengubah imej. Mereka pun bijak dan sentiasa mempunyai helah untuk mengelak dari ditangkap,” katanya.

Sementara itu, Kedutaan Syria di sini dalam satu kenyataan, semalam, mengesahkan sudah dimaklumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penahanan warganya dalam serbuan, Khamis minggu lalu lalu.

Kenyataan itu menyebut: “Kerajaan Syria memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa di Malaysia dalam menjamin keselamatan dan kestabilan negara ini.”

Dalam kenyataan itu, Syria turut mengulangi pendiriannya menentang keganasan global.

Dua anggota Kastam, seorang kakitangan PTG didakwa rasuah

Dari kiri: Penguasa Kastam, Kamarudin Ismail, Pembantu Penguasa Kastam, Syahrol Md.Zain dan pekerja rendah awam gred R1, Johairi Ahmad mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah berhubung kegiatan penyeludupan pasir ke Singapura.

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 29 Jan 2010 – Dua anggota Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan seorang kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah berhubung kegiatan penyeludupan pasir ke Singapura, tahun lalu.

Penguasa Kamarudin Ismail, 49; Pembantu Penguasa Syahrol Md. Zain, 31, dan pekerja rendah am di Pejabat Pengarah PTG, Johairi Ahmad, 41, mengaku tidak bersalah atas tuduhan masing-masing ketika dihadapkan ke tiga mahka mah berasingan .

Kamarudin dari Bahagian Perkhidmatan Teknik, Menara Kastam Johor menghadapi tiga tuduhan menerima suapan daripada Zacharias Kho bagi mempercepat, melulus dan memudahkan permohonan penjenisan barangan yang dikemukakan ke bahagian tersebut.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa menerima wang tunai RM500 kira-kira pukul 6 petang, 23 Julai tahun lalu di Restoran Bindu Curry House manakala tuduhan kedua, didakwa menerima RM500 lagi kira-kira pukul 7 malam, 14 Ogos tahun lalu di restoran yang sama.

Tuduhan ketiga pula, dia didakwa menerima wang tunai RM2,500 di bilik 1302, Hotel Grand Blue Wave, di sini kira-kira pukul 8 malam, 7 September tahun lalu.

Kamarudin yang diwakili peguam Khairul Aswat dibenarkan diikat jamin RM5,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan. Hakim Salawati Djambari menetapkan perbicaraan bermula 10 Mei tahun depan.

Syahrol daripada Bahagian Pencegahan pula menghadapi dua tuduhan rasuah daripada Sendry Anak Ugi atau Ah Sim, 33, sebagai upah tidak mengambil tindakan terhadap tujuh buah lori yang menyeludup pasir ke Singapura.

Dia didakwa menerima suapan wang tunai RM2,400 di bilik 1252, Hotel The Zon di sini kira-kira pukul 1.15 tengah hari, 10 Julai 2009 dan pada pukul 7.37 petang, 5 Ogos 2009 di Bar Trevi Lounge, Hotel Grand Blue Wave, di sini.

Hakim Muhamad Jamil Hussin menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 terhadap Syahrol sementara menunggu sebutan semula pada 9 Mac depan.

Sementara itu, Johairi dituduh menerima suapan wang tunai RM800 daripada Sendry di bilik 1005, Hotel Grand Blue Wave di sini pada pukul 4.09 petang, 6 Ogos tahun lalu.

Suapan tersebut didakwa sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas empat buah lori yang menyeludup pasir ke Singapura.

Hakim Aliman Musri membenarkan Johairi diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula pada 26 Mac depan.

Ketiga-tiga mereka dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan terhadap ketiga-tiga tertuduh dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurfazlin Hamdan.

Thursday, January 28, 2010

Sindiket jual haiwan liar guna Internet tumpas

SHAH ALAM 28 Jan 2010 – Cubaan tiga lelaki menjual hidupan liar melalui iklan dalam Internet tumpas setelah mereka ditahan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, baru-baru ini.

Berikutan kejayaan itu, Perhilitan merampas lapan ekor haiwan yang dilindungi, antaranya ular senduk, ular sawa Boa, burung murai batu, burung kelicap dan iguana yang kesemuanya dianggarkan bernilai hampir RM30,000.

Kegiatan yang melanggar Akta Perlindungan Hidupan Liar 1976 tersebut dikesan hasil pemantauan jabatan itu dalam beberapa laman web yang menjalankan aktiviti perdagangan seperti mudah.my dan adpost.com sebulan lalu.

Pengarah Perhilitan Selangor, Rahmat Topani berkata, tiga lelaki terbabit ditahan dalam serbuan berasingan selepas pihaknya menyamar sebagai pembeli haiwan itu.

Beliau berkata, dua daripada mereka ditangkap di Taman Maluri, Kuala Lumpur dan Bandar Baru Bangi pada 23 Januari lalu.

Menurut beliau, ketika ditahan, Perhilitan menemui seekor burung kelicap dan dua ekor burung murai batu dalam rumah dan kenderaan kedua-dua lelaki berkenaan.

Serbuan ketiga pula, katanya, dilakukan kelmarin di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Bukit Tinggi, Klang.

“Dalam serbuan itu, kita menemui dua ekor iguana dalam kereta suspek. Susulan tangkapan itu, Perhilitan menyerbu rumah suspek di Klang dan menemui seekor biawak, ular senduk, ular sawa darah, ular Boa ekor merah dan ular sawa Burma,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Perhilitan Selangor di sini hari ini.

Menurut Rahmat, kesemua hidupan liar itu diserahkan kepada pejabat Perhilitan Cheras dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Hidupan Liar 1976 (Akta 76).

Kata beliau, suspek dua kes pertama sudah dikenakan kompaun manakala suspek kes ketiga dibebaskan dengan jaminan sehingga 25 Februari ini bagi sebutan kes di Mahkamah Klang.

Tambahnya lagi, setiap hidupan liar yang dirampas mempunyai nilai pasaran tinggi berikutan sukar ditemui di negara ini.

“Misalnya ular sawa Burma, kita anggarkan boleh dijual pada harga lebih RM10,000 seekor, ular sawa Boa (RM8,000), ular sawa darah (RM3,000), ular senduk (RM3,000) dan biawak (RM500),” jelasnya.

Pendedahan mengejut PPB

KUALA LUMPUR 28 Jan 2010 – Krisis dalaman Petra Perdana Bhd. (PPB) yang berpunca daripada tidak berpuas hati berhubung pelupusan saham Petra Energy Bhd. (PEB) kini semakin ‘menarik’ berikutan beberapa pendedahan yang mengejutkan.

Pendedahan itu merupakan hasil daripada keputusan awal yang diperoleh konsultan luar dan bebas yang dilantik 13 Januari lalu untuk mengurus dan mengkaji operasi PPB.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Datuk Ibrahim Petra Tengku Indra Petra berkata, ia membabitkan persoalan mengenai akauntabiliti Shamsul Saad sebagai Pengarah Eksekutif syarikat berkenaan.

Menurut beliau, sembilan persoalan itu perlu dijawab oleh Shamsul kepada para pemegang saham semasa mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan pada 4 Februari ini.

Sembilan persoalan itu ialah:


Mengapa terus mempersoalkan pelupusan 5.38 peratus saham sedangkan PPB telah membuat pengumuman kepada Bursa Malaysia dan awam berhubung kerugian RM500,000 dan saham tersebut juga bukan saham mandat.


Mengapa mempertikaikan isu kehilangan anak syarikat dan peningkatan persaingan selepas pelupusan PEB yang dipersetujui ahli Lembaga Pengarah selesai.


Mengapa menimbulkan cara pelupusan PEB sedangkan beliau sepatutnya berjumpa dengan Tengku Ibrahim untuk membincang atau menasihatkan tentang pelupusan itu.


Shamsul perlu menerangkan mengapa syarikat itu kehilangan kontrak bernilai RM400 juta daripada Petronas disebabkan kelewatan menghantar tender meskipun diberi tambahan empat hari.


Mengapa PPB masih membayar komisen dan yuran pembrokeran kepada broker dan agen bagi penyewaan kapal marin, pelupusan dan pembelian kapal apabila syarikat boleh berbuat demikian secara terus.


Kenapa mendakwa hanya seorang broker dilantik secara eksklusif pada mesyuarat Lembaga Pengarah sedangkan pelantikan broker dibuat lebih daripada satu.


Menjelaskan mengenai pelantikan broker dari Singapura.


Jelaskan mengenai pelantikan agen yang hanya mempunyai modal berbayar AS$1 tetapi berhutang sebanyak RM28 juta kepada anak syarikat PPB, yang di bawah pengawas seliaan Intra Oil Services Bhd. dan pembayaran komisen sehingga 16 peratus kepadanya dan 2.5 peratus kepada agen yang lain.


Berhubung jumlah hutang sebanyak RM28 juta, mengapa bil syarikat perlu dibuat melalui agen dan tidak secara terus kepada pelanggan.

Tengku Ibrahim berkata, pendedahan itu hanya sebahagian sahaja dan laporan penuh dijangka diperoleh pada akhir minggu ini.

Beliau berkata, sebab itulah syarikat mengambil langkah menggantung kerja 11 kakitangan pengurusan kanan dan utama PPB.

Pada sidang akhbar itu, Tengku Ibrahim menambah, Lembaga Pengarah PPB turut mencadangkan supaya pelabur-pelabur institusi PPB melantik wakil-wakil mereka dalam lembaga syarikat itu.

Tambahnya, PPB juga akan mencadangkan baki saham 29.59 peratus kepentingan PEB ditawarkan kepada para pemegang sahamnya pada EGM nanti.

Beliau berkata, untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang semakin terdesak, PPB berhasrat untuk melupuskan enam kapal-kapal lama yang dijangka menjana AS$4.6 juta (RM15.6 juta) setiap satu.

Syarikat turut mengenal pasti penjimatan kos sebanyak RM6 juta hingga RM8 juta setahun, termasuk kira-kira RM3 juta bagi pembayaran gaji tahunan kepada pengurusan kanan termasuk Shamsul, Datuk Kho Poh Eng dan Koh Pho Wat, ujarnya.

Rugi berjuta ringgit akibat terpedaya tawaran jam Rolex

R. Prakash (dua kanan) dan M.Shankar Ganesh (kanan) menunjukkan skim pelaburan yang menawarkan imbuhan mewah seperti jam Rolex, cincin berlian dan gelang tangan di pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PULAU PINANG 28 Jan 2010 - Seorang ahli perniagaan tempatan yang mempunyai pengaruh kuat dalam politik dipercayai mendalangi kegiatan skim cepat kaya yang menjadikan golongan berada dan profesional sebagai sasaran.

Skim pelaburan kasino yang berpusat di luar negara itu menawarkan pulangan 200 hingga 500 peratus bagi setiap pelaburan kepada pelaburnya dan berjaya menipu jutaan ringgit milik mangsa terlibat.

Salah seorang mangsa, R. Prakash, 46, berkata, dia kerugian hampir RM4.9 juta oleh skim pelaburan yang menawarkan imbuhan mewah seperti jam Rolex, cincin berlian dan gelang tangan untuk memancing pelabur.

Selain ditawarkan barang mewah itu katanya, dia juga diberikan perjalanan percuma ke Macau, ditempatkan di hotel mewah selain mengunjungi beberapa kasino di sana dan dilayan seperti VIP sejak menyertai skim berkenaan pada penghujung 2008.

Keistimewaan yang diterima itu, katanya, menyebabkan pelabur berasa yakin dengan skim tersebut walaupun semakan dengan Bank Negara mendapati syarikat berkenaan yang dipercayai beroperasi di Kuala Lumpur tidak berdaftar.

''Saya telah 'dipancing' menggunakan jam tangan jenama Rolex, cincin berlian berharga RM20,000 dan gelang tangan emas selepas membuat pelaburan pertama berjumlah RM4,800. Selepas menerima pulangan dividen antara 200 hingga 500 peratus, saya menambah jumlah pelaburan sehingga mencecah RM4.9 juta melalui penjualan harta benda yang saya miliki.

''Saya harap akan mendapat pulangan lebih lumayan, tetapi segalanya musnah begitu sahaja apabila pemberian dividen dihentikan pada Oktober lalu," katanya ketika ditemui di Pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) di Jalan Masjid Negeri di sini hari ini.

Menurut Prakash, skim itu kemudiannya dipercayai telah diambil alih oleh lelaki rakyat Indonesia yang kemudiannya memberhentikan pemberian dividen kepada pelabur.

Seorang lagi mangsa, peniaga, M. Shankar Ganesh, 34, berkata, dia kerugian kira-kira RM1.4 juta akibat ditipu skim tersebut.

Katanya, sejak menyertainya pada Disember 2008, dia telah diterbangkan ke Macau sebanyak tujuh kali dan turut dihadiahkan barangan mewah seperti jam tangan Rolex, cincin berlian berharga RM20,000 dan gelang tangan emas sejurus melabur dalam skala kecil.

''Kami dipancing menggunakan barangan mewah dan tidak menyangka sama sekali ia hanya mimpi indah untuk seketika kerana mereka merancang sesuatu yang lebih besar," katanya.

Tambahnya, mereka difahamkan seorang ahli perniagaan tempatan yang berpengaruh kuat dalam bidang politik dan berpusat di Kuala Lumpur, mendalangi skim berkenaan tetapi mereka tidak tahu identitinya.

''Setakat ini hampir 100 laporan polis sudah dibuat di seluruh negara terhadap skim ini dan kami berharap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini bagi mengelak lebih ramai golongan seperti kami menjadi mangsa skim cepat kaya dalam talian itu," katanya.

Sementara itu, Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris menggesa kerajaan menubuhkan unit khas untuk menangani kes skim cepat kaya dalam talian secara khusus bagi mengelak lebih ramai rakyat menjadi mangsa.

Beliau berkata, unit khas itu perlu bekerjasama dengan Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lelaki seludup minyak ditahan

BUKIT KAYU HITAM 28 Jan 2010 - Kegiatan penyeludupan petrol subsidi menggunakan kenderaan yang diubah suai semakin menjadi-jadi.

Terbaru, seorang lelaki ditahan oleh anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam kerana cuba menyeludup petrol ke negara jiran menggunakan kereta yang telah diubah suai pada tangki.

Komander UPP Kedah, Mohd. Noor Idris berkata, lelaki tempatan berusia 46 tahun itu ditahan pukul 9.15 pagi ini dalam sekatan UPP di Kilometer 1.3, Lebuh Raya Utara Selatan.

"Dia dipercayai dalam perjalanan menuju ke negara jiran untuk membawa masuk petrol berkenaan. Kita percaya lelaki itu sudah lama menjalankan kegiatan tersebut.

"Sewaktu ditahan, tiada sebarang perbezaan dikesan pada kereta jenis Honda Civic yang dipandu suspek. Namun, setelah kita lakukan pemeriksaan rapi, kami menemui dua tangki tambahan di belakang pembesar suara bonet kereta itu," katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Noor, tangki minyak tambahan itu mampu memuatkan sebanyak 200 liter petrol atau diesel. Namun ketika ditahan, tangki itu mempunyai kira-kira 60 liter petrol.

Kes ini, katanya, diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Mohd. Noor memberitahu, pihaknya menahan seorang lelaki warganegara Thailand kerana memiliki 19 butir peluru hidup untuk senapang patah jenis '12 Bore'.

Menurutnya, lelaki berusia 56 tahun itu ditahan ketika pihak UPP membuat sekatan di kawasan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di sini.

Kesemua peluru tersebut ditemui bersama sehelai baju di tempat duduk belakang kenderaan yang dipandu lelaki itu, katanya.

Akta Jualan Langsung dipinda tangani skim piramid (29/1/10)

PETALING JAYA: Kerajaan akan meminda Akta Jualan Langsung 1993 bagi melindungi pengguna daripada menjadi mangsa penipuan skim piramid, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pindaan itu akan membolehkan tindakan diambil terhadap syarikat tidak berlesen yang menjalankan skim berkenaan.

"Kita sedang memperkemas akta ini kerana ia kurang jelas dari segi definisi skim piramid, dan tindakan atau hukuman ke atas syarikat yang tidak berdaftar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan ibu pejabat baharu Amway (Malaysia) Holdings Bhd di sini,hari ini.



Pindaan akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada persidangan Mac ini.

Ismail Sabri berkata, melalui pindaan itu, kelulusan lesen baru masih dikeluarkan untuk syarikat yang ingin menceburi bidang jualan langsung, namun tempoh lesen hanya untuk setahun berbanding lima tahun sebelum ini.

"Sebanyak 32 lesen baharu untuk tempoh setahun telah dikeluarkan pada 2009, menjadikan keseluruhan jumlah lesen yang dikeluarkan sehingga kini adalah sebanyak 491 lesen.

"Kelulusan lesen perlu dilakukan dengan telus dengan mengkaji secara teliti pelan perniagaan terlebih dahulu. Kita tidak akan beri lesen kepada pelan yang meragukan," katanya.

Ismail Sabri berkata, terdapat banyak kes penipuan dalam bidang perniagaan jualan langsung dilaporkan terutama yang membabitkan pengambilan deposit secara haram.

Katanya, sebanyak tiga syarikat ditutup tahun lalu.

Mengenai garis panduan baru kepada pasar raya besar, Ismail berkata perkara itu telah mendapat persetujuan daripada Kabinet dan akan diumumkan kelak.

Mengenai kesan larangan menjual minyak tidak melebihi 20 liter kepada kenderaan asing dalam kawasan 50 kilometer dari pintu sempadan negara yang dilaksanakan mulai 16 Disember lalu, Ismail Sabri berkata penguatkuasaannya mula menunjukkan kesan penurunan dari segi jualan minyak.

Beliau berkata, penjualan petrol dan diesel di stesen minyak sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Perlis telah turun sebanyak 10 hingga 20 peratus sejak penguatkuasaan larangan tersebut dilakukan.

"Saya berada di sempadan Perlis minggu lalu dan berdasarkan maklum balas stesen minyak di sana, jualan minyak didapati turun. Ini tidak termasuk penjualan minyak di sempadan Kedah dan Kelantan.

"Penurunan jualan minyak ini menunjukkan betapa banyak minyak yang telah dijual selama ini kepada kenderaan asing," katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memperkenal mekanisme baharu dalam sistem pengurusan subsidi minyak untuk rakyat pada Mei ini.

"Antara mekanisme itu ialah mewajibkan penggunaan MyKad untuk membeli minyak bagi membezakan warganegara Malaysia dan bukan warganegara, selain mengehadkan pemberian subsidi untuk warganegara saja," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan tidak akan berlaku penyalahgunaan MyKad untuk pembelian minyak. - Bernama

Wednesday, January 27, 2010

Datuk buat tuntutan palsu sakit jantung

KOTA BHARU: Pendakwaan terhadap seorang pegawai kanan kerajaan Kelantan bergelar Datuk berhubung kes tuntutan palsu lebih RM300,000 yang dijadualkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam, ditangguhkan selepas suspek dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung.

Datuk berusia 57 tahun itu dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) sebuah hospital swasta di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam dan dibebaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan ikat jamin RM100,000.

Pegawai Pendakwa SPRM Kelantan, Izani Wan Ishak, berkata pihaknya sudah mendaftar pendakwaan kes itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen semalam, tetapi prosiding terpaksa ditangguhkan kepada satu masa yang akan ditentukan kelak.



"Kami masih menunggu laporan daripada doktor yang merawat pegawai berkenaan untuk menentukan sama ada beliau boleh hadir di Mahkamah Sesyen di sini sebelum tarikh pendakwaannya ditetapkan," katanya.

Peguambela suspek, Datuk Abdul Aziz Derashid, pula berkata anak guamnya yang ditahan SPRM di rumahnya dekat Bunut Payung di sini, kelmarin, sudah bersedia menghadapi pendakwaan kes itu tetapi tidak mampu berbuat demikian kerana menghadapi masalah jantung.

“Ketika ini, beliau dalam keadaan separuh sedar. Prosiding pendakwaan di hospital bukan menjadi amalan mahkamah kerana hakim dan pihak pendakwa perlu datang untuk mendakwa suspek yang sedang diberi rawatan.

"Berikutan masalah kesihatan ini, secara peribadi, saya dapati beliau belum bersedia menghadapi perbicaraan yang panjang dan rumit. Berilah masa kepadanya untuk mendapat rawatan hingga sihat," katanya.

Berita Harian semalam melaporkan SPRM menahan Datuk berkenaan susulan pendakwaan terhadap seorang kontraktor, Yusri Che Noh, 39, di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 13 Januari lalu, berhubung lima tuduhan melakukan pemalsuan invois dan pesanan membabitkan projek Istana dan Kerajaan Negeri.

Antara lain, Yusri didakwa mengemukakan invois Yus Contruction & Trading kepada Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Shkori Mohamed, pada 3 Mac 2009, yang mengandungi butiran palsu, mengenai bekalan dan kerja mengetar tempat letak kereta Istana Negeri seluas 2,436 meter persegi pada harga RM27 semeter persegi, membabitkan tuntutan RM65,772.

Sebaliknya, kerja membekal dan mengetar itu hanya membabitkan 1,376 meter persegi dengan kos RM37,152. Ini membabitkan tuntutan berlebihan RM28,620 yang bermaksud untuk mengelirukan pegawai kewangan negeri.

Selain itu, tertuduh didakwa mengemukakan invois dengan butiran palsu kepada Shkori di Pejabat Perbendaharaan Negeri pada Disember 2008, membabitkan tuntutan membekalkan bahan dan kerja membina dan menyiapkan rumah puyuh seluas 7,656 kaki persegi bernilai RM267,960 bagi Projek Diraja Banggol, Kota Bharu, walaupun kerja itu tidak dilakukan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM100,000. Kes itu akan disebut semula pada Mac dan April ini.

Tuesday, January 26, 2010

SPRM selesai siasat lawatan bekas MB ke Disneyland

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail
nazuri@bharian.com.my
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyiapkan kertas siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana awam untuk lawatan kerja bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo ke Taman Tema Disneyland di Perancis dan Amerika Syarikat pada 2004 dan 2007.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Jaafar Mahad, berkata kertas siasatan itu diambil alih oleh SPRM Putrajaya dan beliau dimaklumkan siasatan sudah selesai.

Beliau berkata, kertas siasatan kes itu sudah diserahkan kepada Peguam Kanan Persekutuan SPRM untuk tindakan selanjutnya.



“Saya dimaklumkan oleh Ibu Pejabat SPRM bahawa siasatan mengenainya sudah selesai dan diserahkan kepada Peguam Kanan Persekutuan.

“Kita serahkan kepada pihak Peguam Kanan Persekutuan untuk membuat keputusan sama ada membuat pendakwaan atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini, semalam.

Jaafar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan dakwaan penyalahgunaan dana awam untuk lawatan kerja Mohamad Khir ke Taman Tema Disneyland di Perancis dan Amerika Syarikat.

Dr Mohamad Khir didakwa menggunakan dana kerajaan negeri untuk membuat dua lawatan ke Taman Tema di Perancis dan Amerika Syarikat pada 2004 dan 2007.

Lawatan tersebut dikatakan membabitkan perbelanjaan kira-kira RM1.7 juta menggunakan wang anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Terdahulu, kira-kira 30 ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor berkumpul di pejabat SPRM Selangor dengan membawa replika ‘Disneyland’ untuk mengingatkan agensi itu supaya segera menyelesaikan siasatan kes itu, kira-kira jam 11.30 pagi.

Nizar nafi laporan stesen TV

IPOH: Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam menafikan laporan dua stesen televisyen swasta semalam bahawa seorang pegawai khas beliau antara 38 orang yang ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penyeludupan pasir.

Beliau memberi tempoh 24 jam sehingga 3 petang hari ini untuk kedua-dua stesen televisyen berkenaan memohon maaf secara terbuka berhubung laporan yang disifatkannya satu fitnah.

"Sekiranya kedua-dua stesen televisyen berkenaan gagal membuat permohonan maaf berkenaan, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan," katanya kepada pemberita di sini semalam. - Bernama

Siasatan lawatan Disneyland diserah ke Putrajaya

Christine Chan
Jan 26, 10
3:24pm

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiapkan siasatan dakwaan penyalahgunaan dana awam untuk lawatan bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo (bawah) ke taman tema Disneyland di Perancis dan Amerika Syarikat.


Pengarah SPRM Selangor Datuk Jaafar Mahad berkata kini terpulang kepada peguam kanan persekutuan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk mengambil lanjut.

"Saya dimaklumkan SPRM Putrajaya telah menyelesaikan siasatannya mengenai itu dan (hasilnya) telah dihantar ke peguam kanan persekutuan.

"Sekarang, peguam kanan persekutuan akan menyiasat perkara itu dari semua sudut perundangan, berdasarkan keterangan yang diberikan," katanya dalam sidang di pejabatnya di Shah Alam hari ini, lapor Bernama.


Mohd Khir didakwa menggunakan dana kerajaan negeri untuk membuat dua "lawatan teknikal" ke taman tema di Perancis dan Amerika Syarikat pada 2004 dan 2007, yang dikatakan membabitkan perbelanjaan kira-kira RM1.7 juta wang anak syarikat kerajaan negeri Permodalan Negeri Selangor Bhd.

Sebelum itu, pada kira-kira jam 11.30 pagi tadi, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor telah menghantar 'rombongan' ke pejabat SPRM di Shah Alam, dengan membawa replika 'Disneyland'.

Ia merupakan satu 'ingatan' kepada SPRM supaya membuka segera kes lawatan Khir ke Disneyland, pada 2004.

Dalam satu kenyataan, Abdul Razak Ismail - pegawai kepada exco kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar, berkata pejabat baru bahagian aduan SPRM kini terletak di Bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).


Ketua AMK Selangor, Khairul Anwar Ahmad Zainuddin ketika berucap di perkarangan bangunan PKPS berkata, mereka kesal dengan penahanan Hussein Ahmad, pegawai khas exco kerajaan Selangor, Yaakob Sapari, yang didakwanya dibuat tanpa sebarang bukti kukuh.

Katanya, Hussein direman selama lima, sedang SPRM tidak menahan reman Khir Toyo semasa siasatan dilakukan.

Kira-kira 30 anggota AMK Selangor turut memakai telinga ala 'mickey mouse' sebagai satu peringatan kepada SPRM supaya jangan berat sebelah dan melalukan 'pendakwaan terpilih' dalam mendakwa mana-mana pihak.

Taktik baru seludup kenderaan tumpas

PADANG BESAR 26 Jan. - Segelintir penyeludup percaya kononnya waktu yang paling sesuai untuk keluar masuk membawa barangan seludup adalah ketika pintu pagar sempadan hendak ditutup.

Bagi mereka, ketika itu, pihak penguatkuasa hanya melakukan pemeriksaan secara lewa dan ketika itulah peluang terbaik untuk membawa keluar atau masuk barangan seludup.

Namun, apa yang berlaku di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Wang Kelian dekat sini baru-baru ini membuktikan, pasukan keselamatan di sempadan tanah air bersungguh-sungguh membanteras kegiatan itu.

Seorang lelaki yang cuba membawa kenderaan mewah jenis Toyota Wish ke negara jiran, gagal apabila dia ditahan, kira-kira pukul 6 petang pada Khamis lalu.

Dalam kejadian tersebut, lelaki tempatan berusia 28 tahun itu memandu kenderaan berkenaan melalui Kompleks CIQ Wang Kelian kerana menyangka polis dan pihak Imigresen akan membuat pemeriksaan ringkas.

Namun, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Dros berkata, taktik lelaki berasal dari Kedah yang menjalankan perniagaan sendiri itu gagal apabila dia ditahan setelah gagal menunjukkan dokumen kenderaan yang dipandunya.

"Kita mendapati, kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu, iaitu nombor pendaftaran sebuah kenderaan jenis Toyota Corona," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya juga mendapati nombor enjin dan casis kenderaan tersebut telah dipinda.

Che Man berkata, taktik penyeludup kenderaan itu memakan diri kerana polis tetap memeriksa dengan teliti setiap kenderaan yang keluar masuk apatah lagi kenderaan mewah.

Katanya, suspek yang disiasat di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin, baru-baru ini.

Che Man berkata, kes berkenaan merupakan kes penyeludupan kenderaan pertama bagi tahun ini manakala pada tahun lalu, sebanyak lapan kes penyeludupan kenderaan dikesan di pintu masuk Wang Kelian.

Monday, January 25, 2010

CEO didakwa kutip deposit tanpa lesen

SEREMBAN 25 Jan 2010 - Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengutip wang deposit tanpa lesen d aripada orang awam membabit lebih RM70 juta antara Februari dan Oktober 2008.

Syed Shareezally Syed Aualadali bersama rakan kongsinya, A. Halim A. Rahman, masing-masing berusia 39 tahun selaku pemilik syarikat Eastana Farm Industries Sdn. Bhd. didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat syarikat itu di alamat 47-1 Jalan TKS 7, Taman Komersial Senawang dekat sini.

A. Halim telah didakwa atas tuduhan sama pada 24 Disember tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Syed Shareezally bersama A. Halim didakwa mengutip wang deposit tanpa lesen yang sah dari Bank Negara Malaysia (BNM) seperti yang termaktub di bawah Seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA).

SC berikan amaran

KUALA LUMPUR 25 Jan 2010 - Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini meminta orang ramai supaya berhati-hati terhadap pihak yang memohon derma atas namanya atau atas nama pegawai kanannya tanpa kebenaran.

SC dalam kenyataannya di sini berkata, pihaknya, para pegawai dan Pengerusi Suruhanjaya itu tidak pernah terlibat dalam apa jua cara sekali pun dengan individu atau syarikat-syarikat tersebut.

"Tiada sebarang individu atau syarikat yang dibenarkan menggunakan nama SC atau para pegawai kami bagi aktiviti berkenaan," katanya.

Menurut SC, ia telah dimaklumkan bahawa terdapat individu dan syarikat yang meminta derma menggunakan nama pegawai-pegawai kanan SC termasuk Pengerusinya dan dikatakan memohon derma untuk tujuan kebajikan.

SC juga menasihatkan orang ramai yang dihubungi oleh mana-mana individu atau syarikat untuk tujuan memohon derma supaya tidak melayan permohonan itu dan melaporkan kepada SC dengan segera.

Mereka boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat SC di talian 03-6204 8777 atau e-mel cau@seccom.com.my, untuk mendapat maklumat lanjut. — Bernama

Swisscash: SC mulakan proses pulang wang

KUALA LUMPUR 25 Jan 2010 - Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengumumkan pelantikan PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn. Bhd. sebagai pentadbir bagi menguruskan proses pengembalian wang kepada pelabur yang layak dalam skim penipuan pelaburan internet Swisscash.

SC dalam kenyataannya berkata, pentadbir itu dalam minggu ini akan mengeluarkan notis meminta mereka yang ingin membuat tuntutan supaya mengemukakan tuntutan masingmasing.

"Pentadbir juga akan memberi format terperinci dan maklumat mengenai dokumen sokongan yang diperlukan dan notis itu akan dipapar di laman web serta akhbar-akhbar utama seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, Malaysia Nanban, News Straits Times, The Borneo Post, The Star dan Sin Chew Daily," kata SC di sini hari ini.

Menurut SC, sebaik sahaja notis umum itu dikeluarkan oleh Pentadbir, semua komunikasi berhubung proses pengembalian itu hendaklah dibuat terus dengan Pentadbir dan bukan melalui SC.

Pentadbir akan menilai dan menyemak tuntutan yang diterima dan seterusnya akan membuat cadangan kepada SC mengenai kriteria kelayakan yang sepatutnya bagi pembayaran.

SC pula akan mengemukakan kriteria itu kepada Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan kelulusannya.

EKONOMI SC lantik pentadbir urus pengembalian wang pelabur Swisscash (26/1/10)

SURUHANJAYA Sekuriti (SC) semalam melantik PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn Bhd sebagai pentadbir untuk menguruskan proses pengem-balian kepada pelabur yang layak dalam skim penipuan pelaburan internet Swisscash.

Pentadbir itu, dalam minggu ini, akan mengeluarkan notis meminta mereka yang ingin membuat tuntutan supaya mengemukakan tuntutan masing-masing serta memberikan format terperinci dan maklumat mengenai dokumen sokongan yang diperlukan.

SC dalam satu kenyataan semalam, berkata notis berkenaan akan dipaparkan di laman web pentadbir serta dalam akhbar Berita Harian, Malaysia Nanban, New Straits Times, The Borneo Post, The Star, Sin Chew Daily dan Utusan Malaysia.



Sebaik saja notis umum itu dikeluarkan oleh pentadbir, semua komunikasi berhubung dengan proses pengembalian itu mestilah dibuat

terus kepada pentadbir dan bukan kepada SC, tambahnya.

SC berkata, pentadbir akan menilai serta menyemak tuntutan yang diterima dan seterusnya akan membuat cadangan kepada suruhanjaya itu mengenai kriteria kelayakan yang sepatutnya bagi pembayaran.

SC kemudian akan mengemukakan kriteria berkenaan kepada Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan kelulusan, katanya.

Seludup minyak berkurangan

ALOR SETAR 25 Jan 2010 - Penguatkuasaan yang ketat di kawasan sempadan negara membuatkan aktiviti penyeludupan minyak diesel dan petrol dapat dikurangkan sehingga 50 peratus.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, kadar penjualan minyak di kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam di sini kepada orang asing juga dapat dikawal.

"Kita sudah menempatkan pegawai penguat kuasa kita di kawasan sempadan di sini untuk memastikan minyak diesel dan petrol dijual mengikut arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Dulu sebelum arahan larangan penjualan petrol dan diesel kepada kenderaan asing, ada stesen minyak di Bukit Kayu Hitam mencatatkan penjualan sehingga 600,000 liter dalam masa sebulan namun kini jumlah jualan berkurangan," ujarnya di sini hari ini.

Bermula 16 Disember 2009 kerajaan melaksanakan arahan larangan penjualan minyak petrol dan diesel melebihi 20 liter kepada kenderaan yang tidak didaftarkan di negara ini.

Arahan ini merangkumi semua stesen minyak dalam lingkungan 50 kilometer dari sempadan negara.

Menurut Mohd. Roslan, setiap hari seramai 20 anggota terlibat dalam aktiviti pemantauan di semua stesen minyak di kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam di sini.

"Sehingga kini sebanyak 1,026 stesen minyak telah diperiksa oleh pegawai penguat kuasa kami meliputi semua stesen dalam lingkungan 50 kilometer dari sempadan negeri ini.

"Pihak kami juga memeriksa 4,094 kenderaan dan kami telah mengambil tindakan ke atas dua stesen minyak yang didapati mengingkari arahan pegawai penguatkuasa," katanya.

Bomoh keranda ajaib tipu RM1 juta (26/1/10)

Oleh Gerald Chung
bhnews@bharian.com.my
KUCHING: Sepasang warga emas kerugian hampir RM1 juta selepas diperdaya seorang bomoh yang mengaku mampu menyembuhkan penyakit misteri dihadapi pasangan itu melalui rawatan ‘keranda ajaib’.

Yakin dengan kemampuan bomoh itu, pasangan warga emas berusia sekitar 60-an berkenaan bertindak mengeluarkan wang simpanan yang dikumpul sejak 20 tahun lalu bagi digunakan dalam rawatan yang memerlukan semua wang dimasukkan ke dalam keranda.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mohd Firdaus Abdullah, berkata mangsa kemudian ragu-ragu kerana penyakitnya tidak sembuh selepas enam bulan menyerahkan wang berkenaan bertindak membuat laporan polis pada Khamis lalu.



“Berdasarkan maklumat, suspek meminta mangsa yang menghidapi penyakit misteri menyerahkan wang berjumlah RM750,000 bagi disimpan di dalam keranda selama enam bulan sebagai sebahagian kaedah rawatan.

“Keranda berisi wang itu kemudian ditempatkan di sebuah tokong di Batu 12, Jalan Kuching Serian, namun mangsa yang tidak sembuh daripada penyakitnya bertindak membuat laporan polis minggu lalu,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Sungai Maong di sini, semalam.

Difahamkan, tujuan keranda berkenaan disimpan di tokong adalah bagi membolehkan upacara penyembahan dilakukan dengan bomoh menetapkan tempoh tiga tahun bagi menyempurnakan rawatan berkenaan.

Pasangan warga emas berasal dari Kuching itu mula mengesyaki ditipu pada penghujung tahun lalu kerana penyakit misteri yang dihadapi tidak menunjukkan tanda akan sembuh.

Firdaus berkata, pemeriksaan polis selepas menerima laporan mendapati semua wang yang dimasukkan ke dalam keranda hilang dengan bomoh berkenaan tidak berada di tokong berkenaan.

“Berikutan itu, polis bertindak menahan seorang lelaki berusia 35 tahun dipercayai bomoh berkenaan bersama seorang rakannya yang berusia 47 tahun, malam Jumaat lalu dan direman selama sembilan hari bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun, semua wang yang disimpan di dalam keranda gagal ditemui dengan kita terpaksa merampas keranda berkenaan bagi dijadikan bukti ketika proses pendakwaan,” katanya.

Kes ini disiasat Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu dengan suspek berhadapan hukuman penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih 10 tahun dengan sebatan atau denda.

RM1.34j VCD haram dirampas

Oleh HAMIMAH HAMID
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 25 Jan 2010 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri merampas cakera padat video (VCD) serta cakera video digital (DVD) cetak rompak bernilai RM1.34 juta dalam operasinya tahun lalu.

Pengarahnya, Mokhtar Sulaiman berkata, nilai itu melibatkan 121 kes serbuan yang dilakukan di seluruh negeri itu.

"Kesemua serbuan dilakukan hasil maklumat orang ramai dan mereka yang terlibat dalam industri hiburan.

"Ini adalah antara kejayaan terbesar kita. Kesemua hasil rampasan ini akan dijadikan bahan bukti sebelum dimusnahkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mokhtar, bagi memastikan kegiatan menjual VCD dan DVD cetak rompak tidak berkembang, pihaknya akan memperhebatkan lagi operasi tahun ini.

Tegasnya, lokasi panas di seluruh daerah telah dikenal pasti dan operasi akan dijalankan tanpa mengira masa.

Operasi menyeluruh, katanya, akan dijalankan di kedai menjual VCD, pasar malam dan kedai makan.

"Kita telah menerima arahan daripada kementerian untuk menjalankan operasi secara menyeluruh tahun ini. Tiada lagi istilah penguat kuasa tutup mata.

"Walaupun tidak dapat membanteras sindiket ini 100 peratus, tetapi kita yakin akan dapat mengurangkannya ke tahap minimum," katanya.

Selain itu, ujarnya, pegawai penguatkuasanya juga akan membuat pemantauan di kafe siber dan menahan mereka yang menjalankan aktiviti muat turun lagu bagi melindungi industri kreatif negara.

Pada masa yang sama, beliau turut memohon kerjasama orang ramai supaya melaporkan aktiviti haram itu kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

Sebarang maklumat mengenai aktiviti jualan VCD dan DVD cetak rompak, orang ramai boleh menghubungi KPDNKK negeri di talian 1-800-886-800 atau e-mel ke e-aduan@kpdnkk.gov.my.

MUTAKHIR 9 suspek kes penyeludupan pasir dibebas (26/1/10)

PUTRAJAYA: Sembilan suspek yang ditahan reman lima hari sejak Khamis lalu bagi membantu siasatan kes penyeludupan pasir dibebaskan hari ini dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mereka termasuk seorang wanita itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang di sini pada jam 10.45 pagi ini, sebelum dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak RM1,000 hingga RM10,000 dengan seorang penjamin.

Turut kelihatan di mahkamah ialah Exco kerajaan negeri Selangor, Yaakob Sapari, iaitu majikan kepada salah seorang suspek yang dibebaskan itu.



Pada Rabu lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull, mengumumkan penangkapan 34 orang di lima negeri kerana disyaki terbabit dalam aktiviti mencuri dan menyeludup pasir, manakala empat lagi ditangkap sehari selepas itu.

Bernama difahamkan sehingga hari ini 28 orang telah dibebaskan dengan jaminan SPRM, manakala 10 lagi masih dalam tahanan reman di seluruh negara. - Bernama

Awas kegiatan mohon derma tanpa kebenaran: SC

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini meminta orang ramai supaya berhati-hati terhadap pihak yang memohon derma atas namanya atau atas nama pegawai kanannya tanpa kebenaran.

Dalam satu kenyataan hari ini, SC berkata pihaknya, pegawai dan Pengerusi Suruhanjaya itu tidak pernah terbabit dalam apa jua cara sekali pun dengan individu atau syarikat berkenaan.

"Tiada sebarang individu atau syarikat yang dibenarkan menggunakan nama SC atau para pegawai kami bagi aktiviti berkenaan," katanya.



Menurut SC, ia telah dimaklumkan bahawa terdapat individu dan syarikat yang meminta derma menggunakan nama pegawai kanan SC termasuk pengerusinya dan dikatakan memohon derma untuk tujuan kebajikan.

SC juga menasihatkan orang ramai yang dihubungi oleh individu atau syarikat untuk tujuan memohon derma supaya tidak melayan permohonan itu dan melaporkan kepada SC dengan segera.

Mereka boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat SC di talian 03-6204 8777 atau e-mel cau@seccom.com.my, untuk mendapat maklumat lanjut. - Bernama

Pasir & seks: SU kerja exco S'gor dibebas

Jan 25, 10 6:21pm

Hussein Ahmad, setiausaha kerja kepada exco kerajaan Selangor Yaakob Sapari yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes penyeludupan pasir dibebaskan hari ini dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau dibebaskan bersama lapan lagi suspek setelah lima hari ditahan sejak Khamis lepas bagi membantu siasatan kes tersebut.

Bernama melaporkan, kesemua mereka termasuk seorang wanita itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang di sini pada pukul 10.45 pagi ini, sebelum dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak RM1,000 hingga RM10,000 dengan seorang penjamin.

Yaakob turut kelihatan di mahkamah ketika suspek dibebaskan.

Rabu lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull mengumumkan penangkapan 34 orang di lima buah negeri kerana disyaki terlibat dalam aktiviti mencuri dan menyeludup pasir, manakala empat lagi ditangkap keesokan harinya.

Bernama difahamkan sehingga hari ini 28 orang telah dibebaskan dengan jaminan SPRM, manakala 10 lagi masih dalam tahanan reman di seluruh negara.

Sunday, January 24, 2010

Skuter ubah suai seludup 30 liter minyak

Inspektor Ezry Rafflis Saharuddin menunjukkan saluran minyak skuter yang di ubahsuai untuk menyeludup minyak yang diisi di stesen minyak Rantau Panjang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



RANTAU PANJANG 24 Jan. - Selepas taktik menyeludup petrol dan diesel menggunakan tangki tambahan kereta dan pacuan empat roda berjaya dihidu pihak berkuasa, kini penyeludup mula mengubah modus operandi mereka.

Terbaru para penyeludup menggunakan pula motosikal yang telah diubah suai dengan memasang tangki tambahan yang boleh memuatkan sehingga 30 liter petrol.

Pegawai Pemerintah Batalion 8, Pasukan Gerakan Am, Supritenden Rooslan Radzi memberitahu, dalam operasi tersebut pihaknya telah menahan enam lelaki warga Thailand berumur 20 hingga 30 tahun bersama motosikal masing-masing, semalam.

Katanya, berdasarkan intipan anggotanya, didapati motosikal tersebut digunakan untuk kegiatan menyeludup petrol.

"Kira-kira pukul 9.30 pagi semalam, kita menahan motosikal tersebut di Kompleks Imigresen Kastam (CIQ) dekat sini setelah mendapat maklumat awam.

"Berdasarkan pemeriksaan, kita mendapati salah sebuah daripada motosikal berkenaan, iaitu jenis skuter telah dikesan membawa 30 liter petrol melalui tangki tambahan sedangkan kapasiti asalnya sekitar lima liter sahaja," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Rooslan berkata, skuter tersebut telah diubahsuai dengan tempat meletak topi keledar digantikan dengan tangki minyak bagi membolehkan lebih banyak petrol diisi untuk tujuan penyeludupan.

Jelas beliau, pihaknya juga telah mengesan lima buah motosikal yang diubahsuai untuk tujuan penyeludupan petrol.

Katanya, tangki minyak motosikal berkenaan didapati mampu memuatkan antara 10 hingga 15 liter petrol.

"Kebanyakan mereka keluar masuk ke negara ini lebih lima kali sehari untuk membeli petrol bagi menyeludup bahan bakar itu.

"Melalui siasatan yang dijalankan, kita percaya pemilik motosikal ini memperoleh keuntungan sebanyak 50 hingga 70 sen bagi setiap liter petrol yang dijual," ujarnya.

Dalam operasi yang sama, Rooslan berkata, pihaknya juga berjaya menahan sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk menyeludup bahan api tersebut.

Tambahnya, jumlah keseluruhan rampasan petrol adalah sebanyak 190 liter yang dianggarkan bernilai RM342.

''Kes ini diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut,'' katanya.

Wanita percaya nasib malang rugi RM260,000

KUALA LUMPUR 24 Jan 2010 - Gara-gara mudah percaya terhadap nasib malang yang mungkin menimpa dirinya, seorang ibu tunggal kerugian hampir RM260,000 apabila ditipu tiga wanita, Isnin lalu.

Kejadian bermula pada pukul 11 pagi, ketika mangsa, Lee Yoke Chan, 61, hendak ke sebuah pasar di Cheras untuk membeli kelengkapan harian.

Tiba-tiba dia didatangi oleh seorang wanita yang meminta menunjukkan lokasi tokong berdekatan di kawasan itu.

Mangsa yang tidak bekerja bersetuju membawa wanita terbabit ke tokong tersebut dengan berjalan kaki.

Menurut Yoke Chan, sambil berjalan, wanita itu telah bertanyakan tentang latar belakang dirinya dan keluarga.

"Dalam perjalanan ke tokong itu, datang lagi dua wanita yang kononnya mahu ke lokasi sama," katanya ketika ditemui di Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini hari ini.

Katanya, namun apa yang mengejutkan, dua wanita itu seolah-olah mengetahui tentang dirinya dan keluarga.

Tambahnya, mereka mendakwa dia mempunyai nasib malang dan perlu berjumpa seseorang untuk membuangnya.

"Saya perlu berjumpa 'sifu' itu dan memberi semua wang simpanan serta barang kemas sebagai cagaran untuk upacara buang nasib malang.

"Mereka mendakwa, saya dan keluarga akan ditimpa malang termasuk mati jika enggan berbuat demikian," katanya.

Difahamkan, wanita pertama telah memasang alat pendengar yang dihubungkan kepada dua rakannya itu supaya boleh mendengar perbualannya.

Yoke Chan berkata, dia yang ketakutan telah mengikut arahan mereka dan mengeluarkan wang sebanyak RM186,565 dari dua buah bank dan barang kemas RM70,000 seperti rantai dan gelang tangan.

Tambahnya, bagaimanapun ketika ingin menyerahkan wang, sifu terbabit tidak dapat berjumpa dengannya tetapi telah menyediakan beberapa jampi dan air suci untuk dia minum.

"Seorang suspek membawa saya ke but keretanya dan menyimpan wang serta barang kemas di dalamnya.

"Suspek kemudian memberikan saya air jampi yang diisi di dalam beg tetapi tidak boleh dibuka sebelum keesokannya," ujarnya.

Katanya, dia yang curiga telah membuka beg itu pada pukul 3 pagi keesokannya dan terkejut apabila mendapati ia mengandungi dua botol air mineral, tiga biji limau dan dua plastik garam.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, orang awam diminta berwaspada dengan kumpulan itu kerana modus operandi mereka menggunakan kaedah psikologi.

Katanya, sejak 2004, pihaknya menerima sebanyak 14 kes penipuan seumpama itu yang membabitkan kerugian lebih RM1 juta.

Pencuri kabel terhumban ke tali air

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my



ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengangkat mayat suspek kes curi kabel yang mati terjatuh ke dalam tali air ketika dikejar peronda polis di Jalan Sungai Jagong, Sungai Petani, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



SUNGAI PETANI 24 Jan. – Akibat cuba melarikan diri dari dikejar polis peronda, seorang pencuri kabel menemui ajal apabila tercampak keluar dari keretanya yang terbabas dan terbalik di Jalan Sungai Jagong, Semeling dekat sini awal pagi ini.

Suspek yang dikenali sebagai Mohd. Kasini, 21, cedera parah selepas terhumban ke dalam tali air di tepi bahu jalan terbabit.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi, ketika Mohd. Kasini bersama dua rakannya dipercayai baru selesai mencuri kabel di sekitar kawasan Kota Sarang Semut, dekat Alor Setar.

Mereka bagaimanapun terserempak dengan sebuah kereta peronda polis lalu melarikan diri menaiki kereta jenis Perodua Kembara ke arah Lebuh Raya Utara Selatan.

Anggota peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar lalu mengejar mereka sehingga ke Plaza Tol Pendang sebelum turun di Plaza Tol Sungai Petani Selatan dengan jarak melebihi 50 kilometer.

Suspek kemudian menggunakan laluan Jalan Lencongan Barat menghala ke arah Semeling sebelum dikejar sebuah lagi kereta peronda dari IPD Kuala Muda.

Sejurus tiba di tempat kejadian, kereta suspek cuba menghimpit kenderaan polis tetapi hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan.

Akibat rempuhan berkenaan, kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik beberapa kali.

Malangnya, Mohd. Kasini yang duduk di belakang tempat duduk pemandu tercampak keluar dan terhumban ke dalam tali air.

Polis kemudian berjaya menahan pemandu dan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan.

Mayat Mohd. Kasini ditemui kira-kira pukul 5 pagi ini selepas gerakan mencari dan menyelamat dijalankan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, kedua-dua suspek berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan kerana mencuri dan cuba melarikan diri dari pemeriksaan polis.

“Polis akan menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti sama ada mereka turut terlibat dalam kejadian pecah rumah di sekitar daerah Kota Setar,” katanya.

“Selain itu, polis turut menemui beberapa peralatan digunakan suspek untuk memecah rumah dan mencuri kabel seperti parang dan gergaji di dalam kereta terbabit,” katanya.

Sindiket curi pasir untuk pasaran di sini

KUALA LUMPUR 24 Jan. - Siasatan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati sindiket curi dan penyeludupan pasir di tiga buah negeri iaitu Selangor, Pahang dan Johor baru-baru ini adalah untuk pasaran tempatan.

Sumber memberitahu, kegiatan itu dijalankan tanpa melalui pembayaran tertentu termasuk bayaran permit yang dikenakan oleh kerajaan negeri.

Ia menjadikan pasir itu dijual dengan harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

Setakat ini, tiada sebarang tangkapan terbaru dibuat berhubung sindiket berkenaan.

Sebelum ini, SPRM menahan 38 suspek termasuk seorang pegawai khas dan pembantu kepada Exco Selangor, Hussein Ahmad di beberapa buah negeri.

Suapan tersebut turut melibatkan tiga kes rasuah seks bertujuan memudahkan proses permohonan dan kelulusan mendapatkan pasir.

Sumber juga mengesahkan tangkapan yang dibuat di negeri-negeri berasingan itu tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Daripada 38 individu yang ditahan, 20 telah direman manakala bakinya dilepaskan dengan jaminan SPRM setelah pernyataan percakapan mereka diambil.

Baru-baru ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull ketika mendedahkan kegiatan itu berkata jumlah anggaran wang rasuah bagi kes itu melebihi RM280,000 dengan nilai suapan antara RM500 dan RM50,000 setiap seorang.

Katanya, ada kes-kes wang rasuah diterima secara bulanan dan terdapat tiga kes melibatkan rasuah seks.

Beliau percaya, pemberian rasuah itu bertujuan memproses permohonan permit pasir, mempercepat permohonan permit pasir dan tidak mengambil tindakan terhadap individu yang membawa pasir keluar tanpa permit.

Seludup pasir: Khairy gesa hentikan sindrom 'nafi'

PETALING JAYA 24 Jan. - Pihak berkuasa digesa menghentikan sindrom penafian dalam isu penyeludupan pasir ke luar negara kerana ia boleh mengelirukan rakyat yang menerima pelbagai maklumat.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan, pihak berkuasa terlibat perlu meneliti setiap laporan penyeludupan yang diterima kerana ia merupakan satu kesalahan yang serius.

Justeru, katanya, Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis perlu mengesahkan kebenaran laporan berhubung penyeludupan pasir ke luar sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

''Kita sekarang ini mendengar kenyataan yang bercanggah, ada kata penjualan terkawal, ada kata tidak terkawal.

''Saya harap kastam tidak berada dalam sindrom penafian kerana walaupun itu laporan rasmi yang diterima Ketua Pengarah, kadang kala ia tidak mencerminkan apa yang berlaku di bawah,'' katanya kepada pemberita selepas mengetuai Program Pemuda UMNO Prihatin di sini hari ini.

Khairy diminta mengulas kenyataan Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) yang menggesa kerajaan mengharamkan penjualan semua jenis pasir ke luar negara bagi membanteras sindiket penyeludupan sumber asli itu.

Semalam, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menegaskan, perdagangan pasir hanya membabitkan sekumpulan kecil peniaga tetapi menimbulkan banyak masalah

Tambah Khairy, pihak berkuasa terlibat perlu mengambil tindakan tegas dan meneliti setiap laporan berhubung penjualan atau penyeludupan pasir bagi memastikan ia tidak berlaku.

Thursday, January 21, 2010

'Mak Cik' dalang seludup minyak

TUMPAT 21 Jan 2010 - Meskipun kerajaan mengetatkan prosedur termasuk mengehadkan pembelian minyak terhadap warga asing di sempadan negara, namun ia tidak mematahkan usaha segelintir pihak untuk menyeludup bahan api itu.

Terbaru, Pasukan Gerakan Marin (PGM) berjaya menghidu aktiviti penyeludupan keluar minyak ke negara jiran menggunakan 20 kenderaan pacuan empat roda (4WD) dipercayai didalangi oleh seorang wanita rakyat asing.

Pegawai Pemerintah PGM Pengkalan Kubor, Deputi Supritendan Tan Cheng San berkata, kesemua kenderaan berkenaan digunakan oleh orang suruhan wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai 'Mak Cik' di negara jiran.

"Kami mendapat maklumat ini selepas menyoal siasat salah seorang pemandu 4WD itu yang berjaya ditahan semalam.

"Lelaki itu ditahan dan mengakui mendapat upah oleh seorang wanita bernama 'Mak Cik' berusia sekitar 30-an untuk membawa keluar minyak dari negara ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kerajaan pada 16 Disember lalu menetapkan semua kenderaan negara jiran hanya boleh mengisi bahan api sebanyak 20 liter sahaja dalam lingkungan 50 kilometer dari kawasan sempadan negara.

Menurut Cheng San, tangki minyak bagi setiap 4WD berkenaan turut diubah suai bagi membolehkan setiap kenderaan itu mengisi sehingga 300 liter minyak.

Selain itu katanya, mereka turut menggunakan taktik mengisi hanya RM20 di beberapa stesen minyak sehingga tangki penuh bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.

"Penyeludupan yang didalangi oleh wanita ini sangat licik dalam menjalankan kegiatan haram mereka oleh itu kita akan giatkan usaha mengesannya.

"Siasatan mendapati setiap hari mereka akan masuk ke negara ini sekurang-kurangnya tiga kali untuk membeli minyak," tambah beliau.

Kastam rampas mercun, bunga api RM2.9j

Roslan Yusof (tengah) dan Timbalan Pengarah Kastam Selangor, Chik Omar Chik Lim menunjukan mercun dan bunga api yang berjaya dirampas Kastam Selangor di sebuah gudang tidak bernombor di Jalan Jati Kiri Baru 8, Kampung Perepat, Kapar, Klang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KLANG 21 Jan. - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM2.9 juta termasuk cukai selepas menyerbu sebuah gudang di Jalan Jati Kiri, Kampung Perepat, Kapar di sini hari ini.

Serbuan pukul 12 tengah hari itu dibuat hasil maklumat orang ramai mengenai kegiatan penyeludupan barangan itu yang dikesan menjelang sambutan Tahun Baru Cina, tidak lama lagi.

Menurut Pengarah KDRM negeri, Datuk Roslan Yusof, hasil pemeriksaan ke atas gudang tidak bernama itu, ditemui 4,200 kotak mengandungi 34 jenis mercun dan bunga api yang dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

"Kesemua barang rampasan ini dipercayai datang dari negara China untuk dijual sempena Tahun Baru Cina. Kita anggarkan nilai mercun dan bunga api itu sebanyak RM1.8 juta manakala cukai importnya RM1.1 juta.

"Kita juga sedang mengenal pasti pemilik gudang berkenaan termasuk menyoal siasat suspek yang berkaitan dengan kes berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mengetuai serbuan berkenaan.

Bagaimanapun, ketika serbuan, tiada sesiapa berada dalam gudang berkenaan.

Tambah Roslan, pengimportan mercun dan bunga api merupakan larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008 kecuali dengan lesen yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu denda tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan berikutnya pula, mereka yang bersalah boleh dikenakan denda maksimum 40 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Roslan juga menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama sekiranya mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian 1-800-88-8855 atau 03-31792321.

Malah, pemberi maklumat juga turut diberi jaminan identiti mereka dirahsiakan termasuk ganjaran wang tunai bagi setiap maklumat yang berjaya menghasilkan kes.

9 orang dan Pembantu Exco direman lima hari

PUTRAJAYA 21 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendapat perintah tahanan reman ke atas sembilan orang termasuk seorang pembantu kepada Exco Selangor, Hussein Ahmad yang ditahan berhubung kes penyeludupan pasir.

Perintah reman sehingga 25 Januari itu dikeluarkan Majistret Faisal Noor Hadi di Mahkamah Majistret Kajang di sini terhadap Hussein yang merupakan pembantu kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Selangor, Yaakob Sapari.

Hussein dan seorang lagi tahanan dari sebuah anak syarikat kerajaan negeri diwakili peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid.

Kesemua sembilan orang yang direman merupakan sebahagian daripada 34 orang yang ditahan SPRM semalam dan kelmarin berhubung kes rasuah penyeludupan pasir.

Antara yang ditahan ialah 24 kakitangan kerajaan termasuk lima pegawai kanan dengan jumlah nilai suapan yang disiasat melebihi RM280,000 berserta tiga kes habuan seks.

Imran berkata, SPRM pada mulanya ingin memohon reman selama tujuh hari tetapi dibantah oleh pihaknya.

"Ini kerana Hussein perlu meneruskan kerjanya di pejabat Exco di samping menghidap penyakit kencing manis dan lelah.

"Beliau (Hussein) juga bersedia untuk membantu siasatan pada bila-bila masa," katanya.

Pusat karaoke bakal berdepan denda RM56 juta

KUALA LUMPUR 21 Jan 2010 - Seorang pemilik pusat karaoke di sini, pasti tergamam apabila mendapat tahu dia bakal berdepan denda RM56 juta akibat memiliki salinan lagu karaoke untuk tujuan perniagaan tanpa kebenaran hak cipta.

Malah dia juga boleh dipenjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 41(1)(i) Akta Hak Cipta 1987.

Nilai denda itu mungkin tidak masuk akal tetapi hakikatnya, menurut tafsiran seksyen tersebut, denda yang akan dikenakan ke atas setiap lagu cetak rompak adalah RM2,000.

Siasatan mendapati pusat karaoke milik lelaki berusia 45 tahun itu dikatakan beroperasi dengan menggunakan 28,353 buah lagu pelbagai tajuk dan bahasa.

Hasil pemeriksaan kesemuanya tidak mendapat kebenaran hak cipta daripada pihak berwajib iaitu Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Badan Persembahan Awam Malaysia Sdn. Bhd. (PPM).

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan, Othman Nawang berkata, kegiatan pusat karaoke yang terletak di Taman Permaisuri, Cheras itu terbongkar dalam satu serbuan malam kelmarin.

Menurut beliau, serbuan yang dilakukan sepasukan 12 pegawai pasukan khas hak cipta itu terdiri daripada gabungan KPDNKK, RIM dan PPM.

"Kami telah merampas kesemua set peralatan karaoke di premis itu bernilai kira-kira RM100,000 dan menahan seorang lelaki yang merupakan pemilik untuk disoal siasat.

"Meskipun pihak berkuasa memberikan amaran keras kepada premis-premis perniagaan, namun banyak lagi tidak mengendahkannya," katanya pada sidang akhbar di pejabat KPDNKK Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Tegas Othman, pihaknya bersama RIM dan PPM akan terus menjalankan serbuan-serbuan seumpama itu dalam usaha membendung kegiatan rompak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RIM dan PPM, Tan Ngiap Foo yang juga hadir pada sidang akhbar memberitahu, pemilik karaoke boleh mengelak dari tindakan undang-undang sekiranya ada mendapat kebenaran hak cipta daripada pihaknya.

"Bayaran salinan hak cipta yang dikenakan setiap lagu tidak mahal, hanyalah RM3 setiap lagu setahun.

"Dia sepatutnya hanya mengeluarkan kira-kira RM90,000 untuk perniagaannya itu, tetapi kini padah akibat keengganannya itu, dia mungkin berdepan denda jutaan ringgit," jelasnya,

Tambah Ngiap Foo, tinjauan pihaknya turut mendapati kira-kira 3,000 premis hiburan di seluruh negara melakukan kesalahan sama.

"Kerugian yang dialami industri muzik untuk lagu karaoke sahaja mencecah RM60 juta setahun. Kami akan membuat laporan kepada kerajaan dalam tempoh terdekat," jelasnya.

Mahkamah Persekutuan sekat pemindahan tanah secara penipuan

PUTRAJAYA 21 Jan 2010 - Kepentingan pemilik asal tanah kini terjamin berikutan keputusan bersejarah Mahkamah Persekutuan hari ini yang menyekat aktiviti pemindahan hak milik tanah melalui penipuan dan pemalsuan dokumen daripada berleluasa.

Keputusan yang menjadi nas undang-undang itu turut memberi kesan bahawa hak milik pembeli tanah kini boleh disangkal jika terbukti wujud unsur-unsur penipuan dalam urusan pemindahan kepada pihak lain meskipun harta itu dibeli atas niat baik.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi memutuskan demikian sebulat suara ketika membenarkan dengan kos rayuan kes pajakan tanah melibatkan ahli perniagaan, Tan Ying Hong selaku perayu dan tiga responden.

Keputusan hari ini menyimpang daripada satu lagi penghakiman kontroversi Mahkamah Persekutuan sembilan tahun lalu melibatkan Adorna Properties Sdn. Bhd. melawan Boonsom Boonyanit @ Sun Yok Eng.

Hakim Zaki dalam penghakiman bertulisnya menyatakan, beliau bertanggungjawab menjelaskan semula undang-undang tersebut kerana kesilapan yang dilakukan dalam kes Adorna Properties sangat ketara.

''Umum mengetahui terdapat pihak-pihak yang tidak berperikemanusiaan mengambil kesempatan terhadap kesilapan penghakiman itu dengan memindahkan hak milik tanah secara penipuan,'' ujarnya.

Sehubungan itu, Hakim Zaki berharap Pejabat Tanah dan Galian akan lebih berwaspada apabila mendaftarkan proses pemindahan hak milik tanah.

Turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin serta Datuk James Foong Cheng Yuen.

Pada 27 Ogos 2001, panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara (ketika itu) Tun Eusoff Chin memutuskan Adorna Properties berhak memperoleh hak milik tanah di Tanjung Bunga, Pulau Pinang bernilai RM12 juta walaupun berlaku penipuan kerana ia dibeli atas niat baik (bona fide).

Penghakiman itu turut memutuskan pembeli tanah merupakan pemilik yang sah asalkan ia dibeli atas niat baik walaupun berlaku penipuan dan pemalsuan dokumen dalam urusan pemindahannya.

Ia disifatkan salah di sisi undang-undang oleh para peguam dan golongan akademik selain dikritik hebat kerana ia membuka ruang kepada tanah dipindah milik sewenang-wenangnya melalui penipuan.

Kes itu dikemukakan oleh seorang ahli perniagaan warga Thailand, Kobchai Sosothikul setelah tidak berpuas hati dengan pembelian tanah ibunya itu oleh Adorna Properties.

Sementara itu, Hakim Arifin dalam penghakiman bertulisnya berpendapat, Mahkamah Persekutuan terdahulu tersilap mentafsir Seksyen 340(1), (2) dan (3) Kanun Tanah Negara sehingga membuat keputusan yang salah dalam kes Adorna Properties.

Beliau berpendapat, panel terdahulu tersilap ketika memutuskan pembeli tanah berdaftar layak memperoleh hak milik mutlak serta merta walaupun wujud penipuan dalam dokumen pemindahan tanah.

Dalam rayuan hari ini pula, pihak responden terdiri daripada Tan Sian San, Cini Timber Industries Sdn. Bhd. dan United Malayan Banking Corporation Berhad (UMBC).

Saksi mengaku tawar harga imbuhan pekerja asing

KUALA LUMPUR 21 Jan 2010 - Pengadu dalam kes rasuah bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md. Don hari ini memberitahu, dia ada 'tawar menawar' berkenaan jumlah imbuhan untuk mempercepatkan proses kelulusan visa pekerja Bangladesh.

Mohamad Hasnan Hassan, 41, menyatakan proses penawaran harga itu berlaku antara dia dan seorang ejen pekerja asing, Buruganudeen Mohamed Ismail, 50, yang mendakwa boleh membantunya mempercepatkan kelulusan visa dengan kuasa daripada Ketua Pengarah Imigresen.

Saksi pendakwaan ke-18 yang merupakan ejen pekerja asing itu menyatakan, dia kemudian bersetuju mengadakan perbincangan lanjut dengan lelaki tersebut.

Menurutnya, Buruganudeen pada mulanya meminta imbuhan RM350 untuk setiap pekerja tetapi dia tidak bersetuju kerana majikan yang menggunakan khidmatnya merasakan harga tersebut tidak wajar.

"Jadi saya berjumpa Buruganudeen untuk tawar menawar jumlah berkenaan antara RM200 dan RM250 bagi setiap pekerja.

"Malangnya, Buruganudeen tidak bersetuju dengan tawaran saya itu," katanya ketika menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Kamal Ariffin Ismail di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Menurut Mohamad Hasnan, dia kemudian meminta pendapat dan nasihat daripada rakannya, Abdullah Che Man berkenaan harga tersebut.

Katanya, Abdullah menasihatinya membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana perbuatan itu salah malah tiada bayaran perlu dibuat kepada kerajaan untuk kelulusan visa kerana ia percuma.

Menurutnya, selepas membuat aduan kepada SPRM, dia menyiapkan bank draf berjumlah RM87,500 untuk 250 pekerja Bangladesh.

Saksi itu berkata, SPRM turut menyediakan wang tunai RM1,750 bagi lima lagi pekerja asing seperti diberitahu kepada Buruganudeen bahawa terdapat permintaan tambahan.

Mohamad Hasnan memberitahu, pertemuannya dengan Buruganudeen diaturkan di sebuah restoran di Taman Seri Gombak bagi menyerahkan bank draf dan wang tunai tersebut.

"Atas nasihat SPRM saya diminta mengeluarkan kemeja yang saya pakai sebagai isyarat bahawa bank draf dan wang berkenaan sudah diserahkan.

"Selepas Buruganudeen mengambil kedua-duanya, saya beredar dari restoran itu dan saya tidak tahu bagaimana dia ditahan serta apa yang berlaku selepas itu," katanya.

Menjawab soalan Ahmad Kamal mengenai wang tersebut, saksi itu menjelaskan, SPRM menggunakan wang tunai RM1,750 untuk membuktikan Buruganudeen melakukan kesalahan rasuah manakala bank draf RM87,500 adalah wangnya sendiri.

Wahid, 57, dibicara atas tuduhan menerima rasuah RM60,000 daripada ahli perniagaan, Datuk Low Chang Hian sebagai upah mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Persimpangan Jalan Duta di sini pada pukul 10.15 malam, 10 Julai tahun lalu.

Dia yang diwakili peguam bela Datuk V. Sithambaram didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin bersambung 26 Januari ini.

Tiga lelaki dicari bantu kes tipu geran tanah (21/1/10)

Oleh Hamid Salleh
bhkt@bharian.com.my
KUALA TERENGGANU: Polis mencari tiga lelaki bagi membantu siasatan beberapa kes penipuan penukaran hak milik tanah di Pejabat Tanah Kuala Terengganu (PTDKT) dengan menggunakan MyKad palsu.

Ketua Jabatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Azmi Adam, berkata mereka ialah Anizam Ibrahim, 42, dan Nor Belam Jusoh, 41, masing-masing dari Bukit Tunggal serta Md Sabri Ahmad, 42, dari Kampung Banggol Air Lilih, Pekan Batu Enam, Kuala Terengganu.

Katanya, tiga lelaki terbabit dipercayai dapat membantu siasatan kes penukaran hak milik tanah menggunakan MyKad palsu.



“Orang ramai yang mengetahui di mana tiga lelaki ini berada perlu menghubungi balai polis berhampiran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, semalam.

Azmi berkata, Selasa lalu polis menahan tiga lelaki berusia 24 dan 64 tahun ketika memohon menukar nama hak milik tanah di PTDKT menggunakan kad pengenalan palsu kira-kira jam 4.30 petang.

“Mereka kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, seorang lelaki 64 tahun dikesan menggunakan borang 14A untuk permohonan memasukkan namanya dalam geran tanah seluas 0.56 hektar di Kampung Paya Palas, di sini, petang berkenaan.

Azmi meminta orang ramai yang mendapati geran tanah milik mereka ditukar kepada nama orang lain secara tidak sah supaya membuat laporan polis.

PAC siasat keputusan beli tren komuter

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dimaklumkan Kementerian Pengangkutan sudah membatalkan cadangan pembelian lapan tren Diesel Multiple Unit (DMU) dari Sepanyol pada Disember tahun lalu.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid, berkata disebabkan Kementerian Pengangkutan sudah membuat keputusan membatalkan cadangan itu, siasatan dilakukan selepas ini akan menjurus kepada bagaimana keputusan itu dibuat.

“Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Long See Wooi, memaklumkan kepada PAC yang kementerian sudah membatalkan cadangan pembelian tren DMU bulan lalu.



“Ada rasionalnya (pembatalan), tetapi saya tidak boleh dedahkan. Ada banyak maklumat yang kita minta mereka berikan lagi. Sama ada keputusan itu dibuat akibat isu itu dibangkitkan di Parlimen atau sebab lain, kita tidak pasti,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Bangunan Parlimen, semalam.

Kontroversi pembelian tren DMU tercetus apabila beberapa Ahli Parlimen yang berbahas di Parlimen Disember lalu meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyiasat cara pembelian tren komuter berkenaan didakwa sebagai pelik.

Urusan pindah hak milik tanah secara tipu diisytihar tidak sah

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
PUTRAJAYA: Kontroversi berhubung kesahihan urusan pemindahan hak milik tanah secara penipuan yang mencetuskan kebimbangan ramai pihak, semalam berakhir apabila Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan transaksi sedemikian tidak sah.

Keputusan itu, sekali gus mengetepikan keputusan mahkamah sama sembilan tahun lalu yang memberi hak kepada pemilik berdaftar dalam geran tanah, walaupun dokumen dalam proses pemindahan nama hak milik itu dipalsukan.

Berikutan keputusan itu, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi perlu mengguna pakai prinsip undang-undang yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan itu ketika membuat keputusan masing-masing dalam kes yang mempunyai persamaan.



Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang bersidang bersama empat panel hakim Mahkamah Persekutuan

semalam mendapati keputusan mahkamah sama pada 2001 dalam kes Adorna Properties lawan Boonsoom Boonyanit @ Sun Yok Eng adalah salah.

Keputusan kes Adorna Properties itu mendapat reaksi negatif daripada pemilik tanah, pengamal undang-undang dan ahli akademik kerana ia membuka laluan kepada pihak tidak bertanggungjawab mendapatkan tanah secara tipu dengan memalsukan dokumen.

Panel Mahkamah Persekutuan ketika itu yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Eusoff Chin, mentafsirkan peruntukan Kanun Tanah Negara melindungi pembeli hartanah, walaupun nama pada geran tanah dipalsukan menyebabkan pemilik asal tidak boleh berbuat apa-apa.

Impak daripada prinsip yang diguna pakai dalam kes Adorna Properties itu memberikan hak kepada pemilik berdaftar dalam geran tanah walaupun dokumen dalam proses pemindahan hak milik itu dipalsukan.

Zaki yang membacakan keputusan semalam, bagaimanapun berkata, mahkamah bertanggungjawab menjelaskan semula peruntukan undang-undang kerana kesilapan penghakiman kes Adorna Properties adalah jelas dan ketara.

"Berdasarkan fakta yang diketahui, ramai pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan daripada kesalahan ini dengan memindahkan hak milik tanah kepada diri mereka sendiri secara tipu.

"Saya berharap dengan keputusan ini, pihak berkuasa tanah akan lebih berhati-hati apabila mendaftarkan pemindahan penama hak milik tanah," katanya.

Keputusan itu juga dipersetujui sebulat suara oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk James Foong Cheng Yuen.

Arifin pula berkata, panel hakim 2001 membuat tafsiran Seksyen 340 (1), (2) dan (3) Kanun Tanah Negara dan dengan itu membuat kesimpulan yang salah.

Katanya, tafsiran yang diguna pakai oleh panel sebelum itu jelas bercanggah dengan niat sebenar Parlimen dan kesalahan itu perlu diperbetulkan demi kepentingan semua pemilik tanah berdaftar.

Di luar mahkamah, Ketua Bahagian Sivil di Pejabat Peguam Negara See Mee Chun, berkata keputusan semalam menyelesaikan isu yang mencetuskan kontroversi sejak sembilan tahun lalu.

Katanya, Pejabat Peguam Negara juga sedang mengkaji aspek lain termasuk meminda Kanun Tanah Negara untuk memberikan perlindungan lebih baik kepada pemilik tanah berdaftar.

Peguam pemerhati bagi Majlis Peguam, Roger Tan, berkata dengan keputusan itu, pemilik tanah akhirnya mendapat jaminan yang hartanah mereka akan lebih selamat.

Beliau berharap mahkamah lebih rendah akan mengguna pakai prinsip baru itu apabila menghakimi kes pertikaian membabitkan tanah.

Penghakiman semalam berdasarkan rujukan semula prinsip kes Adorna Properties yang dibangkitkan dalam rayuan membabitkan ahli perniagaan, Tan Ying Hong dan Cini Timber Industries Sdn Bhd dan United Malayan Banking Corporation Bhd.

Tan adalah pemilik berdaftar tanah seluas 3.6 hektar di Kuantan, Pahang, tetapi tanah itu dicagarkan oleh seorang individu yang tidak dapat dikesan kepada United Malayan Banking (kini RHB Bank Bhd) dengan memalsukan surat kuasa wakil bagi pihak Tan untuk mendapatkan pinjaman RM300,000 bagi Cini Timber Industries.

Cini Timber gagal membayar pinjaman dan bank memulakan prosiding merampas harta daripada Tan sebagai pemilik tanah berdaftar. Tan kemudian mengambil tindakan undang-undang untuk memohon pengisytiharan caj oleh bank itu tidak terpakai kerana mereka menggunakan surat kuasa wakil yang dipalsukan, tetapi tuntutannya ditolak Mahkamah Tinggi pada 2003.

Beliau membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

PGM kesan wanita dalang seludup minyak

PENGKALAN KUBOR: Seorang wanita dari negara jiran didakwa mengetuai sindiket penyeludup minyak dengan menyediakan 20 kenderaan pikap untuk membeli minyak petrol dan diesel di negara ini dalam sehari.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor, Deputi Superintendan Tan Cheng San, berkata taktik sindiket itu didedahkan hasil soal siasat oleh anggota PGM yang menahan salah seorang pemandu pikap itu, semalam.

"Hasil soal siasat terhadap seorang lelaki yang memandu kenderaan pikap dari negara jiran, ketika ditahan di kawasan Zon Bebas Cukai, di sini kira-kira jam 3.40 petang semalam, beliau mengakui diupah seorang wanita yang dipanggil mak cik, untuk mengisi minyak ke dalam kenderaan," katanya di sini, hari ini.



Tan berkata, lelaki yang berumur lingkungan 30-an itu juga memberitahu ‘mak cik’ berkenaan mempunyai 20 kenderaan pikap yang digunakan untuk tujuan menyeludup minyak.

"Taktik yang digunakan oleh penyeludup ini sama saja iaitu mereka mengubah tangki asal untuk mengisi minyak seludup sehingga 300 liter," katanya.

Tan berkata, penyeludup terbabit didapati memasuki negara ini sekurang-kurangnya tiga kali sehari untuk mengisi minyak.

"Mereka juga licik apabila hanya mengisi sehingga RM20 saja di setiap stesen minyak bagi mengaburi mata pihak stesen minyak dan pihak berkuasa," katanya.

Kerajaan pada 16 Disember lalu menetapkan semua kenderaan negara jiran hanya boleh mengisi bahan api sebanyak 20 liter saja dalam lingkungan 50 kilometer dari kawasan sempadan negara. - Bernama

4 pegawai kerajaan ditahan

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com

PUTRAJAYA 21 Jan 2010 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan empat lagi pegawai kerajaan berhubung amalan rasuah dalam sindiket curi dan penyeludupan pasir di dua buah negeri.

Tiga daripada mereka ditahan di Pahang dan seorang di Johor, menjadikan jumlah tangkapan berhubung kes penyeludupan pasir meningkat kepada 38 orang.

“SPRM berharap semua pihak akan terus menyokong kita dalam usaha membanteras jenayah rasuah,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kenyataan itu menyebut, daripada 34 orang yang ditahan sebelum ini, 20 orang telah ditahan reman antara empat hingga tujuh hari manakala selebihnya dilepaskan dengan jaminan SPRM.

“Mereka telah dilepaskan dengan jaminan SPRM setelah pernyataan percakapan mereka diambil,” menurut suruhanjaya itu lagi.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull mengumumkan, seramai 34 orang termasuk seorang pegawai khas dan setiausaha sulit ahli politik ditahan SPRM berhubung kes rasuah dalam penyeludupan pasir di beberapa negeri.

Suapan tersebut turut melibatkan tiga kes rasuah seks bertujuan memudahkan proses permohonan dan kelulusan mendapatkan pasir.

Setiap individu yang terlibat didakwa menerima nilai suapan antara RM500 hingga RM50,000.

Curi pasir: 4 lagi pegawai kerajaan ditahan SPRM

PUTRAJAYA: Empat lagi pegawai kerajaan, tiga di Pahang dan satu di Johor, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes mencuri dan menyeludup pasir hari ini, menjadikan keseluruhan 38 orang ditahan sehingga kini.

Penahanan mereka diumumkan SPRM menerusi satu kenyataan media sebentar tadi.

Semalam, Setiausaha kerja seorang Exco Selangor dan setiausaha sulit seorang ahli politik adalah antara 34 orang yang ditahan SPRM kerana disyaki menerima sogokan serta rasuah seks berhubung kes mencuri dan menyeludup pasir di lima negeri.



Penahanan besar-besaran itu dibuat dalam beberapa siri operasi kelmarin dan semalam hasil risikan, intipan, pemantauan dan pemerhatian sejak April tahun lalu berikutan 410 maklumat awam yang diterima SPRM.

Pasir & seks: 4 lagi ditahan, 20 direman

Jan 21, 10 11:32am

Empat lagi pegawai kerajaan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan sindiket kecurian dan penyeludupan pasir.

Tiga orang ditahan di Pahang manakala seorang lagi di Johor menjadikan jumlah keseluruhan 38 orang setakat hari ini.


Menurut kenyataan media SPRM, 20 orang telah dikenakan tahan reman antara empat hingga tujuh hari.

Mereka termasuk Hussein Ahmad (bawah, bertali leher), pembantu politik, kepada exco kerajaan Selangor Yaakop Sapari dan lapan lagi yang dihadapkan ke mahkamah majistret Kajang, pagi tadi.

Perintah tahanan reman lima hari itu dikeluarkan oleh Majistret Faizal@Amrin Nor Hadi.


SPRM, semalam mengumumkan telah menahan 34 orang yang juga membabitkan 24 kakitangan awam.

Jumlah rasuah itu dipercayai membabitkan lebih RM280,000 dan juga habuan seks.

Pada awalnya, peguam SPRM memohon penahanan selama tujuh hari tetapi ia ditolak oleh majistret.

Peguam Hussein, Imran Hadzalie Abd Hamid yang membuat bantahan berkenaan berkata anak guamnya sanggup menyerah diri setiap hari untuk memberi keterangan.

"Tidak perlu bagi mereman mereka kerana SPRM telah menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada pejabat Yaakop," katanya.

Imran juga berkata tiga dakwaan dikenakan ke atas pembantu politik exco Selangor itu menurut Seksyen 17, Akta SPRM.

SPRM geledah rumah Hussein

Sementara itu, presiden Pesatuan Pegawai Wakil Rakyat Pakatan (Selpora), Razak Ismail berkata, beliau dimaklumkan oleh anak Hussein yang pegawai SPRM datang mengeledah rumahnya sekitar jam 4.15 hingga 4.30 petang ini.

Namun pihak SPRM gagal mencari cenderahati yang dibeli Hussein di China yang dipercayai antara barang bukti siasatan.

Razak berkata, beliau juga dimaklumkan yang pegawai SPRM berkenaan juga tidak menunjukkan waran geledah.

Rumah Hussein terletak di Seksyen 27, Shah Alam.

Sementara itu, anak perempuan Hussein, - Faridah - memberitahu, tiga pegawai SPRM datang ke rumahnya di Seksyen 27, Shah Alam pada kira-kira jam 4 petang. Bagaimanapun, dia tidak ada di rumah ketika itu.

Kemudian, katanya, mereka pergi ke rumah isterinya (isteri Hussein) di TTDI Jaya, Shah Alam.

Pegawai berkenaan, katanya, tidak menunjukkan sebarang waran geledah walaupun diminta oleh keluarganya.

Pegawai SPRM itu mencari foto dari China. Tetapi, mereka tidak menemuinya. Mereka kemudiannya mengambil buku bank ibu dan adik bungsunya. Mereka berada di rumah itu selama kira-kira 45 minit.

Katanya, beliau tidak faham mengapa pegawai SPRM mengambil buku bank tersebut dan ia akan menyukarkan ibunya untuk mengeluarkan wang.

Wednesday, January 20, 2010

Sindiket 'bersih wang haram' tumpas

KLUANG 20 Jan 2010 - Polis menumpaskan satu sindiket penipuan membabitkan pembersihan wang haram dengan tertangkapnya tiga individu termasuk seorang wanita di Batu Pahat baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Fawzi Arshad berkata, mereka yang berusia 24 hingga 30 tahun itu diberkas berasingan berikutan aduan seorang lelaki yang mendakwa menjadi mangsa dan kerugian RM25,500 pada Rabu lalu.

Menurutnya, ahli sindiket itu kini ditahan reman hingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Hasil tangkapan itu, kita menemui wang tunai berjumlah RM4,000, slip pengeluaran, kad ATM dan tiga telefon bimbit daripada mereka," katanya di sini semalam.

Menurutnya, berdasarkan modus operandi sindiket itu, mereka menyamar sebagai polis Bukit Aman yang akan menghubungi mangsa dan mendakwa boleh membersihkan wang di Hong Kong dan bank di negara ini walaupun mangsa tidak mempunyai sebarang akaun di negara tersebut.

Beliau berkata, pembersihan wang itu bagi mengelakkan semua akaun mangsa yang kini dalam siasatan dibekukan pihak berkuasa negara berkenaan.

"Mangsa kemudian dinasihatkan agar mengeluarkan semua wangnya dan memasukkannya ke dalam akaun seorang pegawai 'Bank Negara Malaysia' bagi tujuan pembersihan sehingga mendapat keputusan mahkamah," katanya.

Menurutnya, mangsa seorang peniaga ayam di Pasar Paloh yang terpedaya dengan sindiket itu telah memindahkan wangnya sebanyak RM25,500 ke dalam akaun pegawai Bank Negara tersebut.

Mohd. Fawzi berkata, selepas memasukkan wang berkenaan, mangsa cuba menghubungi anggota sindiket terbabit tetapi malangnya panggilannya itu tidak dijawab.

"Menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis pada 13 Januari lalu," katanya.

Ekoran laporan tersebut, pihaknya berjaya menahan seorang penagih dadah berusia 33 tahun di sekitar Batu Pahat pada malam Khamis lalu.

Kemudian kami berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 26 tahun dan seorang penagih dadah wanita berusia 24 tahun berhampiran sebuah bank di Batu Pahat pada 15 Januari lalu," katanya.

Justeru, beliau meminta sesiapa yang pernah menjadi mangsa sindiket terbabit agar membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

SPRM serbu pejabat exco Selangor

Abdul Rahim Sabri
Jan 20, 10
1:20pm

dikemaskini 4pm Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat exco kerajaan negeri, Yaakob Sapari di Shah Alam tengah hari ini.

Dipercayai pegawai SPRM telah mengarahkan setiausaha kerja exco tersebut, yang dikenali sebagai Hussein Ahmad, datang ke pejabat SPRM Selangor untuk disoalsiasat.


Menurut sumber-sumber, satu laporan telah dibuat kepada SPRM terhadap Hussein (berdiri) bberhubung dakwaan rasuah membabitkan penjualan pasir.

Yaakob adalah pengerusi pengurusan sumber alam dan pembangunan ssahawan negeri.

Difahamkan, lima pegawai SPRM, yang diketuai oleh Penguasa Premraj Victor, masih berada di pejabat Yaakob.

Sementara itu, jurucakap sekretariat media kerajaan negeri berkata, siasatan SPRM itu dipercayai ada kaitan dengan isu pasir.

Menurutnya, SPRM mahu menahan Husin tetapi dibantah oleh kakitangan di pejabat itu kerana pekeliling kerajaan Selangor tidak membenarkan soalsiasat di luar pejabat dan di luar waktu pejabat


Turut kelihatan di situ sebelum ini ialah penasihat undang-undang negeri, Salim Bashir dan pengerusi kesatuan pegawai khas Pakatan Rakyat, Razak Ismail.

Difahamkan insiden ini ekoran pertelingkahan tentang pengurusan syarikat kaitan kerajaan, kumpulan Semesta yang menguruskan penjualan pasir.

Sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri Selangor, didakwa banyak kes kecurian pasir.

Oleh itu, ia diserahkan kepada Kumpulan Semesta untuk mengendalikannya dan ia terletak dalam bidangkuasa Yaakob selaku yang bertanggungjawab terhadap portfolio tersebut.

Namun begitu, difahamkan masih terdapat aduan yang diterima termasuk dari kalangan ADUN Pakatan sendiri.


Malah, ADUN Bukit Antarabangsa dari PKR, Azmin Ali juga pernah menegur prestasi kumpulan Semesta dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Sementara itu, Yaakob memberitahu pemberita bahawa SPRM menyiasat dua perkara, iaitu kelulusan penjualan pasir dan lawatan beliau ke negeri China November lalu.

Katanya, pegawai SPRM itu mengambil tiga dokumen, iaitu profail syarikat berkaitan dengan penjualan pasir dan dokumen kedua lawatannya ke Hang Zhou dan Yiew (November) dan lawatannya ke Beijing minggu lalu. Hussein turut mengikuti lawatan ke China itu.

Yaakob menyifatkan tindakan SPRM itu sebagai satu langkah yang sengaja untuk memalukannya.

Pada masa ini, tiga exco kerajaan negeri berada di pejabat Yaakob. Mereka ialah Ronnie Liu, Elizabeth Wong dan Dr Xavier Jayakumar.

Pegawai SPRM masih lagi mengambil kenyataan daripada Hussein.


Pada kira-kira jam 3.35 petang, SPRM membawa Hussein ke ibupejabat suruhanjaya itu di Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Sebelum itu, berlaku sedikit kekecohan apabila seorang pegawai di situ meminta lima pegawai SPRM tersebut supaya mengisi borang lawatan tetamu ke pejabat tersebut.

Pada mulanya, mereka enggan enggan mengisi borang tersebut, tetapi selepas didesak Yaakob, maka pun berbuat demikian.

Yaakob dan penasihat undang-undang negeri, Salim, turut mengikut Hussein ke Putrajaya.

Difahamkan SPRM mempunyai waran untuk menahan Hussein untuk siasatan lanjut.

Pegawai Exco ditahan

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 20 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan setiausaha sulit seorang Exco kerajaan negeri bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan kelulusan kontrak perlombongan pasir dan lawatan ke China baru-baru ini.

Hussein Ahmad yang bertugas dengan Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Yaakob Sapari ditahan dalam serbuan oleh lima pegawai SPRM di pejabatnya di tingkat 14, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada pukul 11.15 pagi.

Hussein kemudian dibawa ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya kira-kira pukul 3.30 petang ini.

Difahamkan, pegawai SPRM yang diketuai Penguasa Prem Raj Victor turut mengambil beberapa dokumen daripada pejabat Yaakob bagi membantu siasatan.

Sementara itu Yaakob memberitahu, pihaknya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskan aktiviti perlombongan pasir di Selangor memandangkan ia di bawah tanggungjawab Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).

Menurutnya, hanya KSSB yang boleh memproses permohonan aktiviti tersebut yang perlu dibentangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun beliau mengesahkan pegawai SPRM terbabit telah mengambil tiga dokumen yang mengandungi maklumat syarikat perlombongan pasir serta dokumen berkaitan lawatan ke negara China untuk tujuan siasatan.

Hussien telah dibawa ke Putrajaya sambil diiringi Yaakob serta peguam kerajaan negeri, Salim Bashir.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika diminta mengulas perkara itu memberitahu, pihaknya mengalu-alukan tindakan pegawai SPRM menjalankan siasatan terhadap pegawainya termasuk Exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun beliau meminta suruhanjaya tersebut mematuhi prosedur yang ditetapkan untuk proses siasatan tersebut yang seharusnya dilakukan di pejabat kerajaan negeri dan pada waktu bekerja.

Malah katanya, kerajaan negeri juga akan turut menyediakan bantuan perundangan terhadap individu yang disoal siasat termasuk mendapatkan penasihat undang-undang sekiranya proses siasatan berkenan dilakukan di luar kawasan pejabat SUK dan melebihi waktu bekerja.

Gulatis disaman selebriti lagi

KUALA LUMPUR 20 Jan 2010 - Mula-mula pelakon Eja, kemudiannya model terkenal, Zahnita Wilson bertindak menyaman syarikat Gulatis Exclusive Sdn. Bhd. (Gulatis).

Hari ini syarikat tekstil ternama itu disaman pula oleh pelakon juga model terkenal, Tony Eusoff dan Diana Johor untuk menuntut ganti rugi RM500,000 setiap seorang kerana didakwa menggunakan gambar mereka tanpa kebenaran rasmi bagi tujuan promosi.

Kedua-dua artis tersebut merupakan individu ketiga dan keempat setakat ini yang mengambil tindakan undang-undang ke atas Gulatis yang dinamakan sebagai defendan.

Mereka memfailkan writ saman tersebut melalui firma guaman Tetuan A.R. Effande di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini pada pukul 2.15 petang ini.

Tony atau nama sebenarnya Anthony Joseph anak Hermas Rajiman, 33, dinamakan sebagai plaintif pertama dan Diana yang nama penuhnya Diana Johor Zainal Abidin, 29, plaintif kedua.

Tony dan Diana dalam pernyataan tuntutan menyatakan, rakan-rakan telah memaklumkan bahawa gambar mereka dipamerkan di hadapan premis perniagaan Gulatis di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.

Walhal dakwa plaintif, sepanjang pengetahuan mereka, defendan tidak pernah memohon kebenaran rasmi untuk menggunakan imej kedua-duanya sebagai model bagi mengiklankan perniagaan Gulatis.

Empat hari selepas menerima maklumat itu, plaintif telah pergi ke premis perniagaan defendan untuk membuat pemeriksaan pada 28 September 2008.

Plaintif mendapati imej mereka telah disalahgunakan serta dipamerkan sebagai model di kain rentang (bunting) di depan bangunan defendan.

Plaintif mendakwa mereka juga dimaklumkan oleh beberapa rakan bahawa defendan telah menyalahgunakan gambar tersebut untuk mempromosikan perniagaan di seluruh Malaysia sejak September 2008 sehingga kini.

Akibat tindakan yang didakwa sebagai tidak bertanggungjawab itu, plaintif merasakan hak peribadi mereka telah diceroboh dan disalahgunakan demi kepentingan defendan tanpa membuat sebarang bayaran.

Plaintif mendakwa, memandangkan kerjaya mereka bergantung kepada hasil penampilan dan penggunaan wajah telah menyebabkan mereka mengalami kerugian wang ringgit.

Pada 19 Februari tahun lalu, plaintif melalui peguam cara mereka telah menghantar notis tuntutan kepada defendan untuk menuntut ganti rugi tetapi sehingga kini Gulatis enggan membayarnya.

Selain ganti rugi am RM500,000 setiap seorang, plaintif menuntut ganti rugi teladan, faedah pada kadar lapan peratus setahun, kos dan perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Selain membintangi filem Sepi, Tony pernah terlibat dalam pementasan teater seperti Bangsawan Naga Chini, Broken Bridges The Musical (2006) The Girl From Ipoh (2005), Electronic City (2005), Encore! (2005) dan Jalan Impian (2005).

Aktor dan model kacak ini turut aktif dalam bidang peragaan pentas dan majalah. Dia turut menjayakan iklan komersial pelbagai produk tempatan dan luar negara.

Manakala Diana dikenali menerusi drama Sembilu dan filem Sembilu 2005.

Pada 11 Disember tahun lalu iaitu dua hari selepas diperintahkan membayar ganti rugi RM20,000 kepada Eja atau nama sebenarnya, Siti Shahrizah Saifuddin, 37, syarikat tekstil tersebut berdepan pula dengan tuntutan saman RM2 juta oleh Zahnita, 24.

Model yang juga pelakon kacukan New Zealand dan Melayu itu menyaman Gulatis kerana didakwa menggunakan gambarnya dalam semua bentuk iklan untuk kepentingan perniagaan tanpa persetujuan dan keizinannya.